Tuesday, 14 June 2011

Seseorang seperti dia 1

BAB 1   
                Aku pandang ke lantai. Berfikir dari mana hendak aku mulakan untuk kutip kepingan-kepingan hati aku yang baru jatuh bersepai .
                “Awak ok?”
                “Ya…”aku menjawab sepatah.  Senyum. Tak,saya tak ok awak! Aku ingin menjerit namun kata-kata itu hanya terluah di dalam hati.
                “Ok, ini kad kahwin saya, jangan lupa datang tau. Awak tetamu wajib saya, awak takde, tak jadi majlis saya nanti tau.”kad merah jambu dengan lilitan reben merah darah bertukar tangan.
Walimatulurus,
Mohd Hilmi & Nurin Aina
                Setiap baris ayat bertinta emas aku baca penuh perhatian. Masih berharap kalau-kalau magis akan berlaku. Kalau-kalau nama pengantin perempuan akan dapat bertukar menjadi namaku, Adelia tapi ini dunia nyata, mana ada magis dan aku sekarang bukanlah puteri yang dicari, malah takkan pernah menjadi seorang puteri di hati seorang Hilmi!
                Aku hanya mengangguk dan senyum. Petang itu aku tinggalkan Hilmi dengan sebaris janji kalau aku akan datang menghadiri resepsi perkahwinannya malah padanya juga aku nyatakan kesudian untuk menjadi pengapit pada pengantin perempuan sekiranya diperlukan. Ya, Adelia memang pandai mengaut masalah. Nanti-nanti yang makan hati aku sendiri juga.
*****
                Mata yang bengkak aku belek dengan teliti. Terbit pula penyesalan di hati, tak pasal-pasal aku terpaksa ambil cuti sakit. Terima kasih pada Encik Wang Lee Hom yang tak henti-henti menyanyi lagu Kiss Goodbye semalam sambil aku pula asyik membelek kad kahwin berbau wangi yang sudah koyak-rabak dikerjakan aku.
                “Hodohnya…”terkeluar juga ayat mengeji diri sendiri setelah puas aku menilik bahagian bawah mata yang kelihatan bengkak dan hitam akibat terlalu banyak menangis semalam.
                “Tak payahla kau nak sibuk-sibuk pikirkan dia. Dah nak kahwin pun orang tu”suara Fisha yang entah sejak bila bertenggek di atas katil aku menyentuh gegendang telinga.
                “Hai, sampai rabak kad orang ni kau kerjakan. Kucing ke apa kau ni, kerja dok mencakar jer.” Fisha tunduk mengutip kad di lantai. Kalaulah boleh lagi cebisan-cebisan kecil kertas itu dipanggil kad. Aku buat-buat pekak, malas hendak mendengar bebelan Fisha yang sememangnya pandai dalam hal-hal menyakitkan hati dan perasaan orang lain.
                “Bila kenduri si Hilmi ni?”
                “Bulan depan.”Aku menjawab malas. Mulanya aku malas melayan pertanyaan Fisha tapi mengenangkan keadaan kad yang sudah tiada rupa kad itu terpaksa juga aku jawab. Takut juga kalau sahabatku yang garang ini naik hantu andai pertanyaannya aku biarkan sepi.
                “Hmm….”Fisha macam tak berminat. Masing-masing diam. Aku terus pura-pura membelek mata pandaku. Dari dalam cermin di hadapan aku dapat melihat Fisha tengah bergolek-golek di atas katil aku.  Tangan kirinya mengurai-ngurai rambut perang yang entah keberapa kali diwarnakan.
                “Sha…”
                “Aah…apa?”acuh tak acuh saja suaranya.
                “Kalau kau jadi aku, kau pergi tak kenduri Hilmi?”terluah juga pertanyaan itu.
                “Kalau aku……”Fisha masih mengirai-ngirai rambut perangnya sambil wajahnya dikerutkan sedikit. Kiranya kalau mengikut pada bahasa tubuh bolehlah dikatakan kalau temanku itu tengah berfikir.
                “Kalau akula……”badan kupusing meghadap Fisha, menunggu jawapan Fisha ibarat mahu menunggu pengumuman untuk hari raya, mendebarkan. Tolonglah cakap yang kau takkan pergi kalau kau ada kat tempat aku Sha, dalam hati aku berharap, aku inginkan sokongan dari temanku ini.
