Saturday, 9 August 2014

Seseorang seperti dia 45

    Aku menyarung baju kebaya longgar rona ungu, warna yang sudah ditetapkan sebagai warna tema pihak perempuan. Setelah bersolek ala kadar dan memakai selendang panjang berwarna perak, aku duduk di atas katil sambil melihat Wardah bersolek.

   Senyuman manis tidak lekang di bibir gadis yang baru menginjak usia 22 tahun itu. Bak kata emak pada kami adik-beradik, jodoh Wardah ringan, tidak perlu tertunggu-tunggu. Riak ceria dan seri pengantin jelas terpancar di wajah sepupuku ini yang bakal menamatkan zaman bujangnya beberapa jam sahaja lagi.

   Wardah Aisyatun adalah adik sepupuku yang paling muda, anak kepada arwah Mak Usu Hashimah dan arwah Pak Usu Sulaiman. Gadis bermata sepet ini adalah anak tunggal kepada adik bongsu perempuan abah. Ayahnya sudah meninggal semenjak Wardah berusia belasan tahun lagi, dan malang buat gadis itu apabila ibunya ikut sama dipanggil Ilahi dalam kemalangan enam bulan lepas.

  Mak Usu Hashimah kemalangan dalam perjalanan untuk menjemput anaknya Wardah dari KLIA dan kebetulan emakku ikut sama berada di dalam kereta. Namun nasib Mak Usu kurang baik apabila Proton Saga yang dipandunya merempuh pembahagi jalan akibat cuba mengelak seorang lelaki mabuk. Mak Usu meninggal dalam perjalanan ke hospital dan emak pula cuma patah tangan.

   Beberapa minggu juga emak terlantar di PPUM dan sepanjang beberapa bulan selepas kematian Mak Usu, aku sering melihat emak menangis dan adakalanya termenung sendirian. Tidak pernah seumur hidupku melihat emak begitu kerana emak biasanya terlalu banyak cakap, bak kata ayah, mulut emak ibarat mesin membuat bertih jagung, tidak pernah tahu untuk berhenti.

  Dan pastinya emak paling terkesan dengan pemergian Mak Usu memandangkan keakraban mereka semenjak dari ketiadaan Pak Usu lagi. Dan emak cuma kembali ceria dan lebih banyak bercakap semenjak beberapa bulan ini sahaja. Itupun kerana Raphael!Ah, lelaki itu lagi.

  Kebetulan semasa emakku masih terlantar di PPUM, aku sering menjaga emak memandangkan Shasha yang sibuk dengan peperiksaan pertengahan semester. Ayah pula sentiasa berulang alik ke Taiping kerana adik bongsuku, Adif masih menuntut di tingkatan dua.

  Dan semasa di PPUM jugalah emak bertemu kembali dengan teman sekolahnya yang sudah lama terpisah, Mak Cik Harlina yang sering datang melawat kakaknya yang kebetulan dimasukkan ke hospital akibat terjatuh di bilik air. Dan kebetulan serta kebetulan yang bersangkut paut itulah yang menemukan aku kepada Raphael Aziz, jejaka kacukan Melayu-Serani yang juga anak tunggal Mak Cik Harlina.

   Dan entah sejak bila pula PPUM itu bertukar menjadi agensi cari jodoh dan pesakitnya pula adalah agen mencari jodoh, beria-ia emak dan Mak Cik Harlina ingin menjodohkan aku dan Raphael. Hendak menolak, bimbang pula emak yang masih bersedih itu akan tambah berkecil hati.

  "Kawan dulu...mak tak paksa. Kalau Along dah ada yang lain, mak tak paksa"kalau sahaja sempat aku rakam dan aku ulang tayang semula kata-kata emak beberapa bulan dahulu, pastinya aku masih boleh melarikan diri dari janji yang sudah dibuat antara emak dan Mak Cik Harlina.

