"Mailah pi dapuq...kita makan"Tok Pa menyapa aku lembut sebaik tubuhku keluar dari bilik.
Aku cuma tersenyum sambil membuntuti tubuh kurus di hadapanku. Sampai sahaja di dapur, aku melihat Tok Wan sedang duduk menghadap meja makan sambil wajah bulatnya tersenyum manis kepada aku.
"Maila dok makan ni. Tok dah siap masak."Tok Wan yang lengkap berpakaian kain pelekat dan baju melayu warna biru muda menegurku ramah.
Perasaan malu dan bersalah datang silih-berganti saat ini. Barangkali Tok Pa bersusah payah memasak pelbagai hidangan lauk-pauk hari ini kerana aku dan Shahril. Aku memandang meja bulat yang terhidang masak lemak ikan keli, gulai nenas ikan kering, sayur tumbuk ubi kayu dan ulam-ulaman sambil menelan liur.
Bagaikan baru tersedar, perutku terasa pedih akibat terlalu lapar. Masakan tidak, sedari pagi tadi, cuma dua keping roti Gardenia butterscoth dan secawan milo sahaja yang singgah ke dalam perut.
"Eh...semua tunggu saya ka ni?"suara Shahril yang datang entah dari mana menyapa kami penuh ceria.
Dia menarik kerusi di sebelahku lalu duduk. Sempat lagi dia memandangku lalu mengenyitkan matanya. Sedikit terkejut, aku menjegilkan mata tanda tidak suka dengan perlakuannya itu. Mujur Tok Wan dan Tok Pa tidak perasan akan perlakuan Shahril itu.
"Sedapnya Tok masak....dah lama saya tak makan macam ni"dia tersenyum lebar lalu tangannya laju nencapai mangkuk berisi nasi di tengah meja. Eh, tak malunya mamat ni.
Shahril menyendukkan nasi ke dalam pinggan Tok Wan, Tok Pa dan pinggannya. Apabila tiba kepada giliranku, dia menghulurkan mangkuk tersebut.
"Kau kena diet sebab badan kau dah berat. Macam nak patah pinggang aku usung kau naik atas rumah tadi tau"dia berbisik kepada aku saat aku mencapai mangkuk nasi darinya.
Darah merah menyerbu ke muka akibat dari rasa malu dan geram yang datang serentak. Mujurlah kami berada semeja dengan dengan Tok Wan dan Tok Pa, kalau tidak, rasanya sudah lama aku campakkan mangkuk nasi di tanganku ke mukanya yang berjambang.
Aku lihat Tok Pa menyendukkan lauk pauk ke dalam pinggan Tok Wan lalu Tok Wan ikut melakukan hal yang sama kepada Tok Pa. Hatiku bagai digeletek oleh rasa kagum dan terharu. Biarpun usia mereka sudah mencecah senja, namum aku dapat melihat kebahagiaan mereka meski dengan perlakuan sekecil ini.
Sepanjang makan, cuma Shahril saja yang ramah berbicara dengan pasangan di hadapan kami. Sempat juga diceritakan akan tujuan kami untuk membantu Fardel Akashah mendapatkan baju pengantinnya.
"Saya tambah boleh Tok?"Shahril meminta izin saat pinggannya sudah semakin licin.
"Ambik ja lah. Tambah bagi kenyang. Tok sah dok malu la. Tok masak banyak nak bagi Ril dengan Lia makan ni"Tok Pa menjawab ramah.
"Ikan keli ni memang favourite saya Tok. Kalau mak saya masak..perghh...berpinggan-pinggan saya makan. Tok punya masakan ni sebiji macam masakan mak saya"
"Mak Ril sihat ka?"Tok Pa bertanya.
"Mak saya dah tak ada Tok...masa saya kat kolej lagi...."
Suasana hening seketika.
"Maaf.Tok tak tau"Tok Pa bersuara memecah kesunyian.
"Eh takda apalah Tok. Dah lama dah"
Aku mengalih pandang ke arah Shahril perlahan-lahan. Aku lihat dia tunduk sambil menyuap butir-butir nasi ke dalam mulut.
Entah kenapa, timbul rasa kasihan dalam hatiku saat itu, ditambah pula dengan pakaiannya saat itu.
Aku ikut tunduk lalu menyudahkan makanan di dalam pinggan. Saat nasiku hampir licin, Shahril menyendukkan nasi ke dalam pingganku.
"Aku tau kau malu nak senduk sendiri kan. Meski kau tengah fikir macam mana nak tambah nasi lagi kan...kann"
Aku mengangkat wajah lalu mata kami bertemu. Kali ini aku tidak pula merasa marah kepadanya. Aku lihat matanya seakan bercahaya saat dia tersenyum kepadaku. Sedikit sebanyak aku mulai mengenal susuk asing di hadapanku ini.
"Assalamualaikum mak"suara garau seorang lelaki menyapa kami saat itu.
Seorang lelaki bertubuh gempal tunduk mencium tangan Tok Pa dan Tok Wan.
"Ni Amran, anak Tok"Tok Pa memperkenalkan lelaki gempal yang memakai uniform putih chef itu kepada aku dan Shahril.
"Eh...cik ni yang jatuh kolam semalam kan?"laju sahaja Amran bersuara lalu jari telunjuknya diarahkan kepada aku.
Wajahku terasa panas. Malu. Tok Pa dan Tok Wan aku lihat tercengang-cengang tanda tidak faham dan Shahril sudah tersengih-sengih sendirian.
"Saya ada kat sana semalam. Semalam saya duty untuk bbq"Amran turut menambah.
Dan saat ini, aku benar-benar berharap kalau aku boleh pengsan untuk kali kedua.
No comments:
Post a Comment