Monday, 18 August 2014

Seseorang seperti dia 51

   Aku menyalam tangan Kak Laila sebaik sahaja wanita itu menyarungkan sebentuk cincin belah rotan nipis ke jari manisku. Kak Laila kemudiannya tunduk mencium kedua belah pipiku dan aku yang kaget cuma membiarkan sahaja perlakuan wanita bertudung labuh itu.

   "Alhamdulillah...lega hati Akak dengan Abang bila tau Lia yang Ril pilih..."wanita berwajah bersih itu tersenyum ikhlas. Manis.

   Aku tersenyum balas dan mengikut sahaja arahan seorang lelaki bert-shirt putih susu yang memegang kamera besar dan meyuruh aku dan Kak Laila tersenyum supaya dia dapat merakamkan gambar kami berdua. Aku juga kurang pasti akan gerangan lelaki itu tetapi jika tidak salah aku, dia ialah salah seorang jurukamera yang diupah untuk mengambil gambar pernikahan Wardah semalam. Barangkali dia juga turut diupah untuk majlis pertunangan aku hari ini.

   Usai mengambil gambar dengan Kak Laila, setiap dari tetamu mengambil giliran untuk mengambil gambar bersama aku dan suasana sedikit kaku apabila tiba giliran emak. Meski emak tidak bertegur sapa denganku semenjak semalam, hatiku sedikit tersentuh saat emak memeluk dan mencium kedua belah pipiku meski tanpa sebarang bicara. Dan sesungguhnya, hubungan aku dan emak tidak pernah sedingin ini.

   Saat saudara mara sedang sibuk mengambil gambar sesama sendiri, aku cuma berdiri di tepi dan tunduk memandang baju yang tersarung di tubuhku. Baju kebaya rona biru pastel dengan potongan kain duyung dari material crepe shiffon ini adalah baju milik Shasha. Ternyata rezeki aku untuk memakai baju eksklusif yang konon-kononnya dibeli untuk dirinya melaram sewaktu majlis persandingan Wardah dua minggu lagi di Langkawi.

   Asalnya aku cuma mahu menyarung baju kurung cotton hijau berbunga coklat yang kebetulan kubawa pulang sahaja, tetapi setelah puas dibebel Shasha, aku akur dengan kesanggupan Shasha mengorbankan bajunya untuk aku pakai.

   "Gilalah Along nak pakai baju kurung sendu tu...Kang tak pasal-pasal wakil rombongan sana pergi sarung cincin kat tangan 'Pokok Krismas' tu sebab dia lagi glamour dari orang yang bertunang ni"kata-kata Shasha aku sambut dengan ketawa kecil. Faham benar akan gerangan Pokok Krismas itu.

   "Along, Abang Shahril nampak baik. Orang suka... Nasib Along tak jadi tunang dengan Abang Raf sebab mamat tu poyo sangat"dan Shasha memeluk belakang tubuhku saat kata-kata itu diluah. Hatiku sedikit tersentuh.

   "Hmm....Along tahu"entah, tipukah aku kalau sejujurnya aku juga tidak pasti akan apa yang aku ketahui.

   Sedang aku leka membelek jahitan pada hujung lengan baju sambil mengingat kembali akan bicara aku bersama Shasha semalam, aku terasa seperti diriku diperhatikan.

   "Amboi, tersenyum-senyum tengok cincin tunang...itu belum tengok tunangnya lagi"seorang wanita dari rombongan lelaki mengusik aku ramah.

   Aku tersenyum balas kepada wanita yang tidak dapat aku pastikan akan hubungannya dengan Shahril namun wanita yang dipanggil Tok Angah itu punya iras lembut dan menyenangkan.

   "Ambil gambar dengan tunang pulak"lelaki yang mengusung kamera sebesar ketul bata itu bersuara ke arah aku lalu orang-orang di sekeliling memberi sedikit ruang kepada aku dan Shahril yang entah sejak bila sudah berada di sini dan mengambil tempat bersebelahan aku. Entah sejak bila dia berada di dalam majlis ini juga aku tidak pasti kerana tadinya aku langsung tidak perasan akan kehadiran dia di sini.

   Bagaikan sudah berjanji, dia juga ikut sama menyarung kemeja biru cerah dan ceria sahaja dia tersenyum ke arah kamera tadi tanpa rasa kekok dan aku pula yang agak kaku atau lebih tepat kalau aku katakan bahawa aku sedang malu.

   Usai sahaja kami bergambar, semua tetamu bergerak ke bahagian luar untuk makan tengahari. Ternyata majlisku ini agak 'koboi' dan menjimatkan, masakan tidak, khemah yang digunakan adalah khemah kenduri yang masih belum dibuka dan lauk juga adalah lauk yang masih elok dari kenduri semalam serta beberapa lauk tambahan yang dimasak sendiri oleh adik beradik ayah yang masih lagi berkampung di rumah kami.

   Saat ingin bergerak ke luar, aku merasa seperti seseorang menarik selendang perak yang tersarung di atas kepala. Tarikan yang kuat dan gerakan aku yang agak laju ke hadapan menyebabkan kepalaku tertarik ke belakang dan selendang yang tadinya elok terletak juga pastinya sudah senget dan hilang bentuk.

   Aku berpaling laju ke belakang dan aku melihat tangan Shahril sedang memegang hujung selendang aku sambil tersengih ke arah aku. Aku yang sedikit terkejut dan marah kehilangan kata-kata.

   "Satu hari nanti...."dia berbisik perlahan sambik mendekatkan wajahnya ke arah aku.

   "Kalau kita ada anak...."dan semakin mendekat.

   "Hopefully anak kita..."dan dekat lagi. Pastinya wajah aku sedang merona merah saat ini.

   "Tak ikut katik macam kau ya, Tik"dan dia ketawa kuat usai kata-kata itu diluah sambil berjalan keluar mengikut tetamu yang sudah hilang dari ruang tamu rumah.

   Dan saat itu aku terkaku dan sedikit tenganga. Ya, inilah Shahril yang aku kenal, Shahril yang baik dan manis serta sopan semalam cuma sementara sahaja. Shahril is back!

 

 

No comments:

Post a Comment