Sunday, 15 March 2015

Seseorang seperti dia 60

    Kami tiba di perkarangan sebuah banglo putih di pinggir kawasan Bukit Antarabangsa tepat jam 8.30 pagi. Aku cuma mengikut langkah Fisha yang sibuk mengarahkan para pelajar agar turun dan berhimpun di hadapan khemah putih di hadapan banglo tersebut.

   "Lia....yang kau ternganga kat sana tu kenapa...Cepatlah sikit..."Fisha memanggil namaku kuat.

   Aku yang tadinya terkedu mempercepatkan langkah ke arah Fisha dan murid-murid kami yang seramai 20 orang itu. Suasana masih pagi namun jelas kelihatan wajah Fisha sedikit berkerut dek panahan panas pagi memandangkan matahari sudah segalah tingginya.

   Aku yang hanya menjadi pengiring 'bidan terjun' cuma mengikut sahaja arahan Fisha. Kagum juga aku melihat temanku ini memberi arahan kepada pelajar-pelajar kelab fotografi ini. Hilang sebentar sifat manjanya sebelum ini.

   Kehadiran kami disambut ramah oleh seorang wanita berbangsa Cina yang kukira berusia lewat 30-an. Dia yang santai berseluar jeans putih dan t-shirt putih itu tersenyum lalu menghulurkan tangannya kepada aku dan Fisha.

   "Saya Aishah...kita ada berbual di telefon semalam kan Cikgu Fisha"wanita itu tersenyum manis lalu tangannya menyalam tangan Fisha.

   Oh, Melayu rupanya. Hatiku terdetik sendiri. Aku cuma tersenyum mendengar perbualan antara Fisha dan Aishah saat itu. Melalui perbualan mereka dapat kuteka kalau banglo dua tingkat ini bukanlah setakat menempatkan sebuah kedai gambar tetapi ianya sebenarnya menjadi ibu pejabat kepada sebuah syarikat fotografi dan grafik yang agak terkenal di kalangan jurufoto di Malaysia.

    "Sayang bos saya outstation...Kalau tak lagi seronok dengar dia bercerita dengan student Cikgu pasal fotografi"usai dia bersuara kami semua dibawa masuk ke ruang utama banglo untuk mendengar penerangan ringkas.

   Setelah mendengar serba sedikit penerangan dari Aishah, setiap dari kami diberi sekeping kad. Aku membuka kad berbentuk banglo itu perperlahan-lahan dan hatiku digeletek rasa kagum kerana kad berbentuk 3D itu merupakan brosur yang mengandungi penerangan mengenai ruang-ruang di dalam banglo kolonial yang sudah diubah suai menjadi sebuah syarikat dan studio fotografi. Kreatif!

   Saat kami bergerak menaiki tangga untuk ke studio umum yang terletak di tingkap atas banglo, kami terserempak dengan seorang lelaki berambut kerinting lalu senyuman kulemparkan kepadanya. Barangkali dia merupakan salah seorang jurufoto di sini.

   Dalam hatiku terdetik rasa tanda tanya kerana aku merasakan kalau aku pernah melihat lelaki itu, namun tidak pula aku ingati di mana mahupun bagaimana. Melihatkan dia yang laju sahaja menuruni anak tangga tanpa menghiraukan aku, aku terus memanjat anak tangga tanpa memikirkan siapa lelaki itu.

    Kami tiba di sebuah bilik besar berlatar belakangkan warna putih lalu Aishah memberi sedikit penerangan kepada para pelajar. Usai memberi penerangan, para pelajar diberi peluang untuk merasa pengalaman menjadi jurufoto di dalam studio. Mereka dibantu oleh dua orang lelaki bert-sbert-shirt hitam dengan tulisan "Tali Emas Studio" yang merupakan nama syarikat fotografi dan grafik ini.

   Saat pelajar-pelajar kami sedang khusyuk mengambil peluang keemasan menggunakan kamera serta peralatan studio, aku dan Fisha cuma mengawasi keterujaan mereka sambil tersenyum. Ah, indahnya masa meniti remaja sambil mencuba benda baru.

