Friday, 1 August 2014

Seseorang seperti dia 39

     Srettt....wanita beruniform merah itu menghembuskan hingusnya pada tisu di tangan.

    "Nasib baik akak dapat tau semuanya....sebelum....kami menikah"dan sekali lagi hingus dihembus usai dia berbicara dalam esak tangis.

   Mulut Fisha sudah sedikit ternganga melihat kepada makhluk cantik di sebelahku yang sedang kesedihan sambil menenangkan aku. Dalam pada itu, sempat pula aku melihat Fisha mengambil gambar wanita itu secara curi-curi. Pastinya kurang beberapa saat lagi wanita ini bakal menjadi hiasan di laman instagram temanku Fisha. Aku menjegilkan mata kepada Fisha tetapi temanku itu cuma mengangkat bahu sebelum tumpuannya kembali kepada telefon bimbit di tangan.

   "Err...maaf kak...saya rasa akak....."aku sedikit teragak-agak untuk meneruskan bicara.

   Sungguh aku tidak mengenali wanita ini dan aku juga pasti kalau dia sudah tersalah orang. Beria-ia pula dia menangis di sebelahku sambil diselang-selikan dengan nasihat-nasihat tentang seorang lelaki yang tidak berguna yang langsung tidak aku kenali!

   "Akak tau dik...akak pun mangsa cinta kasanova dia..."sretttt....sekali lagi hingus dihembus.

   Tidak cukup dengan itu, wanita itu selamba sahaja menarik tisu di dalam genggaman tanganku dan...srettt....hembusan demi hembusan dilepaskan lagi.

   "Apa-apapun, akak minta maaf pasal hal dekat depan kedai haritu...Akak mengaku salah dik...Tak patut akak cakar kau dik, kau tak salah...Yang salah bang Dollah kerana dah mempermainkan perasaan kita....akak harap hubungan kau dengan bakal suami kau yang serabai tu tak terjejas ye dik"usai berbicara,wanita yang sudah sedikit tenang itu tersenyum manis ke arahku dan aku teringat sesuatu.

    Patutlah dia beria-ria menenangkan aku yang juga sedang menangis. Rupa-rupanya wanita ini ialah Rohani. Pastinya lelaki tak guna itu ialah Abang Abdullah, suami kepada Kak Zi. Dan pastinya sedari tadi Rohani menasihati aku itu dan ini kerana dia menyangka kalau aku sedang bersedih gara-gara Bang Dollah kesayangannya.
 
   Aku menjarakkan sedikit diriku dari Rohani lalu tangan kananku automatik memegang pipi yang masih berbekas parut dek kerana cakaran dia tempoh hari. Tiba-tiba mindaku teringat akan peristiwa di hospital dua hari lepas.....

      "Boleh. Dengan satu syarat"terpacul ayat itu saat aku melihat lelaki berbaju belang ini masih melutut di hadapanku.

    "Saya nak abang betulkan balik kesalahan abang"

    "Adik cakap ja...abang ikut...asal bini abang tak tau pasal Rohani. Kesianlah bini abang baru beranak, nanti naik meroyan pulak dia". Wajah itu sudah kelihatan risau dan aku dapat merasakan keikhlasan pada ucapannya.

   "Rohani tau pasal isteri dengan anak abang?"dia menggeleng.

   "Kak Zi mestilah tak tau pasal Rohani kan?"dan kali ini dia mengangguk.

   "Kalau macam tu, saya rasa abang lebih tau apa nak buat"aku bersuara perlahan sambil jari telunjukku mengarah kepada telefon bimbitnya yang masih tergenggam di jari kiri.

   "Jangan aniaya anak-anak abang dengan buat macam ni dekat mak diaorang... dan janganlah abang aniaya Rohani...saya boleh maafkan dia pasal hal tadi, sebab saya yakin dia tak tahu hal sebenarnya"lelaki itu menangguk lemah sambil bangun dari posisi melutut.

   Dan dia mennghubungi Rohani sejurus selepas tubuhnya dijarakkan denganku. Dan pastinya lelaki itu sudah membetulkan kesilapannya dengan memutuskan hubungan bersama Rohani melihat kepada keadaan wanita ini sekarang.
 
    Tidak semena-mena, terbit rasa kasihanku kepada Rohani. Ternyata satu-satunya kesalahan yang dia lakukan adalah jatuh cinta pada lelaki yang salah. Pada suami orang, lelaki yang sudah menjadi hak wanita lain.

    "Janji dengan akak adik takkan sedih pasal Abang Dollah lagi ya"aku cuma mengangguk. Malas membetulkan salah faham yang sedia terjadi, aku memilih untuk mengangguk dan menipu.

   "Akak doakan hubungan adik dengan bakal suami berkekalan"aku masih mengangguk. Tipu lagi.

   "Ingat ye dik, cari lelaki yang sayang kita seorang saja, bukan lelaki yang anggap kita ni sebagai orang kedua atau ketiga dalam list orang-orang yang patut dia sayang"aku mengangguk dan kali ini ianya bukanlah anggukan menipu.

   Aku sedikit sayu mendengar ucapan ikhlas wanita itu. Rohani kemudiannya bangun lalu dia memeluk erat tubuhku yang ikut sama berdiri sebelum tubuh langsing itu berlalu pergi sambil menarik bagasi di sisi.

    Tiba-tiba aku terkenang akan Hilmi. Terbit perasaan ingin tahu akan hati lelaki itu. Apa dia menyayangi Nurin sepenuh hati atau aku dan Nurin hanyalah nama-nama yang tertulis dalam senarai wanita yang patut dia kasihi.

   Pengumuman supaya penumpang pesawat Air Asia AK6311 bergerak masuk mengejutkan aku lalu aku dan Fisha ikut sama bergerak ke arah barisan orang ramai yang sedang beratur. Saat kaki melangkah memasuki badan pesawat merah putih ini, aku bertekad, biarlah apa sahaja yang berlaku di pulau ini menjadi sejarah dalam hidupku. Aku ingin melupakan semuanya, tentang Hilmi, tentang Nurin mahupun Shahril....tetapi, mampukah aku?
    

No comments:

Post a Comment