Saturday, 28 June 2014

Sesseorang seperti dia 14

     Shahril mengarahkan aku duduk di dalam dalam kereta dan aku hanya menurut tanpa banyak bicara sambil melihat tubuh kurusnya hilang ke dalam kedai Seven Eleven berdekatan dengan tempat kereta diparkir.

    Aku menggeledah beg sandangku tetapi hampa kerana sepeket tisu kecil yang sering kubawa cuma tinggal plastiknya sahaja, isinya telah habis.

     "Nah..."Shahril menghulurkan satu bungkusan plastik kepada aku sebaik sahaja tubuhnya memasuki kereta.

     Tanpa banyak soal, aku menyambut huluran plastik tersebut lalu isinya kubuka. Dua keping plaster bercorak hello kitty dan sepeket tisu kecil beserta sebotol air mineral kecil aku letakkan di atas ribaan.

    Aku memandang ke arah Shahril sambil tersenyum.

    "Thanks"cuma itu sahaja ucapan yang terluah saat ini.

     "Er...sorry..budak seven E cakap takda plaster biasa. Tinggal yang corak je"

     "Hah?"aku bertanya seolah orang dungu.

     "Tu..pipi kau luka, kena letak plaster"dia meletakkan jari telunjuk ke arah pipi kanannya, seolah-olah memberi tahu aku akan kecederaan yang aku alami di tempat yang sama.

   Aku mendekati cermin pandang belakang di dalam kereta dan ternyata ada satu garisan merah dan sedikit berdarah di atas tulang pipi kanan. Barangkali terkena cakaran kuku Rohani semasa dia menarik tudungku tadi.

    Plaster hello kitty berwarna kuning aku buka dan aku dekatkan ke muka. Luka yang terlindung sedikit dek tudung yang aku pakai menyukarkan pergerakan aku untuk melekatkan plaster yang sudah sedia dibuka.

    Tanpa suara, Shahril terus mencapai plaster di tangan lalu dilekatkan ke bahagian luka di pipi dan aku yang terkejut dengan perlakuannya cuba untuk bergerak ke belakang.

     "Shh...jangan gerak, nanti salah tempek pulak plaster ni...Kang tak pasal-pasal tertempek dalam lubang hidung kau pulak"dia bersuara perlahan. Aku dapat merasakan kalau dia agak berhati-hati agar jarinya tidak menyentuh kulit pipiku.

     "Kita gerak ke Padang Matsirat pulak. Kau tidur la dulu, dah sampai aku kejut nanti"

    Shahril bersuara sambil menghidupkan enjin kereta. Bagaikan dipukau, aku cuma mengikut saja arahannya. Aku mengalihkan wajah ke arah luar tingkap dan tangan kananku menyentuh plaster yang sudah melekap di pipi. Aku mengulum senyum tiba-tiba, entah kenapa ada rasa bahagia di dalam hatiku saat ini.

 

Seseorang seperti dia 13

     Kami tiba di hadapan kedai Fairylicious ini tepat jam 2.30 petang. Jika diikutkan kepada janji yang telah dibuat oleh Fardel Akashah, ternyata aku dan Shahril sudah lewat dari waktu asal yang dijanjikan. Tapi mujurlah Fardel Akashah tidak pula menghubungi aku untuk bertanya apa-apa.

     Kedai menjual alatan perkahwinan seperti bunga telur, manik,labuci dan pelbagai jenis alatan hantaran ini terletak di tingkat atas rumah kedai yang terletak bersebelahan dengan cawangan Maybank.

     "Kau pergi ambil barang dulu, aku nak cari parking"Shahril memberhentikan kereta di hadapan kedai Fairylicious dan mengarahkan supaya aku turun dahulu. Ternyata susah juga untuk kami mencari parkir berdekatan kerana tiada parkir yang kosong walaupun setelah dua kali dia membuat pusingan di sini.

     Tanpa banyak soal, aku keluar dari kereta dan berlalu masuk ke dalam kedai Fairylicious.

     Kedai yang luas itu kelihatan sesak dengan pelbagai jenis barang. Terdapat banyak rak-rak tinggi yang disusun di dalam kedai dan menempatkan pelbagai jenis manik, bekas hantaran dan bunga.

     Aku meluru laju menuju ke arah seorang wanita bertudung kuning yang sedang duduk di hadapan kaunter.

     "Assalamualaikum kak"

     "Waalaikumussalam dik"

     "Akak, saya datang nak ambil barang"sehelai kertas yang dikirim oleh Fardel Akashah aku hulurkan kepada wanita kurus berbaju kurung putih itu.

     "Oh.....Lama kak tunggu hang. Sat noh....nak pi ambik kat stor belakang"

     Ramah dia bercerita sebaik kertas kecil itu dibaca.

     "Adik pi dok sana sat. Sat gi akak mai"wanita itu mengarahkan aku duduk di atas sofa merah di tengah kedai sebelum tubuhnya hilang ke belakang kedai.

     Aku duduk di atas sofa sambil mataku meliar memandang sekeliling kedai. Tiada siapapun di sini melainkan aku. Sebuah majalah pengantin yang terletak di rak kecil sebelah sofa kuambil. Majalah yang memaparkan wajah Liyana Jasmay dalam gaun pengantin warna putih sebagai muka depan itu aku selak perlahan-lahan.

     "Ye sayang.. abang tak tipu"suara garau seorang lelaki mengetuk gegendang telinga aku.

     Aku lihat seorang lelaki bertubuh gempal duduk di hadapanku. Tangan kanannya sedang menekup telefon bimbit ke telinga. Sempat juga dia tersenyum kepadaku saat dia membuka cermin mata hitam yang dipakainya sedari tadi.

     "Ye, sayang...Abang tak curang...Percayalah, cinta abang hanya untukmu sayang"

    Suara lelaki bert-shirt belang hitam dan merah itu agak kuat menyebabkan aku dapat mendengar dengan jelas akan setiap butir bicara yang dibualkan dengan si pemanggil di hujung sana.

     Sambil tanganku leka membelek helaian majalah Pengantin, telingaku sebenarnya lebih tertumpu kepada perbualan lelaki di hadapanku ini. Aku menjeling sedikit ke arah lelaki itu dan aku melihat dia mengurut-ngurut dahinya sambil telefon bimbit masih lagi melekap ke telinga.

     "Sampai hatimu ayang, tidak mempercayai ketulusan hati abang. Sumpah, abang dah tak da apa-apa hubungan dengan perempuan tu...Hanya ayanglah yang bertakhta di hati abang... tiada yang lain hanya kau seorang"

     Dia membetulkan cermin mata hitam yang hampir jatuh dari kepalanya yang sudah separuh beruban.

     "Penawar rindu...padamu...seorang...oh mengapa....semangatku dikau puja....penawar rindu...padamu...oh Rohani....ohh sayangku"

      Suara garaunya bernyanyi kepada pemanggil di hujung sana yang ku kira bernama Rohani. Geli hati memikirkan lelaki yang hampir separuh abad ini menyanyikan lagu penawar rindu. Sudahlah suaranya mendatar tanpa mengikut nada lagu dengan betul, selamba pula dia menukar lirik sesuka hati.

      Aku menahan tawa agar lelaki ini tidak terasa hati.

      "Betul sayang...abang dekat klinik sekarang ni. Abang demam, barangkali demam rindukan ayang yang jauh di seberang lautan"

     Sudah, sejak bila pula kedai Fairylicious ini bertukar menjadi klinik merawat demam. Tubuhku terasa seram sejuk, kalau tadi perbualan lelaki itu kedengaran lucu, tetapi saat ini aku merasa agak geli.

      Barangkali lelaki di hadapanku ini termasuk dalam kategori lelaki berhidung belang. Sudah beristeri tetapi di belakang isteri, ligat memasang kekasih gelap di sana-sini.

       "Betul sayang. Abang tengah tunggu giliran nak jumpa doktor. Kat depan abang ni ada perempuan menagndung, tengah tunggu turn juga"

    Amboi, sesedap rasa dia menipu si Rohani di sebalik talian. Sungguh aku tidak suka apabila wanita ditipu sebegitu. Majalah di tangan aku tatap lalu aku cuba menumpukan perhatian kepada tiap baris ayat yang tertulis di lembaran majalah. Malas rasanya mahu meneruskan pekerjaan mengintip si lelaki hidung belang di hadapanku.

     "Abang terpaksa buat macam ni dik"

    "Adik...ooo dik...sombongnya dia"

     Aku mengangkat wajah dan lelaki iti sedang memandang aku sambil tersenyum. Telefon bimbitnya sudah disimpan.

    Aku cuma tersenyum balas sambil mataku kembali mengarah kepada helaian majalah.

     "Sorang je ke...Datang beli barang kahwin ke?"ada nada gatal di hujung suaranya.

     "Aah, barang kahwin"aku membalas berbasa-basi.

     "Nak kahwin, tapi tak pakai cincin tunang pun"ewah, banyak pula tanya.

     "Tunang dengan nikah sekali"semakin laju aku menyelak helaian demi helaian majalah di tangan.

    "Alangkan yang kahwin pun bole bercerai. Inikan pulak yang belum terikat. Ye dak?"

    "Inj kad abang...kalau senang-senang telefon ya, boleh la borak-borak"

    Entah sejak bila, tiba-tiba sahaja lelaki itu sudah duduk di sebelahku. Kad di tangannya aku sambut teragak-agak. Perasaan takut, geram dan marah datang silih berganti.

    "Dik...ni barangnya"wanita bertudung kuning itu melaung ke arah aku. Entah sejak bila dia sudah berada di kaunter juga aku tidak pasti. Hatiku lega.

     Sepantas kilat aku bangun dan meninggalkan lelaki gatal di sebelah. Aku lihat dia terkebil-kebil sambil menggeleng-gelengkan kepala saat aku berlalu pergi.

     Usai berterima kasih, aku meminta diri untuk pergi. Aku tidak perlu membayar apa-apa kerana Fardel Akashah akan menguruskan semuanya nanti. Aku menjinjit plastik putih besar berisi manik keluar dari kedai itu berhati-hati.

     Aku memandang ke kiri dan kanan namun kelibat Shahril tidak kelihatan. Kereta kancil merahnya juga tiada di sini. Aku mengerut dahi, sudah pukul 3.25 petang dan aku mula merasa tidak selesa dek kerana suasana panas terik petang ini.

    "Hai...tunggu bakal suami ke?"

    Hampir gugur jantungku melihat lelaki gempal tadi berdiri bersebelahanku. Dia berdiri terlalu dekat di sebelahku sehingga hidungku dapat menangkap bau pewangi pekat yang dipakainya.

     Aku menjarakkan diri darinya sambil berharap agar Shahril cepat muncul sekarang.

     "Oh, you cakap kat klinik..demam....tapi you kat kedai barang pengantin ni dengan betina ni"seorang wanita cantik berpakaian blaus putih dengan skrit denim tiba-tiba datang menyerang lelaki di sebelahku.

    "Rohani....."lelaki itu menjerit kuat akibat terkejut.

    "You cakap, sapa perempuan ni....Skandal baru you kan"

    Sudah, wanita itu menunjukkan jari telunjuknya ke arahku sambil membuka cermin mata hitam yang sedari tadi melekat di matanya.

    Bagaikan kilat, wanita itu terus menerkam ke arahku lalu tangannya menarik tudung putih yang tersarung di kepalaku.

     "Rohani...sabar...abang dengan dia takde apa-apa"lelaki itu menarik tubuh wanita bernama Rohani yang sudah naik hantu daripada tubuhku.

     Tudung yang hampir tanggal aku betulkan. Terbit rasa malu saat aku lihat beberapa orang yang lalu lalang mulai berkerumun untuk melihat drama antara kami bertiga. Aku kehilangan kata-kata saat itu, air mata sudah bergenang saat itu dan menunggu untuk jatuh sahaja.

    Tanpa mengendahkan orang ramai, Rohani laju sahaja mendekati aku sambil tangan kanannya diangkat tinggi untuk menampar aku.

    Dan Shahril yang muncul entah dari mana terus menahan tangan Rohani daripada singgah ke pipiku.

