Monday, 21 July 2014

Seseorang seperti dia 31

  Aku menjerit kuat tatkala mataku menyapa sesusuk tubuh besar berwarna putih dengan bau hanyir seperti darah semakin mendekat ke arah tubuhku. Dalam samar cahaya, aku memejam mata sambil tubuhku menggeletar ketakutan.

   "Lia....Lia.....MasyaAllah....ni saya la"suara garau seorang laki menegurku tetapi aku masih memejamkan mata meskipun aku sudah berhenti menjerit.

     Mulutku kembali terkumat-kamit membaca ayat Kursi meski aku rasakan kalau bacakan itu sudah lari dari hukum dan makhraj yang sepatutnya.

   "Ya Allah Lia....awak dah kenapa, ni saya"suara itu kedengaran lagi.

   "Saya ni, Amran"aku membuka mata perlahan-lahan saat dia memperkenalkan dirinya.

   Wajah bulat Amran kelihatan tersenyum kepada aku dalam gelap malam. Mujurlah suluhan cahaya samar dari tanglung di hadapan kafe menjadikan wajahnya kelihatan jelas waktu ini.

    "Saya...saya ingat awak hantu"aku yang masih terkejut sedikit terketar-ketar.

   "Maaf kalau saya buat Lia terkejut"ada riak bersalah pada wajahnya ketika ini.

   "Saya baru kunci kafe ikut pintu belakang tadi, itu yang saya datang dari arah sana, kebetulan tengok Lia tengah berdiri kat sini, saya tegurlah"dia cuma menerangkan satu-persatu kepada aku yang masih cuba untuk bertenang.

   "It's ok...saya yang salah faham. Saya ingat saya nampak hantu be....."aku terhenti dari menyebut perkataan besar kerana bimbang lelaki gempal ini akan berkecil hati.

   "Ingat tengok hantu gemuk ye tadi"dia tersenyum sambil membetulkan tuala putih yang dililit di atas kepala dengan tangan kanannya.

   Aku memandang satu plastik hitam besar yang berada dalam genggaman tangan kiri Amran. Hidungku kembang-kempis menahan bau busuk yang menerobos masuk tatkala angin bertiup.

   "Er....saya nak kena buang sampah ni dulu. Memang hanyir sikit sebab ni perut ikan yang kami siang dari pagi tadi"plastik besar itu diangkat sedikit.

   Aku cuma mengangguk sambil mengurut dada. Ceh, punyalah penakut kau Lia, Amran yang gemuk pakai baju chef ni kau ingat hantu.

    Waktu ini juga aku lihat Fisha terkocoh-kocoh lari mendapatkan aku.

   "Kau ke yang jerit tadi Lia...Kau dah kenapa. Ok tak?"Fisha sudah menarik tanganku.

   "Aku oklah...terkejut kena tegur dengan Amran tadi"aku menenangkan Fisha yang seakan sudah mahu membuat drama.

   "Kau ni...kacau aku baca buku jelah. Masa aku dengar orang jerit terus aku lari pergi arah belakang kafe, tengok takde orang, tu yang aku lari sini pulak, nasib engkau. Buatnya hantu yang menjerit tadi....Eee...seram aku"Fisha sudah membuat gaya orang cemas.

   "Kau baca buku? Kau baca kat mana tadi?"aku bertanya temanku yang sudah lengkap berpijama merah jambu.

   Mimpi apa agaknya perempuan ini membaca buku malam-malam di tempat sunyi, apatahlagi dengan pakaian yang hanya akan dipakai Fisha di dalam bilik dan bukannya untuk dibawa keluar apalagi bersantai.

    "Sana"tangan Fisha menunjuk ke arah hadapan kafe yang samar-samar disuluh cahaya tanglung.

   Aku mengerutkan dahi, kalau sedari tadi Fisha berada di situ, bererti dia juga berada berdekatan aku dan pastinya dia ikut mendengar suara ketawa tadi.

   "Err...Sha...masa kau kat sana kau tak dengar apa-apa ka?"

   "Apa-apa tu apa?"Fisha sudah membuat muka tanda tidak faham.

   "Tadi aku dengar bunyi perempuan ketawa"aku bersuara perlahan. Amran dan Fisha sudah terdiam.

    "Kau biar betul. Aku lepak sana takda bunyi pun"Fisha mendekatkan tubuhnya kepada aku.

   "Betul, mula-mula dia ketawa"dan tubuh Fisha semakin dekat padaku.

