Monday, 28 July 2014

Seseorang seperti dia 38

   Aku memasukkan pakaian satu-persatu ke dalam beg dengan juraian air mata yang masih tumpah laju. Perasaan bimbang terhadap emak serta rasa bersalah pada Hilmi, Nurin dan Shahril datang mengasak secara bergilir-gilir. Usai memasukkan semua pakaian, Fisha datang menghulurkan sesuatu. Aku lihat beg pakaiannya juga sudah siap dikemas.

   "Aku lupa pasal ni"kamera yang sudah retak kantanya itu aku sambut.

   Aku terkedu, kesibukan beberapa hari ini menyebabkan aku seakan terlupa dengan kamera Shahril yang aku kutip dua hari lepas. Sememangnya niat asalku ingin membaiki kamera lelaki itu sebelum aku pulangkan, tetapi....aku juga tidak pasti kalau akan ada pertemuan seterusnya untuk kami berdua.

   Sedari kejadian tadi, tidak kelihatan langsung kelibat lelaki kurus itu. Kamera itu aku masukkan ke dalam beg sandang saat aku mendengar ketukan bertalu-talu di pintu.

   "Lia...maaf, saya kena hantar Nurin ke hospital. Saya minta tolong Fardel hantar awak dengan Sha ya"wajah Ilham kelihatan cemas.

   Di belakangnya aku lihat Fardel Akashah dalam sepersalinan baju melayu merah jambu sedang tersenyum.

   "Oh, its ok"apalagi yang mampu aku ucapkan. Ingin sahaja aku tanyakan mengenai Shahril namun rasa malu terhadap Fisha dan Fardel Akashah menghalangku dari berbuat demikian.

   Sebelum Ilham berlalu pergi, dia menarik aku untuk menjauh sedikit dari Fisha dan Fardel Akashah.

  "Lia..I'm sorry on behalf of adik saya dan Hilmi. Nampaknya tak ada rezeki awak nak jadi pengapit majlis diaorang..."

   "It's ok...saya faham...."

   "Err...Lia..."

   "Ya..."aku melihat dia seakan teragak-agak untuk menyatakan sesuatu.

   "Saya akan cari awak nanti. Saya janji"dia terus berlalu pergi saat kata-kata itu diucapkan. Aku terkedu, sukar menafsir akan maksud kata-kata lelaki itu.

   "Jomlah gigirls. Kita cepat-cepat cari flight kat airport so you alls boleh cepat sampai Kl"usai bersuara Fardel Akashah ikut sama mengangkat beg merah jambu Fisha sebelum dia nenjerit berat.

   "Bawa batu ke apa ni hah?"Fardel Akashah sudah membebel dan diikuti dengan balasan oleh Fisha.

   Saat itu aku sudah tiada nafsu untuk melayan mereka berdua bertekak dan tidak semena-mena aku terpandang sehelai t-shirt putih yang tergantung di birai balkoni.

   Hampir sahaja aku terlupa akan baju Shahril yang aku sidaikan di situ dua hari lepas. Baju yang sudah kering itu aku lipat dan masukkan ke dalam beg sandang.

   Sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, aku menunggu Fisha menguruskan pembelian tiket dan kami bernasib baik kerana sememangnya terdapat penerbangan ke Kuala Lumpur dalam masa sejam dari sekarang. Fardel Akashah ikut sama membantu menguruskan bagasi kami di kaunter check-in Air Asia.

   "Thanks Ustazah, tak sampai hajat aku nak tengok kau pakai baju aku jadi pengapit nanti. Kirim salam family kau ya ustazah"suara Fardel Akashah kedengaran sebak.
 
   "Thanks Fardel"entah kenapa aku ikut sebak. Berjangkit dengan si lembut berbaju merah jambu agaknya.
 
   "Fardel, boleh tolong saya..."aku menyeluk beg sandang dan kamera Shahril aku keluarkan diikuti dengan beberapa helai not lima puluh ringgit.

  "Tolong baiki dan passkan dekat Shahril. Dan...tolong cakap dekat dia....saya mintak maaf....."kamera bertukar tangan tapi Fardel menolak wang pemberianku.

   "Tak payah, akupun belum bagi upah untuk kau tolong aku haritu...nanti aku baiki dan passkan macam yang kau mintak ya Ustazah"dia menghembus hingus ke atas tisu usai berbicara.

