Suasana di Jeti Kuala Kedah agak sesak dengan orang ramai yang masing-masing tidak sabar menanti ketibaan feri untuk bertolak ke Pulau Lagenda Mahsuri, Pulau Langkawi. Panas yang membahang beserta bauan laut yang berlumpur membuat aku berasa sedikit tidak selesa.
"Haa....tak sabarnya aku Lia"suara Fisha yang kedengaran teruja kusambut dengan senyuman malas. Kalau bukan kerana Fisha beria-ia mahu mengikut aku,pastinya sudah kubatalkan niat untuk ke sana. Bagaikan terlupa dengan kesedihan aku, Fisha selamba sahaja merengek untuk turut serta. Nak tengok lautlah, nak mandi pantailah, nak tengok helanglah, aik, engkau pulak yang lebih-lebih Sha.
"Penumpang Feri Lambaian 3, masuk sekarang" Suara pengumuman dari pembesar suara mengejutkan aku dari lamunan.
Orang ramai yang sedari tadi duduk bersantai dan tenang mulai bangun dan bergerak ke arah pintu menuju ke laluan menunggu feri. Aku menahan Fisha yang terkocoh-kocoh ingin bangun.
"Sabar jap Sha. Aku rimaslah ramai orang. Biarlah orang lain masuk dulu". Tipu. Bukan orang lain yang merimaskan aku tetapi aku bimbang kalau-kalau Fisha dilenyek dek orang ramai yang sedang berpusu-pusu masuk.
Dress kembang paras lutut berwarna merah dengan tompok-tompok putih kelihatan berkibar ditiup angin. Ditambah dengan topi lebar ala Julia Robert dan kasut wedges setebal 3 inci, beserta beg tarik besar berwarna merah jambu terang, rasanya lebih elok kalau aku dan Fisha memberi laluan kepada orang lain dahulu.
Usai meletak beg, aku dan Fisha melangkah untuk mencari tempat duduk kami. Mujurlah tiket bernombor 24 dan 25 itu berada di aras bawah dan tidak jauh dari dari pintu keluar feri. Sampai sahaja kami di barisan yang sepatutnya aku lihat seorang lelaki sudah duduk di tengah-tengah antara tiga kerusi berdekatan tingkap itu. Tiket di tangan aku kerling dan nombor yang dilekatkan di atas sebagai penanda kerusi aku pandang.
Dah betul dah ni. Tempat aku sepatutnya ialah bersebelahan tingkap dan Fisha pula di sebelah aku. Tetapi lelaki yang memaki t-shirt putih dengan jeans lusuh itu selamba sahaja duduk di kerusi Fisha dengan mukanya ditekup topi berwarna hijau lumut.
"Encik, maaf. Saya rasa encik dah silap tempat duduk."aku cuba mengejutkan lelaki itu dengan sopan tetapi dia cuma diam tidak bergerak.
"Bangunlah duduk tempat sendiri"Fisha yang sudah hilang sabar menepuk bahu lelaki itu.
Ajaibnya, dia masih lagi diam tidak bergerak. Suasana sesak ditambah pula dengan pengumuman agar penumpang duduk kerana feri akan bergerak membuatkan aku akur.
"Takpelah Sha, biarlah dia. Aku masuk kat kerusi dalam, kau duduk sini ya." aku memberi cadangan sambil mengerling wajah Fisha yang sudah masam.
Fisha cuma mengangguk sambil mukanya masam mencuka. Wajah temanku itu juga sudah sama warnanya dengan baju yang dipakai, cuma tiada tompok-tompok putih saja di wajahnya yang bersih itu.
Dalam pada aku melangkah masuk sengaja aku memijak kaki lelaki yang masih diam tidak bergerak itu. Sebaik duduk, aku lihat dia menggosok kaki kirinya dengan kaki kanan. Barangkali bisa ciuman kasut Vinci aku berjaya meninggalkan kesan walaupun dia masih diam tidak berganjak dari posisi berpeluk tubuh dengan topi masih melekap di muka.
