Sunday, 3 August 2014

Seseorang seperti dia 44

   Aku memandu Myvi hitam yang baru aku miliki beberapa bulan lalu dengan berhati-hati. Dek kerana terlalu berhati-hati dan ditambah pula dengan jalan yang agak sesak dengan orang ramai yang ikut sama berpusu-pusu pulang ke kampung, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa sekitar tiga jam setengah sudah menjadi hampir enam jam.

   Saat aku tiba di hadapan rumah di kampung, aku dapat melihat beberapa buah khemah sudah siap dipasang. Namun, suasana keadaan agak sunyi dengan hanya suluhan lampu jalan dan lampu di hadapan porch sahaja yang terpasang. Jam di dashbord sudah menunjukkan pukul  3 pagi.

   Aku bergerak perlahan dan pintu aku buka menggunakan kunci pendua yang sememangnya aku miliki. Malas mahu membuka lampu, aku terus duduk sambil melepaskan penat di sofa. Pastinya seisi penghuni rumah sedang enak dibuai mimpi dinihari begini.

   Aku mengeliat untuk membetulkan lenguh-lenguh di badan yang kurasa lalu bantal kecil di sofa aku tepuk perlahan. Niat di hati cuma ingin berbaring, tetapi penat yang menghambat menyebabkan aku terus terlelap.

   Dalam kesamaran aku lihat wajah Raphael sedang tersenyum memandang aku. Di dalam genggamannya ada sebentuk cincin emas berbatu biru. Meski dia sedang memanggil nama aku, aku terus berlari menjauhi lelaki itu.

    Dalam pada aku berlari, aku dapat melihat kalau aku sedang berada di suatu kawasan padang pasir yang kering dan panas. Setelah puas berlari, aku terkedu sebaik sahaja aku melihat sesusuk tubuh Shahril sedang berdiri tidak jauh dari tempat aku berada. Di tanganya ada sehelai selendang putih yang digenggam erat.

   Entah kenapa aku merasa lapang saat melihat dia di situ lalu aku berlari mendekat padanya meski dia cuma pegun dan memandangku tanpa perasaan. Saat aku sudah berada berdekatan dengan tubuhnya, aku lihat Shahril sudah berpaling lalu dia bergerak menjauhi aku tanpa suara. Aku memanggil namanya berkali-kali dan selendang di tangannya aku tarik perlahan.

   Lelaki itu menarik selendang tersebut semula lalu dia terus berjalan menjauhi aku. Aku yang tidak berputus asa menarik kembali selendang tersebut dan Shahril kemudiannya menepuk bahu aku sambil berkata....

   "Along....along....bangun...."

   Aku membuka mata dan di hadapan aku ialah ayah yang sudah siap memakai baju melayu dengan kain pelikat serta ketayap putih. Dan aku rupa-rupanya sedang memegang serban putih ayah sebagaimana aku menarik selendang Shahril di dalam mimpiku tadi.

   "Bila Along sampai?Tidur kat sini pulak. Nasib ayah tak ketuk kepala, ingat pencuri tadi"ayah menegurku lalu aku bangun dan bersalam dengan ayah yang aku kira sudah bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan solat Subuh berjemaah.

   "Sampai pukul 3 tadi yah. Niat nak baring, tapi terlelap pulak"rambut yang sudah serabai aku betulkan.

   "Terlelap sampai mimpi-mimpi panggil nama pakwe. Sampai nak terkoyak serba ayah ni Along tarik"ayah sudah berjenaka menyebabkan aku malu sendiri.

   Pastinya wajahku sudah merah padam namun aku pasti ayah tidak dapat melihatnya memandangkan keadaan yang agak samar degan suluhan lampu dari dapur sahaja. Tiba-tiba terdengar suara azan berkumandang dan pastinya waktu Subuh sudah masuk. Sememangnya laungan azan akan kedengaran jelas memandangkan rumah kami terletak bersebelahan dengan masjid.

   "Ayah gerak dululah, lambat pulak nanti. Along jangan dok sebut-sebut nama lelaki lain depan mak pulak nanti. Maklumlah, dia dah berangan-angan ada menantu orang minyak"jenaka ayah aku sambut dengan senyuman. Faham benar kalau maksud kata-kata ayah itu pastinya merujuk pada Raphael.

   "Sedap pulak azan pagi ni"ayah berkata lagi saat laungan azan itu berakhir. Aku terus bergerak masuk ke dalam bilik apabila tubuh ayah hilang dari pandangan.
 
 

No comments:

Post a Comment