   Suara pengumuman agar semua penumpang masuk ke dalam balai berlepas menyebabkan aku dan Fisha sedikit terkocoh-kocoh bergerak masuk dan pemergian kami diikuti lambaian tisu dengan mata yang sedikit merah oleh Fardel Akashah.

   Sedang aku dan Fisha duduk dalam balai menunggu, mindaku teringat sesuatu.

       "Ini duit upah kita semalam. Tadi mamat drama tu kasi. Dia suruh aku share dengan kau"

    "Tapi saya tak minta duit pun untuk tolong dia. Awak minta ke?"

   "Hisy....kau ni..mana ada aku mintak. Dia yang hulur semalam lepas kau lari balik bilik. Errr....dia cakap dia mintak maaf pasal semalam"
   Kata-kata Shahril terngiang di telingaku semula diikuti dengan ucapan Fardel Akashah sebentar tadi.

   "Tak payah, akupun belum bagi upah untuk kau tolong aku haritu...nanti aku baiki dan passkan macam yang kau mintak ya Ustazah"Nah, kalau Fardel Akashah belum memberi apa-apa upah, duit upah siapa pula yang dimaksudkan Shahril semalam. Aku bingung. Jangan-jangan....

   Entah kenapa, aku menjadi cengeng dan air mataku senang sekali untuk tumpah di Pulau Lagenda ini. Pelbagai perkara datang serentak mengasak mindaku.

   Tisu di dalam beg aku capai lalu air mata aku kesat. Fisha di sebelah pula leka bermain telefon bimbit.

   "Jangan sedih kalau pasal lelaki tak guna tu dik"suara seorang wanita menegurku dan aku melihat seorang wanita cantik dalam pakaian seragam pramugari menegurku. Matanya kelihatan bengkak meski sudah dilitupi oleh mekap yang agak tebal.

   Aku dan Fisha ikut sama pegun melihat wanita itu duduk di sebelahku sambil menangis.

Sunday, 27 July 2014

Seseorang seperti dia 37

   Hilmi mengetuk pintu bilik Nurin sementara aku dan Fisha cuma diam menanti di belakang. Sememangnya aku juga kurang pasti akan tindakan seterusnya yang bakal diambil oleh Hilmi.

   Hilmi memandang ke arahku setelah ketukan bertalu-talu itu tidak dibalas.

  "Awak yakin ke Lia?"Hilmi cuba mencari kepastian dan aku serta Fisha cuma mengangguk laju. Tidak berani bersuara melihat kepada riak wajah Hilmi yang begitu serius.

   Pintu terkuak perlahan dan muncul wajah kusut Shahril di balik pintu. Ada riak wajah terkejut saat dia melihat kelibat Hilmi, aku dan Fisha ketika ini. Entah kenapa aku sedaya upaya cuba untuk melarikan pandangan mataku dari dia saat mata kami bertemu.

   "Apa kau buat dalam bilik tunang aku?"Hilmi sudah menggenggam kolar t-shirt hitam Shahril lalu satu tumbukan padu hinggap di pipi cengkung itu.

   Aku dan Fisha yang agak terkejut dengan serangan tiba-tiba Hilmi menjerit serentak. Tubuh kurus Shahril terdorong ke tepi lalu dia jatuh tersandar pada dinding.

   "Sabar dulu bro"Shahril mengangkat tangan kanan seolah-olah meminta Hilmi untuk berhenti manakala tangan kirinya pula mengusap darah yang mengalir di bibir. Sesekali dahinya berkerut, barangkali menahan bisa tumbukan yang dihadiahkan sebentar tadi.

   Hilmi yang masih berang terus menarik tubuh Shahril untuk bangun.

   "Apa yang kau dah buat dekat tunang aku?"Hilmi sudah menggila dan hentaman demi hentaman dilepaskan pada tubuh kurus Shahril dan Shahril pula aku lihat cuma mengelak tanpa membalas. Terbit rasa kasihan di hatiku saat melihat dia dibelasah tanpa henti oleh Hilmi.

   Saat itu muncul Ilham dari dalam bilik Nurin lalu Ilham laju sahaja menarik tubuh Hilmi agar berhenti.

   "Stop...stop....kau dah gila ka Hilmi?"jerkahan Ilham menyebabkan Hilmi berhenti. Laju sahaja aku melihat Hilmi meloloskan badannya dari dalam pegangan Ilham.

