Monday 23 March 2015

Seseorang Seperti Dia 61

     Aku duduk berteleku berhadapan unit rawatan rapi (ICU) di HKL sejak dari pagi tadi. Tubuhku bagaikan sudah digam di kerusi oren ini dan terasa seperti susah untuk aku bergerak. Daya upayaku telah hilang.

    Telefon bimbit Fisha di tangan aku gengam erat. Mujurlah password yang digunakan masih sama.

    "Saya harap Cik Adelia dapat hubungi keluarga terdekat pesakit"masih terngiang suara tegas doktor berbangsa Cina dengan tanda nama "Daniel Chow" tersemat di kot putih bersih itu.

    Aku tunduk menekur lantai. Fisha anak yatim piatu. Mana mungkin kutemukan keluarganya. Kalau adapun Fisha pernah bercerita tentang adik kepada ayahnya yang sudah menetap di luar negara semenjak berkahwin dengan seorang warganegara asing beberapa tahun lepas. Namun tidak pula aku temukan
mana-mana nombor dengan nama mak ciknya itu di dalam senarai nama untuk aku hubungi.

    Aku sudah menghubungi Ilham dan pastinya lelaki itu sedang bergegas pulang dari Australia. Jam di tangan aku kerling. Sudah menginjak ke pukul 7.30. Waktu melawat sudah tamat. Kali terakhir tadi Fisha masih lagi kaku. Kata doktor Daniel, dia masih koma akibat trauma hentakan di kepala.

    Melihat Fisha koma tidak bergerak bukanlah kali pertama kualami. Cuma kali ini aku lebih risau kerana doktor Daniel acapkali menyuruhku menghubungi keluarga terdekat Fisha.

    Beberapa tahun lalu, aku pernah melihat Fisha jatuh. Dia jatuh sehingga tega untuk meragut nyawanya sendiri.

    "Mak ayah aku da mati. So next time, apa-apa jadi kau cakap ja aku dah tak ada keluarga..."terngiang kembali perbualan kami beberapa tahun lalu saat Fisha sudah kembali sihat.

    "Sha....jangan cakap macam tu..kau kan ada aku"

    Kulihat wajahnya berpaling melihat aku sambil matanya sedikit berkaca.

    "Kau tak marah aku?"suaranya sebak.

    "Marah?  Sebab apa?"

    "Sebab aku cuba nak bunuh diri"

    "Ish...dahla....jangan cakap pasal tu"tangannya aku pegang.

    "Betul kau sanggup kawan dengan aku Lia?"

    Aku cuma mengangguk.

    "Betul kau takkan judge aku?"

    Aku angguk lagi.

    Tanpa sedar Fisha mendekat lalu memeluk tubuhku erat. Aku cuma membalas pelukan tersebut sambil mengesat mataku yang semakin berair.

    "Janji dengan aku"Fisha kembali tersenyum.

    "Janji dengan aku...kalau kau nak kahwin...bagitau aku awal-awal, sebab aku nak ready untuk lepaskan kawan sebaik kau"aku ketawa kuat. Kahwin,ah entah ia entah tidak aku akan berkahwin sebelum Fisha.

   "Janji la Lia...jangan sembunyi-sembunyi....aku nak ready...macam mana aku ready untuk hilang Sam dulu...."

     Dan kami terus berpelukan dan kali ini aku ikut sama menangis di dalam dakapan temanku ini.

     Suara seorang lelaki berdehem di sebelah mengejutkan aku yang sudah hilang dalam lamunan masa silam. Aku lihat Shahril sedang duduk bersebelahan aku.

    Dia memandang aku sambil tersenyum. Di tangannya ada segenggam plastik berisi polisterin putih.

    Mulanya aku ingin bertanya bagaimana dia mengetahui aku di sini sedangkan aku tidak pula menghubungi dia mengenai hal ini. Namun persoalan itu aku biarkan mati sendiri. Pastinya dia mendapat berita ini daripada Ilham.

    "Fisha kat dalam lagi?"dia seakan berhati-hati untuk memulakan bicara.

    "Aah...belum sedar"

    "Ilham maybe lambat. Flight delay"Shahril bersuara lagi dan kali ini cuma anggukan sahaja menjadi balasan dariku.

    Dan kami berdua terus diam. Meski aku sudah lama tidak bersua dengan Shahril,namun tumpuanku saat ini cumalah Fisha.

     "Aku belikan makanan. Jom makan"dia memecah kesunyian di antara kami.

    "Saya tak lapar"

    "Jomlah makan, aku tau kau tak makan dari tadi kan"dia masih mencuba.

    Aku menggeleng laju.

    "Kalau tak nak makan, aku hantar kau balik jom"

    "It's ok, saya tidur sini"

    "Tidur sini...mengarutlah Tik. Sini bukan macam private hospital. Mana ada tempat nak tidur. Dahla jom..aku hantar balik"

    "Ish...awak nak balik...baliklah...biar saya tunggu di sini..."aku sudah ingin naik angin.

    Telefon bimbit yang berbunyi kuangkat lalu aku bergerak menjauhi Shahril. Panggilan itu dari Ilham kerana dia ingin memaklumkan kalau pesawatnya sudah mendarat di Klia.

    "Jomlah Tik...aku hantar balik"entah kenapa aku menjadi geram dan marah tiba-tiba.

    "Ee...awak ni tak faham ke...saya cakap saya nak stay sini...Fisha kawan saya, saya nak tunggu kawan saya"

    Serentak itu juga aku berpaling agak laju dan tanpa aku sedar Shahril sedang berdiri betul-betul di belakang aku dan pastinya aku tertepis makanan di tangannya lalu kulihat pokisterin berisi nasi goreng itu jatuh dan nasi berselerakan di atas lantai.

    Tanpa banyak bicara, dia tunduk mengutip nasi di lantai. Aku diam terkaku. Sungguh, aku tidak sengaja.

    "Awak...saya..."aku kehilangan kata-kata.