                “Mestilah aku pergi, aku akan tunjuk kat dia yang aku sememangnya ok, tak ada dia aku pun boleh hidup kot. Bahagia lagi.”ayat temanku aku telan dengan rasa sebu. Sedikit sebanyak aku terhasut juga walau dalam hati aku sedar kalau kata-kata itu juga sebenarnya ditujukan pada dirinya sendiri. Aku mengeluh kecil.
                “Kenapa, kau nak aku cakap kalau aku jadi kau, aku takkan pergi kan?”Fisha bangun dan duduk di tepi katil.
                “Aku tau hati kau Lia,aku saja je acah kau, kalau hati kau rasa tak mahu pergi, tak payahlah pergi…”suara Fisha kembali kendur.
                Air mata aku menitik kembali. Fisha memang benar-benar sahabatku yang memahami. Aku sudah membulatkan tekad, Adelia Hahsim takkan hadir ke perkahwinan Mohd Hilmi demi untuk menjaga keharmonian hati dan perasaan diri aku sendiri. Selepas ini, datanglah seribu Hilmipun di depan mata, aku takkan kalah lagi. Yeah, you go girl, siap dengan kata-kata semangat aku tiupkan pada diriku ini sebagai pembakar semangat.
*****
                Tapi itu semalam, semalam bila hatiku sakit dan konon-kononnya sudah patah riuk dan tak boleh diubati lagi dek kecewa bila mendengar berita perkahwinan Hilmi. Dan hari ini? Hari ini aku kembali lagi menjadi Adelia yang lama, yang tetap tidak boleh berganjak dari Hilmi. Buktinya? Nah, hari ini aku sudah tercongok di hadapan kedai pengantin ini. Semuanya juga kerana Hilmi.
                “Hello, assalamualaikum Lia. Awak dah tidur ke?”suara Hilmi menyapa gegendang telinga.
                “Waalaikumussalam.”salamnya kujawab dengan nada bersahaja, padahal di sekeliling aku sudah terbang dua tiga ekor rama-rama cantik yang datang entah dari mana, suasana dalam bilik aku juga tiba-tiba menjadi berbunga-bunga. Ok, mungkin kedengaran agak melampau tapi itulah gambaran yang dapat aku beri untuk melambangkan kalau aku bahagia bila dapat mendengar suara Hilmi.
                “Awak serius ke bila awak kata nak jadi pengapit masa saya kahwin nanti Lia? Sebab kalau awak setuju saya nak minta tolong awak. Kebetuan pengapit sebelah perempuan tarik diri pulak dah last-last minit.” Ringkas, padat dan mengikut skema soalan yang tepat. Ayat Hilmi benar-benar buat aku kembali ke alam nyata. Habis mati rama-rama yang terbang tadi dan bunga-bunya indah yang baru ada turut lenyap.
                “Ok, tak ada masalah. InsyaAllah saya akan tolong.”bibirku lebih laju bergerak daripada otak. Tanganku secara refleks menepuk dahi. Maaf, saya takkan datang masa awak kahwin, saya tak sanggup tengok awak jadi milik orang lain Hilmi. Nah, sepatutnya itu jawapan yang otakku harus beri tetapi entah macam mana mulut gatal ini terlebih dulu memberi jawapan. Jawapan cari penyakit orang kata.
                “Terima kasih, awak memang yang terbaik Lia.”kata-kata Hilmi kedengaran ikhlas, dan kerana kata-kata ikhlas yang sama semenjak sepuluh tahun dululah aku jadi begini. Satu-satunya watak lelaki asing yang pernah ada dalam hidup aku hanyalah Hilmi. Ya, aku mungkin yang terbaik Hilmi, tapi belum cukup layak untuk jadi pendamping kau. Hati aku jadi sayu.
                Dan kerana janji gila yang kubuat semalam itulah aku tercongok di hadapan Butik Pengantin Citra ini. Pada Fisha aku katakan kalau aku keluar berjumpa kawan. Mujur Fisha tak banyak tanya walau keningnya sudah terangkat-angkat gaya Ziana Zain, hairan agaknya. Biarlah Fisha, tak berani aku khabarkan kalau aku keluar berjumpa Hilmi, bimbang diamuknya aku dengan lesung batu di rumah. Sudahlah aku beria-ia menangis pada Fisha mengatakan kalau aku takkan ambil peduli tentang Hilmi lagi, alih-alih aku pula yang bersetuju jadi pengapit pada bakal isterinya.