    "Kau ni sapa pulak?"Rohani merentap tangannya dari genggaman Shahril lalu matanya memandang tubuh Shahril dari atas ke bawah.

    "Dah macam, orang tak betul aku tengok... ke tepi..biar aku ajar perempuan tak tau malu ni"muka Rohani sudah berona merah akibat terlalu marah.

    "Maafkan saya Cik... Cik boleh kutuk saya tapi tolong hormatkan bakal isteri saya ni Cik. Lagi satu, saya rasa Cik yang tak tau malu kat sini. Maruah perempuan tu mahal harganya cik, janganlah sampai Cik sendiri yang merendahkan maruah diri sendiri"

    Wanita itu terus diam tidak bergerak saat Shahril usai bersuara. Terkejut barangkali mendengar tazkirah dari Shahril.

    "Jom Lia..."Shahril menarik lengan bajuku lalu kami beredar dari situ. Orang ramai yang berbisik sesama sendiri tidak aku hiraukan dek kerana rasa malu dan terkejut yang masih ada.

    "Aku minta maaf sebab tinggal kau tadi. Tak pasal-pasal kau kena amuk dengan perempuan gila tu tadi".

     Wajahnya aku pandang sekilas. Ada nada geram dalam pecakapannya saat itu. Dalam hati aku bersyukur dengan perlakuannya sebentar tadi. Biarpun tanpa mengetahui hujung pangkal cerita, dia sudi mempertahankan maruah aku di hadapan orang ramai. Entah kenapa, aku merasa sedih tiba-tiba lalu air mata yang cuba kutahan sedari tadi menitik laju.

 

 

 
 
 
 
   
   
     

Thursday, 26 June 2014

Seseorang seperti dia 12

     "Mailah pi dapuq...kita makan"Tok Pa menyapa aku lembut sebaik tubuhku keluar dari bilik.

     Aku cuma tersenyum sambil membuntuti tubuh kurus di hadapanku. Sampai sahaja di dapur, aku melihat Tok Wan sedang duduk menghadap meja makan sambil wajah bulatnya tersenyum manis kepada aku.

    "Maila dok makan ni. Tok dah siap masak."Tok Wan yang lengkap berpakaian kain pelekat dan baju melayu warna biru muda menegurku ramah.

     Perasaan malu dan bersalah datang silih-berganti saat ini. Barangkali Tok Pa bersusah payah memasak pelbagai hidangan lauk-pauk hari ini kerana aku dan Shahril. Aku memandang meja bulat yang terhidang masak lemak ikan keli, gulai nenas ikan kering, sayur tumbuk ubi kayu dan ulam-ulaman sambil menelan liur.

     Bagaikan baru tersedar, perutku terasa pedih akibat terlalu lapar. Masakan tidak, sedari pagi tadi, cuma dua keping roti Gardenia butterscoth dan secawan milo sahaja yang singgah ke dalam perut.

    "Eh...semua tunggu saya ka ni?"suara Shahril yang datang entah dari mana menyapa kami penuh ceria.

      Dia menarik kerusi di sebelahku lalu duduk. Sempat lagi dia memandangku lalu mengenyitkan matanya. Sedikit terkejut, aku menjegilkan mata tanda tidak suka dengan perlakuannya itu. Mujur Tok Wan dan Tok Pa tidak perasan akan perlakuan Shahril itu.

     "Sedapnya Tok masak....dah lama saya tak makan macam ni"dia tersenyum lebar lalu tangannya laju nencapai mangkuk berisi nasi di tengah meja. Eh, tak malunya mamat ni.

    Shahril menyendukkan nasi ke dalam pinggan Tok Wan, Tok Pa dan pinggannya. Apabila tiba kepada giliranku, dia menghulurkan mangkuk tersebut.

     "Kau kena diet sebab badan kau dah berat. Macam nak patah pinggang aku usung kau naik atas rumah tadi tau"dia berbisik kepada aku saat aku mencapai mangkuk nasi darinya.

     Darah merah menyerbu ke muka akibat dari rasa malu dan geram yang datang serentak. Mujurlah kami berada semeja dengan dengan Tok Wan dan Tok Pa, kalau tidak, rasanya sudah lama aku campakkan mangkuk nasi di tanganku ke mukanya yang berjambang.

     Aku lihat Tok Pa menyendukkan lauk pauk ke dalam pinggan Tok Wan lalu Tok Wan ikut melakukan hal yang sama kepada Tok Pa. Hatiku bagai digeletek oleh rasa kagum dan terharu. Biarpun usia mereka sudah mencecah senja, namum aku dapat melihat kebahagiaan mereka meski dengan perlakuan sekecil ini.

    Sepanjang makan, cuma Shahril saja yang ramah berbicara dengan pasangan di hadapan kami. Sempat juga diceritakan akan tujuan kami untuk membantu Fardel Akashah mendapatkan baju pengantinnya.

     "Saya tambah boleh Tok?"Shahril meminta izin saat pinggannya sudah semakin licin.

     "Ambik ja lah. Tambah bagi kenyang. Tok sah dok malu la. Tok masak banyak nak bagi Ril dengan Lia makan ni"Tok Pa menjawab ramah.

     "Ikan keli ni memang favourite saya Tok. Kalau mak saya masak..perghh...berpinggan-pinggan saya makan. Tok punya masakan ni sebiji macam masakan mak saya"

     "Mak Ril sihat ka?"Tok Pa bertanya.

     "Mak saya dah tak ada Tok...masa saya kat kolej lagi...."

     Suasana hening seketika.

     "Maaf.Tok tak tau"Tok Pa bersuara memecah kesunyian.

     "Eh takda apalah Tok. Dah lama dah"

     Aku mengalih pandang ke arah Shahril perlahan-lahan. Aku lihat dia tunduk sambil menyuap butir-butir nasi ke dalam mulut.

    Entah kenapa, timbul rasa kasihan dalam hatiku saat itu, ditambah pula dengan pakaiannya saat itu.

     Aku ikut tunduk lalu menyudahkan makanan di dalam pinggan. Saat nasiku hampir licin, Shahril menyendukkan nasi ke dalam pingganku.

     "Aku tau kau malu nak senduk sendiri kan. Meski kau tengah fikir macam mana nak tambah nasi lagi kan...kann"

     Aku mengangkat wajah lalu mata kami bertemu. Kali ini aku tidak pula merasa marah kepadanya. Aku lihat matanya seakan bercahaya saat dia tersenyum kepadaku. Sedikit sebanyak aku mulai mengenal susuk asing di hadapanku ini.

     "Assalamualaikum mak"suara garau seorang lelaki menyapa kami saat itu.

     Seorang lelaki bertubuh gempal tunduk mencium tangan Tok Pa dan Tok Wan.

    "Ni Amran, anak Tok"Tok Pa memperkenalkan lelaki gempal yang memakai uniform putih chef itu kepada aku dan Shahril.

    "Eh...cik ni yang jatuh kolam semalam kan?"laju sahaja Amran bersuara lalu jari telunjuknya diarahkan kepada aku.

     Wajahku terasa panas. Malu. Tok Pa dan Tok Wan aku lihat tercengang-cengang tanda tidak faham dan Shahril sudah tersengih-sengih sendirian.

     "Saya ada kat sana semalam. Semalam saya duty untuk bbq"Amran turut menambah.

     Dan saat ini, aku benar-benar berharap kalau aku boleh pengsan untuk kali kedua.

Friday, 20 June 2014

Seseorang seperti dia 11

     Aku membuka mata perlahan-lahan sambil dahiku berkerut akibat daripada rasa pening yang melampau. Mataku memerhati keadaan sekeliling yang asing. Aku kini terbaring sendirian di atas katil bercadar biru dengan bunga-bunga kecil putih. Tiada manusia lain di dalam bilik sederhana besar berdinding kayu ini selain aku.

     Jemariku memicit-micit dahi sambil aku bangun perlahan-lahan dari baringan.

    "Haa...mangkit dah dia"seorang wanita tua menjerit kuat saat aku cuba untuk bangun dari atas katil.

     Wajah wanita tua yang tiba-tiba muncul di balik pintu yang sememangnya terbuka itu kupandang dengan pandangan kosong. Aku kat mana? Siapa nenek ni?

     "Eh...tok sah la mangkit"wanita tua yang menyarung kain batik dengan baju kedah berwarna putih itu meluru ke arahku tatkala melihat keadaan aku yang sedang bersusah-payah untuk bangun.

     Rambutnya tersembunyi rapi di balik anak tudung tebal berwarna putih. Sekali pandang, dia seolah-olah memakai turban gaya Yuna pula.

     "Saya kat mana?"sungguh aku bingung.

     "Tadi anak pengsan. Mujur Ril bawak naik. Dahla....toksah pikiaq sangat...rehat la noh"suara itu kedengaran lembut menyapa gegendang telingaku.

     Ya,sedikit demi sedikit cebisan ingatanku kembali bercantum. Perkara terakhir yang aku ingat ialah dua ekor lintah besar melekat di betisku sebelum aku menjerit dan apa yang berlakunya seterusnya tidak pula aku ingati.

     Wanita tua dalam linkungan 60-an ini duduk di birai katil. Tanpa suruh, mulut kecilnya laju sahaja bercerita itu dan ini.

    Dalam tempoh kurang dari sepuluh minit, sudah banyak fakta tentang dirinya yang aku ketahui. Nama penuhnya Latipa Hamid tetapi mesra dipanggil Tok Pa, hobinya memasak, berbasikal dan menonton drama korea saluran 393 One Hd. Seriously nek?

     Sedang Tok Pa gigih bercerita itu dan ini kepadaku, aku lihat Shahril menjengukkan wajahnya ke dalam bilik. Dia tersengih sambil tangannya diangkat tinggi dengan seolah-olah menyapaku dengan gaya 'hai' saat mata kami bertembung.

     "Tok...dia dah bangun?"pastinya soalan yang ditujukan kepada Tok Pa itu merujuk kepada aku.

     Tok Pa memalingkan wajahnya ke arah Shahril lalu ramah sahaja dia bersuara.

     "Mai masuk Ril. Dia mangkit dah"tangan tua itu menggamit ke arah Shahril yang masih berada di luar. Cuma wajahnya sahaja yang masih dijengukkan di sebalik pintu.

     Shahril tersengih lalu dia menapak perlahan ke bilik. Aku membetulkan dudukku sambil tanganku meraba-raba kepala sendiri. Mujurlah aku masih elok bertudung.

      Sebaik tubuhnya masuk ke dalam bilik, aku dapat merasakan kalau mulutku terngaga luas akibat terkejut. Lelaki di hadapanku ini sudah kelihatan bersih. Barangkali dia sudah mandi dan pakaiannya yang kotor akibat terkena lumpur tadi juga sudah berganti dengan yang baru. Tapi rasa terkejutku ini bukanlah dek kerana kebersihan lelaki itu tetapi kerana pakaian yang disarungnya.

     T-shirt lusuh kelabunya sudah hilang digantikan pula dengan sehelai t-shirt putih dengan tulisan "Ahli Persatuan Vespa Emas" yang saiznya aku kira tiga kali lebih besar dari saiz badannya. Jeans lusuh yang tadinya bersalut lumpur sudah digantikan pula dengan sehelai seluar trek yang singkat menjadikan seluar itu seolah-olah tergantung di tubuh tingginya dan menampakkan betisnya yang togel.

      Mengimbas kembali pertemuan aku dengan lelaki berjambang ini, aku yakin benar kalau perkataan fesyen dan gaya tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya, tetapi saat ini dia kelihatan seperti seseorang yang...pelik...ataupun mungkin unik atau....atau.... tidak siuman.

     "Tok...saya nak tumpang solat"sopan sahaja suara lelaki itu saat tubuhnya mendekati Tok Pa.

     Aku lihat Tok Pa bangun menuju ke penjuru kanan bilik. Sehelai sejadah berwarna hijau lumut diambil dari atas rak lalu dibentangkan.

