Saturday, 2 August 2014

Seseorang seperti dia 40

   Jeritan Bruno Mars dari telefon bimbit mengejutkan aku yang sedang leka memeriksa buku-buku latihan anak muridku. Malas dan tiada mood untuk menjawab panggilan tersebut, aku membiarkan sahaja telefon itu terus menjerit sehingga akhirnya berhenti sendiri.

   Mataku kembali difokuskan kepada buku dan pen merah yang masih setia di tangan. Tumpuanku cuma hadir selama beberapa saat sebelum dikejutkan dengan nyanyian Bruno Mars sekali lagi.

   Satu keluhan perlahan aku lepaskan sambil pen merah aku letakkan ke atas meja. Aku bangun lalu bergerak malas ke arah katil, dan berharap kalau si pemanggil di hujung sana akan berputus asa dan mematikan talian. Namun suara lelaki berambut kerinting itu terus menjerit.

   Samsung S4 aku kutip dari atas katil lalu mataku melirik sekilas pada nama pemanggil di skrin. Raphael. Sebaris nama itu muncul, pemanggil yang sudah dapat kuagak. Tidak cukup dengan itu, di skrin telefon bimbitku turut terpapar wajah lelaki itu berlatar belakangkan pelantar minyak. Masih jelas lagi bagaimana Raphael memaksa aku meletakkan wajahnya di situ.

   "Senang kalau saya call, awak terus ingat saya"dan kerana malas memanjangkan cerita, permintaan lelaki itu aku ikuti sahaja.
 
   "Assalamualaikum"aku menjawab malas.

   "Sihat"pertanyaan rutin itu sudah dapat kuagak lalu aku membalas sepatah.

   "Dah, tadi"jeda. Hanya kedengaran suara lelaki itu riuh bercerita itu dan ini.

   "Fisha yang masak"dan sekali lagi mulutku diam disambut dengan bicara Raphael yang masih ceria di hujung sana.

   "Erm...Raf...saya rasa malas la nak keluar. Esok-esok jelah, lagipun awak mesti penat kan baru balik laut"ajakan lelaki itu aku tolak lembut.

   "Tapi Lia, saya dah ada depan rumah awak ni"kedengaran suara Raphael semakin ceria.

    Bagaikan dipanah petir, dadaku berombak kencang. Aku bergerak ke arah tingkap lalu tirai aku selak sedikit. Ternyata kereta Honda City putih milik lelaki itu sudah diparkir di hadapan rumah sewaku.

   "Tunggu kejap. Nanti saya keluar"tanpa mendengar balasan dari lelaki itu, aku mematikan talian.

    Sekali lagi aku mendengus perlahan. Geram. Sudah berkali-kali aku katakan pada lelaki itu kalau aku tidak selesa sekiranya dia datang menjemputku pada waktu malam kerana rumah sewaku terletak di kawasan kampung dan aku bimbang kalau ada yang memandang serong terhadap aku dan Fisha memandangkan kami berdua masih bujang.

    Jubah hitam yang sedia tergantung di sisi almari aku ambil dan aku sarungkan ke badan. Malas berfikir, tudung sarung Ariani yang aku pakai ke sekolah tadi aku sarungkan ke kepala. Setelah yakin penampilan aku sudah sempurna, aku mengambil beg tangan dan telefon bimbit lalu aku bergerak keluar.
 
    "Hoi Ustazah, kau nak pergi mana?"Fisha yang sedang menonton televisyen di ruang tamu menegur aku.

   "Raf...ada kat luar dah"aku memuncugkan mulut ke arah pintu.

    "Ait, rajin pulak kau keluar. Selalu bukan main liat lagi. Ada ja alasan kau. Dah terbuka hati ke Ustazah?"Fisha sudah tersengih-sengih sendirian.

   "Dia tak cakap, tau-tau dah ada depan rumah"

   "Ooo....hati-hati dating dengan abang minyak kau ya Ustazah Lia"Fisha melaung kuat saat aku sudah berada di pintu untuk memakai kasut.

    Geram dengan usikan tidak kena tempat Fisha, stoking yang terselit di celah kasut Fisha pada rak aku gulungkan menjadi bulatan lalu aku baling ke arah Fisha.

   "Hoi, busuklah...."aku mendengar Fisha menjerit saat aku sedang menutup pintu. Semenjak pulang dari Langkawi enam bulan lepas, Fisha seringkali mengusik aku dengan panggilan Ustazah sebagaimana panggilan Fardel Akashah padaku.

   "Maaf lama tunggu"aku tersenyum pada Raphael yang ikut tersenyum sambil membukakan pintu kereta kepada aku.

  "Untuk Lia, sampai berhari-hari pun saya sanggup tunggu"ungkapan lelaki itu aku biarkan sepi dan kereta terus bergerak.

   Sepanjang perjalanan aku cuma mendiamkan diri dan menjadi pendengar setia kepada celoteh Raphael. Tanpa aku sedar, kereta sudah diparkir di hadapan kedai makan Adam di bandar Nilai.

