Sudah hampir sebulan aku tidak berhubung dengan Shahril dan terus-terang kukatakan, ada kalanya aku merasa seperti ingin mengirimkan Whatsap untuk bertanya khabar lelaki itu, namun mujur sahaja akal warasku menghalang. Apa pula kata Shahril nanti? Adakah dia akan menganggap aku perempuan tidak tahu malu.
Sepanjang sebulan jugalah aku tidak berjumpa dengan Ilham kerana lelaki itu ke luar negara atas urusan kerja. Namun, kami kerap juga berhubung bertanya khabar dan hampir 90 peratus dari perbualan kami berkisar mengenai Fisha. Dan aku benar-benar yakin kalau rasa cinta Ilham pada Fisha adalah ikhlas melihatkan cara lelaki itu mengambil berat akan hal Fisha.
"Awak tak pernah ke untuk cuba pujuk Sha semula...minta maaf, ajak dia balik"aku teringat kembali akan perbualan telefon di antara aku dan Ilham semalam.
"Pernah...."
"So?"
"So?"nadanya seolah-olah bertanya kembali.
"So apa jadi. Lepas awak pujuk, apa Sha cakap?"
"Lepas saya cuba pujuk, dia hilang lebih jauh"dan suasana antara aku dan Ilham senyap tiba-tiba.
"Ilham...err....maaf kalau saya tanya....awak kata awak kenal Sam masa saya cerita pasal Sam dekat awak kan...Err..boleh saya tahu, macam mana awak kenal Sam?"
Dan lelaki iti kembali sepi beberapa saat sebelum aku mendengar dia membalas.
"Sam kawan saya...kawan dunia akhirat....."mendengar pada suara lelaki itu yang kedengaran perlahan, aku tidak lagi bertanya lanjut meski hatiku seakan memberontak untuk mengetahui kisah selanjutnya di antara lelaki-lelaki itu dengan temanku.
Ketukan di pintu mengejutkan aku yang sedang bersiap untuk tidur semula. Bukannya aku tidak tahu kalau amalan tidur selepas subuh itu itu elok, tetapi mataku seakan sudah tidak mampu dicelikkan. Masakan tidak, semalaman aku bersengkang mata melayan Ilham berbual semalam. Jika di kampung, maunya sudah tanggal telinga aku mendengar bebelan emak dengan tajuk "Anak dara tak elok tidur lepas subuh".
Tejengul kepala Fisha yang sudah berbalut tuala merah jambunya. Pelik. Mana mungkin pemilik nama Nur Afisha binti Ariff Ross ini boleh mandi seawal jam 6.30 pagi pada hari Sabtu! Ajaib, memang ajaib.
"Cepat siap...."sedikit memberi arahan suara Fisha kepadaku.
"Siap? Siap pergi mana?"sedikit celik mata aku melihat kekalutan di wajah Fisha yang sedikit tegang.
"Ikut aku pergi lawatan kelab Foto dengan kerjaya. Kak Hani call pagi tadi, dia tak dapat datang, anak dia masuk hospital...demam panas katanya"
Siap. Kelab. Lawatan. Satu persatu perkataan Fisha kutelan sebelum mataku membulat. Fahamlah aku kalau Fisha ingin menjadikan aku sebagai galang ganti kepada Kak Hani. Hilang sudah bayangan katil dan selimutku saat ini.
"Kalau aku.."aku cuba untuk mengelak sebelum..
"Aku bunuh kau kalau kau cakap tak nak ikut ok..."Sudah.
Wanita ini pastinya sedang marah pada kemuncak paling tinggi apabila dia sudah mengugut untuk membunuh. Sebagaimana Fisha pernah mengugut untuk membunuh mak cik kantin di sekolah kami kerana menjual bihun basi apabila Fisha sangat lapar dan sepertimana juga dia mengugut untuk membunuh Toyol apabila anak kecil itu mengotorkan kasut Louis Vuitton yang baru dibeli Fisha dengan gula-gula getah.
"Kejap..aku mandi"aku menutup pintu sambil melangkah ke dalam bilik air. Nampaknya angan-angan aku untuk menyambung tidur terpaksa berkubur pagi ini.