    "Its ok...call aku kalau kau perlukan apa-apa"dan serentak itu dia berlalu pergi.


Sunday 15 March 2015

Seseorang seperti dia 60

    Kami tiba di perkarangan sebuah banglo putih di pinggir kawasan Bukit Antarabangsa tepat jam 8.30 pagi. Aku cuma mengikut langkah Fisha yang sibuk mengarahkan para pelajar agar turun dan berhimpun di hadapan khemah putih di hadapan banglo tersebut.

   "Lia....yang kau ternganga kat sana tu kenapa...Cepatlah sikit..."Fisha memanggil namaku kuat.

   Aku yang tadinya terkedu mempercepatkan langkah ke arah Fisha dan murid-murid kami yang seramai 20 orang itu. Suasana masih pagi namun jelas kelihatan wajah Fisha sedikit berkerut dek panahan panas pagi memandangkan matahari sudah segalah tingginya.

   Aku yang hanya menjadi pengiring 'bidan terjun' cuma mengikut sahaja arahan Fisha. Kagum juga aku melihat temanku ini memberi arahan kepada pelajar-pelajar kelab fotografi ini. Hilang sebentar sifat manjanya sebelum ini.

   Kehadiran kami disambut ramah oleh seorang wanita berbangsa Cina yang kukira berusia lewat 30-an. Dia yang santai berseluar jeans putih dan t-shirt putih itu tersenyum lalu menghulurkan tangannya kepada aku dan Fisha.

   "Saya Aishah...kita ada berbual di telefon semalam kan Cikgu Fisha"wanita itu tersenyum manis lalu tangannya menyalam tangan Fisha.

   Oh, Melayu rupanya. Hatiku terdetik sendiri. Aku cuma tersenyum mendengar perbualan antara Fisha dan Aishah saat itu. Melalui perbualan mereka dapat kuteka kalau banglo dua tingkat ini bukanlah setakat menempatkan sebuah kedai gambar tetapi ianya sebenarnya menjadi ibu pejabat kepada sebuah syarikat fotografi dan grafik yang agak terkenal di kalangan jurufoto di Malaysia.

    "Sayang bos saya outstation...Kalau tak lagi seronok dengar dia bercerita dengan student Cikgu pasal fotografi"usai dia bersuara kami semua dibawa masuk ke ruang utama banglo untuk mendengar penerangan ringkas.

   Setelah mendengar serba sedikit penerangan dari Aishah, setiap dari kami diberi sekeping kad. Aku membuka kad berbentuk banglo itu perperlahan-lahan dan hatiku digeletek rasa kagum kerana kad berbentuk 3D itu merupakan brosur yang mengandungi penerangan mengenai ruang-ruang di dalam banglo kolonial yang sudah diubah suai menjadi sebuah syarikat dan studio fotografi. Kreatif!

   Saat kami bergerak menaiki tangga untuk ke studio umum yang terletak di tingkap atas banglo, kami terserempak dengan seorang lelaki berambut kerinting lalu senyuman kulemparkan kepadanya. Barangkali dia merupakan salah seorang jurufoto di sini.

   Dalam hatiku terdetik rasa tanda tanya kerana aku merasakan kalau aku pernah melihat lelaki itu, namun tidak pula aku ingati di mana mahupun bagaimana. Melihatkan dia yang laju sahaja menuruni anak tangga tanpa menghiraukan aku, aku terus memanjat anak tangga tanpa memikirkan siapa lelaki itu.

    Kami tiba di sebuah bilik besar berlatar belakangkan warna putih lalu Aishah memberi sedikit penerangan kepada para pelajar. Usai memberi penerangan, para pelajar diberi peluang untuk merasa pengalaman menjadi jurufoto di dalam studio. Mereka dibantu oleh dua orang lelaki bert-sbert-shirt hitam dengan tulisan "Tali Emas Studio" yang merupakan nama syarikat fotografi dan grafik ini.

   Saat pelajar-pelajar kami sedang khusyuk mengambil peluang keemasan menggunakan kamera serta peralatan studio, aku dan Fisha cuma mengawasi keterujaan mereka sambil tersenyum. Ah, indahnya masa meniti remaja sambil mencuba benda baru.

   "Muka Cik Alia macam familiar"Aishah yang merapati aku dan Fisha menegurku ramah.

   "Familiar?"aku yang agak terkejut disapa begitu cuma tersenyum.

   "Aah la...macam pernah tengok"bersungguh-sungguh pula Aishah kali ini.

   "Ye ke...nak kata pernah masuk tv, takde pulak"aku menepis telahannya sambil berjenaka.

    Fisha yang masih setia di sisi aku pula tidak mengendahkan perbualan kami. Matanya kulihat masih lagi setia mengawasi para pelajar.

   "Saya sungguh-sungguh ni Cik Alia...memang saya tak salah orang"berkerut-kerut dahi licinnya seakan cuba mengingat sesuatu. Malas pula rasanya untuk aku betulkan kesilapan dia menyebut namaku.

   Aku sudah tidak selesa. Ah, barangkali cuma pelanduk dua serupa. Sememangnya ada juga beberapa orang pernah menegur aku kalau wajah aku ini mengingatkan aku pada seseorang. Adik kepada kawanlah, jiranlah, senior universitilah dan yang paling sadis ialah wajah aku pernah dikatakan menyamai seorang penjual mee gulung di Ipoh oleh seorang teman semasa di universiti.

    "Ya Allah...memanglah pernah tengok. Pernah tengok gambar rupanya."Aishah menepuk dahinya perlahan.

   "Macam manalah saya boleh tak perasan kalau muka Cikgu Alia sama macam tunang bos kitorang"

    Fisha memusingkan wajahnya ke arah kami serta-serta-merta.

   Hatiku berdegup laju. Sungguh, aku tidak selesa. Kebetulan agaknya. Tidak mungkin pula bos mereka ialah Shahril, dan tidak mungkin juga kalau mereka ini...Ah, rileks Adelia, ini bukan cerita novel...

