Sunday, 8 June 2014

Seseorang seperti dia 4

    Dek kerana kejutan yang aku terima petang tadi, habis terbantut nafsuku untuk menjelajah sekeliling Chalet Perangin yang terletak betul-betul di hadapan pesisir pantai di Pantai Chenang. Fisha yang pada mulanya memekak sambil menarik aku terus terdiam saat aku mengugut untuk meninggalkan dia di Langkawi sendirian kalau dia terus-terusan memaksa.

     "Aku takda mood la Sha"

     "Hey sister. Kau bernafas di atas pulau yang dinobatkan sebagai khazanah dunia. Sampai hati kau tak ada mood".

     "Malasla Sha...."

     "Ala....jomlahhh Lia. Esok-esoklah kau tak ada mood tu. Harini adalah mood tu" Fisha masih mencuba nasib.

     Dan ajakan tulus Fisha akhirnya membawa kepada perbalahan antara aku dan teman baikku itu. Fisha terus menekup muka ke bantal tanda protes.

     Teringat akan diri yang masih belum menunaikan solat Asar, aku bergerak pantas menuju ke bilik air. Bau busuk dan masam menerpa masuk ke dalam hidungku saat pintu bilik air aku buka.

     Rasa marahku meluap tiba-tiba. Entah kenapa aku merasa seperti lelaki asing itu layak untuk menjadi mangsa amarahku. Seolah-olah dialah punca kepada kesedihan hati aku. Bukan Hilmi, bukan bakal isteri Hilmi, bukan siapa-siapa. Geram dan marah bercampur aduk. Barangkali sekawan syaitan yang sedang gigih menghasut aku kini sedang menari poco-poco keriangan dek kerana berjaya menghasut seorang lagi anak Adam.

     T-shirt putih yang sudah tidak layak dipanggil warna putih itu aku sumbat kasar ke dalam plastik laundry yang tersedia di atas sinki. Tidak cukup dengan itu, plastik yang tiada dosa itu aku pijak-pijak tanda geram. Air mata aku menitik laju lalu aku beristighfar panjang. Ya Allah, apa yang sedang aku fikirkan, ke manakah kewarasan akalku ini Ya Allah.

     Air mata aku lap lalu wuduk aku ambil. Usai mengangkat wuduk, aku melangkah lesu ke arah pintu sebelum....

     Bedebuk......aku jatuh terlentang akibat terpijak bungkusan plastik yang terbiar di lantai....Tengok Adelia... Allah bayar kau cash!

                          *****

     Malam ini aku cuma bersiap ala kadar. Dress labuh hijau pucuk pisang dari Poplook aku gayakan dengan tudung corak sedondon dari Aidijuma. Malas mahu bersolek,aku cuma mengoleskan bibirku dengan pelembab bibir.

     Dan meskipun aku sudah bersiap usai solat maghrib, aku terpaksa bertenggek di bucu katil menunggu Fisha bersolek. Fisha mengenakan dress paras lutut berwarna merah hati yang dibelinya minggu lepas semata-mata untuk melaram di tepi pantai.

     Rasa sengal dan pedih di bahagian buntut menyebabkan dudukku agak tidak selesa. Mujur saja Fisha terdengar jeritan aku petang tadi. Habis hilang rajuknya pada aku saat dia dengan rela hati mengurut badanku. Untung cuma sengal-sengal badan dan bukannya patah riuk aku dibuatnya.

     Setelah hampir sejam aku melihat Fisha menempek segala macam warna alat solekan ke wajahnya, aku mengucap syukur tatkala dia bangun dan mengajak aku untuk bergerak.

     Kami tiba di kawasan kolam Chalet Perangin agak lewat dan sekeliling kolam sudah dipenuhi dengan orang ramai yang rata-ratanya bergaya santai dengan makanan dan minuman di tangan. Aku mencari kelibat Hilmi di celah-celah wajah asing di situ. Hilmi sememannya mahu aku datang lebih awal sebelum majlisnya berlangsung. Rata-rata tetamu yang hadir pada majlis makan malam ini adalah saudara terdekat bakal isterinya.

     Setelah hampir lima minit aku lihat kelibat Hilmi di antara dua orang lelaki separuh umur di bahagian tepi kolam berdekatan meja bufet. Hilmi tersenyun lantas melambai ke arahku seolah-olah memberi arahan agar aku mendekatinya. Biarpun cuma mengenakan kemeja lengan pendek putih dengan gaya Hawaii, tampangnya tetap kelihatan sempurna.

     Lambaian dia aku balas dengan senyuman. Aku cuba mencari Fisha tapi ternyata temanku itu sudah hilang. Aik, tadi bukan main kau nak temankan aku Sha.

     "Terima kasih sebab sudi datang Lia."

     Aku menjawab teguran Hilmi dengan senyuman. Kami berbual kosong tentang perjalananku petang tadi diselangi dengan serba sedikit majlis resepsi yang bakal berlangsung dalam tempoh tiga hari lagi.

