Saturday, 28 June 2014

Seseorang seperti dia 13

     Kami tiba di hadapan kedai Fairylicious ini tepat jam 2.30 petang. Jika diikutkan kepada janji yang telah dibuat oleh Fardel Akashah, ternyata aku dan Shahril sudah lewat dari waktu asal yang dijanjikan. Tapi mujurlah Fardel Akashah tidak pula menghubungi aku untuk bertanya apa-apa.

     Kedai menjual alatan perkahwinan seperti bunga telur, manik,labuci dan pelbagai jenis alatan hantaran ini terletak di tingkat atas rumah kedai yang terletak bersebelahan dengan cawangan Maybank.

     "Kau pergi ambil barang dulu, aku nak cari parking"Shahril memberhentikan kereta di hadapan kedai Fairylicious dan mengarahkan supaya aku turun dahulu. Ternyata susah juga untuk kami mencari parkir berdekatan kerana tiada parkir yang kosong walaupun setelah dua kali dia membuat pusingan di sini.

     Tanpa banyak soal, aku keluar dari kereta dan berlalu masuk ke dalam kedai Fairylicious.

     Kedai yang luas itu kelihatan sesak dengan pelbagai jenis barang. Terdapat banyak rak-rak tinggi yang disusun di dalam kedai dan menempatkan pelbagai jenis manik, bekas hantaran dan bunga.

     Aku meluru laju menuju ke arah seorang wanita bertudung kuning yang sedang duduk di hadapan kaunter.

     "Assalamualaikum kak"

     "Waalaikumussalam dik"

     "Akak, saya datang nak ambil barang"sehelai kertas yang dikirim oleh Fardel Akashah aku hulurkan kepada wanita kurus berbaju kurung putih itu.

     "Oh.....Lama kak tunggu hang. Sat noh....nak pi ambik kat stor belakang"

     Ramah dia bercerita sebaik kertas kecil itu dibaca.

     "Adik pi dok sana sat. Sat gi akak mai"wanita itu mengarahkan aku duduk di atas sofa merah di tengah kedai sebelum tubuhnya hilang ke belakang kedai.

     Aku duduk di atas sofa sambil mataku meliar memandang sekeliling kedai. Tiada siapapun di sini melainkan aku. Sebuah majalah pengantin yang terletak di rak kecil sebelah sofa kuambil. Majalah yang memaparkan wajah Liyana Jasmay dalam gaun pengantin warna putih sebagai muka depan itu aku selak perlahan-lahan.

     "Ye sayang.. abang tak tipu"suara garau seorang lelaki mengetuk gegendang telinga aku.

     Aku lihat seorang lelaki bertubuh gempal duduk di hadapanku. Tangan kanannya sedang menekup telefon bimbit ke telinga. Sempat juga dia tersenyum kepadaku saat dia membuka cermin mata hitam yang dipakainya sedari tadi.

     "Ye, sayang...Abang tak curang...Percayalah, cinta abang hanya untukmu sayang"

    Suara lelaki bert-shirt belang hitam dan merah itu agak kuat menyebabkan aku dapat mendengar dengan jelas akan setiap butir bicara yang dibualkan dengan si pemanggil di hujung sana.

     Sambil tanganku leka membelek helaian majalah Pengantin, telingaku sebenarnya lebih tertumpu kepada perbualan lelaki di hadapanku ini. Aku menjeling sedikit ke arah lelaki itu dan aku melihat dia mengurut-ngurut dahinya sambil telefon bimbit masih lagi melekap ke telinga.

     "Sampai hatimu ayang, tidak mempercayai ketulusan hati abang. Sumpah, abang dah tak da apa-apa hubungan dengan perempuan tu...Hanya ayanglah yang bertakhta di hati abang... tiada yang lain hanya kau seorang"

     Dia membetulkan cermin mata hitam yang hampir jatuh dari kepalanya yang sudah separuh beruban.

     "Penawar rindu...padamu...seorang...oh mengapa....semangatku dikau puja....penawar rindu...padamu...oh Rohani....ohh sayangku"

      Suara garaunya bernyanyi kepada pemanggil di hujung sana yang ku kira bernama Rohani. Geli hati memikirkan lelaki yang hampir separuh abad ini menyanyikan lagu penawar rindu. Sudahlah suaranya mendatar tanpa mengikut nada lagu dengan betul, selamba pula dia menukar lirik sesuka hati.

      Aku menahan tawa agar lelaki ini tidak terasa hati.

      "Betul sayang...abang dekat klinik sekarang ni. Abang demam, barangkali demam rindukan ayang yang jauh di seberang lautan"

     Sudah, sejak bila pula kedai Fairylicious ini bertukar menjadi klinik merawat demam. Tubuhku terasa seram sejuk, kalau tadi perbualan lelaki itu kedengaran lucu, tetapi saat ini aku merasa agak geli.

      Barangkali lelaki di hadapanku ini termasuk dalam kategori lelaki berhidung belang. Sudah beristeri tetapi di belakang isteri, ligat memasang kekasih gelap di sana-sini.

       "Betul sayang. Abang tengah tunggu giliran nak jumpa doktor. Kat depan abang ni ada perempuan menagndung, tengah tunggu turn juga"

    Amboi, sesedap rasa dia menipu si Rohani di sebalik talian. Sungguh aku tidak suka apabila wanita ditipu sebegitu. Majalah di tangan aku tatap lalu aku cuba menumpukan perhatian kepada tiap baris ayat yang tertulis di lembaran majalah. Malas rasanya mahu meneruskan pekerjaan mengintip si lelaki hidung belang di hadapanku.