    "Pelanduk dua serupa ni...."aku bersuara balas. Degupan di hati cuba untuk aku kawal meski dadaku berkocak laju.

    "Ajid...sini jap"Aishah menggawangkan tangannya ke arah seseorang yang kukira membelakangi pandanganku.

    "Apa dia Kak Chah?"suara seorang lelaki menyapa telinga aku dan aku memalingkan wajah ke arahnya untuk melihat siapakah gerangan lelaki bernama Ajid itu.

    Dah Ajid ini ternyata adalah lelaki berambut kerinting yang baru sahaja berselisih denganku di tangga sebentar tadi. Perasaanku menjadi tidak enak. Pelbagai pemikiran dan persoalan yang bermula dengan perkataan 'kalau' datang menerjah mindaku bertubi-tubi. Saat ini tidak berani rasanya untuk aku melemparkan pandang ke arah wajah Fisha.

     "Cikgu ni....muka dia...macam dalam gambar tunang bos la Ajid. Betul tak?"

     "La Kak Chah, bukan macam lagi dah. Memang orangnya pun."suara lelaki itu kedengaran yakin.

    "Ish...merepeklah...mana ada...salah orang ni...."peluh dingin sudah memercik di dahiku.

    Sudah. Apa yang harus aku katakan. Setakat ini, aku belum punya kesempatan mahupun keberanian untuk menerangkan perihal pertunangan 'segera' aku kepada Fisha, satu-satu-satunya teman baikku. Pastinya Fisha akan berkecil hati kerana aku merahsiakan perkara sebesar ini padanya.

     "Apa pulak salah orang. Kan saya yang jadi photographer  masa tu."

     Nah! Patutlah wajah lelaki ini seperti pernah kulihat. Rupa-rupanya dia antara salah seorang jurufoto yang diupah semasa kenduri Wardah dan pertunangan aku. Dia inilah yang kulihat mengusung kamera sebesar ketul bata ke hulu dan ke hilir saat itu!

    "Lagipun orang cantik macam ni...mana boleh saya lupa"dia menambah sambil tersenyum ramah.

    "Siapa nama bos you all"Fisha bersuara tiba-tiba.

    Meski aku sedikitpun tidak memandang wajah Fisha, namun dapart kukesan sedikit getaran pada suara itu.

   "Muhammad Shahril bin Zainal. Kami panggil Shahril aje"Ajid bersuara ramah.

    Meski perlahan namun jelas kudengar keluhan kecil dari Fisha.

    "Muhammad Shahril...."Fisha ulang menyebut sebaris nama itu dengan perlahan lalu mata kami bertemu apabila aku memberanikan diri untuk memandang wajahnya.

    "Eh sekejap eh"Ajid tunduk lalu beg yang sedari tadi digalas di bahu kiri diletakkan ke lantai. Sebiji kamera hitam dikeluarkan lalu jemarinya laju menekan skrin kamera seolah-seolah-olah cuba mencari sesuatu.

    "Ah...ada pun...semua gambar dah padam sebab dah transfer masuk CD. Tinggal yang ni sekeping je tak padam. Abang Shahril cakap jangan padam sekeping ni. Dia sayang...."usai itu juga dia menunjukkan skrin kamera kepada aku dan Fisha.

    Saat ini, mana mungkin lagi untuk aku berdolak-dalik apatah lagi menafikan. Begitu jelas sekali di hadapan mataku gambar Shahril yang berada di sebelahku sedang tersenyum ke arahku yang sedang tunduk memandang cincin di jari.

    "Sha...aku..."suaraku terasa tersekat di kerongkong. Terlalu banyak yang ingin kuluahkan serentak namun tiada sepatahpun yang terluah. Lidahku kelu. Aku kaku.

    Tanpa memandang ke arah aku, Fisha terus memalingkan tubuhnya lalu dia bergerak laju keluar dari studio putih itu. Satu saat, dua saat, tiga saat....bagaikan orang dungu...aku seakan baru tersedar melihat temanku itu beredar pergi lalu aku menyusun langkah laju untuk mencari sosok tubuh yang sudah hilang dari pandangan.

    "Sha...tunggu...."aku menjerit kuat sambil menuruni anak tangga.

     "Sha...please...jangan macam ni"aku melajukan langkah apabila Fisha kulihat tidak mengendahkan panggilan aku.

     Mujur sahaja aku tidak tersadung kakiku saat aku memijak anak tangga yang terakhir.

     "Sha....please....tolong bagi aku explain..."Fisha masih diam. Kalau adapun, cuma langkah kakinya sahaja yang semakin laju.

     "Sha.....bagi aku 5 minit ja...aku boleh jelaskan semua...aku takda pilihan Sha....aku terpaksa....aku......."

    Dah lidahku kelu apabila Fisha berhenti lalu tubuhnya dipaling menghadap aku.

     "5 minute...explain..."keras kedengaran suara temanku ini.

    "Ok...masa tu few months back...aku balik kampung..Raphael datang ajak kahwin...aku....aku tak sengaja cakap aku dah ada someone....sebab aku nak tolak Raf...tak sangka aku jumpa Shahril...kat situ...aku tak sengaja...ayah aku salah faham...kami tunang...tapi....."

     "Few months back?"

     "Yes....and aku memang plan nak"

     "Nak apa?...Kalau tak kantoi...agaknya sampai kau kahwinpun belum tentu aku tau....."

    "Tak Sha..."

    "Aku ngat kau kawan aku..kawan baik....yang paling baik....."ada titis air mata yang jatuh saat Fisha menyebut perkataan 'kawan baik'.

     "Sha....."aku terus memanggil nama Fisha saat temanku itu terus berpaling lalu bergelak laju ke arah jalan besar.

     Dan perkara terakhir yang aku ingati adalah bunyi seretan tayar panjang diikuti dengan dentuman kuat dan tubuh Fisha yang kaku di situ......

