Monday, 25 August 2014

Seseorang sepertia dia 52

   Aku mengeliat ke kiri dan kanan usai kereta kuparkir di hadapan rumah sewaku. Meskipun masih merangkak dan tidak begitu cekap memandu, aku bersyukur kerana perjalanan pulangku lancar meski aku mengambil masa yang agak lama untuk memandu pulang.

   Dengan lenguh yang masih bersisa, aku melangkah lesu ke dalam rumah sambil menjinjit beg pakaian yang sebenarnya hampir tidak berisi pakaian tetapi penuh berisi makanan yang emak bekalkan dari kampung. Tidak cukup dengan itu, entah berapa jenis buah-buahan kampung yang emak bekalkan juga aku tidak pasti.

   "Bagi Pisa tu makan"itu sahaja jawapan emak saat aku membulatkan mata melihat beg pakaianku sendat berisi makanan.

   Sememangnya semenjak dahulu emak tidak pandai menyebut nama Fisha. Sekejap Pisah, Ishah, dan entah bagaimana lama-kelamaan ianya bertukar menjadi Pisa. Aku tidak sedikitpun menolak makanan pemberian emak kerana bimbang hati tua yang baru sahaja mahu menegurku itu merajuk lagi.

   Saat kaki melangkah ke dalam rumah, cuma satu sahaja yang terbayang di pelupuk mataku, katil dengan tilam empukku. Saat aku sampai di hadapan pintu bilik, aku melihat satu nota kecil berbentuk bintang dengan warna merah jambu. Nota itu aku tarik lalu aku membaca tulisan kemas yang tercatit pada nota comel tinggalan Fisha padaku.

   'Aku kena panggil pergi kursus btn last minit. Jangan call or wassap sebab dalam hutan sana tak ada line....aku balik hari Ahad nanti....makanan yang mak kau pesan tu tolong simpan elok-elok ya Tik'.

   Patutlah tiada kelibat Fisha menyerang aku di pintu seperti kebiasaan, rupa-rupanya temanku ini terpaksa bermalam bersama nyamuk dan unggas di dalam kem rupanya. Kertas kecil itu aku masukkan ke dalam poket seluar lalu aku melangkah laju dan menghempaskan tubuh ke atas tilam. Lega. Selendang yang melilit kepala aku buka dan aku tarik perlahan-lahan, dan tubuhku masih terbaring malas.

   Saat jemariku memicit kepala yang sedikit berdenyut, gerakanku mati saat aku memandang sebentuk cincin belah rotan di jari manis. Cincin yang muat elok pada jari itu aku tatap perlahan. Siapa sangka kalau aku kini sudah bergelar tunangan orang. Orang yang tidak kusangka-sangka pula.

   Dalam pada aku menatap cincin pemberian Shahril itu, aku tiba-tiba teringat pada pesanan ayah pagi tadi sebelum aku bertolak pulang. Setelah selesai menunaikan solat Subuh, aku duduk berteleku di atas tangga sambil melihat emak menyapu dedaun kering di halaman rumah dengan penyapu lidi.

   "Jangan duduk atas tangga. Anak dara tak elok duduk atas tangga. Orang tua-tua cakap, nanti tak ada orang masuk meminang"aku cuma tersenyum melihat emak menegurku.

   Sememangnya, emakku ini memang banyak pantang larang dan petua. Hampir setiap kali dia berbicara, pastinya terselit ayat seperti 'orang tua-tua cakap' ataupun 'orang dulu-dulu pesan' diikuti dengan seribu satu pantang larang yang kadang-kadang membuatkan aku dan adikku ketawa terbahak-bahak.

   Sememangnya, sengaja aku duduk bertenggek di atas tangga di hadapan rumah, sekurang-kurangnya perbuatan aku yang melanggar 'pantang' emak itu membuatkan emak mahu bercakap denganku semula.

  "Ala, tok sah la risau, sikit hari lagi mak nak dapat menantu dah. Dah ada orang yang nakkan Along ni, jangan kata duduk atas tangga, duduk bertenggek atas jalan sanapun confirm Along ni jadi kahwin mak"dan entah sejak bila Shasha berdiri di belakangku juga aku tidak sedar.

  Tahu-tahu sahaja adikku yang masih berbaju kelawar dengan manik-manik swaroski itu sudah berani mematahkan kata-kata emak. Sememangnya Shasha mementingkan gaya, sehingga baju untuk dibawa tidurpun dipastikan supaya cantik dan 'glamour'.

   "Dah kamu tu Cah lambat bangun kenapa. Eh itik yang aku bela pun tau bangun awal pagi, tapi kamu tu mengalahkan itik kalau bab kena bangun pagi"dan emak sudah membebel panjang diikuti dengan balasan kata-kata Shasha.

   Aku cuma menjadi pemerhati, kata ayah, emak dan Shasha seperti watak kartun empat segi kuning dengan watak sotong bersuara sengau di dalam televisyen, pantang berjumpa pasti bergaduh, tetapi kalau salah seorang jatuh sakit pastinya nama yang seorang lagi disebut dahulu.

   Aku cuma tersenyum, ada-ada sahaja ayah dan pastinya ianya merujuk kepada watak Spongebob dan Squidword di televisyen, sejak bila ayah pandai menonton rancangan sebegitu juga aku tidak pasti.