                “Lia..”suara Hilmi dari seberang jalan menarik perhatianku. Pandangan kualih ke arahnya dan jelas dia sedang melambai ke arah aku sambil menyeberang jalan.
                “Dah lama sampai?”dia bertanya sebaik tubuhnya dekat denganku. Aku hanya senyum, itu memang kebiasaanku, dengan Hilmi aku tak banyak bercakap tapi aku lebih banyak tersenyum. Ya, dengannya aku selalu hilang kata.
                “Sorang jer?mana bakal isteri?”air liur yang ditelan terasa agak kesat saat pertanyaan itu aku ajukan pada Hilmi. Ingin juga aku melihat wajah wanita pilihan Hilmi namun melihat dia hanya sendirian, mulut gatalku terus bertanya.
                “In ada hal, jadi kita berdua sajalah yang ada untuk test baju hari ni.”Oh, jadi nama manja bakal isteri Hilmi ialah In, Nurin Aina, mendengar pada sebaris nama itu sahaja orang sudah dapat mengagak kalau tuan punya badannya pasti seorang yang sempurna.
                Masa-masa yang aku habiskan di dalam butik pengantin adalah masa-masa yang sangat menyedihkan. Sepanjang dua jam di situ, aku hanya menjadi burung belatuk, kerjanya hanya mengangguk, ditanya itu aku angguk, dikata ini aku angguk  sampai kakak pembantu kedai melawak memanggil aku burung belatuk juga aku angguk. Hilmi yang segak memakai baju pengantin rona biru turquoise aku pandang sayu. Hai Hilmi, kalaulah kau tahu apa yang ada dalam hati seorang Adelia….
                Dalam pada mata sibuk menilik anak teruna orang, bahuku terasa dilanggar dengan kasar. Tubuhku sedikit terdorong ke hadapan namun mujur sempat kutahan pada kerusi, kalau tidak memang bedebuklah aku jatuh seperti nangka busuk.
                Makhluk yang melanggar aku kupandang sekilas. Tubuhnya membongkok di lantai, mengutip barang-barangnya yang turut jatuh saat berlaku perlanggaran sebentar tadi. Meski lenganku merasa sedikit sakit, tetap aku gagahi juga untuk tunduk membantu lelaki itu mengutip barangnya yang sudah bertaburan.
                “Maaf, saya tak perasan pulak kalau saya halang laluan awak tadi.”laju saja aku meminta maaf meski kalau nak dikira salah, dialah yang sepatutnya meminta maaf kerana melanggar aku tapi apa boleh buat, bak kata Fisha, aku memang terlebih genetik baik dalam tubuh badan agaknya, orang lain yang buat salah, aku pula yang akan meminta maaf dan kalau orang meminta tolong jarang sekali aku berkata tidak.
                Diam. Lelaki di hadapanku hanya membisu. Aku pandang ke hadapan, cuba mencari wajah lelaki berbaju merah ini namun topi Adidas yang melekap di kepala melindungi wajahnya dari pandanganku. Kamera di lantai aku ambil dan aku dapat melihat lensanya sudah pecah, barangkali akibat terjatuh. Lelaki itu hanya mendengus tanda marah saat aku memegang kameranya lalu tangannya laju merampas kamera itu dari tangan aku.
                Ambiklah…ambiklah, aku tak mau pun kamera kau tu. Hatiku jengkel dengan perlakuan lelaki muka terlindung ini. Macamlah aku nak sangat pegang kamera kau. Saat tangannya merentap kamera dari tangan, jelas dapat kulihat wajah di sebalik topi hitam itu sebaik dia mengangkat wajah. Ya, Allah, selekehnya memang tak perlulah nak kata. Mengalahkan kebun pisang emak aku yang bersemak samun, mujurlah sepasang mata coklatnya itu mampu menyelamatkan keadaan wajahnya yang sedikit menyesakkan nafas. Misai dan jangut tumbuh meliar dan kelihatan tidak teratur. Dan saat mata itu singgah ke wajah aku, matanya kulihat bercahaya. Sumpah aku tidak pernah melihat mata yang sebegini bercahaya. Kalau Fisha beria-ia meminum Inner Shine berry untuk mata, barangkali lelaki ini menelan dengan botol-botolnya sekali untuk mendapat mata seperti ini.