Saturday 18 October 2014

Seseorang seperti dia 59

   Sudah hampir sebulan aku tidak berhubung dengan Shahril dan terus-terang kukatakan, ada kalanya aku merasa seperti ingin mengirimkan Whatsap untuk bertanya khabar lelaki itu, namun mujur sahaja akal warasku menghalang. Apa pula kata Shahril nanti? Adakah dia akan menganggap aku perempuan tidak tahu malu.

   Sepanjang sebulan jugalah aku tidak berjumpa dengan Ilham kerana lelaki itu ke luar negara atas urusan kerja. Namun, kami kerap juga berhubung bertanya khabar dan hampir 90 peratus dari perbualan kami berkisar mengenai Fisha. Dan aku benar-benar yakin kalau rasa cinta Ilham pada Fisha adalah ikhlas melihatkan cara lelaki itu mengambil berat akan hal Fisha.

    "Awak tak pernah ke untuk cuba pujuk Sha semula...minta maaf, ajak dia balik"aku teringat kembali akan perbualan telefon di antara aku dan Ilham semalam.

    "Pernah...."

    "So?"

    "So?"nadanya seolah-olah bertanya kembali.

    "So apa jadi. Lepas awak pujuk, apa Sha cakap?"

   "Lepas saya cuba pujuk, dia hilang lebih jauh"dan suasana antara aku dan Ilham senyap tiba-tiba.

   "Ilham...err....maaf kalau saya tanya....awak kata awak kenal Sam masa saya cerita pasal Sam dekat awak kan...Err..boleh saya tahu, macam mana awak kenal Sam?"

    Dan lelaki iti kembali sepi beberapa saat sebelum aku mendengar dia membalas.

    "Sam kawan saya...kawan dunia akhirat....."mendengar pada suara lelaki itu yang kedengaran perlahan, aku tidak lagi bertanya lanjut meski hatiku seakan memberontak untuk mengetahui kisah selanjutnya di antara lelaki-lelaki itu dengan temanku.

    Ketukan di pintu mengejutkan aku yang sedang bersiap untuk tidur semula. Bukannya aku tidak tahu kalau amalan tidur selepas subuh itu itu elok, tetapi mataku seakan sudah tidak mampu dicelikkan. Masakan tidak, semalaman aku bersengkang mata melayan Ilham berbual semalam. Jika di kampung, maunya sudah tanggal telinga aku mendengar bebelan emak dengan tajuk "Anak dara tak elok tidur lepas subuh".

    Tejengul kepala Fisha yang sudah berbalut tuala merah jambunya. Pelik. Mana mungkin pemilik nama Nur Afisha binti Ariff Ross ini boleh mandi seawal jam 6.30 pagi pada hari Sabtu! Ajaib, memang ajaib.

   "Cepat siap...."sedikit memberi arahan suara Fisha kepadaku.

   "Siap? Siap pergi mana?"sedikit celik mata aku melihat kekalutan di wajah Fisha yang sedikit tegang.

   "Ikut aku pergi lawatan kelab Foto dengan kerjaya. Kak Hani call pagi tadi, dia tak dapat datang, anak dia masuk hospital...demam panas katanya"

   Siap. Kelab. Lawatan. Satu persatu perkataan Fisha kutelan sebelum mataku membulat. Fahamlah aku kalau Fisha ingin menjadikan aku sebagai galang ganti kepada Kak Hani. Hilang sudah bayangan katil dan selimutku saat ini.

   "Kalau aku.."aku cuba untuk mengelak sebelum..

   "Aku bunuh kau kalau kau cakap tak nak ikut ok..."Sudah.

   Wanita ini pastinya sedang marah pada kemuncak paling tinggi apabila dia sudah mengugut untuk membunuh. Sebagaimana Fisha pernah mengugut untuk membunuh mak cik kantin di sekolah kami kerana menjual bihun basi apabila Fisha sangat lapar dan sepertimana juga dia mengugut untuk membunuh Toyol apabila anak kecil itu mengotorkan kasut Louis Vuitton yang baru dibeli Fisha dengan gula-gula getah.

   "Kejap..aku mandi"aku menutup pintu sambil melangkah ke dalam bilik air. Nampaknya angan-angan aku untuk menyambung tidur terpaksa berkubur pagi ini.

 

 






 

 

Wednesday 3 September 2014

Seseorang seperti dia 58

   Shahril memandu kereta tanpa sepatah bicarapun di antara kami. Namun, dari perlakuannnya yang bernyanyi kecil dengan alunan lagu-lagu rancak di saluran Hitz.fm, aku yakin benar kalau mood lelaki ini sedang baik.

   Kepalaku sedikit pening mendengarkan lagu-lagu Inggeris rancak yan berentak entah apa-apa. Tangan kanan aku angkat memegang dahi dan lega sedikit rasanya dengan perlakuanku ini.

   "Kau pening balik ke?"Shahril menegur aku.

   "Aah...muzik ni buat saya pening kepala"sungguh bunyi muzik seperti mengetuk-ngetuk gendang dengan suara kasar beberapa orang lelaki mendendangkan irama rap menjadikan pening aku datang kembali.

   "Oh, sorry...aku tutup radio ya"tangannya laju ingin menekan butang off di radio.

   "Jangan....tukar channel aje"laju aku menghalang.

   Kalau radio dimatikan, pastinya keadaan di antara aku dan dia semakin sunyi, dan aku pula tidak tahu ingin berbual apa berdua. Aku berasa lebih selesa saat siaran radio Era.fm diputarkan.

   "Ni lagu apa?"Shahril memecah kesunyian antara kami.

   "Hah?"

   "Lagu yang tengah play ni....Lagu apa?"

   "Nomad...."aku menjawab pelik saat lagu Tetap Menantimu nyanyian Nomad diputarkan.

   "Nomad? Peliknya nama lagu sekarang"dahinya sedikit berkerut dan pemanduan masih diteruskan.