     Sedang aku khusyuk berbual, datang seorang gadis cantik dan dengan selamba sahaja dia memeluk lengan Hilmi. Gadis yang memakai dress putih dari kain satin itu mengukir senyum manis pada aku.

     "Siapa ni abang?"lunak manja suara gadis itu bertanya.

     "Oh, Lia, kenalkan ini bakal isteri saya, In. In, inilah Lia yang abang bagitau haritu. Nanti Lia akan gantikan Maya jadi pengapit In.."

     Saat itu aku rasakan diri aku seperti orang asing yang berada di dalam dunia percintaan mereka. Wajah Nurin aku pandang sepi. Punya ketinggian persis model, susuk tubuh ramping, sepasang mata coklat hazel dengan rambut lebat separas bahu.

     Nah, apa lagi yang perlu aku katakan selain perkataan sempurna. Ternyata bakal isteri Hilmi punya segala-galanya. Tanyalah mana-mana lelaki walhal kanak-kanak sekalipun, pasti mereka akan mengangguk paham dan memilih Nurin jika diletakkan Hilmi di antara aku dan Nurin.

     Sebaik mendengar percakapan Hilmi, Nurin terus menerpa ke arahku lalu tubuhku dipeluk erat. Aku tergamam. Ternyata gadis manis di dalam pelukanku ini menang lagi. Budi bahasanya menjadikan aku akur kalau Hilmi lelaki bertuah. Bertuah memiliki bidadari secantik ini.

     "Terima kasih Lia. In harap kita boleh jadi kawan" lesung pipit yang dalam timbul di pipi kanan saat dia tersenyum.

    Setelah berbual beberapa minit, aku meminta diri untuk menjauhi pasangan merpati dua sejoli itu saat seorang wanita yang agak berusia datang menghampiri.

     Aku melilau di sekitar kawasan kolam. Kolam berbentuk bulat itu kelihatan bercahaya kerana dihias dengan lilin-lilin kecil yang terapung di dalam piring berbentuk bunga mawar. Di kawasan sekelilig kolam diletakkan bangku-bangku kayu namun aku lihat para tetamu lebih banyak yang berdiri dari duduk.

     Nampaknya seperti semua orang megenali satu sama lain melainkan aku yang keseorangan. Kelibat Fisha aku cari. Hampa. Mana pulaklah perempuan ni pergi. Hatiku sudah geram.

     Di hujung kolam bersebelahan tempat tukang masak membakar makanan laut, aku lihat Fisha sedang asyik bertempuk tampar dengan chef bertopi putih tinggi yang sedang bekerja. Aku menggeleng kepala, kalau Fisha hilang, carilah dia di tempat yang ada makanan percuma dan lelaki kacak.

     Dalam pada aku melangkah laju, kakiku tersepak bangku di tepi kolam menyebabkan aku jatuh terduduk di atas seorang lelaki yang sedang gigih mengupas kulit udang di dalam piring. Habis terbang udangnya yang baru dikupas. Aku cuba untuk bangun dan mulutku laju meminta maaf.

     Saat mata kami bertemu, aku terkejut melihat wajah lelaki itu. Dengan ekor udang yang masih digigit di dalam mulut, ditambah dengan jambang yang meliar, membuatkan aku benar-benar terkejut.

     "Awak"

     Cuma itu yang mampu aku luahkan. Aku cepat-cepat ingin bangun tetapi terima kasih kepada dress Poplook aku yang labuh lagi menyapu lantai, aku terpijak hujung dress aku sendiri dan.....

     Bedebur.....aku hilang pertimbangan lalu jatuh ke dalam kolam. Tidak cukup dengan itu, aku turuk menarik lelaki tadi untuk ikut serta saat mulutnya masih tergantung ekor udang.
   
     Aku tidak dapat mengingat apa yang berlaku selepas itu. Yang aku ingat cumalah wajah seorang lelaki kacak yang menarik aku keluar dari kolam dan suara cemas Fisha yang penuh drama.

     "Kau ok tak Lia?"

     Aku cuma menangguk. Anggukan aku disambut dengan ketawa oleh Fisha. Kurang asam punya kawan.

    Tidak sampai lima minit,aku dikerumuni oleh orang ramai di situ. Hilang sudah rasa sakit mahupun sedih, diganti dengan rasa malu yang teramat sangat. Mahu saja aku pura-pura pengsan saat ini.

    "Awak ok?"seraut wajah kacak bertanya aku. Susuk lelaki yang memakai kemeja hitam dengan jeans biru gelap itu kelihatan asing di mata aku.

     Pastinya dia yang menarik aku keluar dari kolam tadi kerana bajunya kelihatan basah.

     "Nasib baik abang Am sempat tarik Lia tadi"suara Nurin kedengaran cemas di sisi aku.

     Bagaikan baru tersedar, aku pandang sekeliling, cuba mencari lelaki tadi. Lelaki asing yang sudah kali ketiga kutemui. Aku yakin benar kalau dia adalah si mata bercahaya itu.
   
   

No comments:

Post a Comment