Tidak lama selepas feri bergerak, lelaki tadi sudah berdengkur. Tidak cukup dengan itu, kepalanya pula dilentokkan ke bahu aku. Aku menolak kepalanya perlahan-lahan dari bahuku. Tetapi selang beberapa minit, kepalanya kembali terlentok di bahu aku. Eh, ini sudah lebih, hatiku mulai panas.
Aku pandang sekeliling sambil mencari idea untuk mengenakan lelaki di sebelah. Di kerusi hadapan aku lihat seorang kanak-kanak dalam linkungan usia 2 tahun sedang memegang belon kuning dalam dakapan ibunya. Idea jahatku datang tiba-tiba. Pin yang tersemat di tudung aku buka lalu anak kecil itu sengaja kuagah agar mendekat padaku.
"Cak...emm cakk"ideaku berhasil apabila anak kecil itu ketawa mengekek ke arahku. Belon kuningnya ikut bergerak sama. Si ibu muda yang duduk cuma teraenyum.
Dekat, dekat dan dekat lagi. Lantas aku cucuk belon itu dengan pin yang sudah tersedia di tangan.
"Panggg"bunyi letupan belon kuat mengejutkan penumpang lain disertai dengan jeritan anak kecil tadi.
Serentak itu juga, lelaki di sebelah aku bangun lalu bersilat. Aku ketawa mengekek melihat perlakuan spontan tersebut. Fisha yang mengurut dada akibat terkejut memandang aku dengan penuh tanda tanya. Dan lelaki di sebelahku kelihatan tercengang-cengang setelah selesai membuka langkah kuda-kuda. Boleh tahan juga dia ni melatah. Padan muka kau mamat oiii... Hati aku tersenyum puas.
Lelaki itu merengus kasar lalu mengutip topinya yang jatuh ke bawah. Bagaikan tiada apa-apa, topi kembali ditekapkan ke muka lalu dia menyandar ke kerusi sambil berpeluk tubuh.
Suasana mulai tenang dan lelaki itu juga sudah tidak lagi menyandarkan kepalanya ke bahu aku. Aku pandang ke luar tingkap sambil memerhati lautan biru yang kelihatannya tiada penghujung.
Keadaan feri yang bergerak turun naik akibat dipukul ombak membuatkan aku merasa sedikit mual. Air laut kelihatan seperti menampar-nampar cermin tingkap membuatkan aku memusing kepala ke sebelah, cuba menjauhi imej laut yang membuatkan aku merasa ingin muntah. Barangkali inilah yang dikatakan mabuk laut.
Feri yang makin terumbang-ambing membuatkan rasa mualku semakin kronik.
"Kau ingat aku tak tau apa yang kau buat ke perempuan"lelaki di sebelahku bersuara perlahan.
Topiya diangkat lalu wajahnya didekatkan ke arahku. Aku yang masih terkejut kehilangan kata-kata.
"Apasal diam?"wajah yang diselaputi jambang yang tumbuh meliar itu semakin mendekati aku.
"Err...saya"aku cuba bersuara tetapi gerakan feri yang seakan tidak stabil ibarat menelan kata-kata yang bakal terluah.
Air laut yang menghempas cermin ditambah dengan gerakan feri betul-betul membuatkan aku merasa tidak selesa. Dan saat itu aku teringat kembali makanan yang aku telan sebelum melangkah masuk ke perut feri. Dua ketul ayam KFC snack plate dengan secawan besar air milo. Tidak cukup dengan itu, lelaki berwajah selekeh itu itu semakin mendekati. Pakej-pakej lengkap itu ibarat menjerit ke arahku dengan arahan, muntahlah kau wahai Adelia. Dan.....
"Uwek...."aku muntah di atas baju putih bersih lelaki itu. Senyumannya mati dan gerakannya pegun.
