BAB 2
Lagu Teardrops on My Guitar nyanyian Taylor Swift menjadi peneman aku malam ini. Terasa seperti si rambut kerinting cantik itu mencuri kisah hati aku untuk dijadikan lagu. Bezanya, aku bukanlah berambut kerinting perang, tidak mempunyai gitar dan aku menggilai Hilmi, bukannya si mat Saleh Drew. Aku melangkah ke arah tingkap lalu aku duduk berteleku di situ. Sengaja aku biarkan angin malam menampar pipi aku dengan lembut. Sudah dua hari aku pulang ke kampung di Taiping sebelum bertolak ke Langkawi Rabu depan. Aku mengeluh lagi, dan kali ini entah untuk keberapa ratus kalinya.
Kalaulah hidup aku ini adalah plot drama Melayu, sudah pastinya saat ini ianya dilatari dengan lagu-lagu sedih. Aduh. Gigitan nyamuk mengejutkan aku dari angan-angan. Kurang asam punya nyamuk. Aku menyengih sendirian. Semestinya watak heroin digigit nyamuk akibat berangan takkan wujud dalam drama di televisyen, ia cuma wujud dalam drama hidup aku yang malang!
Usai menutup tingkap,aku bergerak ke arah meja solek kayu di sisi katil. Laci meja kutarik berhati-hati lalu album gambar bersaiz sederhana aku keluarkan. Album dengan kulit berwarna merah itu aku tatap dengan seribu satu perasaan. Satu persatu gambar aku perhatikan sehinggalah tiba ke sekeping gambar yang menjadi permulaan kepada segala perasaan kecewaku hari ini. Gambar yang diambil sepuluh tahun lepas itu masih lagi kelihatan elok meskipun ianya kelihatan sedikit kekuningan akibat dimamah usia. Gambar Hilmi tersenyum di sisi aku yang memandang kamera seakan terkejut itu benar-benar meruntun perasaan.
"Nanti dulu. Ermm...awak dah lambat" aku menahan sorang pelajar lelaki yang bertubuh gempal dari memasuki pagar sekolah.
"So what kalau aku lambat?"si gempal tadi membalas kasar. Wajahnya yang bertempek jerawat batu sengaja didekatkan ke wajahku.
"Err...saya kena ambik nama awak.."fuh. Bertenang Adelia. Kau boleh buat. Aku meniupkan kata-kata semangat di dalam hati sambil menggerakkan tubuhku menjauhinya.
"Awi macho"
"Hah?"
"Hoi pekak,aku kata nama aku Awi Macho"
Aku beristighfar di dalam hati. Ada rasa geram tetapi perasaan terbesar yang aku rasai saat ini adalah rasa takut. Kenapalah pada hari pertama aku menjadi pengawas,aku ditugaskan menjaga pagar dan ditakdirkan pula untuk bertemu si gempal perasan macho ini.
Aku cuba mengawal perasaanku lalu namanya aku coretkan ke dalam buku nota kecil di tangan. Aku sudah mengambil keputusan untuk membiarkan si lemak tepu ini berlalu pergi tetapi tindakannya yang tiba-tiba menarik buku kecil di tangan aku membuatkan aku terjerit kecil akibat ketakutan.
Dan entah dari mana datangnya perasaan berani,aku berusaha untuk menarik kembali buku nota tersebut dari tangan si gempal di hadapanku. Ternyata lemaknya menjana lebih kekuatan berbanding aku yang kurus dan lebih pendek. Dengan sekali tolakan sahaja tubuhku terdorong ke belakang. Saat itu,tubuhku tidak menyentuh lantai tapi ada sepasang tangan yang menahan aku dari jatuh. Aku pandang wajah dia dan cahaya terpancar dari wajah itu. Betul, wajahnya kelihatan bercahaya. Ok, perkataan itu mungkin agak melampau, cahaya itu adalah cahaya matahari yang terkena cermin mata penyelamatku ini.
"Awak okay?"si hero itu bertanya prihatin. Aku hanya mengangguk. Apa yang berlaku seterusnya menjadi tidak jelas. Perkara terakhir yang aku ingat ialah si lemak tepu itu memulangkan buku notaku beserta ucapan maaf berkali-kali.
"Saya Hilmi. Hati-hati ya, kena keras sikit kalau jadi pengawas ni Adelia"bagaikan watak hero di dalam komik, dia melangkah pergi. Wajah yang asing di Sekolah Menengah Raja Hussin itu aku pandang sepi. Chop....dia tahu nama aku. Dan kelibatnya sudah hilang dari ingatan saat aku tersedar.
*****
No comments:
Post a Comment