  Aku mengulum senyum tiba-tiba. Lucu. Barangkali saat ini Shahril sudah mengiea kalau lagu yang sedang diputarkan ini bertajuk 'Nomad'.

   "Nomad...hai pelik-pelik nama lagu-lagu Melayu sekarang eh....tapi sedap pulak"serentak dengan itu dia ikut sama bersiul perlahan dan cuba untuk mengikut rentak lagu tersebut.

   "Saya lelap sekejap ya...."aku memejamkan mata kerana sedikit mengantuk.

  Shahril tidak pula berkata apa-apa namun aku tidak lagi mendengar bunyi radio sebaik mata dipejam, barangkali Shahril sengaja mematikannya sebaik sahaja aku ingin tidur.

   Entah berapa lama aku tertidur juga aku tidak pasti, sedar-sedar sahaja kereta sudah diparkir di hadapan sebuah kawasan restoran dengan Shahril yang mengejutkan aku perlahan-lahan.

  "Kita kat mana ni?"aku yang masih separa mamai bertanya sambil membetulkan wajah dan tudung di kepala.

   "Makan ke?...ingatkan nak balik rumah terus tadi"aku bertanya lagi.

    Bukannya apa,aku masih berasa tidak selesa apatahlagi untuk duduk makan-makan di luar.

  "Jomlah Tik....bukannya aku suruh kau makan. Aku yang lapar, balik kerja terus aku datang ambil kau, belum sempat makan"dia sudah bergerak keluar meninggalkan aku yang masih termanggu sendirian.

   "Eh...bukannya aku yang suruh kau datang ambil aku...Hilmi dah ada nak hantar"aku membebel sendirian dan pastinya lelaki itu tidak mendengar bicara aku memandangkan dia sudah jauh ke hadapan meninggalkan aku yang masih terkial-kial bergerak.

   Malas mahu memanjangkan bicara, aku menarik kerusi di meja makan berbentuk bulat dan duduk berhadapan dengan Shahril. Tanpa menghiraukan aku, Shahril menggawangkan tangannya ke atas dan seorang wanita remaja mendekati kami apabila melihat perlakuan Shahril.

   "Makan apa Bang?"remaja itu menghulurkan dua menu berbentuk sebuah buku kepada aku dan Shahril.

   Aku cuma memandang menu dengan perasaan kosong kerana aku masih belum punya keinginan untuk makan. Bukannya kenyang, tetapi aku masih belum lapar barangkali.

   Aku cuma melihat Shahril memesan itu dan ini dan rata-ratanya adalah makanan laut. Melihatkan kepada kedai makan ini yang diberi nama "Rahman Seafood Planet", pastinya hidangan utama mereka adalah makanan laut.

   "Ok...kau nak apa Tik"dia bertanya kepada aku setelah selesai memesan hampir keseluruhan menu yang ada di sini.

   "Air nescafe panas...kurang manis tapi nescafe lebih ya dik"tiba-tiba aku teringat kalau sudah beberapa hari aku tidak merasa air nescafe.

  Sememangnya aku sudah 'ketagih nescafe' bak kata Fisha. Masakan tidak, aku boleh sahaja hidup seharian tanpa menjamah sebarang makanan asal sahaja aku dapat meneguk nescafe panas.

   "Tukar dik...bagi dua air masak"laju sahaja Shahril memotong bicara aku membuatkan aku sedikit terkaku.

   Dalam hati aku mulai tidak enak kerana belum apa-apa lagi dia susah memandai-mandai ingin mengatur makan dan minumku. Namun ketidakpuasan itu kusimpan sendiri di dalam hati. Dan seterusnya antara kami diam membisu dengan aku yang berpura-pura bermain telefon.

   Tidak lama kemudian, gadis tadi datang kembali membawa satu dulang besar bulat. Dia meletakkan lauk dan nasi di atas meja. Saat itu aku yakin kalau mataku sedikit membulat melihat lauk-pauk yang terhidang.

   Ketam masak cili, kerang rebus dengan air asam pencicah, ikan stim dan sayur bayam goreng cukup untuk memanggil selera aku datang. Shahril meletakkan pinggan nasinya di hadapan aku.

   "Makanlah....aku tak lapar"

   "Hah? Taknaklah...awak yang lapar sangat kan tadi..."aku cuba meletakkan kembali pinggan nasi di hadapannya tetapi dihalang oleh Shahril.

   "Aku acah je...aku dah makan...saja aku paksa kau datang...doktor cakap kau pengsan sebab tekanan darah kau rendah sangat.... Masa kau sedap-sedap tidur, mak kau sedap-sesap membebel kat aku. Dia kata kau selalu sakit sebab malas makan....hmm patutlah...."giliran dia pula untuk membebel.

   "Patutlah apa?"

   "Patutlah kau katik...tak cukup zat"sempat lagi dia menyakitkan hati aku.

  "Awak makan la sekali...saya tak habis banyak-banyak macam ni"

   Shahril cuma mengangguk sambil memanggil gadis remaja tadi dan meminta sepinggan lagi nasi.

   "Makan kerang ni banyak-banyak...elok untuk orang yang rendah........tekanan darah dia......"dia meletakkan kerang yang sudah dikupaskanya ke dalam pinggan aku.    
    Bukannya aku tidak faham kalau dia sedang mengejek aku 'pendek' apabila sengaja dipanjangkan perkataan 'rendah' itu. Namun, melihat pada perlakuannya yang terus menerus mengupas kerang rebus untuk aku, aku merasa malu sendiri tiba-tiba dan suapan kuteruskan tanpa sedikitpun mengangkat wajah.

   "Makan kenyang-kenyang...bukan apa, saja aku nak tengok kau makan...sebab aku tahu, kalau aku hantar kau balik rumah terus, confirm kau tak cari makan kan".

   Dan antara kami terus menyuap makanan tanpa bicara. Tetapi sesungguhnya, dalam hati aku merasa senang dengan perhatian yang diberikan. Sekurang-kurangnya dia mengambil berat akan diriku meski sifat kasarnya terhadap aku masih tidak berkurang.