   "Aku kena ajar dia ni"Hilmi mengendurkan suaranya.

   "Pagi-pagi macam ni, tak pasal-pasal kau pergi pukul kawan aku sampai senak anak orang tu kenapa?"Ilham masih meninggikan suaranya.

   Shahril yang masih terduduk terus mengelap darah yang mengalir di bibir.

   "Dia dah buat benda tak elok pada tunang aku"

   "Apa benda tak elok yang dia dah buat?"Ilham terus menyoal Hilmi lalu Hilmi mengalihkan pandangan kepada aku dan Fisha.

   "Kalau kau nak tau, dia datang pagi tadi, masuk bilik adik aku sebab aku yang suruh. Kalau tak percaya, jom masuk tengok sendiri apa jadi kat tunang kau"Ilham menarik tubuh Hilmi kasar.

   Aku dan Fisha ikut sama melangkah masuk dan tubuh Shahril aku biarkan sendirian. Saat kami masuk ke bilik, aku lihat tubuh kurus Nurin sedang terbaring di atas katil dan wajah itu kelihatan pucat. Di sisi Nurin aku lihat Mellina, adiknya setia memegang tangan Nurin yang sudah kaku.

    Hilmi meluru laju ke arah tubuh Nurin lalu tangannya memegang pergelangan tangan Nurin sambil matanya melirik ke arah jam tangan.

   "In skip ambil ubat ke Mel?"wajah Mellina ditenung sambil dibalas dengan gelengan lemah oleh gadis berambut perang itu.

   "Bagitahu aku apa yang dah jadi Ilham"Hilmi masih memegang tangan Nurin sambil sebelah tangannya mengusap rambut Nurin.

   Aku dan Fisha cuma diam di penjuru bilik. Ilham mengeluh kasar lalu segalanya diceritakan satu persatu. Saat itu aku terasa seperti mahu pitam, lari ataupun memutarkan kembali masa.

   Buat pertama kalinya aku tidak teragak-agak dan menyangkakan kalau aku melakukan hal yang betul tetapi...Salah-faham, semuanya cuma salah faham dan tidak semena-mena Shahril pula yang menjadi mangsa. Rasa bersalah menyerang aku sekali lagi,pastinya lelaki itu sedang patah hati untuk kali kedua, dan kerana aku, dia menjadi mangsa amarah Hilmi.

   "So, Nurin tak mengandunglah?"terketar-ketar suara Hilmi saat itu dan sebaik sahaja Mellina dan Ilham mengangguk, Hilmi tunduk mengucup tangan Nurin.

   "I'm sorry In...my bad...I'm so sorry..."ayat itu diucap perlahan tapi cukup jelas menampan telinga aku. Aku sebak. Terasa seperti aku adalah watak jahat dalam percintaan Hilmi dan Nurin.

   "Aunty tau pasal Aina?"Hilmi mengangkat wajah lalu pertanyaan itu dibalas dengan gelengan laju Ilham.

   "Kami adik beradik nak rahsiakan dari mama. Kalau Nurin pun dah boleh pengsan macam ni, aku takut mama kena serangan jantung pula kalau dapat tau pasal Aina. Selama ni mama ingat Fatin Aina dah meninggal"suara Ilham makin mengendur.

   Fahamlah aku kini kalau Aina yang dimaksudkan ialah Fatin Aina, kembar seiras kepada Nurin Aina. Dan ternyata Shahril bukanlah sejahat yang aku sangka.

   Fisha di sebelah aku pandang sekilas dan tanpa suara aku melihat mulut Fisha membuat ucapan seperti "Oops...". Kami saling mengangkat kening antara satu sama lain namun tidak seorangpun dari kami yang bersuara.

   "Lia, Fisha, saya harap apa yang awak nampak dan dengar, habis dekat dalam bilik ni saja ya"kedengaran tegas suara Ilham dibalas dengan anggukan laju kami berdua.

  Aku dan Fisha cuma mengangguk sambil mata masing-masing terus melekat pada lantai bilik, tidak berani rasanya mahu mengangkat wajah dan berdepan dengan mereka di dalam bilik ini. Dalam hati aku berdoa agar aku dan Fisha punya kebolehan untuk menjadi halimunan saat ini. Harapan yang agak bodoh!

