Tuesday, 12 August 2014

Seseorang seperti dia 49

   Saat tiba di hadapan rumah, aku mencari kelibat emak dan ayah di bawah khemah. Mujur sahaja sudah tidak ramai tetamu yang berada di majlis ini, jika tidak pasti agak sukar juga untuk aku mengesan lokasi mereka berdua.

  Aku melangkah ke arah meja bulat di bawah khemah hujung berdekatan pelamin apabila aku melihat ayah melambai ke arah aku yang sedang terjenguk-jenguk di hadapan pintu rumah. Di sisi ayah aku lihat emak yang sudah senget selendangnya begitu riuh bercerita kepada seorang wanita namun wajah wanita itu tidak pula kelihatan kerana dia duduk membelakangi aku yang sedang bergerak ke arah mereka.

   "Ha...ni dia mai dah"emak bangun lalu menarik tangan aku supaya duduk di situ.

   "Amboi cantiknya dia...Berbaloi Mak Cik naik kereta lama-lama nak mai sini"wanita separuh umur dengan sepasang kurung kuning lembut itu tersenyum ramah.

   Tangan wanita itu aku tarik dan cium lalu aku duduk di sisinya yang masih lagi memandang aku tidak berkelip. Sesekali mataku meliar memandang ke arah ayah dan aku dapat mengesan kalau ayah cuma diam meski dia tidak menunjukkan wajah tidak suka. Dan itu adalah reaksi biasa ayah saat kami berada bersama-sama wanita ini atau anaknya.

   "Dah lama Mak Cik Ina sampai?"wanita yang mesra kupanggil Mak Cik Ina itu masih lagi memandang aku sambil tersenyum.

  "Baru sampai Lia... Raf tu, sampai-sampai ja dah tanya Lia dulu...."dan aku seakan hilang mood saat sebaris nama itu disebut.

   Maafkan saya Mak Cik, meski Mak Cik melayan saya melebihi seorang anak, demi Allah, saya tidak pernah punya rasa hati pada anak Mak Cik, Raphael Aziz....kalau saja aku punya kekuatan untuk mengatakan isi hatiku pada wanita sebaik Mak Cik Ina ini.....

    Aku melayan Mak Cik Harlina berbual atau lebih tepat kalau aku katakan bahawa aku menjawab pada setiap persoalan yang diajukan padaku kerana ternyata wanita itu lebih banyak mengutarakan soalan dalam hala tuju perbualan kami. Emak yang selalunya tidak pernah tahu untuk berhenti bercakap juga diam membisu, barangkali cuba untuk memberi ruang kepada aku beramah mesra dengan sahabat baiknya ini.

   "Ada juga Mak Cik Ina tunggu-tunggu....takda pulak Raf bawak Lia jumpa Mal Cik....ni dapat jumpa ni, hilang rindu Mak Cik Ina"dan rasa bersalah kian berakar umbi di dalam hatiku mendengar pada ucapan ikhlas pesara guru ini.

  Bukan Raphael yang tidak pernah mengajak tetapi aku yang acapkali menolak dengan pelbagai alasan dan lama kelamaan aku merasa kalau Raphael sudah letih sendiri, tidak pernah lagi aku mendengar lelaki itu mengajak aku bertemu ibunya setelah sekian kali ajakannya aku biarkan hampa.

   "InsyaAllah Mak Cik Ina..."berdosakah aku menitip janji meski dalam hati aku pasti kalau aku akan memungkiri janji tersebut.

   Raphael yang datang tiba-tiba memberi salam kepada kami lalu dia duduk di sisi ayah. Pinggan berisi makanan diletakkan di atas meja. Bukan aku tidak perasan kalau dia yang bert-shirt hijau itu sedang memerhatikan aku sambil tersenyum-senyum namun sengaja aku pura-pura seperti tidak perasan akan perbuatannya itu.

   "Kami datang jauh-jauh ni, ada hajat...Bukan setakat nak makan nasi minyak orang...."tersentak aku saat mendengar bicara Mak Cik Harlina tiba-tiba.

   Dadaku berdebar kencang, bukan debaran tersipu malu tetapi debaran terkejut dan memberontak. Aku bukannya gadis naif yang hidup pada zaman 50-an untuk memahami maksud butir bicara Mak Cik Harlina pada emak dan ayahku saat ini. Emak sudah senyum melebar, Raphael sudah senyum gatal dan ayah pula cuma diam tanpa perasaan.

   "Amboi Na, lain macam ja bunyi"ada nada teruja dalam bicara emak, kalaulah emak tahu perasaanku sekarang....