   Saat aku melihat emak bertekak dengan Shasha, aku melihat kelibat ayah berjalan masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Aku bergerak ke arah dapur dan menarik kerusi di sisi ayah. Sememannya sudah menjadi kebiasaan untuk ayahku bersarapan selepas pulang dari surau.

   "Along nak balik harini ayah"

   "Lah...cepatnya Along balik. Bukan sekolah buka lusa ka?"suapan nasi lemak ayah terhenti lalu mata tua ayah memandang wajah aku.

  "Saja balik awal, elak jam dan nak kemas rumah sikit"

  "Shahril tahu Along balik Nilai harini?"ayah menyambung suapan yang terhenti dan aku cuma mengangguk tanpa sedikitpun memandang wajah ayah.

   Kalaulah ayah tahu yang aku punya sedikit sahaja maklumat berkenaan lelaki itu, adakah ayah akan mengamuk. Dan sememangnya, terlalu sedikit perihal berkenaan lelaki itu yang aku ketahui, pekerjaannya, tempat tinggal malahan nama penuhnya juga tidak pernah aku ketahui.

    "Masa Along cakap dia bakal menantu ayah, ayah dah rasa lega. Sebab dia kenal sejadah, kenal solat dan tahu hukum hakam. Kalau Along nak tahu, pagi yang Along sampai, dialah yang azankan Subuh kat surau kita. Tak sangka orang asing yang Ayah berkenan tu memang pilihan Along"panjang lebar penjelasan ayah.

   Hatiku sedikit lega, meski aku tidak mengenal Shahril dengan mendalam, sekurang-kurangnya aku sudah mendengar satu sisi baik berkenaan lelaki itu dari ayah.
 
   "Nasib Along tak pilih budak minyak tu. Ada ka dia bagi alasan terlupa bila ayah tanya arah kiblat"beria-ria pula ayah bercerita.

   "Ayah tanya arah kiblat. Bila?"dan ini adalah  kali pertama aku dengar mengenai hal ini.

  "Masa mula-mula Mak kamu dalam hoslital, ada sekali ayah tumpang tidur rumah dia, ayah tak bagitau sebab kesian tengok Along penat ulang-alik sebab nak kena mengajar lagi. Masa tu ayah dah tak berkenan, kalau dah macam tu jawapan, nampak sangat yang dia tak pernah kenal mana kiblat yang betul dan mana satu yang nak disujud"

   "Kenapa ayah tak pernah bagitau emak?"

   "Emak kamu tu baru nak baik sakit. Masa sihat pun bukan main drama, inikan pulak sakit, mahu drama Hindustan ayah nak kena layan kalau ayah tolak budak minyak tu. Tapi kalau betul dia nak kahwin dengan Along, ayah akan paksa dia kahwin dengan agama dulu, barulah boleh jadi menantu ayah"panjang lebar penjelasan ayah dan aku akur kalau kata-kata ayah itu ada betulnya.

   Masakan tidak, setiap kali Raphael mengajak aku keluar, lelaki itu tidak pernah memberatkan solat kecuali jika aku mengajak. Dan saat aku 'bercuti', dia ikut sama bercuti tanpa sedikitpun mahu mencari surau untuk bersolat.

  "Apa-apapun ayah restu Along dengan Shahril. Balik Nilai jangan lupa kirim salam dia ya"

   Kata-kata ayah aku sambut dengan anggukan. Nah ini satu lagi masalah kerana sesungguhnya, aku juga tidak memiliki nombor telefon lelaki itu.

   Suara Bruno Mars menjerit dari dalam beg tangan yang sudah tergolek di atas lantai. Sedikit berkerut dahiku saat melihat nama pemanggil yang terpapar pada skrin telefon bimbit.

   "Assalamualaikum"

   "Waalaikumussalam"

   "Erm...saya ganggu Lia ke?"

   "Taklah, kenapa Ilham cari saya ya?"

   "Er...saya nak tanya pasal janji kita haritu"

   "Janji mana ya?"dan automatik aku menepuk dahi. Pastinya lelaki ini mencari aku kerana Fisha.

   "Saya harap sangat Lia dapat tolong saya"suara Ilham kedengaran perlahan dan mengharap.

  "Bukan saya tak nak tolong...tapi"serba salah rasanya untuk aku mencampuri urusan peribadi Fisha apatahlagi setelah aku melihat bagaimana Fisha pernah 'mati' saat ditinggal pergi oleh Sam.

   "Kalau awak sudi, saya sanggup balas jasa awak. Cakap saja apa Lia nak, saya boleh tolong"

   "Satu syarat"terbit idea jahatku saat itu.

   "Apa sahaja"

   "Saya akan tolong awak kalau awak boleh tolong saya kenal Shahril lebih dekat"perasaan malu sudah kucampak jauh.

    Cuma lelaki ini sahaja harapanku untuk mengenal Shahril saat ini. Lama juga Ilham terdiam sebelum dia menyambung...

   "Lia pun sukakan Shahril juga ke?"

   Suka? Juga? Aku kurang faham akan maksud kata-kata Ilham itu.

   "Saya ingat Shahril ja yang suka Lia. Tak sangka pulak korang sama-sama suka"dan kata-kata Ilham mati di situ kerana aku sudah ternganga tanpa sedikitpun dapat kutangkap akan kata-kata seterusnya dari Ilham.

 

No comments:

Post a Comment