   Jeritan Bruno Mars yang menyanyi tiba-tiba seolah menjadi penyelamat kepada aku. Telefon bimbit di tangan aku angkat sedikit sebagai tanda aku harus menjawab panggilan lalu aku bergerak keluar dari bilik sambil mataku memandang sekilas pada skrin yang terpapar "Private Number".

   "Hello Assalamualaikum"sengaja aku menunggu suara si pemanggil di hujung sana sebelum memulakan bicara lanjut.

   "Waalaikumussalam, Along, ni Shasha... along kena balik sekarang, mak accident dengan Mak Usu kat PJ. Mak ada kat PPUM sekarang. Along balik cepat tau"sekali lagi dadaku dihentam dengan berita mengejut.

   Dalam jurai air mata aku berlari ke dalam dan mendapatkan Fisha serta Ilham. Ilham cuma mengangguk sambil mengarahkan aku dan Fisha pulang ke bilik untuk berkemas. Saat aku ingin melangkah keluar, aku melihat Hilmi cuma bungkam di sisi Nurin dengan tangannya masih menggenggam jemari kaku tersebut.

   "Jom Lia"Fisha menarik tangan aku keluar.

   "Nanti saya datang. Bagi saya 15 minit"suara Ilham kedengaran dan aku mengangguk tanpa sedetikpun aku berhenti memandang tubuh Hilmi yang masih membelakangi aku. Dan dia masih begitu sahingga kakiku melangkah keluar dan pintu tertutup rapat. Tidak sekalipun dia menoleh ke arahku. Marahkah Hilmi pada aku?

 
 
 
 
 

Saturday, 26 July 2014

Seseorang seperti dia 36

   Fisha menarik tangan aku laju dan kami bergerak menjauhi bilik Nurin. Aku cuma mengikut tanpa banyak soal. Kalau benar Nurin sudah mengandung, bererti anak itu anak luar...Nauzubillah, tidak sanggup aku memikirkan akan hal itu.

    Tapi siapa pula bapa anak tersebut? Meski aku cuba menolak kuat spekulasi yang kian mengasak minda, namun jauh di sudut hati,aku merasakan kalau Shahril ikut sama bertanggungjawab melihat kepada perlakuannya tadi. Kalau dia tidak terlibat, kenapa mesti Nurin memberitahu Shahril dan mereka berdua masuk ke dalam bilik pengantin dalam keadaan Shahril yang mencurigakan.

   Ya Allah, jika benarlah apa yang sedang berlaku, maka sampainya hati Shahril dan Nurin memperlakukan perbuatan terkutuk itu di belakang Hilmi. Wajah Hilmi tiba-tiba terlayar di mindaku. Terbit rasa kasihan kepada seraut wajah itu saat ini, perasaan sayang atau cinta yang masih bersisa aku letakkan ke tepi, yang ada sekarang cumalah perasaan kasihan pada seorang teman. Membiarkan Hilmi menikahi Nurin ibaratnya seperti menganiaya teman baikku sendiri.

   "Sha, kau kena tolong aku"aku merentap tangan Fisha yang terus-terusan menarik aku ke satu arah yang aku tidak pasti.

   "Hah...tolong apanya time macam ni Lia"Fisha sudah berkerut seribu.

   "Aku kena bagitau hal sebenar kat Hilmi. Dia berhak tau. Aku taknak dia perjudikan masa depan dia kalau betul Nurin dengan Shahril dah...."tidak sanggup aku meneruskan kata-kata tersebut. Entah kenapa ada rasa seperti pedih di dalam hati saat ini.

   "Ya Allah Lia...kau tak payah cakap pun aku dah tau apa nak buat. Hah, cepatlah ketuk bilik dia"Fisha terus menepuk dahinya dan memandang aku dengan pandangan geram.

   "Ketuk, bilik sapa?"

   "Eee..kenapa kau blur sangat, bilik Hilmi la...ni kita dah sampai depan bilik dia"aku memandang sekeliling dan bagaikan tersedar, kami rupa-rupanya sudah berdiri betul-betul di hadapan pintu bilik penginapan Hilmi.

   Pastinya Fisha menarik aku terus ke sini sebaik sahaja melihat kelibat Shahril dan Nurin tadi.

   Aku mengangkat tangan untuk mengetuk pintu tetapi tangan aku turunkan serta-merta.

   "Sha..apa patut aku cakap?"aku sedikit teragak-agak. Entah bagaimana harus aku katakan pada Hilmi.

