Tiba-tiba aku mendengar satu suara asing di antara aku dan Shahril.
"Tolongg...."
"Tolong nak......."suara itu kedengaran agak perlahan namun ianya jelas menampar gegendang telingaku.
Wajah serabai Shahril aku pandang. Dia menjungkitkan bahu tanda tidak tahu. Aku melangkah mendekati suara yang datang dari arah basikal yang sudah tebalik di atas semak samun di tepi sawah.
"Astaghfirullahhh....."aku beristigfar panjang saat mataku terpandang sesusuk tubuh yang terbaring di dalam sawah.
Lumpur pekat sudah menyelaputi separuh dari bahagian badannya. Patutlah aku tidak dapat melihat dia tadi, barangkali dia terus tergolek ke dalam sawah selepas dilanggar oleh kancil Shahril.
Aku lihat Shahril terus melompat laju ke dalam petak sawah. Tangannya laju sahaja mengampu tubuh lelaki itu lalu diangkat naik perlahan-lahan.
"Allah...nakkk"lelaki tua itu bersuara perlahan saat dia merangkak naik dari tebing sawah.
Aku ikut menarik lelaki tua itu naik ke atas lalu tubuh gempal itu terus terduduk di aras rumput. Terbit rasa kasihan dan bersalah saat aku melihat dia membersihkan lumpur pekat yang sudah menyelaputi hampir separuh tubuhnya. Sekali pandang, keadaannya itu kelihatan tidak ubah seperti buah-buahan bersalut coklat.
Aku lihat Shahril tunduk lalu dia ikut membantu membersihkan tubuh lelaki tua itu.
"Kita pergi klinik ya pak cik"
"Tak pa lah. Tok wan ok"dia menolak perlahan.
"Err...maaf Tok Wan. Saya tak sengaja langgar tadi"suara Shahril kedengaran ikhlas.
"Saya hantar Tok Wan balik jom. Nanti Tok Wan tunjuk kat saya rumah kat mana ya"Shahril mempelawa lelaki itu setelah dia beria-ia menolak ajakan kami untuk membawanya ke klinik.
Bonet kancil dibuka lalu basikal lelaki itu disumbat masuk dengan separuh daripada bahagian tayarnya terpaksa dibiarkan tergantung keluar dari bonet.
"Ish...nanti kotor kereta anak ni"lelaki itu teragak-agak untuk masuk. Bimbang kalau-kalau lumpur yang masih melekat di badan akan mengotorkan kusyen kereta barangkali.
"Takpa Tok Wan, nanti dia boleh basuh"selamba sahaja Shahril menunding jarinya ke arahku saat itu.
Aku cuma mengangguk dan senyum saat wajah tua itu kupandang. Malas rasanya untuk bertekak dengan Shahril kerana bimbang perlakuan itu bakal mengguris hati lelaki tua di hadapanku. Shahril kulihat hanya tersengih sambil mengangguk-angguk. Kurang asam punya budak!
Tidak sampai sepuluh minit perjalanan,kami tiba di hadapan sebuah rumah kayu sederhana besar. Halamannya luas dengan beberapa pohon gajus dan mempelam di kiri-kanan rumah. Beberapa biji pasu bunga yang ditanam dengan bunga mawar tersusun cantik di hadapan jalan menuju ke tangga rumah. Pandangan ini mengingatkan aku pada bunga-bunga yang ditanam emak di kampung. Sememangnya emakku juga begini. Gila bunga, bak kata ayah.
Shahril membuka pintu kereta lalu tubuh lelaki tua itu dipimpin perlahan.
"Ni lah rumah Tok Wan"
Jam di tangan aku kerling sekilas. Baru pukul 11.00 pagi. Kalau mengikut kepada arahan Fardel Akashah, masih ada lebih kurang setengah jam lagi untuk manik itu sedia dikutip di butik kawannya.
Aku cuma membuntuti langkah lelaki tua itu. Aku tunduk untuk membuka sandal sebelum melangkah ke atas tangga. Tiba-tiba sahaja betisku terasa gatal-gatal dan pedih lalu skirt biru muda yang aku pakai aku selak sedikit setelah aku yakin tiada siapa yang sedang memerhatikan aku.
Dadaku berombak kencang saat aku melihat dua ketul benda hitam dan besar melekat elok di betis kananku.
"Apa ni?"aku menjerit nyaring.
Shahril yang masih berada di hadapan ku berpusing laju.
"Kau dah kenapa?"
"Ini...."cuma jari telunjuk sahaja aku halakan ke betis.
"Oh, ni namanya sepasang lintah sedang berkasih-sayang kat kaki kau"Shahril tunduk lalu menarik lintah itu dari betisku.
Lintah...Yang lembik-lembik tu kan..Yang hisap darah...Yang geli-geli tu..... Pandanganku terus kelam.
No comments:
Post a Comment