   Saat kami tiba di hadapan rumah, aku membuka pintu kereta untuk keluar sebelum Shahril menahan aku.
 
   "Jap Tik..."

   "Apa?"

   "Mintak handphone"

   "Hah? Kenapa?"meskipun bertanya, aku tetap menghulurkan telefon bimbit aku kepadanya.

    Aku melihat dia menaip sesuatu ke dalam telefon aku sebelum menyerahkannya kembali.

   "Nah...aku dah save nombor aku....kalau ada apa-apa, terus call aku tau..."wajahnya kelihatan serius dan aku cuma mengangguk sambil bergerak keluar.

   "Tik..."

   "Hah?"aku berpaling sekali lagi.

   "Nah...untuk kau..."dia menghulurkan satu bungkusan plastik kepada aku dan aku menyambut huluran tersebut tanpa banyak tanya.
 
    Sampai sahaja di dalam bilik, aku meletakkan beg dan bungkusan plastik pemberian Shahril di atas katil kerana badanku terasa melekit dan aku cuma berfikir satu perkara sahaja. Mandi!

   Malam itu aku menonton televisyen sendirian dan tiba-tiba telefonku berbunyi tanda ada satu mesej Whatsap yang masuk.

   Nama 'Shahril Hensem' terpapar di situ menandakan kalau pesanan itu daripada dia. Aku menggelengkan  kepala, pastinya dia yang meletakkan namanya sendiri saat dia meminta telefon bimbitku petang tadi.

   Saat aku membuka pesanan tersebut, aku melihat dia mengirimkan satu link kepadaku tanpa ada pesanan lain. Aku terus menekan link yang diberikan dan rupa-rupanya ia adalah satu artikel bertajuk "How to cure low blood pressure".

   Aku tersenyum sendirian lalu tanganku laju sahaja membalas dengan ucapan "tq". Saat aku ingin berbaring di atas katil, aku terpandang plastik pemberian Shahril dan perlahan-lahan plastik itu aku buka. Aku mengeluarkan isinya satu-persatu dengan perasaan pelik. Dua botol air mineral, sepeket badam organik, satu balang kismis dan dua pasang stoking tebal.

   Aku menggaru kepala sendirian mengenangkan barang-barang pemberian lelaki ini. Pelik. Dia tersalah bagi barangkah? Aku meletakkan kembali barang-barang tersebut ke tepi lalu telefon bimbit kucapai dan artikel pemberian Shahril kubaca.

   Artikel dari satu blog kesihatan itu menerangkan serba sedikit mengenai penyakit tekanan darah rendah dan makanan yang sesuai diambil untuk menaikkan kembali tekanan darah ke paras normal.

   Makanan seperti daging merah, ayam dan sumber protein beserta makanan laut adalah sangat baik dan bayam pula adalah sayuran yang elok diambil pesakit seperti aku. Selain itu, pesakit juga disarankan untuk mengambil banyak cairan berupa air kosong bagi mengelakkan rasa pening akibat dehidrasi. Badam dan kismis juga elok dimakan dan seterusnya pesakit disaran mengenakan stoking ketika tidur kerana perlakuan itu akan mengelakkan darah berkumpul di kaki dan ianya mampu melancarkan peredaran darah.

   Aku mengeluarkan kembali barang-barang pemberian Shahril dari dalam plastik dan tersenyum sendirian. Fahamlah aku kalau lelaki itu tidak pandai bercakap manis, tetapi cukup dengan perlakuan sahaja untuk membuatkan aku yakin kalau dia memang peduli!
 

Tuesday 2 September 2014

Seseorang seperti dia 57

   Tidak lama selepas ayah dan emak bertolak pulang, Doktor Hardeep masuk dan memaklumkan kalau aku sudah boleh pulang ke rumah. Aku menarik nafas lega lalu pakaian yang ada aku kemaskan.

  Dalam hati aku sudah berkira-kira untuk memanggil teksi kerana aku masih belum mempunya nombor telefon Shahril untuk aku hubungi. Setelah menukar pakaian hospital kepada sehelai jubah yang dibawa oleh emak, aku mendengar pintu terkuak dan kedengaran suara seorang lelaki memberi salam.

   "Waalaikumussalam"serentak itu juga aku berpaling sambil salam kujawab.

  Aku pegun. Kaku tiba-tiba. Waktu seperti bergerak perlahan saat sesusuk tubuh itu bergerak mendekati aku.

  "Tak sangka. Jumpa kat sini"dan lesung pipit dia kelihatan lagi setelah lama tidak kupandang.

  "Awak sihat?"itu sahaja yang mampu kutanyakan.

   "Alhamdulillah"tidak sangka pula tempoh enam bulan mampu menjadikan kami sekekok ini, sedangkan pertemuan kami setelah terpisah bertahun-tahun lamanya juga tidak sejanggal ini.

   "Nurin sihat?"terpacul pertanyaan itu dari mulut aku.

   "Alhamdulillah..."keningnya sedikit terangkat saat pertanyaan itu aku ajukan. Terkejut barangkali.

   "Lia sihat?"giliran dia pula bertanya diikuti anggukan oleh aku.

  "Hmm...sapa lagi yang saya nak tanya sihat je tidak ni ya"sedikit bergurau Hilmi saat itu dan aku ketawa kecil.

  Ya tak ya juga, sedari tadi antara kami saling berbalas bertanya khabar sahaja.

  "This time, I'm serious. How's life?"dia mengambil tempat di atas kerusi bersebelahan katil.

   Hilmi melonggarkan tali leher lalu dia melipat lengan kemeja biru muda berbelang putih yang tersarung di tubuh.

  "Oklah...macam ni....tak ada apa-apa yang best"aku ikut santai melihat kepada perlakuan Hilmi yang sudah tidak kekok lagi.