   "Cakap apa, cakap yang betullah"Fisha semakin geram.

    "He will be hurt..."

    "I know"Fisha semakin geram.

    "Kau rasa apa reaksi dia bila tau pasal kandungan tu?"sungguh aku semakin teragak-agak.

   "Of couse he'll be happy...In another nine months,he'll be a father....untuk anak orang lain. Itupun kalau kau masih terhegeh-hegeh lagi fikir itu ini dari terus ketuk bilik dia dan bagitau pasal kandungan tu"Fisha sudah bercekak pinggang.

   "Siapa yang dah mengandung ni?"Hilmi yang entah sejak bila berdiri di belakang kami menegur tiba-tiba.

  "Err...saya..."aku sedikit teragak-agak.

   "Awak mengandung Lia?"suara Hilmi kedengaran terkejut.

   "Nope..bukan saya, tapi Nurin...she's pregnant"ayat itu terluah saat kekuatan sudah aku kumpulkan.

   "Ya Allah..awak  cakap apa ni Lia?"Hilmi sudah menanggalkan cermin matanya sambil jari-jemari laju memicit dahinya yang sedikit berkerut.

   "Awak pasti Lia?"pertanyaan itu aku balas dengan anggukan perlahan.

   "Tolong jangan bagitau sesiapa pasal hal ni. Saya tak nak berita ni tersebar"

   Aku dan Fisha menagangguk tanda faham sebelum kami mengikut langkah lelaki itu.

Friday, 25 July 2014

Seseorang seperti dia 35

   Jam baru menginjak ke angka 7.15 pagi dan dalam samar-samar cahaya yang masih bersisa gelap, aku dan Fisha melangkah santai menuju ke bilik pengantin Nurin. Sememangnya aku sudah berjanji untuk datang awal pagi untuk mengambil baju pengapit sebelum aku bergerak ke kafe untuk bersarapan.

   Suasana pagi agak sejuk dan nyaman dan masih tiada kelibat manusia lain di Chalet Perangin ini melainkan aku dan Fisha sahaja. Fisha yang memakai sweater putih tebal menguap sekali-sekala.

   Sebaik sahaja kami menghampiri bilik pengantin Nurin, dari kejauhan aku melihat sesusuk tubuh Shahril ikut sama menghampiri arah yang sama. Fisha tiba-tiba menarik tubuhku ke arah tepi Chalet dan tubuh kami berdua akhirnya sedikit tersembunyi oleh balkoni bilik.

   Aku yang terkejut cuma memandang Fisha pelik. Temanku itu meletakkan jari telunjuknya di bibir sebagai tanda menyuruh aku diam.

   "Kau dah kenapa?"aku berbisik kepada Fisha. Mata temanku itu sudah menjegil bulat, hilang sudah wajah mengantuknya tadi.

    "Shahril tadi tu"mata Fisha sengaja dibulatkan dan dia seakan menjerit meskipun dalam nada berbisik.

   "Dah tu kenapa?"aku berbisik balas.

   Pelik. Entah apa yang merasuk Fisha untuk mula berdrama seawal pagi begini. Apalah yang peliknya melihat Shahril di Chalet Perangin memandangkan lelaki itu juga adalah tetamu di sini. Lainlah kalau kami melihat Angelina Jolie atau Brad Pitt yang datang mengetuk pintu bilik Nurin, hah, itu barulah pelik!

    "Kenapa kau tanya....Hey Lia, pagi-pagi buta lelaki tu datang ke bilik bekas teman wanita yang tinggal beberapa jam lagi nak jadi isteri orang. Come on, takkan kau tak ada bau-bau ikan kot. Cepatlah sikit biar neuron-neuron otak kau tu bersambung"

   Kata-kata Fisha sedikit sebanyak menjadikan aku sedikit ragu-ragu dengan kehadiran Shahril di situ. Dalam kami gigih berbisik, kami mendengar ketukan bertalu-talu di pintu bilik Nurin.

  Aku dan Fisha cuma terdiam sambil kami terus pegun pada posisi kami berada. Aku yakin kalau Shahril tidak perasan akan kehadiran kami di balik balkoni.

   Dari balik balkoni yang agak terlindung, aku menjenguk ke arah pintu bilik dan ternyata Shahril masih mengetuk pintu bilik itu tanpa henti. Sekali-sekala lelaki itu memandang sekeliling seolah-olah takut kalau perbuatannya diperhatikan oleh orang lain.