   "Along, meh tolong Mak Tam kejap, ada orang datang tambah bunga telur tapi telur baru masak, nak kena lekat kat bunga tu"terjengul wajah Mak Tam dari balik pintu. Sempat lagi Mak Tam aku memuji Wardah sebelum wanita yang sedang sarat mengandung itu berlalu pergi.

   Setelah tubuh Mak Tam hilang dari pandangan, aku bergerak perlahan ke kawasan ruang tamu di mana ada beberapa orang lagi ibu saudaraku yang ikut sama berada di situ sambil menyusun hantaran-hantaran yang masih memerlukan beberapa sentuhan akhir.

   "Dah mai dah cikgu kita"Mak Engku, sepupu emak yang agak rapat menegurku ramah.

   Aku menyalam wanita yang menyarung kebaya nyonya rona biru firus itu sambil tanganku nencapai bunga telur berwarna hijau muda yang masih banyak di dalam dulang perak.

  Menjadi wanita bujang berusia 28 tahun bukanlah satu masalah besar sekiranya aku berada di pasar yang dipenuhi ikan dan sayur, tetapi masalah akan datang andai kata aku sedang duduk di sisi Mak Engku yang semestinya.....

   "Untung betul Wardah tu. Masih belajar kat Russia sana, tau-tau jodoh dah sampai. Perempuan ni, tak elok kahwin lambat-lambat, umur-umur macam Wardah tu ha, memang dah elok sangatlah...."dan Mak Engku sudah memulakan mukadimmahnya yang pasti akan berakhir dengan rasa hati aku yang ingin membaling telur-telur rebus di hadapanku ke muka wanita yang penuh bergantung dengan barang kemas Zulian.

  Dan apalah jawapan yang dapat aku berikan kepada Mak Engku selain dari tersenyum. Rasanya lebih elok aku biarkan wanita ini terus berkicau sambil aku cuma bersabar menyiapkan apa yang sudah ditugaskan.

   "Mak Engku, mak mintak tolong ke dapur"bagaikan wira penyelamat, kehadiran adikku Shasha di situ menyebabkan aku menarik nafas lega tiba-tiba.

  "Mak kamu nak apa?"bulat pula mata Mak Engku memandang Shasha disambut dengan nada acuh tidak acuh adikku.

  "Entah"bahunya dijungkit sedikit.

   Mak Engku bangun sambil mulutnya mengomel sendirian. Bukannya aku tidak faham kalau wanita itu sememangnya tidak gemar disuruh itu dan ini apatahlagi apabila disuruh ke dapur. Maklumlah, Mak Engku sudah biasa dimanjakan semenjak berkahwin dengan suaminya yang agak berada. Tambahan pula, keluarga Mak Engku sendiri juga adalah dari kalangan orang senang.

    "Apa yang pokok krismas tu cakap kat Along?"Shasha menguis lenganku sambil dia duduk bertenggek di hadapan timbunan bunga telur yang masih menunggu untuk disudahkan.

    "Macam biasa"

   "Kahwin la tu...."tekaan Shasha mengena.

   "Sibuk je nak tau...baiklah dia fikir nak kuruskan badan ke apa..."Shasha sudah mengomel.

    Bukannya aku tidak faham kalau omelan adikku itu ditujukan pada Mak Engku, malahan adikku selamba sahaja menggelarkan wanita itu sebagai 'pokok krismas' mengenangkan kepada sifatnya yang suka memakai pelbagai jenis barang kemas.

   Kadang-kadang aku dapat merasakan kalau adikku Shasha ini tidak ubah seperti Fisha. Sifat yang sama, sinis yang sama malahan nama juga hampir sama! Bezanya, Shasha yang masih menuntut di universiti ini memakai tudung.

   "Along..."

   "Hmm..."aku menjawab acuh tak acuh. Tanganku terus laju menyudahkan kerja di tangan kerana Mak Tam pastinya akan datang menjengah bila-bila masa sahaja.