     "Abang terpaksa buat macam ni dik"

    "Adik...ooo dik...sombongnya dia"

     Aku mengangkat wajah dan lelaki iti sedang memandang aku sambil tersenyum. Telefon bimbitnya sudah disimpan.

    Aku cuma tersenyum balas sambil mataku kembali mengarah kepada helaian majalah.

     "Sorang je ke...Datang beli barang kahwin ke?"ada nada gatal di hujung suaranya.

     "Aah, barang kahwin"aku membalas berbasa-basi.

     "Nak kahwin, tapi tak pakai cincin tunang pun"ewah, banyak pula tanya.

     "Tunang dengan nikah sekali"semakin laju aku menyelak helaian demi helaian majalah di tangan.

    "Alangkan yang kahwin pun bole bercerai. Inikan pulak yang belum terikat. Ye dak?"

    "Inj kad abang...kalau senang-senang telefon ya, boleh la borak-borak"

    Entah sejak bila, tiba-tiba sahaja lelaki itu sudah duduk di sebelahku. Kad di tangannya aku sambut teragak-agak. Perasaan takut, geram dan marah datang silih berganti.

    "Dik...ni barangnya"wanita bertudung kuning itu melaung ke arah aku. Entah sejak bila dia sudah berada di kaunter juga aku tidak pasti. Hatiku lega.

     Sepantas kilat aku bangun dan meninggalkan lelaki gatal di sebelah. Aku lihat dia terkebil-kebil sambil menggeleng-gelengkan kepala saat aku berlalu pergi.

     Usai berterima kasih, aku meminta diri untuk pergi. Aku tidak perlu membayar apa-apa kerana Fardel Akashah akan menguruskan semuanya nanti. Aku menjinjit plastik putih besar berisi manik keluar dari kedai itu berhati-hati.

     Aku memandang ke kiri dan kanan namun kelibat Shahril tidak kelihatan. Kereta kancil merahnya juga tiada di sini. Aku mengerut dahi, sudah pukul 3.25 petang dan aku mula merasa tidak selesa dek kerana suasana panas terik petang ini.

    "Hai...tunggu bakal suami ke?"

    Hampir gugur jantungku melihat lelaki gempal tadi berdiri bersebelahanku. Dia berdiri terlalu dekat di sebelahku sehingga hidungku dapat menangkap bau pewangi pekat yang dipakainya.

     Aku menjarakkan diri darinya sambil berharap agar Shahril cepat muncul sekarang.

     "Oh, you cakap kat klinik..demam....tapi you kat kedai barang pengantin ni dengan betina ni"seorang wanita cantik berpakaian blaus putih dengan skrit denim tiba-tiba datang menyerang lelaki di sebelahku.

    "Rohani....."lelaki itu menjerit kuat akibat terkejut.

    "You cakap, sapa perempuan ni....Skandal baru you kan"

    Sudah, wanita itu menunjukkan jari telunjuknya ke arahku sambil membuka cermin mata hitam yang sedari tadi melekat di matanya.

    Bagaikan kilat, wanita itu terus menerkam ke arahku lalu tangannya menarik tudung putih yang tersarung di kepalaku.

     "Rohani...sabar...abang dengan dia takde apa-apa"lelaki itu menarik tubuh wanita bernama Rohani yang sudah naik hantu daripada tubuhku.

     Tudung yang hampir tanggal aku betulkan. Terbit rasa malu saat aku lihat beberapa orang yang lalu lalang mulai berkerumun untuk melihat drama antara kami bertiga. Aku kehilangan kata-kata saat itu, air mata sudah bergenang saat itu dan menunggu untuk jatuh sahaja.

    Tanpa mengendahkan orang ramai, Rohani laju sahaja mendekati aku sambil tangan kanannya diangkat tinggi untuk menampar aku.

    Dan Shahril yang muncul entah dari mana terus menahan tangan Rohani daripada singgah ke pipiku.

    "Kau ni sapa pulak?"Rohani merentap tangannya dari genggaman Shahril lalu matanya memandang tubuh Shahril dari atas ke bawah.

    "Dah macam, orang tak betul aku tengok... ke tepi..biar aku ajar perempuan tak tau malu ni"muka Rohani sudah berona merah akibat terlalu marah.

    "Maafkan saya Cik... Cik boleh kutuk saya tapi tolong hormatkan bakal isteri saya ni Cik. Lagi satu, saya rasa Cik yang tak tau malu kat sini. Maruah perempuan tu mahal harganya cik, janganlah sampai Cik sendiri yang merendahkan maruah diri sendiri"

    Wanita itu terus diam tidak bergerak saat Shahril usai bersuara. Terkejut barangkali mendengar tazkirah dari Shahril.

    "Jom Lia..."Shahril menarik lengan bajuku lalu kami beredar dari situ. Orang ramai yang berbisik sesama sendiri tidak aku hiraukan dek kerana rasa malu dan terkejut yang masih ada.

    "Aku minta maaf sebab tinggal kau tadi. Tak pasal-pasal kau kena amuk dengan perempuan gila tu tadi".

     Wajahnya aku pandang sekilas. Ada nada geram dalam pecakapannya saat itu. Dalam hati aku bersyukur dengan perlakuannya sebentar tadi. Biarpun tanpa mengetahui hujung pangkal cerita, dia sudi mempertahankan maruah aku di hadapan orang ramai. Entah kenapa, aku merasa sedih tiba-tiba lalu air mata yang cuba kutahan sedari tadi menitik laju.

 

 

 
 
 
 
   
   
     

No comments:

Post a Comment