Sunday, 17 August 2014

Seseorang seperti dia 50

   Aku memandang wajah emak yang kelat cuma untuk beberapa saat sebelum aku tunduk memandang lantai. Tidak berani rasanya untukku bertentang mata dengan emak yang pastinya sedang marah serta kecewa dengan tindakan aku.

  Usai sahaja kejadian tadi, Raphael terus mengajak ibunya pulang tanpa sedikitpun menjamah nasi yang sudah diambil. Sekilaspun wajah aku tidak dipandang lelaki yang sudah masam mencuka wajahnya itu. Mujurlah Mak Cik Ina tidak berkata yang tidak-tidak dan dalam senyuman manis dia cuma menepuk bahuku sambil berkata....

   "Tak ada jodoh....rezeki Mak Cik nak bermenantukan Lia tak ada....nak buat macam mana kan" lembut suara wanita itu membuatkan rasa bersalahku semakin berganda.

   "Maafkan Lia Mak Cik Ina"hanya itu jawapan yang mampu aku berikan meski jauh di sudut hatiku sedar kalau apa sahaja jawapan jua belum cukup untuk memujuk perasaan wanita tua yang telah aku gores hatinya.

   "Dah lama kamu kenal dengan Shahril ke Along?"suara abah memecah kesunyian di ruang tamu.

   Mujurlah tiada tetamu lagi memandangkan waktu sudah menginjak ke angka 8.30 malam dan para tetamu juga sudah pulang kerana aturcara kenduri telah tamat sekitar jam 6 petang tadi. Kalau adapun, cuma tinggal saudara mara sahaja, itupun mereka sekarang sedang berkampung di bahagian dapur, kerana aku kira semua orang sedang memberi ruang kepada kami anak beranak untuk berbincang.

   Di hadapan aku emak dan ayah kelihatan serius memandang Shahril yang sedang duduk di atas sofa bersebelahan aku. Rasa bersalah menyerang tiba-tiba, tidak pasal-pasal lelaki itu sudah kutarik ke dalam masalah peribadiku. Usai sahaja Raphael pulang, aku masih belum punya kesempatan untuk berbicara dengan Shahril, tahu-tahu sahaja ayah sudah menarik Shahril dan bercakap sendirian dengan lelaki itu sebelum sempat Shahril menegur aku.

    "Ermm...da dekat enam bulan ayah"lambat-lambat aku menjawab soalan ayah.

    Sekali-sekala aku menjeling ke arah Shahril yang kelihatan tenang. Wajahnya kelihatan bersih dan agak kacak setelah jambang liar dicukur bersih meninggalkan misai dan janggut yang kemas.

   "Mak ayah kamu orang mana?"ayah menyoal Shahril pula.

   "Saya asal Kedah Pak Cik. Tapi orang tua saya dah lama arwah. Tinggal saya seorang saja sebab saya tak ada adik beradik lain"sopan sahaja lelaki itu menjawab soalan ayah.

   Meski suara ayah kedengaran santai, namun hatiku tetap berdebar-debar. Tidak sangka pula kalau ucapan spontanku tadi untuk menghalau Raphael sudah mengheret aku ke dalam masalah baru.

   "Kamu saudara dengan rombongan lelaki ke?"emak menyoal dan ada nada keras dalam suara itu.

   "Kak Laila sekeluarga dah macam famili saya Mak Cik, mereka saja keluarga angkat saya dan satu-satunya keluarga yang saya ada"

    "Kenapa Along tak pernah bagitau kami pasal Shahril. Kalau tak dah lama ayah boleh kenal bakal menantu ayah"aku menelan liur yang sudah kesat.

   "Err...kami baru kawan je ayah...belum fikir..."

   "Saya yang tak bagi Lia bagitau Pak Cik. Tunggu masa yang sesuai....Lagipun kami masih dalam proses berkawan, kan Lia"Shahril memotong bicara aku lalu dia memandang ke arahku dan setelah sekian lama tidak bersua, mata kami kembali bertaut.

   "Err...aah...tunggu masa yang sesuai"aku membalas sambil mataku masih memandang kepada sepasang mata yang bercahaya itu.

   "Kamu sayangkan anak Pak Cik?"ayah bertanya tiba-tiba.

   Sudah, wajahku pastinya sedang berona merah, aku malu, bukannya malu tersipu-sipu tetapi malu kepada Shahril, entah apa pula yang lelaki itu fikirkan tentang diriku ini.