   "Kadang-kadang orang pelik. Kenapa Along tak suka Abang Raf tu ye"bunga telur di tangan aku letakkkan ke atas ribaan lalu wajah kuangkat ke hadapan, cuba mencari wajah Shasha.

  "Siapa cakap Along tak suka dia"aku bertanya balas pada Shasha.

  "Maknanya Along suka dialah?"soalan Shasha seolah-olah memerangkap aku.

  Aku menggeleng laju.

  "Kata suka, tapi geleng....mana satu Along ni"Shasha sudah mengerutkan dahi. Tangannya masih lagi memegang sebatang bunga telur yang sama sedari saat dia mula duduk lagi.

  "Ye lah...sukalah untuk jadi kawan....tapi bukan suka feeling tu"nampaknya aku perlu berhati-hati andai berbicara dengan bakal peguam ini kerana takut-takut kata-kataku memakan diri sendiri.

   "Along dah ada orang lain ke?"

   Aku kembali memegang bunga telur di atas ribaan sambil menggelengkan kepala.

  "Along, kawan orang cakap. Kalau kita curi makan sirih junjung kat majlis kahwin, next kenduri, mesti kenduri kita Long"dalam pada dia bersuara aku lihat Shasha sudah menarik sehelai sirih yang sudah siap digulung menjadi kelopak bunga di atas dulang hantaran.

   Aku yang sedikit terkejut menjerit perlahan namun Shasha selamba sahaja menarik sehelai lagi daun sirih dan kali ini pinang yang sudah diracik membentuk daun ikut sama disambar. Aku memandang sekeliling dan mujur sahaja cuma ada aku dan Sasha sahaja di sini.

   Tanpa mengendahkan arahan aku yang memintanya agar berhenti, selamba sahaja adikku itu menggulung daun sirih dan serpihan pinang tadi sehingga menjadi satu gumpalan kecil lalu satu daripadanya disuakan kepadaku.

   "Nah..."keningnya diangkat dan melihat kepada aku yang sedikit teragak-agak, Shasha menarik tanganku lalu gumpalan itu diletakkan di situ.

  "Khurafat tau...lagipun cacat hantaran sirih junjung Wardah nanti"malas melayan adikku yang sudah menelan gumpalan sirih itu.

   "Makan la Along. Kita buat eksperimen"berkerut-kerut wajah Shasha saat dia sedang mengunyah gumpalan sirih itu.

   Padan muka. Mesti tak sedap kalau muka dah berkerut. Banyaklah kau punya eksperimen dik oi!

   Melihat pada aku yang masih belum mengunyah sirih tersebut, Shasha mendekati aku lalu tanganku sengaja didekatkan ke mulutku sambil sebelah lagi tangan Shasha cuba untuk membuka mulutku. Shasha ketawa kecil saat melihat aku bersusah payah menutup mulutku yang sedang dibuka oleh tangan kanannya.

   "Dah siap ke bunga telurnya budak-budak?"laungan suara Mak Tam yang tiba-tiba kedengaran mengejutkan aku lalu tiba-tiba sahaja Shasha berjaya menyumbatkan gumpalan sirih tadi ke dalam mukutku.

   "Kunyah, lepas tu telan. Kalau tak, orang tutup mulut Along biar Along tak boleh ludah sirih tu keluar"sedikit mengugut suara Shasha.

   Malas melayan perangai 'gila' adikku, aku mengunyah sirih itu dan pastinya wajahku mempamerkan riak yan sangat tidak indah saat aku merasa seperti ada rasa pijar dan sedikit pedas di dalam mulutku.

   "Lia..."suara seseorang yang menegurku lalu menepuk bahuku perlahan menyebabkan aku sedikit terkejut lalu sirih yang baruku kunyah beberapa kali tersembur keluar mengenai wajah Shasha.

  Saat ini aku sedikit terkejut kerana secara tiba-tiba melihat wajah itu di sini, wajah yang mengingatkan aku kepada dia,dia yang memiliki mata yang indah!
 

 

 
 
 
 

 

No comments:

Post a Comment