                “Lia ok?”suara cemas Hilmi mengejutkan aku dari terus memandang lelaki bermuka semak-samun di hadapanku ini. Aku bingkas bangun, tak ingin lama-lama ditenung oleh mata cantik di hadapanku.
                “Are you ok?”Hilmi tunduk lalu bertanya pada si semak-samun yang nampaknya masih lagi khusyuk memeriksa lensa kameranya yang pecah. Tanpa sepatah kata, lelaki itu melangkah laju meninggalkan aku dan Hilmi yang terpinga-pinga. Kurang ajar betul, kalau dekat kampung, sudah lama aku baling kepalanya dengan penyapu lidi emak. Hilmi di sebelah hanya tersenyum sambil menjungkitkan bahu. Hailah hati, macam manalah aku tak terpikat.
*****
                “Kau nikan, ish tak paham aku, geram tau tak. Apelah yang ada dalam kepala otak kau tu Lia.” seperti yang aku jangka, malam itu Fisha mengamuk sakan. Dari petang tadi lagi sahabatku itu sudah tunjuk muka kelat terlebih makan asam semenjak dia ternampak kelibat Hilmi menghantar aku pulang.
                Dan aku? Aku hanya mampu tunduk memandang lantai.  Malas aku mahu bertikam lidah dengan Fisha, lagipun apa yang dibebelkan temanku itu memang benar. Entahlah Sha, kalau kau tak faham dengan hati aku, aku takkan marah sebab aku sendiri pun tak dapat faham apa yang ada dalam hati ni. Hati aku bermonolog sendirian, nak meluahkan pada Fisha? Memang cari nahaslah jawabnya. Jadi, lebih baik aku diam.
                “Kau jumpa bakal bini dia?”suara Fisha mulai mengendur.  Aku hanya menggeleng.
                “Hilmi macam mana?”
                “Macam mana apa?”aku soal balik. Tidak faham dengan isi soalan cikgu Bahasa Inggeris di hadapanku ini.
                “Yelah, maksud aku layanan dia dekat engkau la Lia.”Fisha mula buat muka nak marah balik.
                “Ok jer dia layan aku, macam biasa. Baik, macam selalu.”aku menjawab jujur. Sama saja layanan yang kuterima dari Hilmi, tidak ada yang berkurang atau terlebih.
                “Hai, aku bukan nak marah kau Lia, tapi aku tak mau kau sakit nanti. Kau sahabat aku paling baik, dan aku tak nak kau rasa apa yang pernah aku rasa Lia. It hurts…..”suara  Fisha mulai mengendur dan ada nada sebak di akhir bicaranya.
                “Dahlah tu Sha, aku okay kan.”aduh, apabila Fisha sudah masuk ke dalam mood-mood Winter Sonata sedih, aku akan jadi kaku. Sungguh aku memang tak pandai dalam bab pujuk- memujuk. Belakang tubuh Fisha aku usap perlahan-perlahan.
                “Lia, dengan orang kau boleh tipu, tapi kat sini, kau takkan boleh tipu.”jari telunjuknya menunding ke arah dadaku, aku faham maksud Fisha, hati ini memang takkan dapat ditipu.
                “Setiap hari sakitnya sama Lia….”
                “Sudahlah……..”
                “Aku masih tak boleh tipu hati aku Lia, aku rindukan Sam…….”dan kini air mataku pula yang tumpah. Dalam hati aku mengutuk diri sendiri, kalaulah aku tak memandai mengheret Fisha dalam masalah hati dan perasaanku, pasti temanku ini takkan mengungkit kisah Sam lagi.
                “I miss him so… so much Lia”
                “Dahlah, aku tahu…”tubuh kurus Fisha kupeluk erat. Kalau kau tak bagitahu pun aku tahu Sha sebab sejak empat tahun yang lepas, Fisha di hadapanku bukan lagi Fisha yang kukenal dahulu. Sam, ya, semuanya kerana lelaki itu.