   "Muka Cik Alia macam familiar"Aishah yang merapati aku dan Fisha menegurku ramah.

   "Familiar?"aku yang agak terkejut disapa begitu cuma tersenyum.

   "Aah la...macam pernah tengok"bersungguh-sungguh pula Aishah kali ini.

   "Ye ke...nak kata pernah masuk tv, takde pulak"aku menepis telahannya sambil berjenaka.

    Fisha yang masih setia di sisi aku pula tidak mengendahkan perbualan kami. Matanya kulihat masih lagi setia mengawasi para pelajar.

   "Saya sungguh-sungguh ni Cik Alia...memang saya tak salah orang"berkerut-kerut dahi licinnya seakan cuba mengingat sesuatu. Malas pula rasanya untuk aku betulkan kesilapan dia menyebut namaku.

   Aku sudah tidak selesa. Ah, barangkali cuma pelanduk dua serupa. Sememangnya ada juga beberapa orang pernah menegur aku kalau wajah aku ini mengingatkan aku pada seseorang. Adik kepada kawanlah, jiranlah, senior universitilah dan yang paling sadis ialah wajah aku pernah dikatakan menyamai seorang penjual mee gulung di Ipoh oleh seorang teman semasa di universiti.

    "Ya Allah...memanglah pernah tengok. Pernah tengok gambar rupanya."Aishah menepuk dahinya perlahan.

   "Macam manalah saya boleh tak perasan kalau muka Cikgu Alia sama macam tunang bos kitorang"

    Fisha memusingkan wajahnya ke arah kami serta-serta-merta.

   Hatiku berdegup laju. Sungguh, aku tidak selesa. Kebetulan agaknya. Tidak mungkin pula bos mereka ialah Shahril, dan tidak mungkin juga kalau mereka ini...Ah, rileks Adelia, ini bukan cerita novel...

    "Pelanduk dua serupa ni...."aku bersuara balas. Degupan di hati cuba untuk aku kawal meski dadaku berkocak laju.

    "Ajid...sini jap"Aishah menggawangkan tangannya ke arah seseorang yang kukira membelakangi pandanganku.

    "Apa dia Kak Chah?"suara seorang lelaki menyapa telinga aku dan aku memalingkan wajah ke arahnya untuk melihat siapakah gerangan lelaki bernama Ajid itu.

    Dah Ajid ini ternyata adalah lelaki berambut kerinting yang baru sahaja berselisih denganku di tangga sebentar tadi. Perasaanku menjadi tidak enak. Pelbagai pemikiran dan persoalan yang bermula dengan perkataan 'kalau' datang menerjah mindaku bertubi-tubi. Saat ini tidak berani rasanya untuk aku melemparkan pandang ke arah wajah Fisha.

     "Cikgu ni....muka dia...macam dalam gambar tunang bos la Ajid. Betul tak?"

     "La Kak Chah, bukan macam lagi dah. Memang orangnya pun."suara lelaki itu kedengaran yakin.

    "Ish...merepeklah...mana ada...salah orang ni...."peluh dingin sudah memercik di dahiku.

    Sudah. Apa yang harus aku katakan. Setakat ini, aku belum punya kesempatan mahupun keberanian untuk menerangkan perihal pertunangan 'segera' aku kepada Fisha, satu-satu-satunya teman baikku. Pastinya Fisha akan berkecil hati kerana aku merahsiakan perkara sebesar ini padanya.

     "Apa pulak salah orang. Kan saya yang jadi photographer  masa tu."

     Nah! Patutlah wajah lelaki ini seperti pernah kulihat. Rupa-rupanya dia antara salah seorang jurufoto yang diupah semasa kenduri Wardah dan pertunangan aku. Dia inilah yang kulihat mengusung kamera sebesar ketul bata ke hulu dan ke hilir saat itu!

