Aku dan Fisha duduk di sofa rumah sambil menonton televisyen. Semenjak tadi temanku itu asyik mengalih siaran dari satu saluran ke saluran yang lain.
"Bosanlah, malam minggu macam ni apesal la channel semua tayang cerita sendu"sambil tangannya laju menekan butang-butang kecil pada alat kawalan jauh, mulutnya ikut sama mengomel.
Aku yang duduk di sisi cuma menjeling sekilas sebelum mataku kembali singgah pada majalah Mingguan Wanita di tangan. Meskipun aku kelihatan seperti memegang majalah tersebut, namun hakikatnya aku tidak langsung menatap bait-bait tulisan kerana mindaku masih teringat akan kata-kata Ilham petang tadi.
"Tolong saya Lia....saya nak pikat Fisha semula. Saya tau salah dah pernah sakitkan hati dia, tapi percayalah, tak pernah sekalipun dalam hidup saya yang saya tak pernah menyesal dan dah lama saya cari dia. Saya berdosa...."luahan Ilham petang tadi saat kami bertemu di Tasik Shah Alam begitu meninggalkan kesan dalam hatiku.
Dan lelaki itu merenung jauh ke tengah tasik sambil mulutnya berbicara, satu sisi lelaki ini yang tidak pernah aku kenali.
"Ermmm....kalau awak tak keberatan, boleh saya tahu apa jadi antara awak dengan Sha dulu Ilham?"
"Saya pernah rosakkan kawan awak Lia"kata-kata lelaki itu cukup membuatkan aku tersedak air 100 Plus yang sedang aku sedut.
Dan cerita lelaki itu seterusnya membuatkan aku termanggu sendirian. Dalam hati aku cuba sedaya upaya dari menghukum mereka dengan kesilapan di masa silam mereka. Biarlah perkara yang mengaibkan ini aku simpan sendiri di dalam lipatan hatiku.
"Kau tengok tak ni?"suara manja Fisha menegurku sambil tangannya menepuk perlahan pahaku membuatkan aku sedikit terkejut dan kembali ke alam realiti.
"Kan aku dah cakap, Ma Jun tu sayangkan Yu Kyung...walaupun masing-masing kahwin sebab nak balas dendam antara satu sama lain, dorang tak sedar yang dorang sebenarnya sayangkan satu sama lain...."bersungguh-sungguh Fisha bercerita sambil matanya kelihatan sedikit berair pastinya akibat menangis.
"Sapa Cina tu?"
"Cina mana?"Fisha yang sedang mengesat matanya dengan tisu bertanya balas.
"Tu, Cina yang kau sebut tadi tu"
"Hoi....kau ni, susah payah aku bercerita...mana ada Cina, ni cerita Tak Gu yang aku selalu tengok tu....kau ni fikir apa Lia"Fisha sudah bersuara nyaring.
Aku yang masih keliru mengalih pandangan ke kaca televisyen dan saat itu aku melihat seorang wanita bertopi lebar sedang duduk di satu padang dan seorang lelaki menghulurkan salah satu roti di dalam satu bakul lalu mereka ketawa. Di bahagian bawah kaca televisyen tertulis perkataan King Of Baking yang aku kira merupakan tajuk kepada drama ini.
Bukannya aku tidak perasan kerana setiap kali rancangan itu ditayang aku pasti terpaksa menjadi penonton 'terpaksa' bersama Fisha. Meskipun aku cuba untuk meminati drama bersiri mengenai lelaki si pembuat roti ini, namun ternyata minatku tidak dapat dipupuk apatahlagi apabila melihat setiap watak samaada lelaki atau wanita kelihatan sama sahaja irasnya di mata aku.
"Kesian Tak Gu...tapi Ma Jun yang angkuh tu sesuai dengan Yu Kyung sebab dorang sama. Ma Jun ingatkan Yu Kyung pasal kekurangan dia dan Yu Kyung pun rasa macam dia pandang diri dia bila dia tengok Ma Jun. They see each other inside them, the unfortunate part of themselves...."kata-kata Fisha sedikit terkesan di hati aku.
"Habia tu, si Tako roti tu dengan sapa?"aku mencelah.
"Tako mana pulak?"Fisha bertanya balas.
"Tako...hero yang pandai buat roti tu lah"
"Hoi Mak Cik, itu Tak Gu la...bukan Tako..tako tu yang kau beli kat JJ perasa sotong tu"Fisha sudah ketawa kuat.
Oh, Tako dan Takgu kedengaran hampir sama sahaja pada aku.
"Kalau kau....sapa kau pilih? Tak Gu ke Makjun tu?"
"Makjun otak kau....Ma Jun la...makjun tu yang orang makan"nah, sekali lagi aku gagal mengenal nama watak-watak bermata sepet kegilaan Fisha ini.
"Aah...apa-apa jelah nama dorang. Kalau kau, mana kau pilih, lelaki baik yang tak ada persamaan atau lelaki yang kau rasa benci tapi dia banyak persamaan dengan kau"sengaja aku memancing Fisha untuk mengetahui hati temanku ini.
"Ee....buat apa nak pilih bila aku dah ada Sam..."
"Er...Sha...."
"Aku tau dia dah tak ada...tapi kat sini, dia tak pernah mati Lia"Fisha mendekatkan tangan kanannya ke dada.
Saat itu aku melihat matanya berair sekali lagi dan kali ini aku pasti kalau ianya bukan kerana drama korea di saluran 391 Kbs World tetapi kerana Sam, lelaki yang sudah menjadi arwah semenjak empat tahun lalu.
Tubuh Fisha aku peluk erat dan dalam hati aku berjanji kalau aku akan membantu Ilham untuk memujuk Fisha.
Maafkan aku Sha, aku tahu kau sayangkan Sam, tapi kau kena sayangkan diri kau sendiri. Dah lama sangat Sam duduk dalam hati kau Sha, dah sampai masa untuk kau beri ruang untuk orang lain.....
No comments:
Post a Comment