    "Ni Tok bentang ikut kiblat. Ril sembahyang la dulu"

    "Lia...jom ikut keluaq"Tok Pa mengajakku lembut disusuli dengan laungan  suara seorang lelaki yang memanggilnya dari luar.

    "Tok keluaq sat. Tok Wan panggil tu. Satgi Lia keluaq la noh"dia menepuk-nepuk tanganku lalu tubuhnya bergerak dan hilang di balik pintu.

    Aku cuma mengangguk sambil tersenyum. Aku memandang Shahril yang sudah berada di atas sejadah. Aku lihat tubunhya membongkok lalu hujung seluar yang singkat itu dilipat sedikit ke atas.

     Timbul rasa bersalahku saat itu. Meski dia kelihatan selekeh, tetapi ternyata budi bahasanya indah di hadapan orang tua dan dia masih ingat akan kewajiban yang satu itu iaitu solat.

     Aku menggigit bibir perlahan-lahan. Teragak-agak samaada aku perlu meminta maaf terus atau biarkan dia selesai bersolat dahulu. Mungkin aku perlu meminta maaf padanya sekarang, mungkin juga nanti...

    "Kau tercegat macam patung tu kenapa. Cepat bangun, solat. Kalau kau nak tau perempuan la kaum yang senang nak masuk syurga dan paling banyak menghuni neraka"

     Oh..mungkin tidak. Mungkin lelaki ini cuma berbudi bahasa kepada orang yang lebih tua dan bukannya kepada rakan sebaya.

     "Aku cuti la mangkuk!"

     Aku lihat dia terkebil-kebil sendirian saat tubuhku berlalu keluar dari bilik.

   
   

   

Monday, 16 June 2014

Seseorang seperti dia 10

     Tiba-tiba aku mendengar satu suara asing di antara aku dan Shahril.

    "Tolongg...."

    "Tolong nak......."suara itu kedengaran agak perlahan namun ianya jelas menampar gegendang telingaku.

    Wajah serabai Shahril aku pandang. Dia menjungkitkan bahu tanda tidak tahu. Aku melangkah mendekati suara yang datang dari arah basikal yang sudah tebalik di atas semak samun di tepi sawah.

     "Astaghfirullahhh....."aku beristigfar panjang saat mataku terpandang sesusuk tubuh yang terbaring di dalam sawah.

      Lumpur pekat sudah menyelaputi separuh dari bahagian badannya. Patutlah aku tidak dapat melihat dia tadi, barangkali dia terus tergolek ke dalam sawah selepas dilanggar oleh kancil Shahril.

     Aku lihat Shahril terus melompat laju ke dalam petak sawah. Tangannya laju sahaja mengampu tubuh lelaki itu lalu diangkat naik perlahan-lahan.

     "Allah...nakkk"lelaki tua itu bersuara perlahan saat dia merangkak naik dari tebing sawah.

    Aku ikut menarik lelaki tua itu naik ke atas lalu tubuh gempal itu terus terduduk di aras rumput. Terbit rasa kasihan dan bersalah saat aku melihat dia membersihkan lumpur pekat yang sudah menyelaputi hampir separuh tubuhnya. Sekali pandang, keadaannya itu kelihatan tidak ubah seperti buah-buahan bersalut coklat.

     Aku lihat Shahril tunduk lalu dia ikut membantu membersihkan tubuh lelaki tua itu.

    "Kita pergi klinik ya pak cik"

    "Tak pa lah. Tok wan ok"dia menolak perlahan.

    "Err...maaf Tok Wan. Saya tak sengaja langgar tadi"suara Shahril kedengaran ikhlas.

    "Saya hantar Tok Wan balik jom. Nanti Tok Wan tunjuk kat saya rumah kat mana ya"Shahril mempelawa lelaki itu setelah dia beria-ia menolak ajakan kami untuk membawanya ke klinik.

     Bonet kancil dibuka lalu basikal lelaki itu disumbat masuk dengan separuh daripada bahagian tayarnya terpaksa dibiarkan tergantung keluar dari bonet.

    "Ish...nanti kotor kereta anak ni"lelaki itu teragak-agak untuk masuk. Bimbang kalau-kalau lumpur yang masih melekat di badan akan mengotorkan kusyen kereta barangkali.

    "Takpa Tok Wan, nanti dia boleh basuh"selamba sahaja Shahril menunding jarinya ke arahku saat itu.

    Aku cuma mengangguk dan senyum saat wajah tua itu kupandang. Malas rasanya untuk bertekak dengan Shahril kerana bimbang perlakuan itu bakal mengguris hati lelaki tua di hadapanku. Shahril kulihat hanya tersengih sambil mengangguk-angguk. Kurang asam punya budak!

     Tidak sampai sepuluh minit perjalanan,kami tiba di hadapan sebuah rumah kayu sederhana besar. Halamannya luas dengan beberapa pohon gajus dan mempelam di kiri-kanan rumah. Beberapa biji pasu bunga yang ditanam dengan bunga mawar tersusun cantik di hadapan jalan menuju ke tangga rumah. Pandangan ini mengingatkan aku pada bunga-bunga yang ditanam emak di kampung. Sememangnya emakku juga begini. Gila bunga, bak kata ayah.

    Shahril membuka pintu kereta lalu tubuh lelaki tua itu dipimpin perlahan.

     "Ni lah rumah Tok Wan"

     Jam di tangan aku kerling sekilas. Baru pukul 11.00 pagi. Kalau mengikut kepada arahan Fardel Akashah, masih ada lebih kurang setengah jam lagi untuk manik itu sedia dikutip di butik kawannya.

     Aku cuma membuntuti langkah lelaki tua itu. Aku tunduk untuk membuka sandal sebelum melangkah ke atas tangga. Tiba-tiba sahaja betisku terasa gatal-gatal dan pedih lalu skirt biru muda yang aku pakai aku selak sedikit setelah aku yakin tiada siapa yang sedang memerhatikan aku.

    Dadaku berombak kencang saat aku melihat dua ketul benda hitam dan besar melekat elok di betis kananku.

    "Apa ni?"aku menjerit nyaring.

     Shahril yang masih berada di hadapan ku berpusing laju.

     "Kau dah kenapa?"

     "Ini...."cuma jari telunjuk sahaja aku halakan ke betis.

     "Oh, ni namanya sepasang lintah sedang berkasih-sayang kat kaki kau"Shahril tunduk lalu menarik lintah itu dari betisku.

    Lintah...Yang lembik-lembik tu kan..Yang hisap darah...Yang geli-geli tu..... Pandanganku terus kelam.

 
   

   
   

Sunday, 15 June 2014

Seseorang seperti dia 9

      Aku lihat dia memandu kancil merah ini dengan tenang. Tiada langsung perbualan antara kami berdua. Aku membuang pandangan keluar melalui tingkap. Terdapat banyak kedai cenderamata dan restoran di sepanjang Jalan Pantai Chenang. Rata-rata pelancong asing kelihatan santai berjalan kaki melewati kedai-kedai di situ. Sekali-sekala aku mengerling ke arah lelaki di sebelahku ini.

     Aku baru perasan kalau t-shirt yang dipakainya sudah ada lubang-lubang kecil di bahagian tangan akibat terlalu lusuh. Jeans biru muda yang disarung juga sudah koyak sedikit di bahagian lutut kiri. Selipar kuning yang disarung pula kelihatan seperti satu saiz lebih besar dari saiz kakinya.

     Biarpun aku cuma manusia biasa dan hatiku cenderung untuk menilai manusia dari rupa paras dan penampilan mereka, aku cuba sedaya upaya agar tidak menilai lelaki di sebelahku ini dari penampilannya. Lebih-lebih lagi dengan peristiwa pagi tadi yang menjadi titik tolak kepada keterlanjuran aku menuduh dia secara terburu-buru.

     Shahril. Ya, aku masih berhutang kata-kata maaf kepada Shahril dan aku kira waktu ini adalah waktu yang tepat untuk aku berbuat demikian.

     "Aku handsome sangat ke sampai kau terjeling-jeling tengok aku".

     Tegurannya membuatkan aku malu sendiri. Tidak sangka kalau perlakuan aku diperhatikan. Aku lihat dia mengangkat kening kirinya berkali-kali.

    "Jangan perasan boleh tak"aku membuang pandang ke luar tingkap. Cuba untuk menutup rasa malu yang datang bertamu.

    Daripada jalan besar Pantai Chenang, kereta dibelok ke arah kanan memasuki satu jalan kampung. Jalan itu agak sempit dan hanya memuatkan sebiiji kereta pada satu-satu masa.

     "Kenapa ikut sini? Bukan kita nak pergi Pekan Kuah ke?

     Meski aku tidak tahu selok-belok jalan di sini, tetapi jalan yang sunyi dengan hanya beberapa buah rumah sahaja mengundang tanya tanya. Semakin jauh kami menyusuri jalan tersebut, suasana semakin sunyi. Tiada lagi kelihatan rumah orang di sisi jalan, diganti pula dengan sawah padi yang luas terbentang.

   "Shortcut"dia menjawab sepatah. Suasana antara kami bisu kembali.

   "Er...saya nak mintak maaf....pasal pagi..tadi"terluah juga ucapan maaf yang kusimpan sedari tadi.

    "Apa dia? Tak dengarlah."dia menjawab perlahan.

    "Saya minta maaf..."

    "Macam dengar suara..tapi mana eh"dia menepuk-nepuk dashboard sambil matanya melilau seolah-olah mencari sesuatu.

    "Awak....saya betul-betul ni"aku mulai geram.

   "Macam ada suara tapi tak nampak pulak sapa-sapa kat sini".

    "Sharil..."namanya aku sebut perlahan. Entah kenapa, terbit perasaan malu saat sebaris nama itu aku sebut.

     "Apa dia? Tak dengarlah!"

     "I said, I'm sorry"hatiku mulai geram. Aku lihat dia berpura-pura mengorek telinga sambil badannya didekatkan ke arahku.

    "Shahril, ada orang sebut nama kaulah"lelaki itu berbicara sendirian.

    "Ye ke? Dia cakap apa?"

    "Tahlah...banyak sangat taik telinga kot. Aku tak dengar. Suara tu pulak slow je..."

    "Cantik ke orang yang panggil nama kau?"

    "Hmm....boleh tahan la...boleh tahan hodoh juga"

    Dia bercakap sendirian. Sengaja memancing api kemarahanku barangkali. Geram diperlakukan begitu, aku menjerit tiba-tiba.

    "Aku cakap sorry...sorry sorry.....nak cakap kuat macam mana lagi"

    Wajahnya aku pandang saat aku bertempik kuat melebihi satu oktaf dari suaraku yang biasa.

    Barangkali terkejut dengan jeritan mautku itu, dia tertekan pedal minyak lebih kuat lalu kereta kancil itu tiba-tiba bergerak laju di hadapan jalan yang sudah sedia sempit itu.

    Dan saat itu juga muncul seorang lelaki yang datang entah dari mana sedang menunggang basikal di hadapan kami. Kebetulan yang agak klishe. Kenapalah dalam banyak-banyak waktu, dia harus berada di sini dan menunggang basikalnya sekarang, bukannya esok mahupun lusa.

     Kereta kancil yang dipandu Shahril meluru laju ke arah lelaki berbasikal itu. Aku lihat basikalnya terhuyung-hayang sebelum dia jatuh.

    Kami memandang antara satu sama lain serentak.

   "Kenapa kau jerit?"

   "Saya geram"

   "Kot ye pun, simpanlah geram kau kat aku tu esok ke lusa ke tak boleh ke..Apa kau tak tahu ke yang penumpang tak boleh kacau pemandu masa tengah memandu..."dia membebel panjang.

    Ada riak risau pada nada suaranya. Aku cuma diam. Shahril menepuk dahinya tiba-tiba. Dia terkocoh-kocoh keluar dari kereta dan aku cuma mengikut sahaja perlakuannya tanpa banyak tanya.

   "Eh tadi aku langgar orang, tapi dah hilang"Shahril bersuara panik.

    Dia membongkokkan badannya lalu menjenguk je bawah kereta. Kosong. Mataku meliar ke kawasan sekeliling. Aku yakin benar melihat seorang lelaki menunggang basikal di sini tadi. Tapi peliknya, cuma basikalnya sahaja yang tinggal.

