Sunday, 8 June 2014

Seseorang seperti dia 5

   Aku bangun seawal jam 6 pagi. Usai bersolat subuh aku duduk berteleku di balkoni chalet yang betul-betul menghadap laut. Suasana di luar masih kelam. Aku pandang ke laut yang sunyi. Mataku pejam sambil telingaku khusyuk mendengar bunyi ombak memecah pantai.

     Terbit rasa bersalah dalam diri. Biarpun mulut aku seolah meredhai segalanya tetapi dalam hati aku kadang-kadang terbit perasaan tidak ikhlas. Aku beristghfar lalu hatiku bertekad. Kau kena ikhlas Lia, jodoh di tangan Allah dan Hilmi memang bukan jodoh kau.

     "Jom, jogging"

    Entah berapa lama aku mengelamun, sedar-sedar saja Fisha sudah siap berpakaian sukan warna merah jambu di sebelahku. Matahari juga sudah terbit dan kulihat sudah ada beberapa orang mulai berjalan di tepi pantai.

    Ajakan Fisha aku balas dengan senyuman. Semoga hari ini menjadi permulaan baru dalam hidup aku.

                       *****

     Jam di tangan menunjukkan pukul 7.30 pagi. Masih ada dua jam lagi sebelum aku perlu bertemu dengan Nurin untuk merancang persiapan perkahwinannya.

    Sengaja aku tidak mahu turun untuk bersarapan di restoran chalet, rasa malu semalam masih berbaki. Tidak sanggup rasanya untuk aku hadap saudara mara Nurin dan Hilmi yang sudah pastinya menjadi penonton drama swasta percumaku semalam. Roti gardenia butterscoth dengan secawan milo menjadi pengalas perut kami. Mujur Fisha juga akur dan tidak banyak bunyi.

     Aku dan Fisha berjalan sepanjang pantai. Sekali sekala aku mengekek ketawa akibat dari lawak Fisha. Jari telunjuk Fisha menunjuk ke sebiji buah kelapa yang terdampar di tepi pantai.

     "Macam buntut toyol kan?"beria-ia Fisha meminta pendapat aku.

     Buah kelapa yang berwarna coklat gelap dengan sedikit belahan ke dalam itu aku pandang sambil tersengih. Faham kalau Toyol yang dimaksudkan ialah anak kepada jiran kami, anak Muhammad Usamah. Dek kerana mulut lelaki yang terlebih rajin memberi tazkirah kepada Fisha itu, sampaikan anak Muhammad Usamah yang menjadi mangsa kekejaman mulut Fisha.

     "Gelak sakan nampak."satu suara garau menegur aku dan Fisha yang masih megekek ketawa.

     Lelaki bert-shirt warna Adidas hijau dengan seluar sukan pendek itu kami pandang serentak.

     Darah menyerbu ke muka aku saat aku teringat kejadian semalam. Inilah lelaki yang menarik aku dari dalam kolam semalam.

     "Saya Ilham. Abang In. Awak Lia kan." ramah saja lelaki itu memperkenalkan dirinya tanpa diminta.

     "Kita kena la berkawan. Saya ni pengapit pengantin lelaki."senyum manis diukir menyerlahkan lesung pipit di pipi kanan.

    Fisha berdehem kuat.

    "Opss... lupa pula ada orang lain selain kita berdua Lia."Ilham bersuara bersahaja.

    Aku lihat wajah Fisha sedikit kelat. Pelik. Selalunya Fishalah makhluk yang paling teruja untuk menggatal setiap kali ada lelaki kacak yang menegur. Tapi kali ini temanku itu diam seribu bahasa.

     Ternyata Ilham ramah dan mudah mesra orangnya. Kami bertiga berjalan menyusuri Pantai Chenang tetapi cuma aku dan Ilham sahaja yang lebih banyak berbual.

     Daripada keramahan Ilham aku dapat tahu kalau Chalet Perangin adalah kepunyaan nenek dia dan Nurin. Patutlah sampai boleh buat majlis kahwin kat sini. Hati aku membuat telahan.