  Dan saat itu kami berbual ramah ibarat dua orang teman lama yang baru sahaja berjumpa. Perbualan kami lebih berkisar tentang aku dan dia dalam tempoh enam bulan ini. Tentang aku yang sudah berani memandu, Fisha yang masih sama, Hilmi yang sudah berhenti dari menjadi penjawat kerajaan dan baru sahaja menjadi doktor di hospital swasta. Dan seribu satu macam lagi perbualan yang biasa-biasa. Namun, tidak pula aku menyebut akan perihal pertunangan aku. Biarlah dahulu.....

   Dan kami agak berhati-hati agar tidak mengungkit akan kejadian di Langkawi lewat enam bulan lepas. Hilmi juga ada kalanya cuba mengalih topik apabila soalan mengenai Nurin aku utarakan.

  "Jomlah...saya hantarkan..."ajakan dia aku biarkan sepi.

   "Erm...takpelah. Awak kerja"aku menolak lembut, bukan apa, tidak ingin pula aku panjangkan pertemuan kami.

   Menghantar aku bermakna dia akan mengetahui di mana aku tinggal dan seboleh-bolehnya aku cuba untuk mengelak dari adanya pertemuan kedua, ketiga mahupun seterusnya di antara kami. Bukan dia yang aku takuti, tapi hati aku yang aku bimbangkan. Jauh di dasar hati,ada kalanya aku masih keliru akan perasaanku pada Hilmi.

   "Jomlah...awak janganlah tolak. Saya kecik hati ni...lagipun antara kita tetap kawan"

  Aku tersenyum. Ya, kawan. Antara kami tetap kawan. Meskipun hubungan kami yang tidak pernah bermula sebagai kekasih, tidak bermakna persahabatan selama bertahun ini perlu dihumban ke tepi.

   "Ok...tapi tunggu saya setel bil dulu"

   "Macam tulah kawan"dia menjerit ceria sambil mengangkat beg pakaian aku dan mulai bergerak keluar.

                     ****

   Sebaik sahaja selesai membayar bil di kaunter, aku berjalan beriringan dengan Hilmi menuju ke kawasan parkir.

  Sebaik sahaja tiba di hadapan kereta Hilmi, aku mendengar suara Shahril menegur aku dari belakang. Sedikit kaku saat melihat Shahril sudah berdiri terlalu dekat di belakang aku.

   "Jom...kita balik"Shahril mengangkat cermin mata hitamnya lalu cermin mata itu diselitkan dalam poket kemeja hitamnya.

  "Hi bro"tangannya dihulur ke arah Hilmi dan aku dapat mengesan rasa tidak mesra antara mereka berdua.

  "Awak buat apa kat sini?"aku merasa menyesal saat aku menanyakan soalan itu.

   Soalan bodoh dariku, apalagi yang Shahril lakukan di sini kalau bukan datang melawat aku.

   "Saja datang, tengok buah hati sakit"dia mengenyit sebelah matanya ke arah aku. Aku sedikit terkejut.

   "Jomlah Lia"Hilmi mengajak aku saat pintu keretanya sudah dibuka.

   "Tapi ayah awak pesan tadi, katanya mintak saya hantar anak dara dia balik rumah elok-elok. Berdosa pulak kalau mungkir janji dengan bakal Pak Mentua kan"suara Shahril sengaja dikuatkan saat wajah Hilmi dipandang.

   "Apa yang dia cakap ni Lia?"Hilmi bertanya kepada aku menyebabkan aku sedikit terkaku.

  "Apa maksud kau Bro?"soalan beralih ke arah Shahril saat aku cuma mendiamkan diri.

  "Shahril tunang saya. Kami dah bertunang"perlahan sahaja suara aku.

  Saat itu aku melihat Hilmi cuma terdiam. Dia mengangguk kecil, entah perasaanku atau betul, aku melihat seolah-olah ada raut kecewa di wajah Hilmi saat satu keluhan kecil dia lepaskan.

  Saat aku berpaling ke belakang, aku melihat wajah Shahril sudah sedikit ternganga memandang aku.

   Yang dia ni dah kenapa pulak? Malas melayan lelaki-lelaki di keliling aku, beg baju aku angkat dan bergerak sendiri ke arah kereta Shahril yang diparkir selang dua kereta sahaja dari kereta Hilmi.

 

 

 

 

Seseorang seperti dia 56

   Walaupun aku sudah kembali sihat dan cergas selepas terjaga, tetapi doktor berbangsa Serani dengan kepala yang sentiasa terlilit serban hitam itu tetap menahan aku sehingga dua hari.

   "I want to monitor your blood pressure. Lagipun demam you belum kebah, kita tengok petang nanti macam mana, kalau turun, you boleh discharge ok"doktor dalam lingkungan usia 50-an itu tersenyum manis saat dia mengambil bacaan suhu badanku.

   Usai doktor itu bergerak keluar diiringi jururawat pengiringnya yang comel, kelihatan ayah masuk ke dalam bilik.

   "Bila doktor cakap Along boleh keluar?"ayah bertanya kepada aku.

   "Tak pasti Ayah...kena tengok petang nanti macam mana".

   "Ayah bukan apa, tadi Pak Lang Hamid telefon, adik kamu jatuh motor katanya"

   "Dib jatuh motor? Ini mesti dia curi-curi bawak motor ayah ni. Ayah letak kunci dekat tempat yang dia nampak ke?"aku menggeleng kepala mengenangkan perangai adik bongsuku Adif.

   Antara kami tiga beradik, Adif yang paling manja dan siapapun pasti tahu kalau Adif paling manja dengan ayah kerana apa sahaja permintaan adikku itu pasti diikuti.

   "Pak Lang baru telefon. Katanya nak elak kambing, tak tau lagi teruk ke tak. Tapi ayah dengar tangan dia patah"ada nada risau dalam suara ayah.

   "Ya Allah...macam mana sampai jadi macam tu. Rasanya elok kalau ayah balik tengok Dib aje"aku menjadi risau-risau tiba.