    Bulu romaku meremang tiba-tiba... Siang begini masakan ada...
 
    "Entah-entah aku langgar hantu kot"Shahril menjerit selamba.

    Aku menjegilkan mata ke arah Shahril yang menggaru-garu kepalanya. Kenapalah mulut kau celupar sangat. Hatiku menjerit geram.
   
   
   

Thursday, 12 June 2014

Seseorang seperti dia 8

     Aku mendekati lelaki itu dan Fardel Akashah setelah selesai menukar pakaian.

     "Cantik....Terima kasih sebab sudi tolong aku. Aku janji kalau kau kahwin nanti, aku akan buatkan baju pengantin kau. Percuma!"aku cuma mampu tercengang.

     "Sapa cantik?"lelaki bert-shirt kelabu itu mencelah. Aku lihat dia menggaru-garu telinganya dengan gaya malas.

     "Perempuan depan kau ni lah yang cantik. Takkkan aku nak panggil kau cantik pulak"Fardel Akashah bersuara nyaring sambil menjeling ke arah lelaki itu.

     Amboi, tadi bukan main lagi kau tergedik dengan Hilmi. Mentang-mentanglah lelaki ni selekeh, bukan main kau jeling ya. Terdetik pemikiran jahatku saat itu.

     Aku lihat lelaki itu menguap malas. Tanggannya pula masih menggaru telinganya sedari tadi.

    "Cantik? Celah mananya cantik."meski ucapan itu kedengaran perlahan, namun ianya cukup jelas menyapa gegendang telingaku. Malas melayan lelaki itu, tumpuan aku berikan pada Fardel Akashah.

     Sekeping kad dihulur. Tugasannya mudah. Aku hanya perlu pergi ke alamat yang tercetak di belakang kad, ambil manik yang sudah dipesan melalui telefon, kemudiannya pergi pula ke alamat di hadapan kad dan tunggu sehingga baju pengantin siap. Lelaki berjambang itu pula akan menjadi pemandu aku hari ini.

     Fardel Akashah pula akan terus berada di sini sambil berpura-pura seperti tiada apa yang tidak kena dan meyakinkan Nurin kalau baju pengantin eksklusifnya sudah siap dan menunggu hari sahaja untuk disarungkan ke tubuh.

     "Jomlah..."ceria sahaja lelaki itu bersuara.

    Aku mengikut sahaja langkah lelaki itu sambil tanganku laju menaip mesej kepada Fisha.

     "Sha, aku ada hal penting. Nanti aku explain. Tak boleh cakap sekarang. Sorry tak boleh teman kau harini"

    Selang beberapa saat balasan dari Fisha aku terima. Cuma perkataan ok sahaja yang terpapar di skrin Samsung S4 aku.

     Pelik. Mana mungkin ratu drama seperti Fisha cuma membalas dua huruf ini sahaja kerana kebiasaannya setiap perlakuanku akan disusuli dengan sepuluh lagi pertanyan balas dari Fisha. Barangkali dia masih tidak sihat. Aku meneka sendiri mengenangkan Fisha yang merungut tidak sedap badan usai pulang dari berjoging pagi ini.

    "Dah sampai, pergilah buka pintu kereta merah tu"lelaki itu menunjuk ke arah sebuah kereta Audi A3 di hadapannya.

     Wajahnya aku pandang sekilas seolah-olah meminta kepastian. Kereta mewah berwarna merah cili itu aku dekati meski hati aku seakan ragu-ragu.

     "Kenapa? Kau rasa orang comot macam aku ni tak mampu pakai kereta mewah?"suara itu kedengaran perlahan seperti merajuk.

     Aku tersentak. Sedikit sesal dengan keterlanjuran aku menghukum dia dari rupa parasnya sahaja meski cuma melalui pandangan mata.

     "Mana adalah"cepat-cepat aku mencelah sambil tangan kananku laju menarik pemegang pintu kereta mewah tersebut.

     Saat itu aku juga aku melihat dia bergerak selamba ke arah sebiji kancil merah yang diparkir betul-betul bersebelahan kereta Audi A3 ini.

     "Sebenarnya, aku memang tak mampu pun pakai kereta macam tu. Hahahaa..."dia ketawa kuat meninggalkan aku sendirian.

     Hati yang panas cuba aku tahan. Kalau tidak mengenangkan janji aku kepada Fardel Akashah, rasanya sudah aku tinggalkan lelaki ini sendirian.

    Saat pintu kereta aku tutup, tanganku menarik tali pinggang keledar tetapi setelah berkali-kali direntap, tali pinggang itu masih tersekat.

     Tanpa amaran, lelaki itu mendekati aku. Dengan sekali rentap sahaja, tali pinggang itu berjaya ditarik.

     Aku menggerakkan tubuhku sedikit ke belakang. Tidak selesa rasanya berada sedekat ini dengan seorang lelaki asing. Pandangan mata kami bertemu tiba-tiba.

     "Aku mintak maaf kalau kau kecewa. Tapi kau bukan taste aku kalau sekarang ni kau tengah fikir macam mana nak mengorat aku yang kacak lagi tampan ni"dia tersengih padaku usai kata-kata itu diucapkan.

    Mulutku sedikit ternganga saat itu. Terkejut. Bukan terkejut akan ketampanannya tetapi terkejut mengenangkan sifat perasan dan yakin dirinya yang tinggi.

     Kesian. Kalau Fardel Akashah perlukan sehelai baju pengantin, aku kira lelaki di sebelahku ini betul-betul memerlukan sebuah cermin saat ini.


   

Wednesday, 11 June 2014

Seseorang seperti dia 7

     Sekujur tubuh Fardel Akashah yang terbaring di tepi katil aku pandang cemas. Fikiranku buntu, bagaikan tidak dapat berfikir akan tindakan seterusnya yang harus aku ambil.

     Aku tunduk mendekati tubuh itu lalu tangan kanannya aku kuis perlahan. Senyap tidak bergerak. Jari telunjuk kanan aku dekatkan ke hidungnya. Masih bernafas. Aku mengurut dada tanda lega. Sekurang-kurangnya dia masih hidup.

     Bagaikan baru tersedar yang aku sebenarnya masih sendirian di dalam bilik pengantin Nurin bersama seorang lelaki asing, dadaku berombak kencang. Plot-plot drama mengenai kahwin paksa mulai berlegar di minda aku satu demi satu. Wajah Fardel Akashah aku pandang sekilas. Membayangkan kemungkinan itu sahaja sudah cukup untuk membuat aku mengigil. Ngeri. Aku geleng kepalaku laju. Bayangan yang menerjah datang kuusir jauh.

       Aku meloncat laju ke arah pintu. Harap-harap gerakan kasar aku ini tidak akan mencacatkan baju pengapit yang masih tersarung di tubuh.

     Bagaikan sudah berjanji,sesusuk tubuh lelaki muncul di hadapan pintu saat daun pintu aku kuak. Dia yang sedang memegang sesuatu di tangan kanannya terus diam tidak bergerak.

     Mulut kami masing-masing ternganga. Entah siapa yang lebih terkejut. Dia yang melihat aku yang berbaju kurung dengan tangan baju yang panjang sebelah atau aku yang melihat jambang di wajahnya yang kelihatan sangat tidak terurus.

      Tanpa banyak bicara tubuh lelaki kurus tinggi yang menyarung t-shirt lusuh warna kelabu dengan corak Donald Duck itu aku tarik kasar.

      "Kau jangan terfikir nak apa-apakan aku. Aku masih teruna" aku lihat dia cepat-cepat memasukkan sesuatu yang dipegang di tangan kanannya ke dalam poket seluar. Aku tidak dapat melihat dengan jelas apa yang ingin disorokkan itu. Barangkali kertas atau gambar. Entah, apapun benda itu, ianya tidak penting.

     "Jangan perasan boleh. Saya ada masalah besar sekarang ni"hatiku geram.

    Eh mamat ni, ada hati lagi kau nak perasan kena rogol. Tolonglah cermin diri dulu.  Ketidakpuasan hati itu aku simpan di dalam hati.

     "Saya tahu antara kita ada salah faham. Tapi saya betul-betul nak mintak tolong sekarang".aku lihat keningnya diangkat tinggi gaya Ziana Zain usai aku bersuara.

     Sekujur tubuh Fardel Akashah yang masih elok terlentang di lantai aku tunjuk laju. Mata lelaki itu sengaja dibulatkan. Terkejut benar nampaknya.

     "Kau bunuh orang ke?"dia menjerit ke arah aku.

     "Bukanlah, dia pengsan"malas mahu bertekak, aku ceritakan semuanya satu persatu. Dari saat Fardel Akashah menjawab panggilan telefon sehinggalah ke saat lelaki itu pengsan di atas lantai.

      Dia tunduk lalu menepuk-nepuk perlahan pipi Fardel Akashah. Aku cuma memerhati saat dia menggelengkan kepala.

      "Panggil ambulan"baru sekarang ayat itu terpacul dari bibirku. Suasana panik membuatkan fikiranku seolah-olah tidak dapat berfungsi dengan waras.

     "Kejap"leleaki itu memberi arahan. Dia bangun mencapai sebotol air mineral di sisi katil.

     Satu...dua..tiga, air mineral dicurah laju ke atas wajah Fardel Akashah. Aku tergamam. Biasanya aku melihat orang cuma merenjiskan air untuk mengejutkan orang pengsan, tetapi lelaki di hadapanku ini ibarat mahu memandikan si Fardel Akashah saja.

     Namun, perbuatannya ternyata tidak sia-sia apabila Fardel Akashah membuka mata. Lelaki bert-shirt kelabu itu memandang aku dengan wajah bangga.

     Sepantas kilat Fardel Akashah mencapai tanganku dan tangan lelaki berjambang di hadapanku.

     "Kau orang kena tolong...aku.... Ini antara hidup...dan..mati...."suaranya kedengaran tersekat-sekat.

     Serentak itu juga aku mengangkat wajah lalu mata aku dan lelaki asing itu bertaut...satu saat...dua saat...tiga saat...sebelum dia melarikan pandangannya dari wajah aku.
   

   

   

   

Tuesday, 10 June 2014

Seseorang seperti dia 6

     Sampai hadapan di bilik penginapan, aku meluru laju ke dalam bilik air. Plastik laundry yang terperosok di bawah sinki aku capai lalu tanganku laju membuka ikatannya.

     Bau masam menerobos masuk ke dalam lubang hidung saat plastik itu terbuka. Air di sinki aku biarkan mengalir laju dan tanganku mencapai sebuku sabun badan yang sememangnya diketakkan di atas sinki.

     Aku menggosok helaian t-shirt putih di hadapanku berkali-kali. Air mata aku menitik perlahan-lahan seiring gerakan tanganku yang semakin ikut perlahan. Entah kenapa aku bermurah hati membasuh baju lelaki ini. Meski semalam aku sudah bersumpah untuk membuang saja baju ini ke dalam tong sampah.

     Entah, akupun tidak jelas akan penyebabnya. Barangkali dengan membasuh baju lelaki ini dapat mengurangkan rasa bersalah di hati aku. Barangkali juga ianya dapat memadam keterlanjuran perlakuan aku tadi. Barangkali...ya, barangkali......

     Usai membasuh, aku sidaikan t-shirt putih itu di balkoni depan bilik. Baju yang masih basah itu aku tenung sepi. Meski ianya sudah bersih tetapi masih jelas beberapa tompokan coklat cair di bahagian hadapan t-shirt itu.

     Ya, ianya boleh diibaratkan seperti perlakuan aku. Meski apapun yang aku lakukan, belum tentu dapat memadamkan kesalahanku pada seraut wajah asing itu.

     Aku nekad. Lelaki itu harus kucari. Kemaafan darinya harus kupinta.

                                 ******
   
     Aku tiba di bilik penginapan Nurin tepat jam 9.30 seperti yang dijanjikan. Seraut wajah cantik Nurin yang tersenyum manis menyambut kedatangan aku. Bilik yang tiga kali ganda lebih besar dari bilikku itu aku pandang sekilas.