     Sampai di satu sudut bangku, Ilham mengajak kami duduk.

     "Tengok orang jalan kat tengah laut tu" Ilham memuncungkan bibirnya ke arah laut. Dari kejauhan aku lihat kelibat beberapa orang manusia yang sedang berjalan ke arah satu pulau yang berdekatan dengan pantai.

     "Itu pulau Rebak. Kalau air surut memang boleh jalan kaki saja. Tapi pernah ada juga kejadian pelancong mati. Bila dah sampai tengah-tengah laut tiba-tiba air pasang,maka berakhirlah riwayat mereka."

     Kata-kata dia aku sambut dengan senyuman. Kami bertiga diam membisu sambil mata kami terarah kepada satu pasangan Inggeris tua yang berjalan di persisir pantai. Wanita gempal berambut putih itu berjalan perlahan-lahan dengan tongkat kayu di tangan. Si lelaki tua itu pula setia memegang tangan wanita yang kukira ialah isterinya. Sekuntum bunga melur putih tersemat di telinga kanan wanita tua itu. Aku lihat mereka akan ketawa saat kaki mereka disentuh air pantai.

     "Budaya barat dan timur tak sama kan" Ilham bersuara memecah kesunyian.

     "Maksudnya?"tidak faham maksud yang cuba disampaikan.

     "Maksud saya, di barat mereka bebas ekspresikan perasaan dan tak malu untuk ucapkan kata sayang untuk orang yang mereka cinta"

     Ada benarnya kata-kata Ilham. Tapi budaya timur menekankan sifat malu dan maruah. Meskipun emak tidak pernah mengatakan ucapan sayang pada ayah di hadapan anak-anak, tapi cinta emak pada ayah tetap dapat kami lihat. Emaklah orang yang paling risau kalau ayah masih belum pulang lewat malam. Ayah juga sama, kalau tidak masakan ayah akan menjadi manusia yang paling risau saat tekanan darah emak naik dari aras normal.

     Dan kerana sifat malu itu jugalah aku memendam perasaan sukaku pada Hilmi selama bertahun dan berharap kalau perasaan aku itu dapat dibaca. How pathethic Lia.....

     "Dan kerana budaya timur yang pemalu itu jugaklah ada orang yang diam membisu je dari tadi"

     Aku cuma senyum. Sedar kalau ucapan itu ditujukan buat Fisha. Fisha cuma buat-buat tak faham.

     "Jomlah...."Fisha menarik tangan aku ke arah satu kedai cenderamata yang baru saja di buka. Kedai itu terletak bersebelahan bangku yang kami duduki.

    "Eh...ada pun suara"Ilham bersuara separuh berbisik namun cukup jelas untuk didengar oleh aku dan Fisha. Hai bertambah muncunglah kawan aku ni.

    Telefon bimbit Ilham tiba-tiba sahaja berbunyi. Dia menekup tangannya ke Iphone5 sambil jarinya memberi isyarat agar kami pergi dahulu.

     "Jap.. kau masuk dulu Lia, aku nak pergi toilet."belum sempat aku membalas, temanku itu terlebih dahulu berlari pergi.

    Aku melangkah masuk ke dalam kedai cenderamata itu. Terdapat banyak deretan kedai cenderamata, kedai runcit dan pengurup wang tetapi cuma kedai ini sahaja yang baru dibuka. Barangkali pukul 8.30 masih terlalu awal untuk mereka memulakan bisnes.

     Kedai kecil itu kelihatan sesak dengan susunan cenderamata dari kulit kerang, siput dan beberapa ukiran kayu. Terdapat beberapa rak kayu yang disusun menjadi lorong yang cuma mampu memuatkan seorang dewasa untuk berjalan di antara rak tadi. Di atas rak tersusun cenderamata dengan tulisan "nice to see nice to hold,once broken consider sold"

     "Mai masuk dik."wanita separuh umur berbadan gempal menegurku ramah. Dia duduk di atas kerusi berdekatan kaunter sambil mulutnya laju menyuap nasi lemak.