  Rasa kasihan timbul terhadap adikku itu. Masakan tidak, si manja itu bukannya tahan sakit. Digigit lintahpun boleh menangis, inikan pula patah tangan.

   "Ayah pun ingat macam tu. Tapi ayah kesiankan kamu Along"faham dengan rasa serba salah ayah, aku cuma tersenyum.

   "Janganlah ayah risau pasal Along. Along pun dah sihat, silap-silap petang ni dah boleh keluar"

   "Nanti ayah telefon Shahril, minta dia tengokkan kamu. Fisha pun jauh kat Kelantan nak mintak tolong kan"amboi ayah, semenjak aku bertunang, tidak lekang pula nama Shahril dari bibirnya.

   "Along...."

   "Ya Ayah...."

   "Doktor muda tadi.....kawan Along yang dulu ke?"perlahan sahaja suara ayah saat itu dan hati aku merasa sedikit sayu saat ayah menyebut perkataan 'dulu'.

  Aku cuma mengangguk. Tidak sangka kalau ayah masih mengingat wajah Hilmi meski sudah bertahun lelaki itu menghilang.

  "Tolong bagitahu kawan Along....ayah minta maaf"dan semakin perlahan suara ayah.

  Aku mengangguk meski hatiku sedikit sebak.
 
 

Monday 1 September 2014

Seseorang seperti dia 55

   Aku membuka mata perlahan-lahan dan rupa-rupanya aku sudah terbaring di atas katil hospital. Saat itu aku melihat emak sedang berada di sisi aku dan wajah tua itu kelihatan tersengguk-sengguk barangkali cuba menahan rasa kantuk.

   "Mak..."aku memanggil emak dan emak berpaling ke arahku.

   "Dah bangun Along....buat orang risau jelah kamu ni Along....mujur tak ada apa-apa...dah tahu diri tu sakit, kenapa tak jaga makan betul-betul"dan aku disambut dengan bebelan emak yang panjang.

   Ya, emak tetap emak. Punya keupayaan untuk bercakap tanpa henti tidak kira dalam apa jua situasi sekalipun. Dan bebelan emak itu pastinya kerana dia terlalu risau.

   "Along...nak air"aku meminta air dan aku cuba bangun perlahan-lahan.

   Di pergelangan tangan kanan aku tercucuk satu jarum kecil yang bersambung dengan satu wayar kecil. Entah berapa botol air yang dimasukkan ke dalam tubuhku, aku juga tidak pasti.

   "Mak datang dengan siapa?"

   "Ayah kamu lah Along oii...malam semalam Shahril telefon kami, cakap kamu pengsan dan doktor tahan kamu dekat wad...lepas Isyak terus kami bertolak datang.

  "Ayah mana?"aku bertanya apabika kelibat ayah tidak kelihatan.

  "Ke surau...dengan Shahril"

   Emak membalas sambil menghulurkan padaku semangkuk bubur. Aku yang agak lapar terus menyuap bubur itu perlahan-lahan.

   Ya, baru teringat kalau semalam Shahril yang datang menjemputku untuk dibawa ke hospital, bukannya Ilham. Dan aku seakan terlupa apa yang berlaku seterusnya saat aku sudah masuk ke dalam perut kereta, barangkali aku sudah pengsan ataupun tertidur mati sehingga ke pagi ini.

   Tidak lama kemudian, aku melihat pintu terkuak dan muncul wajah ayah di situ lalu pintu ditutup ayah. Dalam hati aku menunggu kelibat Shahril masuk namun hampa kerana tubuh lelaki itu langsung tidak kelihatan.

   "Macam mana Along, dah rasa sihat?"ayah duduk di atas kerusi bersebelahan katil dan segulung akhbar di tangan diletakkan ke tepi.

  "Alhamdulillah ayah...dah rasa ok sikit"

  "Kamu ni Along....nasib baik la Shahril ada...Kalau tak kamu sorang-sorang dalam rumah tu, apa nak jadi?"

  Aku cuma tunduk menghabiskan bubur nasi di dalam mangkuk. Dalam hati aku punya keinginan untuk bertanya tentang Shahril kepada ayah, namun rasa malu yang menebal menghalang aku dari berbuat begitu.

  "Budak Shahril tu mana?"bagaikan mampu membaca fikiranku sahaja, emak bertanya kepada ayah.

  "Dah balik...kena pergi kerja katanya"

  "Hai hari Sabtu pun kerja...kerja apalah yang dibuatnya tu"sinis suara emak seolah memberi petunjuk kalau hati tua itu masih terkilan kerana aku memilih Shahril, bukannya Raphael.

   "Aah la maknya, saya pun belum tau bakal menantu saya tu kerja apa"aku ikut bersetuju dengan pertanyaan ayah kerana aku juga tidak mengetahui akan pekerjaan lelaki itu.

   "Along, Shahril tu kerja apa?"pertanyaan ayah mengundang rasa debar.

   Mana mungkin kujawab kalau aku sendiri tidak tahu. Saat ini aku merasa kalau ayah dan emak sedang memandang aku penuh minat, barabgkali sedang bersedia untuk mengetahui jawaban yang bakal kuberikan.

   "Err..."sudah, apa yang harus kulakukan saat ini.

   Wajah emak dan ayah masih pegun memerhatikan wajah aku yang kukira sudah berkerut seribu sebelum....

   "Aduh..  kepala Along sakit emak"tipu, tiada rasa sakit yang menyerang, kalau adapun cuma akalku sahaja yang cuba untuk mengelak dari menjawab pertanyaan mereka.

   Terkocoh-kocoh emak dan ayah menekan punat putih di hujung katil aku untuk memanggil doktor dan tidak lama kemudian masuk seorang doktor Singh dengan seorang jururawat untuk memeriksa aku.
 
   Dan entah bagaimana, di antara doktor Singh dengan tanda nama Hardeep dan jururawat comel itu terselit wajah Hilmj. Ya, Hilmi ikut ada di situ dan antara kami ikut terkaku kerana rasa terkejut yang teramat sangat.