     Terdapat beberapa kuntum mawar merah diletakkan di dalam pasu di atas meja lampu.

     "Abang Kimi yang bagi..."

     Nurin bersuara. Barangkali perasan akan pandangan mataku yang jatuh ke atas kuntuman mawar segar itu.

     "Tapi In tak suka bunga...tak sampai hati nak bagitau Abang Kimi...sebab dah jadi rutin Abang untuk bagi ros merah setiap minggu...I just keep silent and pretend to love it...."ramah Nurin bercerita sambil tangannya menarik aku masuk ke dalam.

    Nurin tetap kelihatan cantik walau tanpa secalit solekanpun di wajahnya. Dia kelihatan santai menyarung jeans biru gelap dipandankan dengan blaus putih bersih. Rambut lebatnya diikat tinggi.

    "Err....I can trust you kan?"Nurin menambah lagi saat dia melihat aku cuma diam.

   "Aaaa...apa?"aku bertanya bagaikan orang dungu.

   "Berangan ya.... Ingatkan siapa? Jangan angankan Abang Kimi ya"tekaannya mengena. Gulp!

    "Taklah...no problem. Your secret safe with me."aku membuat gerakan seolah-olah aku sedang mengunci mulutku. Nurin ketawa manja.

    Hati aku sakit. Pedih. Ingin aku jeritkan pada Nurin kalau bunga mawar merah adalah bunga kegemaranku. Seumur hidup aku mengimpikan lelaki yang aku cinta menghadiahkan aku walau sekuntum...Hanya sekuntum In..... Dan kau In, kau dapat bunga tu setiap minggu dan kau bakal dapat Hakimi untuk seumur hidup kau!

     "Ni Miza, yang tu pulak Ashikin."

     Dua orang gadis yang sedang duduk di atas lantai memandang aku sambil tersenyum saat nama mereka disebut Nurin. Dua orang gadis manis itu masih muda, kukira usia mereka sekitar belasan tahun. Usai tersenyum, tangan mereka kembali menyusun kotak-kotak kecil berwarna emas ke dalam bakul kayu yang sudah dihias dengan reben putih.

     Nurin laju sahaja menghulurkan sehelai kertas kepada aku.

     "Ini aturcara majlis. Dari majlis nikah sampai bersanding malam."

     Kertas putih dengan cetakan biru itu aku teliti. Pura-pura berminat. Penerangan Nurin aku dengar tanpa banyak tanya.

     Meski aku ditugaskan untuk menjadi pengapit, tetapi hakikatnya, tidak banyak yang perlu aku lakukan.

     Hampir keseluruhan dari persiapan sudah disiapkan oleh perancang perkahwinan. Aku cuma perlu menemani Nurin semasa majlis menikah dan saat dia bersanding. Atau lebih tepat lagi, aku perlu menjadi wanita yang paling dekat dengannya saat dia menikahi lelaki yang paling dekat di hati aku. Oh, sekali lagi hati aku menangis meski senyuman manis kuukir pada Nurin.

     Ketukan bertalu-talu di pintu mengejutkan kami.

    "Assalamualaikum........hellooo....mana dia pengantin ni ha"suara nyaring seseorang memecah suasana sunyi bilik yang berhias dengan rona putih susu ini.

     "Muahhh....muahhh" kelaki itu pura-pura mencium kedua belah pipi Nurin.

    Aku lihat Nurin hanya mengikut sahaja langkah lelaki itu sambil tersenyum ceria. Kalaulah boleh aku katakan lelaki dengan baju kemeja kuning serta lilitan selendang putih bercorak merah itu sebagai lelaki. Dengan rambut paras bahunya yang diwarnakan dengan warna merah terang dan cermin mata jenama Gucci tersemat elok di atas rambutnya yang aku kira sudah diluruskan dengan teknik rebonding, dia kelihatan tidak ubah seperti patung ikon McDonald di mata aku.

     "Hello....si cantik satu....si cantik dua....si cantik tiga" jari telunjuknya digoyangkan dengan gaya diva ke arah aku sebelum beralih ke Miza dan Ashikin dan disambut dengan ketawa halus kedua gadis sunti itu.

     "Ni lah designer baju pengantin In Lia...Nanti Lia test baju Lia ya...tengok saiz"

    "Hello si cantik... Wah nama kau, sedap, macam kuntuman bunga popi gituuu" suara garau yang cuba dilentokkan itu kedengaran kelakar padaku. Namun letusan ketawa cuba kutahan. Bimbang kalau makhluk berwarna-warni di hadapanku ini berkecil hati pula.

     "I Fardel Akashah...Fashion designer also known as perancang perkahwinan also known as pencari cinta also known as the Cupid...." tangannya dihulur kepada aku.

     Aku teragak-agak untuk menyambut huluran salam tersebut. Meski lelaki ini boleh aku kategorikan sebagai berjiwa perempuan, namun natijahnya, dia tetap lelaki. Haram tetap haram.

    "Astaghfirullahalazimmmm....I lupa u...bukan muhrim...haram bersentuhan."jeritan kuatnya mengejutkan aku.

     Mengekek ketawa si Fardel Akashah dan Nurin saat itu. Mujur sahaja lelaki ini tersedar meski aku faham kalau kata-katanya lebih kepada bicara sinis.

    Aku cuma senyum sambil menjungkitkan bahu. Aku lihat Fardel Akashah meletakkan bungkusan hitam ke atas katil. Sehelai baju kurung moden warna turquoise dikeluarkan sebaik sahaja zip plastik dibuka. Baju yang masih tersangkut pada penyangkut baju itu didekatkan ke tubuh aku.

     "Nah cantik... kau pakai ni. Nanti aku tengok mana yang nak kena adjust" aku cuma angguk. Baju itu aku bawa ke dalam bilik air. Tidak ingin rasanya aku menyalin pakaian di hadapan si Fardel Akashah itu.

     "Ha...cantik pun kau ustazah.. Tapi I kena jahitkan bahagian tangan dengan kain yang labuh tu.." Si Fardel Akashah berkicau riuh. Sekejap Si Cantik, sekejap ustazah, sekejap aku, sekejap I....asalkan kau bahagialah wahai si warna-warni.
   
     Ketukan di pintu mengejutkan kami. Terpacul wajah manis Hilmi di situ. Senyuman dilempar paadaku sekilas.

     "Can I borrow my future wife for few hours?"biarpun tidak jelas kepada siapa pertanyaan itu ditujukan, hati aku menjadi sayu tiba-tiba.

     "Ambiklah....bakal bini dia ja yang dia nampak"Fardel Akashah bersuara laju. Pura-pura merajuk.

     Nurin ketawa manja.

     "Kak Del...jangan la marah. Jaga Lia baik-baik ya. Nanti In datang."

     "Ok Cinderella..jangan nakal-nakal tau"sempat lagi dicuitnya pipi Hilmi sebelum lelaki itu hilang di sebalik pintu. Hilmi cuma membalas usikan itu dengan senyuman.

     "Oh my...rasa nak pengsan I melihat kekacakannya ustazah oii"mulutnya laju berbunyi sambil tangannya mengeluarkan pita pengukur dan jarum peniti dari dalam beg comel berwarna hijau muda.

     Kak Del konon. Sumbat dengan kaki mulut tu, baru tau....Aku merungut di dalam hati. Sudahlah hatiku sakit, kicauan meriah dia ikut menyumbang kepada sebahagian rasa menyampahku di dalam hati.

     "Mintak izin ya ustazah.... Bismillahhirrahmanirrahim"Fardel Akashah mendekatkan pita pengukur kepadaku.

     Tangannya laju mengukur panjang tangan baju sambil menyelitkan jarum peniti usai ukuran dibuat.

     "Baju ni ikut ukuran Maya...orangnya tinggi lampai. Itu pasal bila letak kat badan kau yang kiut ni jadi labuh dik."laju sahaja dia mengomel.

    "Aku ni pemenang tempat kedua pertandingan jejari runcing emas ok! So sentuhan I memang sentuhan emas"usai berbicara, dia ketawa sendirian.

     "Akak Lia,Miza dengan Kin nak pergi jumpa mama. Goodies bag ni dah siap"gadis bert-shirt biru itu mendekati aku. Seorang lagi gadis yang kukira bernama Ashikin sudah berada di muka pintu.

     "Err....ok...."aku agak ragu-ragu. Ingin rasanya kutahan agar mereka terus kekal menemani aku tetapi laju pula mereka melangkah keluar dari bilik itu.

     Perasaanku seram sejuk saat aku tinggal berdua dengan Fardel Akashah di situ.

     "Err... kalau tak salah saya, haritu Hilmi test baju pengantin kat Kl... butik abang kat sana ke?"aku cuma memecah kesunyian.

     "Choi...akakkk ok....No abang -abang..."dia menjeling marah.

     "Err...ya...butik akak di Kl ke?"

     "Aah. U know what. Dress Nurin tu sampai harini I tak kasi dia tengok. Memang I sengaja nak buat gempak, courier dari Kl you....baru la hastag diva meletup gitu"

     Bunyi telefon bimbit menjerit dari dalam poket seluar Fardel Akashah mengejutkan kami yang sedang leka berbual.

     Alunan muzik "Pelamin anganku musnah" benar-benar menggelikan hati aku. Aku cuma mengulum senyum.

    "Helo darlinggg...."suara Fardel Akashah menjerit ramah menyapa si pemanggil.

     Samsung S4 dikepit ke telinga dengan bahu kiri sambil tangannya menyambung tugas menyematkan jarum peniti ke lengan bajuku.

     "What?"jeritan nyaring itu mengejutkan aku.

     Habis terkeluar suara asli jantan yang cuba ditahannya sedari tadi. Aku terjerit kecil akibat daripada tercucuk jarum peniti oleh dia. Namun jeritan aku langsung tidak diendahkan.

     "Apa maksud you tu Siti Nur Mashitah binti Mohd Amran?"marah benar dia sehingga nama penuh si pemanggil itu dijerit nyaring penuh drama.

    Telefonnya terlepas ke lantai.

    "Ustazah, Baju pengantin aku ustazah...baju pengantin aku kena rompak...."

     Usai mengucapkan ayat itu, Fardel Akashah jatuh terjelepuk di hadapan aku.

   Aku cuma tercengang. Hah? Oh, sudah..Nampaknya niat murni si Fardel Akashah untuk mengejutkan Nurin dengan tidak memberi bakal pengantin itu melihat dressnya benar-benar terjadi.

   

   
   

   
   

Sunday, 8 June 2014

Seseorang seperti dia 5

   Aku bangun seawal jam 6 pagi. Usai bersolat subuh aku duduk berteleku di balkoni chalet yang betul-betul menghadap laut. Suasana di luar masih kelam. Aku pandang ke laut yang sunyi. Mataku pejam sambil telingaku khusyuk mendengar bunyi ombak memecah pantai.

     Terbit rasa bersalah dalam diri. Biarpun mulut aku seolah meredhai segalanya tetapi dalam hati aku kadang-kadang terbit perasaan tidak ikhlas. Aku beristghfar lalu hatiku bertekad. Kau kena ikhlas Lia, jodoh di tangan Allah dan Hilmi memang bukan jodoh kau.

     "Jom, jogging"

    Entah berapa lama aku mengelamun, sedar-sedar saja Fisha sudah siap berpakaian sukan warna merah jambu di sebelahku. Matahari juga sudah terbit dan kulihat sudah ada beberapa orang mulai berjalan di tepi pantai.

    Ajakan Fisha aku balas dengan senyuman. Semoga hari ini menjadi permulaan baru dalam hidup aku.

                       *****

     Jam di tangan menunjukkan pukul 7.30 pagi. Masih ada dua jam lagi sebelum aku perlu bertemu dengan Nurin untuk merancang persiapan perkahwinannya.

