Monday, 1 September 2014

Seseorang seperti dia 54

   Aku memicit kepala yang berdenyut dengan harapan rasa pening ini akan berlalu pergi. Sememangnya semenjak petang tadi badanku sudah merasa tidak enak, barangkali akibat terkena hujan sebaik sahaja pulang mengajar tadi.

   Selesai menunaikan solat maghrib, sengaja aku berbaring di atas katil sambil membiarkan telekung tersarung di tubuh. Semoga aku tidak terlelap sebelum masuk waktu solat Isyak.

  Dalam pada aku duduk termenung, ingatanku terlayar pada kenangan silam di UKM saat aku masih lagi mengerah keringat dalam menimba ilmu di Fakulti Pendidikan. Sememangnya Fisha adalah wajah yang tidak asing bagi aku dan juga pelajar yang lain, masakan tidak, anak gadis berwajah sempurba pada pasangan berada dengan ayahnya berpangkat Datuk sememangnya menjadi igauan setiap pelajar lelaki. Wajah cantik, berpakaian up-to-date serta punya keramahan luar biasa ternyata menjadi nilai tambah pada wanita cantik persis seorang model itu.

   Dan meskipun antara aku dan Fisha berlainan subjek major, kami kerap juga bertemu di dalam kelas untuk subjek elektif namun terlalu payah untuk aku melihat gadis bandar sepertinya membalas senyuman gadis kampung seperti aku, malahan aku juga tidak pasti kalau Fisha mengingati kehadiran aku di UKM dahulu.

   Setelah tamat pengajian di UKM, aku terus ditugaskan untuk mengajar di Sungai Petani Kedah selama hampir setahun sebelum aku ditukarkan ke Nilai. Saat itu ingatanku mengenai Fisha sudah hilang sama sekali sehinggalah aku melihat wajah Fisha yang ikut sama mengajar di sekolah baruku di Nilai.

   Masih lagi terlayar di minda aku saat Fisha memeluk laju tubuhku saat kami bertemu semula dan aku yang benar-benar terkejut cuma diam terkaku. Masakan tidak, tidak pernah sekalipun rasanya Fisha menegur aku apatahlagi memeluk aku semasa di UKM. Dan semenjak dari kejadian itu aku menjadi rapat dengan gadis ini sehinggalah kami menjadi rakan serumah.

    Semenjak kami tinggal serumah, aku mulai mengenal wanita itu sebagai seorang sahabat yang baik, jauh berbeza dengan sifatnya yang kukira agak sombong seperti dahulu. Mungkin kerana kami berdua sahaja guru wanita bujang di sekolah ini, tidak sukar rasanya untuk kami menjadi rapat. Ternyata Fisha ini gila-gila orangnya dan adakalanya aku tidak dapat berhenti ketawa apabila Fisha sudah mengeluarkan lawak bodohnya ataupun saat dia menunjukkan perangai 'bimbo'nya.

   Namun, meskipun berperwatakan ceria, ada kalanya aku dapat melihat Fisha akan termenung jauh dan seolah-olah dia sudah hanyut dalam duit yang lain dan terlalu sukar untuk menariknya kembali. Dan ada kalanya aku melihat Fisha akan menangis teresak-esak sendirian tanpa sebab musabab yang jelas.

   "Aku okaylah...."

   "Takde apa-apa"

   "I'm good..."

   "Nothing....kau ja yang asyik fikir benda yang bukan-bukan"

   Dan itu adalah sebahagian daripada jawapan rutin Fisha saat aku cuba bertanya padanya. Berkali-kali juga aku cuba untuk menyelami hati temanku ini namun lama-lama kelamaan aku mulai bosan dan aku menganggap kalau temanku ini sememangnya ok dan perlakuan 'pelik'nya itu sememangnya adalah normal.

   Namun segalanya berubah apabila aku menerima kejutan yang tidak pernah aku duga. Meski kejadian itu berlaku hampir beberapa tahun yang lalu, namun segalanya masih jelas terbayang di ingatan aku.

   Saat aku sudah bersiap untuk pergi mengajar, aku sedikit hairan apabila kelibat Fisha tidak kelihatan. Kebiasaannya, dialah yang selalunya riuh mengejutkan aku dan menyuruh aku supaya cepat bersiap memandangkan aku akan menumpang kereta Fisha untuk ke sekolah.

   "Sha..."laungan aku dibiarkan sepi. Pelik.

   "Sha....ooo Fisha.... belum bangun ke?"aku melihat celahan pintu biliknya gelap.

   Sah..Tidur mati. Aku terus mengetuk pintu bilik Fisha namun sepi. Tidak berputus asa, aku mencapai telefon bimbit dan sayup-sayup di balik pintu, kedengaran telefon bimbit temanku itu menjerit saat talian berjaya disambungkan.

   Setelah hampir setengah jam, aku mulai panik lalu almari di hadapan rumah kupunggah dan segugus kunci jatuh bertaburan. Dalam kekalutan itu, satu persatu kunci aku cuba dan berdoa agar pintu terbuka dan temanku itu tidak apa-apa.

   Saat pintu terbuka, aku menjerit dan beristighfar apabila melihat tubuh Fisha terbaring sambil di sisinya bertaburan sebotol ubat dengan beberapa biji pil yang ikut sama berselerakan di lantai.