   "Jom".dan entah sejak bila juga Raphael sudah keluar dan sedang membukakan pintu kereta untuk aku. Teruk betul aku berangan sampai tidak sedar akan kejadian di sekeliling.

   "Awak nak makan apa Lia"Raphael bertanya kepada aku seteleh dia selesai memesan makanan.

   "Air teh suam ya dik"gadis bertudung hitam dengan t-shirt sendat itu tersenyum sambil menulis sesuatu di atas kertas di tangan.

   "Takkan minum ja. Makan la"Raphael menyuakan menu kepadaku tetapi aku menggeleng sambil tersenyum.

   "Takpe, saya dah kenyang"

   "Ala...makanlah sikit. Western sini sedap tau"Raphael masih mencuba nasib sambil mengenyitkan matanya kepada aku. Gadis bertudung hitam tadi tersenyum sipu kepada aku.

   "It's ok. Saya dah kenyang"mungkin kerana suaraku kedengaran tegas, Raphael terus memeberitahu gadis tadi kalau itu sahaja pesanan kami.

    Dan suasana antara kami kembali sunyi sambil aku leka memerhatikan sebuah keluarga yang sedang makan di meja berdekatan.

   "Lusa kita balik kampung sekali ya"Raphael bersuara sambil menyuap mee goreng yang baru sampai ke dalam mulut.

   "Takpelah, saya nak drive. Senang kalau nak ke mana-mana nanti"air di cawan aku sisip perlahan.

   "Nanti saya suruh mak saya hantar cincin tanda ya Lia"Raphael bersuara perlahan.

   Aku sedikit terbatuk, tersedak air yang sedang diminum. Raphael bangun dan menepuk belakangku sambil diperhatikan oleh mata-mata di sekeliling.

   "Raf...kita kan dah bincang pasal ni"aku bersuara setelah aku kembali tenang.

   "Dah enam bulan Lia. Mak saya dah mula tanya. Takkanlah awak masih belum boleh buat keputusan"dan sekali lagi lelaki itu memaksa aku.

   Meski dia lelaki sempurna, bekerjaya, menghormati orang tua dan melayan aku dengan baik, entah di mana silapnya sehingga hatiku sedikitpun tidak terbuka untuk lelaki berusia 30 tahun ini. Lelaki yang dicarikan emak untuk aku dan lelaki dan sudah emak panggil sebagai bakal menantu.

   "Jangan paksa saya Raf..."aku sudah mulai geram.

   Setiap kali kami bersua muka, pasti isu yang sama akan timbul dan kami akan kembali kepada kitaran yang sama. Dia yang memaksa, aku yang menolak dan kami akan bergaduh sebelum dia datang semula untuk memujukku.

   Aku penat. Apa lelaki ini tidak pernah faham kalau aku tidak punya perasaan padanya. Satu-satunya alasan kenapa aku masih meneruskan hubungan tidak bernama antara kami ialah kerana desakan emak.
 
   Dan Raphael terus makan dengan diam. Aku lihat ada riak ketengangan pada wajah hitam manisnya tetapi aku cuma membiarkan sahaja keadaan itu. Dan suasana tetap sunyi antara kami sehinggalah tiba di hadapan rumah sewaku.

   "Saya akan tetap suruh mak saya hantar cincin tanda"lelaki itu membuat aku geram sekali lagi.

   "Awak tak faham ke saya cakap. Saya tak cintakan awak. Saya tak boleh. Jangan paksa saya ok"dan aku sedar suaraku sedikit meninggi saat ini.

   "Bagi saya satu alasan kenapa awak tak boleh terima saya. Saya ada kerja, famili baik-baik, mak awak dah sukakan saya. Apa lagi awak nak Lia"dan pertama kali lelaki itu turut meninggikan suara kepada aku.

   "Sebab saya dah ada orang lain"aku membalas geram.

   Tipu. Sememangnya tiada siapa-siapa di sisi aku, tetapi aku sahaja yang masih belum bersedia. Aku perlukan waktu dan sifat Raphael yang suka memaksa sedikitpun tidak akan membantu.

    Aku keluar dari kereta dan melangkah laju ke dalam rumah. Malas rasanya mahu terus bertekak dengan Raphael mengenai isu yang sama. Belumpun sempat aku sampai ke dalam bilik, telefon bimbitku menjerit kuat.

   Terpapar nama emak di skrin telefon lalu aku mendengus geram. Dan kitaran yang sama berlaku lagi. Usai sahaja kami bertekak, pastinya Raphael akan menghubungi emak untuk mengadu mengenai perangaiku dan diikuti oleh panggilan telefon oleh emak. Sungguh aku rimas.

   Sememangnya kalau aku berkahwin dengan lelaki itu, apakah dia akan memberitahu pada emak akan setiap satu dari perkara yang terjadi dalam perkahwinan kami. Setiap kali kami berselisih faham, setiap kali kami bergaduh dan setiap hal yang sepatutnya menjadi urusan kami suami isteri.

   Telefon aku angkat dan usai memberi salam, aku disambut dengan bebelan emak yang panjang. Saat aku melayan bebelan emak, aku menyumpah Raphael di dalam hati.
 
 

No comments:

Post a Comment