    "Lagipun orang cantik macam ni...mana boleh saya lupa"dia menambah sambil tersenyum ramah.

    "Siapa nama bos you all"Fisha bersuara tiba-tiba.

    Meski aku sedikitpun tidak memandang wajah Fisha, namun dapart kukesan sedikit getaran pada suara itu.

   "Muhammad Shahril bin Zainal. Kami panggil Shahril aje"Ajid bersuara ramah.

    Meski perlahan namun jelas kudengar keluhan kecil dari Fisha.

    "Muhammad Shahril...."Fisha ulang menyebut sebaris nama itu dengan perlahan lalu mata kami bertemu apabila aku memberanikan diri untuk memandang wajahnya.

    "Eh sekejap eh"Ajid tunduk lalu beg yang sedari tadi digalas di bahu kiri diletakkan ke lantai. Sebiji kamera hitam dikeluarkan lalu jemarinya laju menekan skrin kamera seolah-seolah-olah cuba mencari sesuatu.

    "Ah...ada pun...semua gambar dah padam sebab dah transfer masuk CD. Tinggal yang ni sekeping je tak padam. Abang Shahril cakap jangan padam sekeping ni. Dia sayang...."usai itu juga dia menunjukkan skrin kamera kepada aku dan Fisha.

    Saat ini, mana mungkin lagi untuk aku berdolak-dalik apatah lagi menafikan. Begitu jelas sekali di hadapan mataku gambar Shahril yang berada di sebelahku sedang tersenyum ke arahku yang sedang tunduk memandang cincin di jari.

    "Sha...aku..."suaraku terasa tersekat di kerongkong. Terlalu banyak yang ingin kuluahkan serentak namun tiada sepatahpun yang terluah. Lidahku kelu. Aku kaku.

    Tanpa memandang ke arah aku, Fisha terus memalingkan tubuhnya lalu dia bergerak laju keluar dari studio putih itu. Satu saat, dua saat, tiga saat....bagaikan orang dungu...aku seakan baru tersedar melihat temanku itu beredar pergi lalu aku menyusun langkah laju untuk mencari sosok tubuh yang sudah hilang dari pandangan.

    "Sha...tunggu...."aku menjerit kuat sambil menuruni anak tangga.

     "Sha...please...jangan macam ni"aku melajukan langkah apabila Fisha kulihat tidak mengendahkan panggilan aku.

     Mujur sahaja aku tidak tersadung kakiku saat aku memijak anak tangga yang terakhir.

     "Sha....please....tolong bagi aku explain..."Fisha masih diam. Kalau adapun, cuma langkah kakinya sahaja yang semakin laju.

     "Sha.....bagi aku 5 minit ja...aku boleh jelaskan semua...aku takda pilihan Sha....aku terpaksa....aku......."

    Dah lidahku kelu apabila Fisha berhenti lalu tubuhnya dipaling menghadap aku.

     "5 minute...explain..."keras kedengaran suara temanku ini.

    "Ok...masa tu few months back...aku balik kampung..Raphael datang ajak kahwin...aku....aku tak sengaja cakap aku dah ada someone....sebab aku nak tolak Raf...tak sangka aku jumpa Shahril...kat situ...aku tak sengaja...ayah aku salah faham...kami tunang...tapi....."

     "Few months back?"

     "Yes....and aku memang plan nak"

     "Nak apa?...Kalau tak kantoi...agaknya sampai kau kahwinpun belum tentu aku tau....."

    "Tak Sha..."

    "Aku ngat kau kawan aku..kawan baik....yang paling baik....."ada titis air mata yang jatuh saat Fisha menyebut perkataan 'kawan baik'.

     "Sha....."aku terus memanggil nama Fisha saat temanku itu terus berpaling lalu bergelak laju ke arah jalan besar.

     Dan perkara terakhir yang aku ingati adalah bunyi seretan tayar panjang diikuti dengan dentuman kuat dan tubuh Fisha yang kaku di situ......

No comments:

Post a Comment