"Uwek...."bukan sekali tetapi dua kali aku muntah di situ. Aku tatap wajah yang bersemak-samun itu lantas matanya kukerling. Macam kenal,tapi....di mana ya.
Saat itu juga aku lihat lelaki itu terkocoh-kocoh berlalu pergi dan sehingga feri berlabuh di Jeti Kuah, kelibatnya masih tidak kelihatan dan dia tidak pernah kembali ke kerusi di sebelahku. Dan saat itu aku teringat kalau ini bukanlah pertemuan pertama antara aku dan dia.
*****
Sampai saja di chalet penginapan kami, aku lihat Fisha masih ketawa terbahak-bahak.
"Lia,aku tau kau nakal,tapi bila kau muntah dekat lelaki tu,memang terbaik la."Fisha sudah siap duduk bertenggek di atas katil. Beg tangan serta beg baju warna merah jambunya dibiarkan tergolek di bucu katil.
"Dahla Sha,aku rasa bersalah ni"betul, aku sememangnya menunggu agar lelaki itu kembali ke tempatnya agar dapat aku ucapkan permintaan maafku padanya.
"Sha, kau ingat tak lelaki yang aku cakap mata dia bercahaya tu."
"Aah. Kenapa?" Fisha menjawab acuh tak acuh sambil tanggannya megirai rambut.
"Ermm...aku baru perasan, mamat tadi tu mamat tulah."
"What, kenapa tak cakap tu mamat Inner Shine" suara Fisha mencerlung kuat penuh drama.
Semenjak dari kejadian di butik pengantin itu Fisha menggelarkan lelaki itu sebagai Inner Shine. Aku cuma mengikut. Ya, Fisha memang pandai menggelarkan orang lain sesuka hati. Kerani di sekolah kami digelarkan sebagai Akak Pink hanya kerana kakak berusia 40 an itu gemar memakai baju berona pink dan anak jiran kami digelarnya sebagai toyol hanya kerana anak kecil berusia 5 tahun itu tidak suka memakai baju.
"Eeee..ruginya. Aku teringin nak tengok mata mamat tu."
Ting tong. Bunyi loceng di pintu mengejutkan aku dan Fisha. Kami memandang satu sama lain sambil menjungkitkan bahu tanda tidak tahu.
Fisha meloncat laju lantas berlari ke arah pintu. Usai menutup pintu, dia kembali kepada aku dengan satu bungkusan plastik hitam di tangan.
"Budak housekeeping cakap ada orang kasi untuk cik yang pakai tudung kaler macam kek lapis kat bilik ni"
Fisha sudah duduk bersila di sisi sambil meletakkan bungkusan itu di riba aku. Aku menggeleng laju. Perasaan aku tidak enak. Memanglah aku seorang sahaja yang memakai tudung di sini dan hari ini aku memakai tudung bercorak abstrak warna warni.
"Eee... tak naklah. Jangan- jangan bom ke, dadah ke"
"Amboi...kau ingat kau tu Diva ke Lia"
"Apa kata kau saja buka bungkusan ni Sha."
"Betul ni?"mata Fisha dibulatkan tanda teruja.
"Tapi kau bawaklah pergi toilet. Entah apa yang ada kat dalam tu."
Serentak itu Fisha melompat laju sambil menjinjit bungkusan hitam itu.
Baru sahaja aku ingin berbaring,aku dikejutkan dengan jeritan Fisha dari dalam bilik air. Terkocoh-kocoh aku berlari mendapatkan temanku itu.
Jantungku bagaikan mahu gugur melihatkan sehelai t-shirt putih yang sudah kotor dan berbau masam di dalam sinki. Fisha menghulurkan sehelai nota tulisan tangan kepada aku.
"Terima kasih untuk semburan bom tadi. Basuh bersih-bersih ya, nanti aku datang kutip".
Aku dan Fisha memandang satu sama lain lalu menjerit serentak.
"Inner Shine".
No comments:
Post a Comment