Aku lihat dia memandu kancil merah ini dengan tenang. Tiada langsung perbualan antara kami berdua. Aku membuang pandangan keluar melalui tingkap. Terdapat banyak kedai cenderamata dan restoran di sepanjang Jalan Pantai Chenang. Rata-rata pelancong asing kelihatan santai berjalan kaki melewati kedai-kedai di situ. Sekali-sekala aku mengerling ke arah lelaki di sebelahku ini.
Aku baru perasan kalau t-shirt yang dipakainya sudah ada lubang-lubang kecil di bahagian tangan akibat terlalu lusuh. Jeans biru muda yang disarung juga sudah koyak sedikit di bahagian lutut kiri. Selipar kuning yang disarung pula kelihatan seperti satu saiz lebih besar dari saiz kakinya.
Biarpun aku cuma manusia biasa dan hatiku cenderung untuk menilai manusia dari rupa paras dan penampilan mereka, aku cuba sedaya upaya agar tidak menilai lelaki di sebelahku ini dari penampilannya. Lebih-lebih lagi dengan peristiwa pagi tadi yang menjadi titik tolak kepada keterlanjuran aku menuduh dia secara terburu-buru.
Shahril. Ya, aku masih berhutang kata-kata maaf kepada Shahril dan aku kira waktu ini adalah waktu yang tepat untuk aku berbuat demikian.
"Aku handsome sangat ke sampai kau terjeling-jeling tengok aku".
Tegurannya membuatkan aku malu sendiri. Tidak sangka kalau perlakuan aku diperhatikan. Aku lihat dia mengangkat kening kirinya berkali-kali.
"Jangan perasan boleh tak"aku membuang pandang ke luar tingkap. Cuba untuk menutup rasa malu yang datang bertamu.
Daripada jalan besar Pantai Chenang, kereta dibelok ke arah kanan memasuki satu jalan kampung. Jalan itu agak sempit dan hanya memuatkan sebiiji kereta pada satu-satu masa.
"Kenapa ikut sini? Bukan kita nak pergi Pekan Kuah ke?
Meski aku tidak tahu selok-belok jalan di sini, tetapi jalan yang sunyi dengan hanya beberapa buah rumah sahaja mengundang tanya tanya. Semakin jauh kami menyusuri jalan tersebut, suasana semakin sunyi. Tiada lagi kelihatan rumah orang di sisi jalan, diganti pula dengan sawah padi yang luas terbentang.
"Shortcut"dia menjawab sepatah. Suasana antara kami bisu kembali.
"Er...saya nak mintak maaf....pasal pagi..tadi"terluah juga ucapan maaf yang kusimpan sedari tadi.
"Apa dia? Tak dengarlah."dia menjawab perlahan.
"Saya minta maaf..."
"Macam dengar suara..tapi mana eh"dia menepuk-nepuk dashboard sambil matanya melilau seolah-olah mencari sesuatu.
"Awak....saya betul-betul ni"aku mulai geram.
"Macam ada suara tapi tak nampak pulak sapa-sapa kat sini".
"Sharil..."namanya aku sebut perlahan. Entah kenapa, terbit perasaan malu saat sebaris nama itu aku sebut.
"Apa dia? Tak dengarlah!"
"I said, I'm sorry"hatiku mulai geram. Aku lihat dia berpura-pura mengorek telinga sambil badannya didekatkan ke arahku.
"Shahril, ada orang sebut nama kaulah"lelaki itu berbicara sendirian.
"Ye ke? Dia cakap apa?"
"Tahlah...banyak sangat taik telinga kot. Aku tak dengar. Suara tu pulak slow je..."
"Cantik ke orang yang panggil nama kau?"
"Hmm....boleh tahan la...boleh tahan hodoh juga"
Dia bercakap sendirian. Sengaja memancing api kemarahanku barangkali. Geram diperlakukan begitu, aku menjerit tiba-tiba.
"Aku cakap sorry...sorry sorry.....nak cakap kuat macam mana lagi"
Wajahnya aku pandang saat aku bertempik kuat melebihi satu oktaf dari suaraku yang biasa.
Barangkali terkejut dengan jeritan mautku itu, dia tertekan pedal minyak lebih kuat lalu kereta kancil itu tiba-tiba bergerak laju di hadapan jalan yang sudah sedia sempit itu.
Dan saat itu juga muncul seorang lelaki yang datang entah dari mana sedang menunggang basikal di hadapan kami. Kebetulan yang agak klishe. Kenapalah dalam banyak-banyak waktu, dia harus berada di sini dan menunggang basikalnya sekarang, bukannya esok mahupun lusa.
Kereta kancil yang dipandu Shahril meluru laju ke arah lelaki berbasikal itu. Aku lihat basikalnya terhuyung-hayang sebelum dia jatuh.
Kami memandang antara satu sama lain serentak.
"Kenapa kau jerit?"
"Saya geram"
"Kot ye pun, simpanlah geram kau kat aku tu esok ke lusa ke tak boleh ke..Apa kau tak tahu ke yang penumpang tak boleh kacau pemandu masa tengah memandu..."dia membebel panjang.
Ada riak risau pada nada suaranya. Aku cuma diam. Shahril menepuk dahinya tiba-tiba. Dia terkocoh-kocoh keluar dari kereta dan aku cuma mengikut sahaja perlakuannya tanpa banyak tanya.
"Eh tadi aku langgar orang, tapi dah hilang"Shahril bersuara panik.
Dia membongkokkan badannya lalu menjenguk je bawah kereta. Kosong. Mataku meliar ke kawasan sekeliling. Aku yakin benar melihat seorang lelaki menunggang basikal di sini tadi. Tapi peliknya, cuma basikalnya sahaja yang tinggal.
Bulu romaku meremang tiba-tiba... Siang begini masakan ada...
"Entah-entah aku langgar hantu kot"Shahril menjerit selamba.
Aku menjegilkan mata ke arah Shahril yang menggaru-garu kepalanya. Kenapalah mulut kau celupar sangat. Hatiku menjerit geram.
No comments:
Post a Comment