    Sengaja aku tidak mahu turun untuk bersarapan di restoran chalet, rasa malu semalam masih berbaki. Tidak sanggup rasanya untuk aku hadap saudara mara Nurin dan Hilmi yang sudah pastinya menjadi penonton drama swasta percumaku semalam. Roti gardenia butterscoth dengan secawan milo menjadi pengalas perut kami. Mujur Fisha juga akur dan tidak banyak bunyi.

     Aku dan Fisha berjalan sepanjang pantai. Sekali sekala aku mengekek ketawa akibat dari lawak Fisha. Jari telunjuk Fisha menunjuk ke sebiji buah kelapa yang terdampar di tepi pantai.

     "Macam buntut toyol kan?"beria-ia Fisha meminta pendapat aku.

     Buah kelapa yang berwarna coklat gelap dengan sedikit belahan ke dalam itu aku pandang sambil tersengih. Faham kalau Toyol yang dimaksudkan ialah anak kepada jiran kami, anak Muhammad Usamah. Dek kerana mulut lelaki yang terlebih rajin memberi tazkirah kepada Fisha itu, sampaikan anak Muhammad Usamah yang menjadi mangsa kekejaman mulut Fisha.

     "Gelak sakan nampak."satu suara garau menegur aku dan Fisha yang masih megekek ketawa.

     Lelaki bert-shirt warna Adidas hijau dengan seluar sukan pendek itu kami pandang serentak.

     Darah menyerbu ke muka aku saat aku teringat kejadian semalam. Inilah lelaki yang menarik aku dari dalam kolam semalam.

     "Saya Ilham. Abang In. Awak Lia kan." ramah saja lelaki itu memperkenalkan dirinya tanpa diminta.

     "Kita kena la berkawan. Saya ni pengapit pengantin lelaki."senyum manis diukir menyerlahkan lesung pipit di pipi kanan.

    Fisha berdehem kuat.

    "Opss... lupa pula ada orang lain selain kita berdua Lia."Ilham bersuara bersahaja.

    Aku lihat wajah Fisha sedikit kelat. Pelik. Selalunya Fishalah makhluk yang paling teruja untuk menggatal setiap kali ada lelaki kacak yang menegur. Tapi kali ini temanku itu diam seribu bahasa.

     Ternyata Ilham ramah dan mudah mesra orangnya. Kami bertiga berjalan menyusuri Pantai Chenang tetapi cuma aku dan Ilham sahaja yang lebih banyak berbual.

     Daripada keramahan Ilham aku dapat tahu kalau Chalet Perangin adalah kepunyaan nenek dia dan Nurin. Patutlah sampai boleh buat majlis kahwin kat sini. Hati aku membuat telahan.

     Sampai di satu sudut bangku, Ilham mengajak kami duduk.

     "Tengok orang jalan kat tengah laut tu" Ilham memuncungkan bibirnya ke arah laut. Dari kejauhan aku lihat kelibat beberapa orang manusia yang sedang berjalan ke arah satu pulau yang berdekatan dengan pantai.

     "Itu pulau Rebak. Kalau air surut memang boleh jalan kaki saja. Tapi pernah ada juga kejadian pelancong mati. Bila dah sampai tengah-tengah laut tiba-tiba air pasang,maka berakhirlah riwayat mereka."

     Kata-kata dia aku sambut dengan senyuman. Kami bertiga diam membisu sambil mata kami terarah kepada satu pasangan Inggeris tua yang berjalan di persisir pantai. Wanita gempal berambut putih itu berjalan perlahan-lahan dengan tongkat kayu di tangan. Si lelaki tua itu pula setia memegang tangan wanita yang kukira ialah isterinya. Sekuntum bunga melur putih tersemat di telinga kanan wanita tua itu. Aku lihat mereka akan ketawa saat kaki mereka disentuh air pantai.

     "Budaya barat dan timur tak sama kan" Ilham bersuara memecah kesunyian.

     "Maksudnya?"tidak faham maksud yang cuba disampaikan.

     "Maksud saya, di barat mereka bebas ekspresikan perasaan dan tak malu untuk ucapkan kata sayang untuk orang yang mereka cinta"

     Ada benarnya kata-kata Ilham. Tapi budaya timur menekankan sifat malu dan maruah. Meskipun emak tidak pernah mengatakan ucapan sayang pada ayah di hadapan anak-anak, tapi cinta emak pada ayah tetap dapat kami lihat. Emaklah orang yang paling risau kalau ayah masih belum pulang lewat malam. Ayah juga sama, kalau tidak masakan ayah akan menjadi manusia yang paling risau saat tekanan darah emak naik dari aras normal.

     Dan kerana sifat malu itu jugalah aku memendam perasaan sukaku pada Hilmi selama bertahun dan berharap kalau perasaan aku itu dapat dibaca. How pathethic Lia.....

     "Dan kerana budaya timur yang pemalu itu jugaklah ada orang yang diam membisu je dari tadi"

     Aku cuma senyum. Sedar kalau ucapan itu ditujukan buat Fisha. Fisha cuma buat-buat tak faham.

     "Jomlah...."Fisha menarik tangan aku ke arah satu kedai cenderamata yang baru saja di buka. Kedai itu terletak bersebelahan bangku yang kami duduki.

    "Eh...ada pun suara"Ilham bersuara separuh berbisik namun cukup jelas untuk didengar oleh aku dan Fisha. Hai bertambah muncunglah kawan aku ni.

    Telefon bimbit Ilham tiba-tiba sahaja berbunyi. Dia menekup tangannya ke Iphone5 sambil jarinya memberi isyarat agar kami pergi dahulu.

     "Jap.. kau masuk dulu Lia, aku nak pergi toilet."belum sempat aku membalas, temanku itu terlebih dahulu berlari pergi.

    Aku melangkah masuk ke dalam kedai cenderamata itu. Terdapat banyak deretan kedai cenderamata, kedai runcit dan pengurup wang tetapi cuma kedai ini sahaja yang baru dibuka. Barangkali pukul 8.30 masih terlalu awal untuk mereka memulakan bisnes.

     Kedai kecil itu kelihatan sesak dengan susunan cenderamata dari kulit kerang, siput dan beberapa ukiran kayu. Terdapat beberapa rak kayu yang disusun menjadi lorong yang cuma mampu memuatkan seorang dewasa untuk berjalan di antara rak tadi. Di atas rak tersusun cenderamata dengan tulisan "nice to see nice to hold,once broken consider sold"

     "Mai masuk dik."wanita separuh umur berbadan gempal menegurku ramah. Dia duduk di atas kerusi berdekatan kaunter sambil mulutnya laju menyuap nasi lemak.

    Aku cuma tersenyum balas. Langkah aku atur berhati-hati. Aku terpegun melihat pada kreativiti mereka melekatkan kulit-kulit siput sehingga menjadi bentuk ikan, beruang dan rumah. Aku tunduk untuk mencapai replika kereta yang diletakkan agak jauh je dalam. Tiba-tiba......

     Papp......Aku terkejut saat aku merasa ada sepasang tangan menepuk buntutku dari belakang.

     Aku berpusing laju ke arah belakang. Rasa terkejutku bertukar menjadi rasa marah yang teramat sangat saat aku melihat kelibat seorang lelaki di belakangku.

    Dan kali ini aku tidak perlukan masa bebarapa minit untuk mengecam siapa penjenayah tersebut. Lelaki yang berdiri di belakang aku adalah lelaki yang sama aku temui beberapa hari lepas sehingga semalam. Lelaki dengan wajahnya ditumbuhi semak-samun dengan sebiji kamera dalam gengaman tangannya.

     T-shirt merah yang dipakainya dengan corak bertulis "pervert" betul-betul membuat aku geram. Memang sah pun kau pervert.

    Spontan sahaja tangan kanan aku  menampar pipi kiri lelaki di hadapanku sambil menjerit.

     "Jantan tak guna..."lelaki itu cuba untuk membuka mulut tapi tiada suara yang diluahkan. Aku lihat dia terdorong ke belakang dan kamera di tangannya terlepas ke lantai.

     "Awat... awat pasaipa adik oii"wanita gempal di kaunter itu terkocoh-kocoh berlari ke arah aku saat mendengar jeritan aku yang bergema.

     "Dia kacau saya kak. Dia tampar buntut saya" aku menjerit ke arah wanita itu. Air mata aku juga sudah ikut menitik.

     "La...awat hang dok pi tepuk anak dara orang mat oiii"wanita itu ikut menyoal lelaki tadi.

    Dalam pada itu aku melihat wanita itu menjilat-jilat jemarinya yang masih terlekat nasi. Barangkali sarapan paginya hari ini terganggu dek kerana insiden ini.

     Aku semakin geram kerana lelaki itu cuma diam membisu. Matanya ditenung ke arah kamera yang masih pegun di lantai.

   Papp....tiba-tiba aku terasa seperti belakangku ditepuk sekali lagi. Tidak lama selepas itu aku mendengar ketawa kecil dari bawah almari tempat aku berdiri. Seorang anak kecil keluar lalu bersembunyi di belakang wanita gempal itu.

    "Muhammad Usman. Awat yang hang dok pi tepuk kakak ni"nyaring suara wanita itu sambil tangannya memulas telinga anak kecil itu.

     Muhammad Umar. Bukan dia yang. Tapi aku. Tampar. Salah...faham...

     Entah apa yang aku rasakan saat itu. Rasa malu dan bersalah datang silih berganti.

    "Awak...saya...."kata-kata aku mati saat itu.

     Lelaki itu mengangkat wajah dan aku dapat lihat matanya seolah berair. Dia...menangis?

    Belum sempat aku meneruskan kata-kata,dia berlalu pergi. Kamera di lantai juga dibiarkan tidak berkutip.

     "Eh Shahril...."suara Ilham yang entah datang dari mana menyapa sosok lelaki asing yang sudah berlalu pergi itu.

     Aku mengutip kameranya dari lantai lalu tubuh Ilham aku dekati.

     "Awak kenal lelaki tadi?"aku bertanya ibarat orang dungu.

     "Shahril?" Ilham meminta kepastian.

    Aku cuma mengangguk lemah. Apa yang kau dah buat Lia. Lelaki yang kau gelar sesuka hati, yang kau marah tak tentu pasal. Dia bukan lelaki tak guna. Diapun manusia, manusia yang ada nama. Dan namanya Shahril.......
   

   

   

   
   


   

   

Seseorang seperti dia 4

    Dek kerana kejutan yang aku terima petang tadi, habis terbantut nafsuku untuk menjelajah sekeliling Chalet Perangin yang terletak betul-betul di hadapan pesisir pantai di Pantai Chenang. Fisha yang pada mulanya memekak sambil menarik aku terus terdiam saat aku mengugut untuk meninggalkan dia di Langkawi sendirian kalau dia terus-terusan memaksa.

     "Aku takda mood la Sha"

     "Hey sister. Kau bernafas di atas pulau yang dinobatkan sebagai khazanah dunia. Sampai hati kau tak ada mood".

     "Malasla Sha...."

     "Ala....jomlahhh Lia. Esok-esoklah kau tak ada mood tu. Harini adalah mood tu" Fisha masih mencuba nasib.

     Dan ajakan tulus Fisha akhirnya membawa kepada perbalahan antara aku dan teman baikku itu. Fisha terus menekup muka ke bantal tanda protes.

     Teringat akan diri yang masih belum menunaikan solat Asar, aku bergerak pantas menuju ke bilik air. Bau busuk dan masam menerpa masuk ke dalam hidungku saat pintu bilik air aku buka.

     Rasa marahku meluap tiba-tiba. Entah kenapa aku merasa seperti lelaki asing itu layak untuk menjadi mangsa amarahku. Seolah-olah dialah punca kepada kesedihan hati aku. Bukan Hilmi, bukan bakal isteri Hilmi, bukan siapa-siapa. Geram dan marah bercampur aduk. Barangkali sekawan syaitan yang sedang gigih menghasut aku kini sedang menari poco-poco keriangan dek kerana berjaya menghasut seorang lagi anak Adam.

     T-shirt putih yang sudah tidak layak dipanggil warna putih itu aku sumbat kasar ke dalam plastik laundry yang tersedia di atas sinki. Tidak cukup dengan itu, plastik yang tiada dosa itu aku pijak-pijak tanda geram. Air mata aku menitik laju lalu aku beristighfar panjang. Ya Allah, apa yang sedang aku fikirkan, ke manakah kewarasan akalku ini Ya Allah.

