Dengan sekali lafaz sahaja Wardah sah menjadi isteri kepada lelaki bernama Ashman. Aku lihat lelaki itu tersenyum gembira saat menyarungkan gelang tangan dalam upacara membatalkan air sembahyang. Aku duduk agak jauh daripada pengantin memandangkan adikku Shasha adalah pengapit pengantin pada hari ini.
"Nanti mai makan sekali tau dengan akak"suara penuh keibuan itu menegur aku dan peha aku ditepuk sebelum dia bangun mendekati pengantin.
Aku cuma mengangguk dan tersenyum. Kecilnya dunia, siapa sangka kalau Ashman adalah adik ipar bongsu kepada Kak Laila,atau dalam kata lain, Ashman adalah adik bongsu kepada Abang Din. Tadinya,wanita itu memeluk erat tubuhku meski air sirih masih meleleh dari mulutku.
Rasa terkejut dan gembira silih berganti, tidak aku sangka kalau kami akan bertemu sekali lagi, kali ini di rumah ibu bapaku di kampung. Aku dan Kak Laila tidak dapat berbual panjang memandangkan wanita itu perlu bergegas keluar kerana perlu berada dalam rombongan pengantin lelaki yang baru tiba. Kebetulan sahaja Kak Laila masuk dahulu ke dalam kerana dia terlalu terdesak untuk mencari tandas.
Sepanjang masa itu hatiku berdebar dan adakalanya mataku meliar memandang sekeliling. Tipulah jika aku katakan kalau aku tidak cuba mencari kelibat Shahril di situ. Meski Kak Laila setia duduk di sebelahku, tidak pula wanita itu menyebut akan nama Shahril dan untuk mula bertanya, sungguh aku malu.
Dan akhirnya aku cuma menjadi pemerhati pada setiap wajah-wajah asing dari rombongan lelaki. Selain dari wajah abang Din yang aku kenali, aku menatap setiap dari mereka satu persatu. Dua orang lelaki yang agak berumur berketayap putih, seorang lelaki yang penuh beruban dengan songkok tinggi serta lima orang lelaki muda dalam lingkungan lewat 20-an ikut sama berada dalam majlis ini termasuk beberapa orang wanita yang agak berusia.
Entah kenapa aku merasa hampa saat wajah itu tidak kelihatan. Barangkali dia tidak datang dalam rombongan ini, hatiku membuat telahan sendiri. Dan sesungguhnya, saat ini aku begitu hampa.
No comments:
Post a Comment