Biarpun aku cuba melelapkan mata sepanjang jalan, namun aku gagal. Kami berbual kosong dan ianya lebih berkisar kepada kejadian di kedai Fairylicious tadi, dari kisah lelaki gempal di dalam kedai sehinggalah kepada pertengkaran dengan wanita bernama Rohani. Entah kenapa, aku merasa senang berkongsi cerita dengan lelaki di sebelahku ini.
Suasana kemudiannya sunyi tanpa bicara lalu aku membuang pandang keluar tingkap. Cermin tingkap aku buka sedikit bagi membolehkan angin petang menerobos masuk lalu menampar wajahku lembut. Aku kagum melihat pemandangan indah sepanjang jalan menuju ke Padang Matsirat terutamanya saat kami melalui jalan raya yang diapit lautan dan juga lapangan terbang.
Tidak banyak kenderaan yang berada di atas jalan raya dan aku kira itu adalah sesuatu yang normal berdasarkan pemerhatianku dari semalam lagi saat aku menjejakkan kaki ke sini. Di sepanjang jalan lapangan terbang, kulihat banyak gerai-gerai berpayung dibuka dan terdapat beberapa buah kereta dan motosikal diberhentikan di tepi jalan. Barangkali mereka sedang melepak di waktu petang sambil memerhatikan kapal terbang turun dan naik di situ.
Kami sampai di hadapan Butik Pengantin Aziah tepat jam 4.30 petang. Pada mulanya agak sukar juga bagi kami untuk mencari butik pengantin ini memandangkan lokasinya yang terlindung di balik deretan gerai di tapak pasar malam. Namun, mujurlah seorang lelaki muda berbaik hati menunjukkan kami lokasi butik tersebut.
Butik pengantin itu cumalah sebuah kedai kecil dalam deretan rumah kedai setingkat.
"Assalamualaikumm"aku dan Shahril memberi salam hampir serentak saat kaki kami melangkah masuk ke dalam kedai bertema putih gading ini.
"Waalaikumussalam...."seorang wanita yang sarat mengandung bangun dari mesin jahit lalu bergerak ke arah kami.
Wanita berwajah bulat dan cerah itu tersenyum lalu tangannya dihulur ke arah aku.
Tanpa berlengah, aku terus menceritakan tujuan kami ke mari sambil tanganku menghulur sekeping kertas pemberian Fardel Akashah.
"Hmm....kak dok jahit..Tak siap lagi..."dahinya kelihatan berkerut sambil tangannya mengusap perut yang memboyot.
"Baby tendang"dia tersengih kepadaku saat itu, barangkali cuba menenangkan aku yang sudah kelihatan cuak dan risau.
Masakan tidak, pastinya Fardel Akashah akan pengsan untuk kali kedua kalau wanita ini tiba-tiba bersalin sebelum sempat baju pengantin itu disiapkan.
"Duduk la dulu...Sikit ja lagi Kak Zi nak sambung jahit pleat kat kain"wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Kak Ros itu mengarahkan kami untuk duduk di atas kerusi yang aku kira adalah kerusi pelamin yang dipamerkan di dalam butik. Saiz butik yang agak kecil kukira agak menyukarkan Kak Zi untuk meletakkan sofa buat tetamu yang singgah.
"Kak, boleh saya tumpang solat"Shahril bersuara penuh sopan.
Kak Zi cuma tersenyum lalu tubuhnya dan Shahril berlalu pergi dan hilang di bahagian belakang butik.
Beberapa minit kemudian aku lihat Kak Zi kembali ke arah mesin jahitnya dan tangannya laju sahaja menyudahkan jahitan yang pastinya tergendala sejak kehadiran kami.
Bagaikan patung, aku cuma duduk di atas kerusi pelamin sambil mataku memerhati sekeliling kedai butik yang kecil tetapi sesak dengan bermacam jenis baju pengantin yang tergantung di atas satu rak besi tinggi dan besar.
Hatiku sayu tiba-tiba saat aku terkenangkan Hilmi. Seumur hidup, cuma dialah satu-satunya susuk lelaki yang aku bayangkan akan menjadi suamiku. Kami sama-sama berada di butik pengantin, memilih gaun pengantin, sama-sama memilih warna tema, dan yang pastinya aku akan merajuk kalau dia tidak setuju mengikut pilihanku untuk memakai songket di hari bahagia kami. Aku tersenyum sendirian membayangkan saat indah tersebut sebentuk kenyataan menyentapku untuk kembali ke alam realiti semula.