   "Lepas tu....bila aku nak gerak dia tanya nak pergi mana tu....."dan tubuh Fisha semakin dekat.

   "Masa aku start baca ayat Kursi, dia tegur aku....baca apa tu..."dan tubuh Fisha terus mendekat sebelum dia ketawa kuat.

   "Dia ketawa sama macam kau Sha"aku menyambung lagi.

    "Hoi Lia...tu aku tengah baca cerita nilah...bila masanya aku tegur kau. Aku ingat takda orang, aku bacalah dialog tu kuat-kuat"Fisha masih terus-terusan ketawa dan Amran yang sedikit bingung cuma diam sambil tangannya masih setia menggenggam plastik sampah besar itu.

    Geram melihat ketawa Fisha yang seakan tidak mahu reda, aku menarik buku di tangannya lalu tajuk buku itu aku perhatikan.

    Komik Dik Cerdas Edisi Lima. Mahu sahaja aku luku kepala sahabat baikku ini sekarang juga. Dek kerana keseronokan dia membaca komik Shin Chan ini dan ketawa seperti hantu, nyaris-nyaris aku kehilangan nyawa tadi. Mujur sahaja aku tidak pengsan.

   "Sebenarnya, saya memang tengah tunggu Lia. Sebab lama sangat cari tak jumpa, itu yang saya cari Fisha tu"Amran mencelah dan bersuara.

   "Aah la Lia...kau ke mana. Aku call tak angkat. Amran ada benda nak bagi tau"Fisha yang entah sejak bila bersahabat baik dengan Amran melemparkan soalan padaku.

   "Tapi elok kalau saya buang sampah dan basuh tangan dulu kot"plastik sampah itu diangkat tinggi separas wajah aku dan Fisha.

   Fisha menjerit kuat sambil menjerit busuk menyebabkan terkocoh-kocoh Amran berlari ke arah tong sampah besar di bahagian belakang kafe bersebelahan pintu masuk kecil yang sememangnya menjadi laluan para pekerja Chalet untuk ke kawasan parkir staff.

   Usai sahaja dia membasuh tangan, tubuhnya hilang di balik belakang kafe sebelum dia muncul semula bersama satu beg sandang gelap. Sehelai t-shirt kelabu dan jeans lusuh yang sudah berlipat elok dihulurkan kepada aku.

   "Apa ni?"aku bertanya sambil tanganku menyambut huluran pakaian itu.

   "Itu baju Shahril semalam. Mak saya dah basuhkan"

  "Oh, ini ke barang yang Amran cakapkan siang tadi. Saya ingat apalah tadi"aku bersuara lega.

   Entah kenapa hatiku senang apabila mengenangkan kalau aku punya satu alasan untuk bertemu Shahril sekali lagi.

   "Tapi, barang yang mungkin buat awak sedih yang ni"Amran menghulurkan sekeping kertas berlipat kepada aku.
 
    Aku menyambut kertas yang rupa-rupanya sekeping gambar yang sudah dilipat dua. Fisha yang ingin tahu ikut sama memandang lipatan gambar tersebut.

    "Saya tak tau hubungan awak berdua tapi saya dapat agak awak dengan Shahril macam ada apa-apa. Sebab tu saya nak passkan ni kat awak"ada nada sedih saat Amran bersuara.

   Aku membuka gambar yang agak lusuh itu dan dalam samar cahaya, aku dapat lihat wajah Shahril dalam uniform putih sedang tersenyum sambil memeluk seorang wanita. Shahril kelihatan muda remaja dan wajahnya juga tidak terlalu lebat berjambang, namun masih juga dapat aku camkan dia di dalam gambar itu. Dadaku berdebar saat melihat pada wajah wanita dalam pelukannya.

    Aku membelek gambar tersebut dan di belakang gambar tersebut tercatit tulisan kecil.

 'Shahril sayang Aina banyak-banyak' diikuti dengan tanda senyum di pengakhiran ayat.

    "Aina...Nurin Aina....."terpacul sebaris nama itu dari bibirku. Wajah Nurin tersenyum manis di samping Hilmi dan wajah Nurin di dalam pelukan Shahril datang silih berganti.

   Aku kelu. Entah kenapa, aku merasakan seperti hatiku jatuh dan pecah berderai saat ini. Dan ianya berlaku untuk sekali lagi, dan kali ini penyebabnya bukan lagi Hilmi!

 
 

 
 

No comments:

Post a Comment