   Tiba-tiba pintu terkuak dan seseorang muncul tetapi aku tidak dapat melihat dengan jelas siapa wanita tersebut. Namun aku yakin kalau sesusuk tubuh itu adalah Nurin melihat kepada inai merah di jari-jemarinya.

    "Kenapa?"Shahril memulakan bicara.

    "Ril...Aina..Aina mengandung..."sahlah itu suara Nurin.

    "Macam mana bole jadi macam ni?"Shahril bersuara terkejut sambil menggaru kepalanya.

   Saat itu juga aku melihat jemari bersalut inai itu menarik tubuh Shahril masuk ke dalam bilik dan lelaki itu memandang ke kiri dan kanan sebelum ikut melangkah masuk dan pintu itu ditutup erat.

   Serentak itu juga aku dan Fisha memandang antara satu sama lain sambil mulut kami sedikit ternganga.

   "Lia...aku harap neuron otak kau dah cukup bersambung untuk faham apa yang tengah jadi sekarang ni"Fisha bersuara bersungguh sambil menarik tanganku untuk berlalu pergi.


Seseorang seperti dia 34

    Saat aku membuka mata, suasana masih gelap dan telefon Fisha menjerit kuat dengan nyanyian lagu poco-poco yang sememangnya menjadi lagu penggera untuk mengejutkannya untuk solat Subuh.

   Ya Allah, nasib baik. Aku mimpi rupanya. Aku cuba untuk bergerak tapi pelukan erat Fisha yang masih lagi sedap dibuai mimpi menyebabkan aku sukar untuk bangun.

   Ketika aku cuba menggejutkan temanku ini, semakin erat pula dia memeluk tubuhku. Bunyi nyaring telefon yang masih menjerit lagu poco-poco juga tidak mampu mengejutkan dia.

   "Hoi...bangun...bangun Sha..."setelah puas aku menolak tubuhnya, mujurlah Fisha membuka mata.

  Dia yang masih mamai duduk berteleku di atas katil sambil tangannya laju sahaja mematikan telefon yang masih setia menjerit.

   "Kau solat dulu. Aku nak tidur sikit lagi"tubuh Fisha sudah terbaring semula lalu cepat-cepat aku menariknya agar bangun.

   "Hei Sha...aku cuti. Kau bangun cepat. Solat...harini kita kena bersiap awal"aku mencapai suis lampu di tepi katil dan lampu di sisi katil aku hidupkan.

   "Ada beberapa jam lagi untuk kau bertindak kalau kau masih cintakan Hilmi"Fisha menarik tuala merah jambunya lalu melangkah malas ke dalam bilik air.

   Hatiku tiba-tiba berdebar. Mimpi tadi seakan-akan kembali terlayar di minda. Yang direbutkan Nurin, bukan aku!

 

Seseorang seperti dia 33

    Aku berdiri sendiri di tepian pantai kosong tanpa manusia. Sengaja aku memilih untuk lari jauh dari kawasan chalet kerana aku benar-benar keliru dan aku ingin lari dari setiap apa yang sedang berlaku.

    Sedang aku melangkah, aku mendengar suara Hilmi menyapaku dari kejauhan dan ternyata tubuh sasa itu sedang mengejarku. Di tubuhnya tersarung persalinan baju melayu putih untuk upacara akad nikah.

   Melihat lelaki itu berlari mendapatkan aku, aku ikut sama berlari menjauhi dia. Hatiku sakit, sampai ke sini dia menjejak aku, apa dia sudah gila? Apa pula yang akan terjadi pada majlis akad nikahnya nanti.

   "Lia....Lia...Liaa.....tunggu....."bibirnya tidak henti-henti dari menyebut namaku.

    Dalam langkah kaki berlari, aku membenci diri aku, meski aku cuba menjauhi Hilmi, entah kenapa seakan masih ada sisa perasaanku padanya. Masih lagi terbit rasa bahagia saat dia menyebut namaku. Sama seperti dahulu.

   Dalam pada aku berlari, tubuhku berlaga dengan seseorang lalu aku merasa sepasang tangan itu menangkap tubuhku dari terjatuh ke atas pasir pantai.