Hakikatnya aku kini sememangnya berada di butik pengantin, bukan bersama Hilmi, tetapi dengan seorang lelaki asing bernama Shahril, bukan untuk memilih baju pengantinku tetapi sedang menunggu gaun pengantin bakal isteri Hilmi. Oh, realiti tak selalunya seindah yang kita bayangkan.
Sedang aku asyik mengelamun aku terasa seperti ada jemari kecil menyentuh tanganku. Seorang kanak-kanak perempuan sedang tersenyum ke arahku sambil tersengih seraya menampakkan giginya yang sudah rongak.
Anam kecil dalam gaun kembang berwarna merah jambu itu kelihatan sangat comel sambil jemarinya menarik tubuhku supaya tunduk mendekatinya.
"Mia...jangan kacau kakak tu"terdengar laungan Kak Zi kepada anak kecil yang kukira bernama Mia ini.
"Taklah akak...Mia tak kacau saya pun"aku tersenyum balas kepada Kak Zi.
Anak kecil itu terus menepuk-nepuk jari-jemariku lalu aku tunduk mendekati wajah bulatnya. Jemari kecilnya menyentuh pipi kananku sambil tersenyum.
"Kiti...."suaranya kedengaran perlahan.
"Apa dia Mia"aku melayannya sambil tanganku memegang tocang kecilnya yang diikat tinggi.
"Kiti...kiti...."jemarinya masih memegang pipiku dan kali ini dia menunjuk ke arah pipiku yang masih terlekat plaster.
"Mia ni...dah lima tahun tapi anak akak ni...lambat bercakap...tau sebut sikit-sikit ja...mak...baba...dengan kiti...sebab dia minat sangat Hello Kitty"Kak Zi yang sudah mendekati kami bersuara perlahan.
Aku merasa terkesan di hati saat mendengar nada sebak dalam kata-kata wanita berambut perang itu.
"Eh...lupa pulak nak tanya nama ni"dia menyambung.
"Saya Lia"aku terus bersuara. Ada rasa ralat di hati kerana aku terlupa untuk mengenalkan namaku sedari tadi.
"Ha..Lia, dah boleh test dah...akak nak tengok ok dak"dia menggosok matanya saat itu.
"Hah? Test apa? Baju ke?"aku bertanya seolah orang dungu.
"Hang ni...test baju pengantin la...takkan akak nak test pulak...mana nak sumbat. Tak muat la"dia menunjuk ke arah perutnya.
Sudah. Sejak bila pula aku perlu mencuba gaun pengantin Nurin. Meski kami sama -sama kurus, namun ukurannya yang persis model dari segi ketinggian pastinya tidak sama dengan aku yang dikategorikan dalam golongan bantut.
"La...tunggu apa lagi, pi lekas. Tu pi bilik tengah tu salin cepat"dia mengarahkan aku dengan nada tegas.
Gaun putih susu di tangannya aku capai lalu aku melangkah lemah ke arah bilik menyalin pakaian yang ditunjukkan.
Sebaik aku menyalin pakaian kepada gaun pengantin itu, aku memerhatikan tubuhku di hadapan cermin besar yang sedia ada di situ.
Satu-satunya ukuran yang tepat mengenai tubuhku cumalah ukuran pinggang. Kain dan tangannya kelihatan labuh, masakan tidak, ianya bukanlah untuk aku dan takkan pernah menjadi milikku.
Namun ianya tidak mencacatkan keindahan gaun yang diinspirasikan dari gaun pengantin Kate Winslet ini. Gaun atas direka menyerupai kebaya pendek dari material renda dengan pinggangnya dililit kain satin halus yang akhirnya bersambung di bahagian belakang dan membentuk seperti reben berbentuk kelopak bunga mawar.
Kainnya aku kira diperbuat dari material satin dengan jahitan berbentuk duyung dilapisi renda halus dari rona yang sama.
Usai menyarung tudung, aku melangkah keluar. Di hadapan pintu aku lihat Kak Ros dan Mia sedang memerhatikan aku tanpa berkelip.
Shahril yang kulihat membelakangi mereka berpusing ke arahku saat mendengar Mia menjerit Kiti sambil bertepuk tangan.
Sebaik tubuhnya dipusing megadap ke arahku, aku lihat dia yang sedang mengunyah sesuatu seperti cucur terus memandang aku tanpa berkelip. Cucur di tangannya aku lihat sudah jatuh tergolek ke lantai sambil mulutnya yang penuh bersisa makanan sedikit ternganga.
Mata kami bertemu untuk beberapa saat sebelum dia terkocoh-kocoh tunduk mengutip cucur di lantai.
No comments:
Post a Comment