     Air mata aku lap lalu wuduk aku ambil. Usai mengangkat wuduk, aku melangkah lesu ke arah pintu sebelum....

     Bedebuk......aku jatuh terlentang akibat terpijak bungkusan plastik yang terbiar di lantai....Tengok Adelia... Allah bayar kau cash!

                          *****

     Malam ini aku cuma bersiap ala kadar. Dress labuh hijau pucuk pisang dari Poplook aku gayakan dengan tudung corak sedondon dari Aidijuma. Malas mahu bersolek,aku cuma mengoleskan bibirku dengan pelembab bibir.

     Dan meskipun aku sudah bersiap usai solat maghrib, aku terpaksa bertenggek di bucu katil menunggu Fisha bersolek. Fisha mengenakan dress paras lutut berwarna merah hati yang dibelinya minggu lepas semata-mata untuk melaram di tepi pantai.

     Rasa sengal dan pedih di bahagian buntut menyebabkan dudukku agak tidak selesa. Mujur saja Fisha terdengar jeritan aku petang tadi. Habis hilang rajuknya pada aku saat dia dengan rela hati mengurut badanku. Untung cuma sengal-sengal badan dan bukannya patah riuk aku dibuatnya.

     Setelah hampir sejam aku melihat Fisha menempek segala macam warna alat solekan ke wajahnya, aku mengucap syukur tatkala dia bangun dan mengajak aku untuk bergerak.

     Kami tiba di kawasan kolam Chalet Perangin agak lewat dan sekeliling kolam sudah dipenuhi dengan orang ramai yang rata-ratanya bergaya santai dengan makanan dan minuman di tangan. Aku mencari kelibat Hilmi di celah-celah wajah asing di situ. Hilmi sememannya mahu aku datang lebih awal sebelum majlisnya berlangsung. Rata-rata tetamu yang hadir pada majlis makan malam ini adalah saudara terdekat bakal isterinya.

     Setelah hampir lima minit aku lihat kelibat Hilmi di antara dua orang lelaki separuh umur di bahagian tepi kolam berdekatan meja bufet. Hilmi tersenyun lantas melambai ke arahku seolah-olah memberi arahan agar aku mendekatinya. Biarpun cuma mengenakan kemeja lengan pendek putih dengan gaya Hawaii, tampangnya tetap kelihatan sempurna.

     Lambaian dia aku balas dengan senyuman. Aku cuba mencari Fisha tapi ternyata temanku itu sudah hilang. Aik, tadi bukan main kau nak temankan aku Sha.

     "Terima kasih sebab sudi datang Lia."

     Aku menjawab teguran Hilmi dengan senyuman. Kami berbual kosong tentang perjalananku petang tadi diselangi dengan serba sedikit majlis resepsi yang bakal berlangsung dalam tempoh tiga hari lagi.

     Sedang aku khusyuk berbual, datang seorang gadis cantik dan dengan selamba sahaja dia memeluk lengan Hilmi. Gadis yang memakai dress putih dari kain satin itu mengukir senyum manis pada aku.

     "Siapa ni abang?"lunak manja suara gadis itu bertanya.

     "Oh, Lia, kenalkan ini bakal isteri saya, In. In, inilah Lia yang abang bagitau haritu. Nanti Lia akan gantikan Maya jadi pengapit In.."

     Saat itu aku rasakan diri aku seperti orang asing yang berada di dalam dunia percintaan mereka. Wajah Nurin aku pandang sepi. Punya ketinggian persis model, susuk tubuh ramping, sepasang mata coklat hazel dengan rambut lebat separas bahu.

     Nah, apa lagi yang perlu aku katakan selain perkataan sempurna. Ternyata bakal isteri Hilmi punya segala-galanya. Tanyalah mana-mana lelaki walhal kanak-kanak sekalipun, pasti mereka akan mengangguk paham dan memilih Nurin jika diletakkan Hilmi di antara aku dan Nurin.

     Sebaik mendengar percakapan Hilmi, Nurin terus menerpa ke arahku lalu tubuhku dipeluk erat. Aku tergamam. Ternyata gadis manis di dalam pelukanku ini menang lagi. Budi bahasanya menjadikan aku akur kalau Hilmi lelaki bertuah. Bertuah memiliki bidadari secantik ini.

     "Terima kasih Lia. In harap kita boleh jadi kawan" lesung pipit yang dalam timbul di pipi kanan saat dia tersenyum.

    Setelah berbual beberapa minit, aku meminta diri untuk menjauhi pasangan merpati dua sejoli itu saat seorang wanita yang agak berusia datang menghampiri.

     Aku melilau di sekitar kawasan kolam. Kolam berbentuk bulat itu kelihatan bercahaya kerana dihias dengan lilin-lilin kecil yang terapung di dalam piring berbentuk bunga mawar. Di kawasan sekelilig kolam diletakkan bangku-bangku kayu namun aku lihat para tetamu lebih banyak yang berdiri dari duduk.

     Nampaknya seperti semua orang megenali satu sama lain melainkan aku yang keseorangan. Kelibat Fisha aku cari. Hampa. Mana pulaklah perempuan ni pergi. Hatiku sudah geram.

     Di hujung kolam bersebelahan tempat tukang masak membakar makanan laut, aku lihat Fisha sedang asyik bertempuk tampar dengan chef bertopi putih tinggi yang sedang bekerja. Aku menggeleng kepala, kalau Fisha hilang, carilah dia di tempat yang ada makanan percuma dan lelaki kacak.

     Dalam pada aku melangkah laju, kakiku tersepak bangku di tepi kolam menyebabkan aku jatuh terduduk di atas seorang lelaki yang sedang gigih mengupas kulit udang di dalam piring. Habis terbang udangnya yang baru dikupas. Aku cuba untuk bangun dan mulutku laju meminta maaf.

     Saat mata kami bertemu, aku terkejut melihat wajah lelaki itu. Dengan ekor udang yang masih digigit di dalam mulut, ditambah dengan jambang yang meliar, membuatkan aku benar-benar terkejut.

     "Awak"

     Cuma itu yang mampu aku luahkan. Aku cepat-cepat ingin bangun tetapi terima kasih kepada dress Poplook aku yang labuh lagi menyapu lantai, aku terpijak hujung dress aku sendiri dan.....

     Bedebur.....aku hilang pertimbangan lalu jatuh ke dalam kolam. Tidak cukup dengan itu, aku turuk menarik lelaki tadi untuk ikut serta saat mulutnya masih tergantung ekor udang.
   
     Aku tidak dapat mengingat apa yang berlaku selepas itu. Yang aku ingat cumalah wajah seorang lelaki kacak yang menarik aku keluar dari kolam dan suara cemas Fisha yang penuh drama.

     "Kau ok tak Lia?"

     Aku cuma menangguk. Anggukan aku disambut dengan ketawa oleh Fisha. Kurang asam punya kawan.

    Tidak sampai lima minit,aku dikerumuni oleh orang ramai di situ. Hilang sudah rasa sakit mahupun sedih, diganti dengan rasa malu yang teramat sangat. Mahu saja aku pura-pura pengsan saat ini.

    "Awak ok?"seraut wajah kacak bertanya aku. Susuk lelaki yang memakai kemeja hitam dengan jeans biru gelap itu kelihatan asing di mata aku.

     Pastinya dia yang menarik aku keluar dari kolam tadi kerana bajunya kelihatan basah.

     "Nasib baik abang Am sempat tarik Lia tadi"suara Nurin kedengaran cemas di sisi aku.

     Bagaikan baru tersedar, aku pandang sekeliling, cuba mencari lelaki tadi. Lelaki asing yang sudah kali ketiga kutemui. Aku yakin benar kalau dia adalah si mata bercahaya itu.
   
   

Saturday, 7 June 2014

Seseorang seperti dia 3

    Suasana di Jeti Kuala Kedah agak sesak dengan orang ramai yang masing-masing tidak sabar menanti ketibaan feri untuk bertolak ke Pulau Lagenda Mahsuri, Pulau Langkawi. Panas yang membahang beserta bauan laut yang berlumpur membuat aku berasa sedikit tidak selesa.

     "Haa....tak sabarnya aku Lia"suara Fisha yang kedengaran teruja kusambut dengan senyuman malas. Kalau bukan kerana Fisha beria-ia mahu mengikut aku,pastinya sudah kubatalkan niat untuk ke sana. Bagaikan terlupa dengan kesedihan aku, Fisha selamba sahaja merengek untuk turut serta. Nak tengok lautlah, nak mandi pantailah, nak tengok helanglah, aik, engkau pulak yang lebih-lebih Sha.

     "Penumpang Feri Lambaian 3, masuk sekarang" Suara pengumuman dari pembesar suara mengejutkan aku dari lamunan.

     Orang ramai yang sedari tadi duduk bersantai dan tenang mulai bangun dan bergerak ke arah pintu menuju ke laluan menunggu feri. Aku menahan Fisha yang terkocoh-kocoh ingin bangun.

     "Sabar jap Sha. Aku rimaslah ramai orang. Biarlah orang lain masuk dulu". Tipu. Bukan orang lain yang merimaskan aku tetapi aku bimbang kalau-kalau Fisha dilenyek dek orang ramai yang sedang berpusu-pusu masuk.

     Dress kembang paras lutut berwarna merah dengan tompok-tompok putih kelihatan berkibar ditiup angin. Ditambah dengan topi lebar ala Julia Robert dan kasut wedges setebal 3 inci, beserta beg tarik besar berwarna merah jambu terang, rasanya lebih elok kalau aku dan Fisha memberi laluan kepada orang lain dahulu.

     Usai meletak beg, aku dan Fisha melangkah untuk mencari tempat duduk kami. Mujurlah tiket bernombor 24 dan 25 itu berada di aras bawah dan tidak jauh dari dari pintu keluar feri. Sampai sahaja kami di barisan yang sepatutnya aku lihat seorang lelaki sudah duduk di tengah-tengah antara tiga kerusi berdekatan tingkap itu. Tiket di tangan aku kerling dan nombor yang dilekatkan di atas sebagai penanda kerusi aku pandang.

     Dah betul dah ni. Tempat aku sepatutnya ialah bersebelahan tingkap dan Fisha pula di sebelah aku. Tetapi lelaki yang memaki t-shirt putih dengan jeans lusuh itu selamba sahaja duduk di kerusi Fisha dengan mukanya ditekup topi berwarna hijau lumut.

     "Encik, maaf. Saya rasa encik dah silap tempat duduk."aku cuba mengejutkan lelaki itu dengan sopan tetapi dia cuma diam tidak bergerak.

     "Bangunlah duduk tempat sendiri"Fisha yang sudah hilang sabar menepuk bahu lelaki itu.

     Ajaibnya, dia masih lagi diam tidak bergerak. Suasana sesak ditambah pula dengan pengumuman agar penumpang duduk kerana feri akan bergerak membuatkan aku akur.

     "Takpelah Sha, biarlah dia. Aku masuk kat kerusi dalam, kau duduk sini ya." aku memberi cadangan sambil mengerling wajah Fisha yang sudah masam.

     Fisha cuma mengangguk sambil mukanya masam mencuka. Wajah temanku itu juga sudah sama warnanya dengan baju yang dipakai, cuma tiada tompok-tompok putih saja di wajahnya yang bersih itu.

     Dalam pada aku melangkah masuk sengaja aku memijak kaki lelaki yang masih diam tidak bergerak itu. Sebaik duduk, aku lihat dia menggosok kaki kirinya dengan kaki kanan. Barangkali bisa ciuman kasut Vinci aku berjaya meninggalkan kesan walaupun dia masih diam tidak berganjak dari posisi berpeluk tubuh dengan topi masih melekap di muka.

     Tidak lama selepas feri bergerak, lelaki tadi sudah berdengkur. Tidak cukup dengan itu, kepalanya pula dilentokkan ke bahu aku. Aku menolak kepalanya perlahan-lahan dari bahuku. Tetapi selang beberapa minit, kepalanya kembali terlentok di bahu aku. Eh, ini sudah lebih, hatiku mulai panas.

