Saturday, 2 August 2014

Seseorang seperti dia 41

   Aku kembali ke bilik guru setelah selesai mengajar kelas terakhir sebelum sekolah bercuti selama seminggu mulai esok.

   "Terima kasih"aku mengucapkan terima kasih kepada Rahimi yang sudah membantu aku membawa buku latihan pelajar untuk ditanda sehingga ke dalam bilik guru.

   Remaja berusia 15 tahun cuma tersenyum sebelum mengucapkan selamat bercuti kepada aku. Aku tersenyum balas, sudah dua tahun aku menggalas tugas sebagai guru matematik dan juga guru kelas kepada Tingkatan 3 Sains 1 ini.

   "Cikgu Lia, saya dengar Cikgu nak balik kampung ada kenduri kahwin...."suara Cikgu Aziz menyapa aku sebaik sahaja aku melabuhkan punggung di kerusi.

   Guru lelaki berbadan gempal itu sudah bangun menuju ke arah mejaku dan Cikgu Abidah yang sedang duduk di kerusi bersebelahan aku ikut sama mendekat menunjukkan minat kepada percakapan antara aku dan Cikgu Aziz.

   "Memang kenduri. Tapi kenduri sepupu, bukan saya"semoga mereka akan diam semula. Kadang-kadang aku merasa geram, entah dari mana sahajalah mereka mendengar kisah kenduri ini kerana seingat aku, tidak pernah pula aku menghebohkan aktiviti aku pada cuti sekolah kali ini kepada sesiapa.

   "Oh, saya ingatkan Cikgu yang nak kahwin"suara Cikgu Aziz sudah mengendur dan dia kembali ke mejanya semula. Cikgu Abidah juga ikut sama menjauh dan kembali menyambung kerjanya yang tergendala.

    Kadang-kadang aku merasa sedikit susah menjadi wanita bujang di kalangan rakan sekerja yang rata-ratanya sudah berumah tangga dan beranak-pinak. Itu belum dikira dengan sifat ambil berat mereka yang acapkali mengucapkan rasa simpati kerana melihat aku masih sendiri di usia hampir menginjak 30 tahun.

    Tetapi mereka cuma berani dengan diri aku sahaja, dengan Fisha tidak ada seorangpun yang cukup berani bertanya hal peribadi guru Bahasa Inggeris tersebut. Barangkali ianya kerana masing-masing sudah faham akan perangai Fisha yang cepat melenting dan tidak teragak-agak untuk membalas apa sahaja pertanyaan yang tidak disenanginya dengan jawapan pedas dan sinis.

   "Lia...akak dari kantin tadi. Katanya ada orang cari kamu"Kak Rozita yang digelar Akak Pink oleh Fisha datang mencari aku tiba-tiba.

   "Orang cari saya? Sapa kak?"perasaan ingin tahu datang tiba-tiba. Wanita berusia 40-an dengan baju kebarung merah jambu berbunga kuning itu cuma menggeleng laju tanda tidak tahu.

   "Hensem orangnya Cikgu Lia"sempat lagi Kak Rozita menambah.

   Aku berteka-teki di dalam hati saat kakiku melangkah ke arah kafe. Siapa pula lelaki kacak yang datang mencariku sehingga ke sekolah. Jangan-jangan Raphael? Tetapi mustahil juga Raphael kerana Kak Rozita sudah awal-awal memberitahu aku kalau lelaki itu kacak dan putih melepak, sememangnya bukan seperti gambaran Raphael yang sedikit hitam manis orangnya.

   Sampai sahaja di kantin sekolah, aku tidak memerlukan masa yang lama untuk mengecam lelaki tersebut. Dia tersenyum manis sambil melambai ke arahku dan membuatkan aku sedikit pegun. Setelah enam bulan, tiba-tiba dia muncul kembali.

 

No comments:

Post a Comment