  Aku mengangkat wajah dan pandangan mata aku dan pemilik tangan asing itu bertemu. Shahril yang masih memegang tubuhku cuma tersenyum. Aku sedikit kagum melihat wajah bersihnya tanpa jambang. Kami saling berpandangan dan tidak ada seorangpun di antara kami yang mengalah untuk menundukkan wajah.

    "Lia...."aku mendengar suara Hilmi begitu dekat dari arah belakang lalu dia merentap tubuhku dari terus berada dalam pelukan Shahril.

   Aku bungkam kerana Shahril ikut sama menarik tubuhku saat itu sehingga aku terdorong ke hadapan dan rebah di atas pasir. Baju kurung turquoise yang aku pakai sedikit basah akibat daripada pukulan ombak pantai.

   "She's mine"Hilmi menjerit ke arah Shahril.

   "Nope, mine"jeritan Shahril pula bergema.

   Aku bangun saat melihat kedua lelaki di hadapanku itu sudah mulai untuk bertumbuk antara satu sama lain.

  Tiba-tiba muncul Nurin dengan juraian air mata menjerit ke arah Shahril dan Hilmi agar mereka berhenti bergaduh. Gaun pengantin yang tersarung di tubuhnya sedikit kotor dek kerana pasir pantai.

  "She's mine"Hilmi masih menjerit saat dia menumbuk wajah Shahril yang sudah rebah terlentang di atas pasir.

   "Dia...hak aku....sentiasa....jadi hak aku..."Shahril menahan tangan Hilmi dari terus menghentam wajahnya.

   Aku mendekati mereka berdua dan menjerit agar mereka berhenti namun jeritan aku dibiarkan sepi.

    "You're mine..."Hilmi bangun dari terus menumbuk wajah Shahril lalu tubuh Nurin dipeluk erat. Nurin terus menangis teresak-esak di dalam pelukan Hilmi.

   Shahril ikut sama bangun lalu tubuh Nurin ditarik dari terus berada dalam pelukan Hilmi.

   "Dia hak aku....selama-lamanya akan tetap jadi hak aku"Shahril memeluk tubuh Nurin.

   Aku bungkam. Jeritan aku tidak diendahkan, seolah-olah aku adalah watak halimunan di sini. Fahamlah aku, yang digaduhkan bukan aku dan yang direbutkan juga bukan aku.

   Aku menyusun langkah untuk berlalu sebelum aku merasa ada sepasang tangan memelukku dari arah belakang. Seakan mahu pengsan saat aku melihat kalau sesusuk tubuh itu ialah Fardel Akashah yang sedang tersenyum kepada aku dalam persalinan baju pengantin putih.

   "Kahwin dengan aku ustazah!"dia bersuara perlahan menyebabkan aku terus meronta-ronta agar tidak terus berada dalam pelukannya.

   Serentak itu juga aku mendengar laungan kuat lagu poco-poco diikuti dengan tarian poco-poco oleh Hilmi, Nurin dan Shahril sambil pelukan Fardel Akashah semakin erat....
 
 

 

   

Tuesday, 22 July 2014

Seseorang seperti dia 32

    Aku menggenggam erat kertas resepsi putih bertinta biru yang tertera nama penuh Nurin serta Hilmi dan sebelah lagi tanganku masih memegang kepingan gambar pemberian Amran.

   Hatiku menjadi sayu dan aku masih berteleku di bucu katil. Mindaku ligat mengingati satu-persatu kejadian yang berlaku semenjak beberapa hari ini dan cebisan demi cebisan kenangan itu diibaratkan seperti kepingan-kepingan jigsaw yang berselerakan minta dicantum.

   "Ustazah, Baju pengantin aku ustazah...baju pengantin aku kena rompak...."

     "Yup...aku penah tengok perempuan yang aku sayang kahwin"

     "Bila ingat balik macam bodoh ja..Masa perempuan tu nak kahwin, macam-macam aku buat supaya dia tak jadi kahwin.....sampai sehari sebelum dia kahwin, aku sengaja cari jalan sampai curi baju pengantin perempuan tu dengan bakal laki dia...."

      "Masa Aina nak kahwin, aku curi baju pengantin dia dengan harapan Aina tak jadi kahwin. Tapi lepas tu aku sedar, dia kahwin bukan sebab baju, tapi sebab dia memang nak kahwin dengan lelaki yang dia sayang, lelaki yang ditakdirkan sebagai jodoh dia....dan aku harap kau takkan ulang kesilapan bodoh macam aku penah buat ya Tik"

    Kata-kata Fardel Akashah dan Shahril silih berganti menghentam mindaku. Jahilnya aku kerana tidak dapat membaca semuanya sedari mula lagi.