   "InsyaAllah Pak Cik. Perasaan saya takkan berubah"aku tersentak mendengar jawapan lelaki itu.

   "Kamu nak bertunang dengan anak Pak Cik?"soalan ayah semakin tidak relevan.

   "Ermm...ayah...Along dengan Shahril belum bincang..."aku cuba mengawal keadaan sebelum menjadi parah.

   "Kalau Pak Cik izinkan"jawapan tenang Shahril membuatkan dadaku semakin kencang berdegup.

    Bala atau penyakit, yang pastinya ianya adalah kesan daripada penipuan yang aku ciptakan sendiri. Mata kami bertentang sekali lagi dan perlahan-lahan aku menggeleng kepala kepada Shahril.

   Awak tak perlu buat macam ni. Hatiku bersuara sambil menggeleng perlahan.

   Saya tak nak babitkan awak. Saya tak sengaja cakap yang awak bakal suami saya tadi. Saya tak sangka benda ni jadi sampai macam ni sekali. Dan saat ini aku kira mataku pula yang sedang bercahaya, atau lebih tepat lagi aku sudah ingin menangis.

    Shahril cuma menandang aku sambil tersenyum manis. Dalam pandangan matanya aku lihat dia sangat tenang seolah-olah sedang berkata-kata kepada aku 'it's ok Lia'. Atau itu hanyalah pendapat aku sahaja untuk melegakan rasa hati yang sedang berkecamuk.

   "Err...ayah...Along belum bersedia"

   "Kamu ni dah kenapa Along. Raf yang baik kamu tolak, tau-tau cakap kamu kawan dengan budak ni, dah sekarang orang suruh bertunang kamu cakap tak bersedia. Eh, kamu jangan nak malukan emak. Orang dah mula bercakap kamu tahu tak bila kamu asyik tolak saja semua laki-laki yang emak carikan"Nah, emakku sudah meletus. Letusan yang sudah kujangka.

   Bukan aku tidak faham rasa hati emak. Sejak dari saat aku mulai mengajar, sudah beberapa kali juga emak cuba untuk mengenalkan aku kepada beberapa orang lelaki. Aku faham hati emakku, ibu mana yang tidak risau melihat anak gadisnya masih sendiri sedang teman seusia aku sudah mulai menikah dan membina keluarga dan aku masih begini meski usia semakin bertambah.

   Dan alasan-alasan biasa seperti belum bersedia dan belum berjodoh sering aku taburkan untuk mengelak akan soal jodoh. Kebiasaannya persoalan jodoh itu akan hilang sendiri apabila aku menunjukkan riak tidak minat dan emak pula pasti akan senyap tetapi hal berkenaan Raphael ini ternyata membuat emak begitu terkilan. Barangkali kerana emak benar-benar berharap agar dapat berbesankan Mak Cik Harlina dan menutup mulut orang sekeliling yang semakin galak bertanya soal jodohku.

   Kalaulah emak atau orang di luar sana tahu kalau selama aku menolak lelaki-lelaki yang datang, ianya bukanlah kerana aku belum bersedia, tetapi aku terlalu bodoh untuk menanti Hilmi. Tidak ingin rasanya aku bertemu Hilmi pada saat aku sudah terlanjur menjadi hak lelaki lain. Saat aku sudah punya keluarga dan tidak punya peluang untuk bersama dia lagi. Ya, betapa bodohnya aku!

   "Kita bertunang dulu ya Lia. Ikut cakap ayah awak"

   Bagaikan terpukau, aku cuma mengangguk perlahan mengiayakan kata-kata Shahril. Dan entah kenapa aku merasa bahagia, perasaan yang tidak pernah aku rasakan bersama Raphael. Gilakah aku?

  "Hah..eloklah tu, besok suruh Laila datang jadi wakil kamu. Alang-alang semua dah ada, kita tunangkan ja kamu berdua"ayah semakin  bersemangat.

   "Err...esok ke ayah?"aku semakin terkejut. Secepat inikah ayah mahu aku bertunang.

   "Kenapa? Kamu nak bernikah terus ke malam ni?"sinis suara ayah.

   Shahril yang sedang meneguk air teh di dalam cawan tersedak lalu terbatuk. Cepat-cepat aku menggeleng dan saat itu aku melihat wajah emak sudah masam mencuka.

 
 

 
 

 

No comments:

Post a Comment