     Aku pandang sekeliling sambil mencari idea untuk mengenakan lelaki di sebelah. Di kerusi hadapan aku lihat seorang kanak-kanak dalam linkungan usia 2 tahun sedang memegang belon kuning dalam dakapan ibunya. Idea jahatku datang tiba-tiba. Pin yang tersemat di tudung aku buka lalu anak kecil itu sengaja kuagah agar mendekat padaku.

    "Cak...emm cakk"ideaku berhasil apabila anak kecil itu ketawa mengekek ke arahku. Belon kuningnya ikut bergerak sama. Si ibu muda yang duduk cuma teraenyum.

    Dekat, dekat dan dekat lagi. Lantas aku cucuk belon itu dengan pin yang sudah tersedia di tangan.

     "Panggg"bunyi letupan belon kuat mengejutkan penumpang lain disertai dengan jeritan anak kecil tadi.

    Serentak itu juga, lelaki di sebelah aku bangun lalu bersilat. Aku ketawa mengekek melihat perlakuan spontan tersebut. Fisha yang mengurut dada akibat terkejut memandang aku dengan penuh tanda tanya. Dan lelaki di sebelahku kelihatan tercengang-cengang setelah selesai membuka langkah kuda-kuda. Boleh tahan juga dia ni melatah. Padan muka kau mamat oiii... Hati aku tersenyum puas.
 
     Lelaki itu merengus kasar lalu mengutip topinya yang jatuh ke bawah. Bagaikan tiada apa-apa, topi kembali ditekapkan ke muka lalu dia menyandar ke kerusi sambil berpeluk tubuh.

     Suasana mulai tenang dan lelaki itu juga sudah tidak lagi menyandarkan kepalanya ke bahu aku. Aku pandang ke luar tingkap sambil memerhati lautan biru yang kelihatannya tiada penghujung.

     Keadaan feri yang bergerak turun naik akibat dipukul ombak membuatkan aku merasa sedikit mual. Air laut kelihatan seperti menampar-nampar cermin tingkap membuatkan aku memusing kepala ke sebelah, cuba menjauhi imej laut yang membuatkan aku merasa ingin muntah. Barangkali inilah yang dikatakan mabuk laut.

     Feri yang makin terumbang-ambing membuatkan rasa mualku semakin kronik.

     "Kau ingat aku tak tau apa yang kau buat ke perempuan"lelaki di sebelahku bersuara perlahan.

     Topiya diangkat lalu wajahnya didekatkan ke arahku. Aku yang masih terkejut kehilangan kata-kata.

     "Apasal diam?"wajah yang diselaputi jambang yang tumbuh meliar itu semakin mendekati aku.

     "Err...saya"aku cuba bersuara tetapi gerakan feri yang seakan tidak stabil ibarat menelan kata-kata yang bakal terluah.

     Air laut yang menghempas cermin ditambah dengan gerakan feri betul-betul membuatkan aku merasa tidak selesa. Dan saat itu aku teringat kembali makanan yang aku telan sebelum melangkah masuk ke perut feri. Dua ketul ayam KFC snack plate dengan secawan besar air milo. Tidak cukup dengan itu, lelaki berwajah selekeh itu itu semakin mendekati. Pakej-pakej lengkap itu ibarat menjerit ke arahku dengan arahan, muntahlah kau wahai Adelia. Dan.....

     "Uwek...."aku muntah di atas baju putih bersih lelaki itu. Senyumannya mati dan gerakannya pegun.

     "Uwek...."bukan sekali tetapi dua kali aku muntah di situ. Aku tatap wajah yang bersemak-samun itu lantas matanya kukerling. Macam kenal,tapi....di mana ya.

     Saat itu juga aku lihat lelaki itu terkocoh-kocoh berlalu pergi dan sehingga feri berlabuh di Jeti Kuah, kelibatnya masih tidak kelihatan dan dia tidak pernah kembali ke kerusi di sebelahku. Dan saat itu aku teringat kalau ini bukanlah pertemuan pertama antara aku dan dia.

                                 *****
      Sampai saja di chalet penginapan kami, aku lihat Fisha masih ketawa terbahak-bahak.

     "Lia,aku tau kau nakal,tapi bila kau muntah dekat lelaki tu,memang terbaik la."Fisha sudah siap duduk bertenggek di atas katil. Beg tangan serta beg baju warna merah jambunya dibiarkan tergolek di bucu katil.

     "Dahla Sha,aku rasa bersalah ni"betul, aku sememangnya menunggu agar lelaki itu kembali ke tempatnya agar dapat aku ucapkan permintaan maafku padanya.

    "Sha, kau ingat tak lelaki yang aku cakap mata dia bercahaya tu."

     "Aah. Kenapa?" Fisha menjawab acuh tak acuh sambil tanggannya megirai rambut.

     "Ermm...aku baru perasan,  mamat tadi tu mamat tulah."

     "What, kenapa tak cakap tu mamat Inner Shine" suara Fisha mencerlung kuat penuh drama.

    Semenjak dari kejadian di butik pengantin itu Fisha menggelarkan lelaki itu sebagai Inner Shine. Aku cuma mengikut. Ya, Fisha memang pandai menggelarkan orang lain sesuka hati. Kerani di sekolah kami digelarkan sebagai Akak Pink hanya kerana kakak berusia 40 an itu gemar memakai baju berona pink dan anak jiran kami digelarnya sebagai toyol hanya kerana anak kecil berusia 5 tahun itu tidak suka memakai baju.

     "Eeee..ruginya. Aku teringin nak tengok mata mamat tu."

     Ting tong. Bunyi loceng di pintu mengejutkan aku dan Fisha. Kami memandang satu sama lain sambil menjungkitkan bahu tanda tidak tahu.

     Fisha meloncat laju lantas berlari ke arah pintu. Usai menutup pintu, dia kembali kepada aku dengan satu bungkusan plastik hitam di tangan.

     "Budak housekeeping cakap ada orang kasi untuk cik yang pakai tudung kaler macam kek lapis kat bilik ni"

    Fisha sudah duduk bersila di sisi sambil meletakkan bungkusan itu di riba aku. Aku menggeleng laju. Perasaan aku tidak enak. Memanglah aku seorang sahaja yang memakai tudung di sini dan hari ini aku memakai tudung bercorak abstrak warna warni.

    "Eee... tak naklah. Jangan- jangan bom ke, dadah ke"

    "Amboi...kau ingat kau tu Diva ke Lia"
 
    "Apa kata kau saja buka bungkusan ni Sha."
   
     "Betul ni?"mata Fisha dibulatkan tanda teruja.

     "Tapi kau bawaklah pergi toilet. Entah apa yang ada kat dalam tu."

     Serentak itu Fisha melompat laju sambil menjinjit bungkusan hitam itu.

     Baru sahaja aku ingin berbaring,aku dikejutkan dengan jeritan Fisha dari dalam bilik air. Terkocoh-kocoh aku berlari mendapatkan temanku itu.

     Jantungku bagaikan mahu gugur melihatkan sehelai t-shirt putih yang sudah kotor dan berbau masam di dalam sinki. Fisha menghulurkan sehelai nota tulisan tangan kepada aku.

     "Terima kasih untuk semburan bom tadi. Basuh bersih-bersih ya, nanti aku datang kutip".

     Aku dan Fisha memandang satu sama lain lalu menjerit serentak.

     "Inner Shine".


   

Friday, 6 June 2014

Seseorang seperti dia 2

BAB 2

     Lagu Teardrops on My Guitar nyanyian Taylor Swift menjadi peneman aku malam ini. Terasa seperti si rambut kerinting cantik itu mencuri kisah hati aku untuk dijadikan lagu. Bezanya, aku bukanlah berambut kerinting perang, tidak mempunyai gitar dan aku menggilai Hilmi, bukannya si mat Saleh Drew. Aku melangkah ke arah tingkap lalu aku duduk berteleku di situ. Sengaja aku biarkan angin malam menampar pipi aku dengan lembut. Sudah dua hari aku pulang ke kampung di Taiping sebelum bertolak ke Langkawi Rabu depan. Aku mengeluh lagi, dan kali ini entah untuk keberapa ratus kalinya.

     Kalaulah hidup aku ini adalah plot drama Melayu, sudah pastinya saat ini ianya dilatari dengan lagu-lagu sedih. Aduh. Gigitan nyamuk mengejutkan aku dari angan-angan. Kurang asam punya nyamuk. Aku menyengih sendirian. Semestinya watak heroin digigit nyamuk akibat berangan takkan wujud dalam drama di televisyen, ia cuma wujud dalam drama hidup aku yang malang!

     Usai menutup tingkap,aku bergerak ke arah meja solek kayu di sisi katil. Laci meja kutarik berhati-hati lalu album gambar bersaiz sederhana aku keluarkan. Album dengan kulit berwarna merah itu aku tatap dengan seribu satu perasaan. Satu persatu gambar aku perhatikan sehinggalah tiba ke sekeping gambar yang menjadi permulaan kepada segala perasaan  kecewaku hari ini. Gambar yang diambil sepuluh tahun lepas itu masih lagi kelihatan elok meskipun ianya kelihatan sedikit kekuningan akibat dimamah usia. Gambar Hilmi tersenyum di sisi aku yang memandang kamera seakan terkejut itu benar-benar meruntun perasaan.

     "Nanti dulu. Ermm...awak dah lambat" aku menahan sorang pelajar lelaki yang bertubuh gempal dari memasuki pagar sekolah.

     "So what kalau aku lambat?"si gempal tadi membalas kasar. Wajahnya yang bertempek jerawat batu sengaja didekatkan ke wajahku.

     "Err...saya kena ambik nama awak.."fuh. Bertenang Adelia. Kau boleh buat. Aku meniupkan kata-kata semangat di dalam hati sambil menggerakkan tubuhku menjauhinya.

     "Awi macho"

     "Hah?"

     "Hoi pekak,aku kata nama aku Awi Macho"

     Aku beristighfar di dalam hati. Ada rasa geram tetapi perasaan terbesar yang aku rasai saat ini adalah rasa takut. Kenapalah pada hari pertama aku menjadi pengawas,aku ditugaskan menjaga pagar dan ditakdirkan pula untuk bertemu si gempal perasan macho ini.

     Aku cuba mengawal perasaanku lalu namanya aku coretkan ke dalam buku nota kecil di tangan. Aku sudah mengambil keputusan untuk membiarkan si lemak tepu ini berlalu pergi tetapi tindakannya yang tiba-tiba menarik buku kecil di tangan aku membuatkan aku terjerit kecil akibat ketakutan.

     Dan entah dari mana datangnya perasaan berani,aku berusaha untuk menarik kembali buku nota tersebut dari tangan si gempal di hadapanku. Ternyata lemaknya menjana lebih kekuatan berbanding aku yang kurus dan lebih pendek. Dengan sekali tolakan sahaja tubuhku terdorong ke belakang. Saat itu,tubuhku tidak menyentuh lantai tapi ada sepasang tangan yang menahan aku dari jatuh. Aku pandang wajah dia dan cahaya terpancar dari wajah itu. Betul, wajahnya kelihatan bercahaya. Ok, perkataan itu mungkin agak melampau, cahaya itu adalah cahaya matahari yang terkena cermin mata penyelamatku ini.

     "Awak okay?"si hero itu bertanya prihatin. Aku hanya mengangguk. Apa yang berlaku seterusnya menjadi tidak jelas. Perkara terakhir yang aku ingat ialah si lemak tepu itu memulangkan buku notaku beserta ucapan maaf berkali-kali.

     "Saya Hilmi. Hati-hati ya, kena keras sikit kalau jadi pengawas ni Adelia"bagaikan watak hero di dalam komik, dia melangkah pergi. Wajah yang asing di Sekolah Menengah Raja Hussin itu aku pandang sepi. Chop....dia tahu nama aku. Dan kelibatnya sudah hilang dari ingatan saat aku tersedar.
                           
                                 *****