   Dan semenjak hari itu juga aku mengetahui akan Sam. Sam, lelaki sopan yang menghulurkan cinta dan harapan saat Fisha sudah tidak percaya pada kasih manusia, Sam yang sering tersenyum dan memberi garis cahaya saat Fisha sudah hilang dalam kegelapan. Dan Sam yang mengingatkan Fisha kalau Tuhan itu masih ada asalkan kita tetap percaya. Dan Sam yang sering menghadiahkan Fisha dengan bunga Lili dan berjanji tidak akan sekali-sekali meninggalkan wanita yang dicintai sepenuh jiwa itu. Dan Sam yang dipinjamkan hanya sekejap oleh Tuhan kepada Fisha.......

   Pening yang kurasa semakin parah dan sesekali aku bersin tanda selsema sudah menyerang. Aku bangun perlahan dan laci almari solek aku buka. Mujur masih ada beberapa biji Vitamin C dan aku menelan sebiji dan air mineral di sisi meja aku teguk.

   Mataku sudah sedikit berair, baru teringat kalau satu-satunya makanan yang masuk je dalam perutku hari ini cumalah dua ketul karipap pagi tadi. Parah, sudahlah aku selalu mengalami tekanan darah rendah, pastinya tekanan darahku juga tidak stabil saat ini. Aku cuba bangun untuk mencari sesuatu untuk dimakan namun pening kepala yang aku alami sedikit menghalang.

  Hendak memanggil Fisha, temanku itu pula sudah bertolak ke Kelantan petang tadi kerana mengiringi murid-murid bagi acara akhir Debat Perdana. Dan saat ini aku mengutuk diri sendiri kerana tidak pernah beramah mesra dengan jiran tetangga, sehingga keadaan darurat sebegini juga aku tidak pasti untuk meminta bantuan pada siapa.

   Aku menggagahkan diri mendail nombor Ilham kerana lelaki itu sahaja yang terlintas di fikiranku saat ini. Tambahan pula rumahnya yang terletak di Bandar Enstek sememangnya tidak terlalu jauh dari rumahku.

   "Assalamualaikum"terdengar suara dia memberi salam saat talian disambungkan.

  "Awak ok ke Lia?"terdengar suara cemas Ilham saat aku menjawab salam.

   "Saya tak sihat...er...maaf ganggu....boleh awak tolong hantarkan saya ke klinik?"dalam suara yang perlahan aku memicit-micit kepala yang semakin memberat.

   "Ok...awak tunggu....and tolong wassap alamat rumah dekat saya ok"usai aku menerangkan semuanya Ilham sudah berjanji kalau dia akan tiba sedikit masa lagi.

  Aku lega. Sekurang-kurangnya aku tahu kalau dia juga seorang sahabat yang baik. Aku bangun dan menyarung tudung syria lalu aku bergerak ke bahagian ruang tamu untuk menunggu kedatangan Ilham.

   Jika bukan kerana aku takut kalau aku akan pengsan seperti beberapa bulan yang lepas saat tekanan darahku turun dengan mendadak, sudah pasti aku tidak akan membebankan Ilham dengan mengheret lelaki itu sekali buat menemani aku ke klinik.

   Tidak lama kemudian, aku mendengar bunyi hon kereta dari luar rumah. Pastinya Ilham sudah tiba. Aku melangkah keluar lalu mendekati kereta Honda CRV putih yang berhenti betul-betul berhadapan rumah sewaku. Saat aku mendekat ke arah kereta tersebut, aku melihat pintu di bahagian penumpang hadapan terbuka dan tejengul wajah Shahril di situ.

   "Assalamualaikum Tik....kau sakit eh....kesiannya....."ceria sahaja dia memanggil aku dan tidak pula kelihatan wajah Ilham di situ.

   "Err...Shahril...Ilham mana?"aku sudah duduk di kerusi penumpang sambil memicit kepala yang semakin berpinar-pinar.

   "Ilham dekat Sarawak. Dia call cakap kau mintak tolong"Shahril sudah memusingkan kereta untuk bergerak.

   "Oh, tak tau pulak dia kat Sarawak...."sungguh, mati-mati aku ingatkan kalau Ilham berada di rumah malam-malam begini.

   "Kenapa tak bagitau aku kau tak sihat"Shahril bertanya sambil memandu dengan tenang.

   "Oh...saya takde nombor awak"sungguh jika aku mengetahui nombor telefon dia, pasti Shahril dahulu yang aku hubungi.

   "Kenapa tak pakai cincin?"perlahan sahaja dia bertanya dan baru tersedar kalau jari manisku ini togel setelah cincin tunang kami aku tanggalkan semenjak pulang dari kampung.

   Sengaja aku tidak memakai cincin tersebut kerana aku belum bersedia memberitahu perihal pertunangan aku meskipun pada Fisha. Dalam hati aku berharap agar Shahril tidak berkecil hati.

   "Tak sudi nak pakai ke? Kalaupun tak sudi at least jawab la orang tanya"seperti berjauh hati sahaja suaranya.

   Bukannya aku tidak sudi untuk berbual, tetapi kudratku seperti sudah tiada dan mataku terasa teramat berat sehingga semuanya kelam.

 

 

No comments:

Post a Comment