Tuesday, 12 August 2014

Seseorang seperti dia 48

   Ternyata upacara perkahwinan begitu memenatkan meski aku hanyalah menjadi wakil tuan rumah, itupun cuma disuruh membuat kerja-kerja seperti menyambut tetamu, memberikan cenderahati ataupun menjawab apa-apa sahaja soalan yang ditanyakan dek tetamu apatahlagi bila kelibat emak tidak kelihatan. Kadang-kadang hatiku merasa geram dan akalanya sedih, masakan tidak, setiap kali ada tangan yang menyalam dan menghulur wang samaada di dalam sampul atau lipatan tisu, pasti akan disertai dengan soalan....

   "Hang bila lagi?"

   "Kahwinlah cepat-cepat....tua-tua susah beranak"

   "Lah belum kahwin ka, yang budak hang pegang tadi sapa? Bukan anak ka?"

   "Kalau susah nak cari, kat ofis Kak Teh ada sorang. Tapi duda la, anak baru sorang..... Kalau berminat, Kak Teh bolehlah kenalkan... Oklah tu, jangan memilih sangat...."

   Ewah, tidak sangka pula kalau saudara-mara aku terdiri dari kalangan orang yang sangat prihatin terhadap nasib anak saudara mereka ini. Setelah puas sakit hati di hadapan pintu, sengaja aku berlari ke dalam dan duduk di dapur menolong Kakak Ramlah mencuci cawan. Mujur sahaja suasana di dalam agak tenang dan cuma kami berdua sahaja berada di sini.

  "Kenapa cawan ni basuh kat dalam Akak?"

   "Oh, ni cawan tambah je. Tak sangka pulak ramai tetamu, itu yang Mak Along keluarkan cawan ni. Yang katering punya basuh kat luar"Kak Ramlah menjawab sambil tangannya laju membilas cawan yang sudah bersabun di dalam sinki.

   Aku ikut sama mengambil cawan yang sudah siap dibilas lalu cawan-cawan tersebut aku letakkkan di dalam satu besen biru besar di sisi sinki.

   "Toksah la dok tolong Kak Ram, Along pi la depan. Orang-orang muda ni selalu suka duduk tempat kenduri ramai orang"

   "Takpelah Kak Ram, biar Along tolong Akak. Malaslah nak duduk depan sana tu"aku menjawab balas.

   Barangkali aku sudah tidak layak lagi dikategorikan sebagai 'orang-orang muda' bak kata Kakak Ramlah mengenangkan kepada sifat aku yang lebih suka bergaul dengan wanita sebaya Kakak Ramlah di dapur ini. Bersama wanita yang juga ibu tunggal ini ternyata lebih menenangkan dan tiada drama kerana wanita yang sudah berbelas tahun menjadi jiran kepada keluarga aku ini tidak pernah bertanya sesuatu yang dianggap sensitif kepada orang lain, apatah lagi soal jodoh, anak mahupun rezeki orang lain. Barangkali takdir hidupnya yang tidak begitu lurus menyebabkan dia lebih mengerti akan apa itu qada dan qadar Allah.

   "Along, Mak Long panggil pergi depan"wajah Riana, anak sulung Kakak Ramlah memanggil aku dengan wajahnya yang tiba-tiba terjengul di hadapan pintu.

  "Ada orang cari Along"muncul pula wajah Sulaiman di situ.

  Riana dan Sulaiman adalah anak kepada Kakak Ramlah yang sudah biasa memanggil aku dengan panggilan Along seperti saudara-maraku yang lain, malahan anak-anak kecil berusia 7 dan 10 tahun ini juga begitu rapat dengan ibu dan ayahku. Mereka tiga beranak ditinggalkan lelaki yang sepatutnya menjadi imam kepada keluarga semenjak sepuluh tahun lalu. Meski banyak versi cerita yang aku dengar mengenai suami Kakak Ramlah,tiada siapa yang mengetahui sejauh mana kebenaran cerita-cerita tersebut. Mulut Kakak Ramlah juga sudah terkunci rapat dan hidupnya cuma untuk hari esok anak-anaknya.

   "Sapa cari Along?"aku bertanya sambil tangan yang bersisa sabun aku cuci dengan air di sinki.

  "Ada abang baju hijau ni cari"si kakak menjawab.

  "Dengan yang baju hitam"si adik ikut menyahut sambil kedua mereka mencicit lari sebelum sempat aku bertanya lanjut.

   Sudah, siapa pula si baju hijau dan hitam yang sedang mencariku saat ini?
 

No comments:

Post a Comment