    Aku cuma tersenyum balas. Langkah aku atur berhati-hati. Aku terpegun melihat pada kreativiti mereka melekatkan kulit-kulit siput sehingga menjadi bentuk ikan, beruang dan rumah. Aku tunduk untuk mencapai replika kereta yang diletakkan agak jauh je dalam. Tiba-tiba......

     Papp......Aku terkejut saat aku merasa ada sepasang tangan menepuk buntutku dari belakang.

     Aku berpusing laju ke arah belakang. Rasa terkejutku bertukar menjadi rasa marah yang teramat sangat saat aku melihat kelibat seorang lelaki di belakangku.

    Dan kali ini aku tidak perlukan masa bebarapa minit untuk mengecam siapa penjenayah tersebut. Lelaki yang berdiri di belakang aku adalah lelaki yang sama aku temui beberapa hari lepas sehingga semalam. Lelaki dengan wajahnya ditumbuhi semak-samun dengan sebiji kamera dalam gengaman tangannya.

     T-shirt merah yang dipakainya dengan corak bertulis "pervert" betul-betul membuat aku geram. Memang sah pun kau pervert.

    Spontan sahaja tangan kanan aku  menampar pipi kiri lelaki di hadapanku sambil menjerit.

     "Jantan tak guna..."lelaki itu cuba untuk membuka mulut tapi tiada suara yang diluahkan. Aku lihat dia terdorong ke belakang dan kamera di tangannya terlepas ke lantai.

     "Awat... awat pasaipa adik oii"wanita gempal di kaunter itu terkocoh-kocoh berlari ke arah aku saat mendengar jeritan aku yang bergema.

     "Dia kacau saya kak. Dia tampar buntut saya" aku menjerit ke arah wanita itu. Air mata aku juga sudah ikut menitik.

     "La...awat hang dok pi tepuk anak dara orang mat oiii"wanita itu ikut menyoal lelaki tadi.

    Dalam pada itu aku melihat wanita itu menjilat-jilat jemarinya yang masih terlekat nasi. Barangkali sarapan paginya hari ini terganggu dek kerana insiden ini.

     Aku semakin geram kerana lelaki itu cuma diam membisu. Matanya ditenung ke arah kamera yang masih pegun di lantai.

   Papp....tiba-tiba aku terasa seperti belakangku ditepuk sekali lagi. Tidak lama selepas itu aku mendengar ketawa kecil dari bawah almari tempat aku berdiri. Seorang anak kecil keluar lalu bersembunyi di belakang wanita gempal itu.

    "Muhammad Usman. Awat yang hang dok pi tepuk kakak ni"nyaring suara wanita itu sambil tangannya memulas telinga anak kecil itu.

     Muhammad Umar. Bukan dia yang. Tapi aku. Tampar. Salah...faham...

     Entah apa yang aku rasakan saat itu. Rasa malu dan bersalah datang silih berganti.

    "Awak...saya...."kata-kata aku mati saat itu.

     Lelaki itu mengangkat wajah dan aku dapat lihat matanya seolah berair. Dia...menangis?

    Belum sempat aku meneruskan kata-kata,dia berlalu pergi. Kamera di lantai juga dibiarkan tidak berkutip.

     "Eh Shahril...."suara Ilham yang entah datang dari mana menyapa sosok lelaki asing yang sudah berlalu pergi itu.

     Aku mengutip kameranya dari lantai lalu tubuh Ilham aku dekati.

     "Awak kenal lelaki tadi?"aku bertanya ibarat orang dungu.

     "Shahril?" Ilham meminta kepastian.

    Aku cuma mengangguk lemah. Apa yang kau dah buat Lia. Lelaki yang kau gelar sesuka hati, yang kau marah tak tentu pasal. Dia bukan lelaki tak guna. Diapun manusia, manusia yang ada nama. Dan namanya Shahril.......
   

   

   

   
   


   

   

No comments:

Post a Comment