Friday, 20 June 2014

Seseorang seperti dia 11

     Aku membuka mata perlahan-lahan sambil dahiku berkerut akibat daripada rasa pening yang melampau. Mataku memerhati keadaan sekeliling yang asing. Aku kini terbaring sendirian di atas katil bercadar biru dengan bunga-bunga kecil putih. Tiada manusia lain di dalam bilik sederhana besar berdinding kayu ini selain aku.

     Jemariku memicit-micit dahi sambil aku bangun perlahan-lahan dari baringan.

    "Haa...mangkit dah dia"seorang wanita tua menjerit kuat saat aku cuba untuk bangun dari atas katil.

     Wajah wanita tua yang tiba-tiba muncul di balik pintu yang sememangnya terbuka itu kupandang dengan pandangan kosong. Aku kat mana? Siapa nenek ni?

     "Eh...tok sah la mangkit"wanita tua yang menyarung kain batik dengan baju kedah berwarna putih itu meluru ke arahku tatkala melihat keadaan aku yang sedang bersusah-payah untuk bangun.

     Rambutnya tersembunyi rapi di balik anak tudung tebal berwarna putih. Sekali pandang, dia seolah-olah memakai turban gaya Yuna pula.

     "Saya kat mana?"sungguh aku bingung.

     "Tadi anak pengsan. Mujur Ril bawak naik. Dahla....toksah pikiaq sangat...rehat la noh"suara itu kedengaran lembut menyapa gegendang telingaku.

     Ya,sedikit demi sedikit cebisan ingatanku kembali bercantum. Perkara terakhir yang aku ingat ialah dua ekor lintah besar melekat di betisku sebelum aku menjerit dan apa yang berlakunya seterusnya tidak pula aku ingati.

     Wanita tua dalam linkungan 60-an ini duduk di birai katil. Tanpa suruh, mulut kecilnya laju sahaja bercerita itu dan ini.

    Dalam tempoh kurang dari sepuluh minit, sudah banyak fakta tentang dirinya yang aku ketahui. Nama penuhnya Latipa Hamid tetapi mesra dipanggil Tok Pa, hobinya memasak, berbasikal dan menonton drama korea saluran 393 One Hd. Seriously nek?

     Sedang Tok Pa gigih bercerita itu dan ini kepadaku, aku lihat Shahril menjengukkan wajahnya ke dalam bilik. Dia tersengih sambil tangannya diangkat tinggi dengan seolah-olah menyapaku dengan gaya 'hai' saat mata kami bertembung.

     "Tok...dia dah bangun?"pastinya soalan yang ditujukan kepada Tok Pa itu merujuk kepada aku.

     Tok Pa memalingkan wajahnya ke arah Shahril lalu ramah sahaja dia bersuara.

     "Mai masuk Ril. Dia mangkit dah"tangan tua itu menggamit ke arah Shahril yang masih berada di luar. Cuma wajahnya sahaja yang masih dijengukkan di sebalik pintu.

     Shahril tersengih lalu dia menapak perlahan ke bilik. Aku membetulkan dudukku sambil tanganku meraba-raba kepala sendiri. Mujurlah aku masih elok bertudung.

      Sebaik tubuhnya masuk ke dalam bilik, aku dapat merasakan kalau mulutku terngaga luas akibat terkejut. Lelaki di hadapanku ini sudah kelihatan bersih. Barangkali dia sudah mandi dan pakaiannya yang kotor akibat terkena lumpur tadi juga sudah berganti dengan yang baru. Tapi rasa terkejutku ini bukanlah dek kerana kebersihan lelaki itu tetapi kerana pakaian yang disarungnya.

     T-shirt lusuh kelabunya sudah hilang digantikan pula dengan sehelai t-shirt putih dengan tulisan "Ahli Persatuan Vespa Emas" yang saiznya aku kira tiga kali lebih besar dari saiz badannya. Jeans lusuh yang tadinya bersalut lumpur sudah digantikan pula dengan sehelai seluar trek yang singkat menjadikan seluar itu seolah-olah tergantung di tubuh tingginya dan menampakkan betisnya yang togel.

      Mengimbas kembali pertemuan aku dengan lelaki berjambang ini, aku yakin benar kalau perkataan fesyen dan gaya tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya, tetapi saat ini dia kelihatan seperti seseorang yang...pelik...ataupun mungkin unik atau....atau.... tidak siuman.

     "Tok...saya nak tumpang solat"sopan sahaja suara lelaki itu saat tubuhnya mendekati Tok Pa.

     Aku lihat Tok Pa bangun menuju ke penjuru kanan bilik. Sehelai sejadah berwarna hijau lumut diambil dari atas rak lalu dibentangkan.

    "Ni Tok bentang ikut kiblat. Ril sembahyang la dulu"

    "Lia...jom ikut keluaq"Tok Pa mengajakku lembut disusuli dengan laungan  suara seorang lelaki yang memanggilnya dari luar.

    "Tok keluaq sat. Tok Wan panggil tu. Satgi Lia keluaq la noh"dia menepuk-nepuk tanganku lalu tubuhnya bergerak dan hilang di balik pintu.

    Aku cuma mengangguk sambil tersenyum. Aku memandang Shahril yang sudah berada di atas sejadah. Aku lihat tubunhya membongkok lalu hujung seluar yang singkat itu dilipat sedikit ke atas.

     Timbul rasa bersalahku saat itu. Meski dia kelihatan selekeh, tetapi ternyata budi bahasanya indah di hadapan orang tua dan dia masih ingat akan kewajiban yang satu itu iaitu solat.

     Aku menggigit bibir perlahan-lahan. Teragak-agak samaada aku perlu meminta maaf terus atau biarkan dia selesai bersolat dahulu. Mungkin aku perlu meminta maaf padanya sekarang, mungkin juga nanti...

    "Kau tercegat macam patung tu kenapa. Cepat bangun, solat. Kalau kau nak tau perempuan la kaum yang senang nak masuk syurga dan paling banyak menghuni neraka"

     Oh..mungkin tidak. Mungkin lelaki ini cuma berbudi bahasa kepada orang yang lebih tua dan bukannya kepada rakan sebaya.

     "Aku cuti la mangkuk!"

     Aku lihat dia terkebil-kebil sendirian saat tubuhku berlalu keluar dari bilik.

   
   

   

No comments:

Post a Comment