Saturday, 11 June 2011

ini ada satu cerita.......

semenjak dua menjak ni Malaysia agak panas. berbahang, jadi sekali sekala angin bertiup, nikmatnya Allah saja yang tahu. dalam pada aku menikmati kurniaan Allah petang tadi, ingatan aku melayang pada satu cerita, cerita yang aku sendiri reka sebagai halwa telinga adik2 tercinta tapi cukup menyentuh hati mereka...............

di atas sebuah negeri asing, jauh dari dari manusia, nun jauh di atas kepulan-kepulan awan di langit, tinggal seorang puteri jelita. hidupnya amat sempurna, dikelilingi dayang-dayang dan juga kehidupannya seharian hanya bermain-main di dalam taman kayangan. namun, jauh di sudut hati puteri, dia kesunyian.

setiap hari, setelah jemu bermain, puteri akan merenung ke bawah, dia akan melihat pada dunia dan meneliti kehidupan manusia. satu hari, puteri terpandang seorang lelaki bersandar pada pangkal sebatang pokok besar. parasnya elok meski pakaiannya sederhana, dan apa yang menarik perhatiannya adalah seruling di tangan laki-laki tersebut dan apabila dia meniup seruling itu, puteri merasa bahagia, sehingga dia menari kegembiraan.

masa terus berlalu, hari demi hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, setiap kali angin bertiup, pasti puteri dapat mendengar tiupan seruling lelaki di perdu pohon besar itu sehingga suatu hari, suara seruling itu lenyap. meski angin tidak henti-henti bertiup namun suara itu tetap tidak kedengaran. tarian puteri juga terhenti sebagaimana hatinya yang berhenti dari merasa bahagia.

Akhirnya, puteri nekad, dia harus turun ke dunia, lelaki di perdu pohon besar yang sudah berhenti meniup seruling itu harus dicari. kebahagian puteri harus dikembalikan meski dia tahu kalau turunnya ke bumi bermakna dia tidak akan kembali ke sini lagi.

setelah turun ke bumi, puteri berjalan tanpa henti sehinggalah sampai ke perdu pohon besar  tempat lelaki itu selalu ada namun puteri hampa keranan lelaki itu tiada di disitu, yang tinggal hanya perdu pohon yang bisu dengan seruling yang kaku. puteri tetap tidak berputus asa,seruling dikutpi dan dia terus berjalan dan berjalan.........

sehinggalah tiba di sebuah kampung yang sedang meraikan satu pesta, dalam keriuhan orang ramai, dia dapat melihat lelaki peniup seruling yang dicarinya selama ini. tapi hari ini pakaian laki-laki itu elok sekali dan tidak lagi compang-camping seperti biasa.

puteri merasa gembira dan bahagia, namun senyumannya mati sebaik saja dia melihat kalau lelaki itu sedang bersanding dengan seseorang. ternyata puteri terlambat, dia datang saat lelaki itu sudah menikah.

dengan hati hampa, dia melangkah ke perdu pohon besar itu semula, guruh dan kilat sabung-menyabung di dada langit petanda hujan akan turun. puteri menangis di perdu pohon. menurut dayang-dayang istana, sesiapa yang turun ke bumi mencari cinta, sekiranya berjumpa dengan pasangannya dan hidup bahagia, maka dia akan kekal menjadi manusia namun jika gagal dia akan disumpah menjadi sesuatu.........

dan mulai hari itu, puteri kekal menjadi sebatang pohon kerana cintanya yang tidak kesampaian pada si lelaki. dan setiap kali pohon itu bergoyang ditiup angin, itu adalah sang puteri yang sedang menari kerana mendengar tiupan seruling...........................

usai aku ceritakan kisah ini pada adik dan sepupuku, si kecil sepupuku kelihatan sedih sambil mulutnya mengomel sendirian, "Puteri tak mau jadi pokok!" kerana sepupuku itu juga bernama puteri....heheheeeeee
Antara cinta dan jodoh,mana yang lebih baik? Jodoh tanpa cinta atau cinta tanpa jodoh? Kalau benar cinta itu membahagiakan, mengapa mesti ada yang terluka dan andai benar pula cinta itu menyakitkan, mengapa tetap ada yang bahagia?

Thursday, 9 June 2011

senyum pada matahari!!!!

hati manusia belum cukup luas untuk disempitkan dengan sebuah kebencian. aku hanya manusia biasa yang punya dua telapak tangan dengan sepuluh jari namun aku punya keinginan untuk menggenggam matahari....dan sebagai permulaannya biarlah aku menyentuh hati-hati di luar sana melalui ketukan jari-jemari di dada laptop!!!!