Suasana sepi tanpa sebarang perbualan antara aku dan Shahril di dalam kereta sepanjang perjalanan pulang. Jam di tangan sudah menginjak ke pukul 6 petang. Patutlah telefon bimbitku sunyi tanpa sebarang pertanyaan dari Fardel Akashah dan Fisha, rupa-rupanya baterinya sudah mati tanpa aku sedari sejak bila lagi.
Di tubuhku tersarung t-shirt putih bertulis "I Love Langkawi" dengan corak seekor burung helang beserta sehelai kain batik lusuh. Sesiapapun yang memandang aku dan Shahril saat itu pasti mengangka yang aku dan Shahril adalah pasangan yang baru pulang dari bersawah melihat kepada penampilan kami berdua.
"Sorry, ni je aku jumpa. Akak cleaner sedekah"itu kata-kata Shahril tadi sebaik sahaja dia menghulur bungkusan putih berisi pakaian di hadapan wad.
Usai menyalin pakaian, kami menziarahi Kak Zi dengan bayinya yang sudah dipindahkan ke dalam wad biasa. Sepanjang tempoh berbual, aku lihat Abang Selamat, suami Kak Zi cuma tunduk menekur lantai. Tidak sekalipun wajahnya diangkat untuk memandang wajahku, barangkali takut kalau-kalau rahsianya akan terbocor.
"Err...kita dah sampai"suara Shahril mengejutkan aku dari lamunan. Bagaikan orang dungu aku memandang sekeliling. Rupa-rupanya sudah lama aku mengelamun kerana sedar-sedar saja kami sudah berada di kawasan parki Chalet Perangin.
Sampai sahaja di hadapan kafe Chalet Perangin, aku terasa tanganku ditarik laju. Aku terjerit kecil akibat terkejut namun sebaik sahaja aku memalingkan tubuhku ke belakang, aku melihat wajah Fardel Akashah yang sudah merah padam, barangkali lelaki ini sedang menahan marah akibat kelewatan kami. Masakan tidak, pastinya dia tidak dapat menghubungi aku dek kerana telefon bimbitku yang kehabisan bateri.
"Kau orang ke mana hah? Macam nak arwah aku tunggu lama-lama kat sini....Kau tau tak aku punyalah risau, call x dapat, wassap tak balas... Apa susah sangat ke nak angkat telefon..Apa berat sangat ke jari-jemari kau tu nak call aku ni Ustazah?" Fardel Akashah membebel laju ibarat bertih jagung yang sedang digoreng.
Aku cuma terdiam sambil tanganku masih menggengam bungkusan berisi manik dan baju pengantin di tangan.
Entah kenapa, hatiku sebak tiba-tiba. Masakan tidak seharian ini aku ke sana-sini bersama seorang lelaki asing semata-mata mahu menyelamatkan perkahwinan Nurin sedangkan tiada seorang makhlukpun selain Fisha yang tahu kalau perbuatanku dalam beberapa hari ini ibaratnya seperti aku menghiris hati dan perasaanku sendiri.
"Kau cakap baik-baik. Seharian ni, dia dah tolong kau selamatkan maruah kau semata-mata untuk sehelai baju pengantin. Kau cuma tau marah dia, ada kau tanya kenapa dia lambat? Ada kau tanya apa jadi kat dia harini? Ada kau tanya dia dah makan ke belum? Ada kau tanya dia ok ke tak harini? Untuk setiap benda yang dia tolong kau hari ni, the least you can say is thank you...."Shahril bersuara tegas sambil tangannya sudah menggengam kolar baju Fardel Akashah.
Aku lihat Fardel Akashah cuma terkebil-kebil melihat amarah Shahril kepadanya. Mulutnya yang sedari tadi riuh berkicau sudah senyap sepi. Aku lihat mulutnya seakan-akan ingin bergerak tetapi tidak ada sebarang perkataan yang terluah dari bibir yang kelihatan basah dek kerana olesan pelembab bibir itu.
Dan entah kenapa aku menjadi sebak tiba-tiba. Plastik di tangan aku hulutkan kepada Fardel Akashah lalu aku berlari laju ke arah bilikku. Aku tidak menoleh meskipun aku mendengar dengan jelas laungan suara Shahril yang memanggil namaku.
Air mata yang cuba kutahan mengalir laju. Entah kenapa aku menjadi sensitif tiba-tiba. Kata-kata Shahril itu sedikit sebanyak mengingatkan aku kepada Hilmi. Hilmi juga pernah mempertahankan aku suatu masa dulu. Dan entah kenapa, hatiku menjadi pedih secara tiba-tiba.
No comments:
Post a Comment