  "Terus terang ya, ini baru nak tanya-tanya saja....kalau jadi nanti, kita buat la ikut adat ya"dan apabila perkataan 'tanya' dan 'adat' sudah muncul, peluh jernih ikut sama menitik di dahiku.

   "Paham sangat Na....Kami ni tak nak paksa...orang muda...elok kita dengar dulu dari mulut tuan punya badan ye dak..."emak sudah senyum melebar sambil memandang aku.

   "Kamu macam mana Along?"emak bertanya aku.

   "Macam mana apa?"terluah pula ayat klishe si gadis sunti dari bibirku mesti itu bukanlah jawapan yang kurancang di dalam otak.

  "Setuju ke, kamu dengan Raphael?"emak bertanya lagi.

   "Er...sebenarnya...Along..."aku sudah sedikit tergagap...

   "Along...ermmm"jawapan untuk menolak sudah kurangka sebaik mungkin.

   "Along...."entah kenapa susah pula untuk aku lauhkan isi hatiku saat ini.

  "Terus-terang Along"suara tegas ayah kedengaran tiba-tiba menyebabkan aku agak terkejut lalu....

  "Along da ada calon suami dah...."Nah, dek kerana terkejut dengan suara ayah, lancar pula aku bersuara.

  Dan saat itu aku lihat wajah emak, Mak Cik Harlina dan Raphael sudah berubah. Dalam hati aku berdoa agar emak tidak akan mencari penyapu lidinya untuk melibas aku di hadapan orang ramai. Mujur sahaja aku melihat ayah masih tenang, sejalur senyuman juga ikut muncul di bibir ayah saat itu.

  "Along dah ada orang lain?"emak bertanya setelah dia sedikit tenang dan pertanyaan itu aku balas dengan anggukan.

  "Bukan Raphael lah?"aku mengangguk lagi.

  Aku memandang wajah hampa Mak Cik Ina dan aku sedikit serba-salah melihat pada wajah kecewa kerana terlalu mengharap itu. Pasti semua orang akan mengatakan aku sebagai tidak tahu bersyukur apabila aku menolak wanita sebaik Mak Cik Ina sebagai bakal ibu mertua, namun mengenangkan hakikat bahawa aku perlu mengahwini lelaki yang sering mendesak seperti Raphael, terima kasih sahajalah...Tidak berbaloi rasanya untuk mengorbankan perasaan sendiri semata-mata untuk membuat emak dan Mak Cik Harlina bahagia.

   "Kalau betul kamu ada calon, siapa budaknya" pertanyaan emak mengundang debaran sekali lagi.

   Nah, kali ini aku perlu menyambung drama penipuan yang sudah aku mulakan dengan episod pertama sebentar tadi. Aku cuba tersenyum pada emak sambil mataku meliar memandang sekeliling tanpa sebab yang jelas tentang apa yang sedang kucari.

   "Sapa budaknya sampai kamu tolak Raphael ni Along?"emak sudah mendesak dan aku semakin kalut.

  Kau sebutlah nama sapa-sapa Lia.

  Sapa-sapa tu sapa?

  Mana-mana nama kawan lelaki kau. Bukan  emak kau tahu.

  Sempat lagi aku bermonolog di dalam hati dan dalam pada aku berada dalam keadaan genting ini, mataku jatuh pada sesusuk tubuh berdekatan meja bufet tidak jauh dari tempat aku duduk. Meski wajahnya kelihatan kemas tanpa kehadiran jambang yang tumbuh meliar serta rambut yang sudah sedikit pendek dan rapi, namun mudah sahaja untuk aku mengecam lelaki yang menyarung baju melayu hitam dengan jeans biru muda itu.

   Saat itu debaranku semakin kencang dan aku yakin benar kalau debaran ini bukanlah seperti debaran yang kurasa pada pertanyaan Mak Cik Harlina sebentar tadi. Katakanlah ini klishe, kebetulan, tidak logik atau poyo, tetapi entah kenapa aku merasa lega dan lapang melihat dia di sini, di hadapan mataku dengan jarak yang sangat dekat.

   "Shahril"tidak perasan kalau aku menyebut nama itu perlahan.

   "Shahril?"aku dikejutkan oleh suara emak yang agak kuat saat itu.

   "Jadi budak yang nama Shahril tu lah yang Along pilih untuk tolak Raphael?"emak semakin mendesak.

   Aku mengangguk laju. Dan melihat kepada wajah emak yang agak merah, aku yakin benar kalau drama aku bakal menginjak ke episod dua sedikit masa lagi. Drama yang sesuai kalau diberi tajuk 'Emak, Aku dan libasan penyapu lidi". Aku menelan liur saat wajah kelat emak aku pandang tidak berkelip.

 
 

 
 

 

No comments:

Post a Comment