Tuesday, 2 September 2014

Seseorang seperti dia 56

   Walaupun aku sudah kembali sihat dan cergas selepas terjaga, tetapi doktor berbangsa Serani dengan kepala yang sentiasa terlilit serban hitam itu tetap menahan aku sehingga dua hari.

   "I want to monitor your blood pressure. Lagipun demam you belum kebah, kita tengok petang nanti macam mana, kalau turun, you boleh discharge ok"doktor dalam lingkungan usia 50-an itu tersenyum manis saat dia mengambil bacaan suhu badanku.

   Usai doktor itu bergerak keluar diiringi jururawat pengiringnya yang comel, kelihatan ayah masuk ke dalam bilik.

   "Bila doktor cakap Along boleh keluar?"ayah bertanya kepada aku.

   "Tak pasti Ayah...kena tengok petang nanti macam mana".

   "Ayah bukan apa, tadi Pak Lang Hamid telefon, adik kamu jatuh motor katanya"

   "Dib jatuh motor? Ini mesti dia curi-curi bawak motor ayah ni. Ayah letak kunci dekat tempat yang dia nampak ke?"aku menggeleng kepala mengenangkan perangai adik bongsuku Adif.

   Antara kami tiga beradik, Adif yang paling manja dan siapapun pasti tahu kalau Adif paling manja dengan ayah kerana apa sahaja permintaan adikku itu pasti diikuti.

   "Pak Lang baru telefon. Katanya nak elak kambing, tak tau lagi teruk ke tak. Tapi ayah dengar tangan dia patah"ada nada risau dalam suara ayah.

   "Ya Allah...macam mana sampai jadi macam tu. Rasanya elok kalau ayah balik tengok Dib aje"aku menjadi risau-risau tiba.

  Rasa kasihan timbul terhadap adikku itu. Masakan tidak, si manja itu bukannya tahan sakit. Digigit lintahpun boleh menangis, inikan pula patah tangan.

   "Ayah pun ingat macam tu. Tapi ayah kesiankan kamu Along"faham dengan rasa serba salah ayah, aku cuma tersenyum.

   "Janganlah ayah risau pasal Along. Along pun dah sihat, silap-silap petang ni dah boleh keluar"

   "Nanti ayah telefon Shahril, minta dia tengokkan kamu. Fisha pun jauh kat Kelantan nak mintak tolong kan"amboi ayah, semenjak aku bertunang, tidak lekang pula nama Shahril dari bibirnya.

   "Along...."

   "Ya Ayah...."

   "Doktor muda tadi.....kawan Along yang dulu ke?"perlahan sahaja suara ayah saat itu dan hati aku merasa sedikit sayu saat ayah menyebut perkataan 'dulu'.

  Aku cuma mengangguk. Tidak sangka kalau ayah masih mengingat wajah Hilmi meski sudah bertahun lelaki itu menghilang.

  "Tolong bagitahu kawan Along....ayah minta maaf"dan semakin perlahan suara ayah.

  Aku mengangguk meski hatiku sedikit sebak.
 
 

No comments:

Post a Comment