     Wajah Hilmi muncul secara tiba-tiba lalu hatiku menjadi berbolak balik, apatahlagi apabila mengenangkan kata-kata Nurin.

      "Orang tua-tua cakap, kita tak elok pakai ayat kalau...kalaulah itu...kalaulah ini.... Awak nak tau Lia...masa saya jumpa awak balik dua tahun lepas, saya baru jumpa Nurin dua bulan sebelum tu...dan hari-hari saya asyik terfikir.... kalaulah....kalaulah saya jumpa awak lebih awal...atau....kalaulah saya jumpa Nurin lebih lambat.... mesti sekarang jari awak yang bersalut inai, bukan Nurin.... kalaulah......"

     
    "Lia....if you say yes to me....saya akan cancel semuanya...perkahwinan ni, Nurin....I will cancel everything"

     "Thanks for being there....for Hilmi in the past....dan masa depan dia dengan saya... Kalau kami tak jadi kahwin, saya mati Lia.....and I mean it..."

    Aku mengeluh perlahan dan keluhan yang kulepaskan itu juga entah untuk kali yang keberapa.

    "Dari tadi kau berkerut macam ada masalah negara. Bilanya kau nak mula cerita kat aku ni"Fisha yang entah sejak bila duduk di sebelahku sudah bercekak pinggang sambil membuat riak ingin marah.

     Dan satu-persatu daripada peristiwa itu aku ceritakan tanpa ada sedikitpun yang tercicir. Dari perihal Hilmi yang tiba-tiba mengusik hatiku sehinggalah kepada Shahril dan Nurin.

    "Skandal.....memang skandal"Fisha bersuara sambil menggeleng-gelengkan kepala.

     "Ish, banyaklah kau punya skandal Sha"

     "Dah tu?"Fisha mengangkat kening seolah-olah bertanya dalam bahasa tubuh.

     "Dah tu apa?"

     "Yelah, kau macam mana?"

     "Macam mana apa?"

     Pap, satu tamparan singgah di bahuku.

     "Eh, kalau aku tanya tu, cuba jangan tanya balik"Fisha sudah membuat riak wajah geram.

     "Entahlah...."sungguh aku tidak pssti.

     "Jangan-jangan, ini petunjuk tak"

     "Petunjuk apanya malam-malam ni Sha"

     "Petunjuk yang kau sebenarnya masih ada jodoh dengan Hilmi...Imagine kalau Hilmi tak cintakan Nurin dan Shahril sosej tu masih cintakan Nurin....so kau boleh dapat Hilmi idaman kalbu kau tu tanpa perlu jadi watak ketiga kat dalam cerita ni"dan Fisha sudah mengeluarkan teori adaptasi novel cintanya saat ini.

     Semenjak peristiwa pagi tadi, panggilan Shahril juga sudah berganti daripada Inner Shine kepada Shahril sosej.

    "Aku rasa...betul apa kau cakap"aku membalas kata-kata Fisha penuh minat.

    "Kan, betul kan"Fisha sudah membulatkan matanya tanda teruja.

     "Aah....betul...dan first step....aku kene buat macam ni"sepantas kilat aku membaling bantal putih tepat mengenai wajah Fisha yang masih tersengih-sengih melayan teori tidak boleh pakainya itu.

   "Hoi...jahat kau Lia"aku menyelimutkan seluruh wajahku dengan selimut tebal dan suara nyaring Fisha tidak aku endahkan.

    Mataku pejam dan berharap agar semua akan berlalu dengan lancar esoknya.

    "......dan aku harap kau takkan ulang kesilapan bodoh macam aku penah buat ya Tik"suara Shahril kembali terngiang sebelum mataku betul-betul lena....

Monday, 21 July 2014

Seseorang seperti dia 31

  Aku menjerit kuat tatkala mataku menyapa sesusuk tubuh besar berwarna putih dengan bau hanyir seperti darah semakin mendekat ke arah tubuhku. Dalam samar cahaya, aku memejam mata sambil tubuhku menggeletar ketakutan.

   "Lia....Lia.....MasyaAllah....ni saya la"suara garau seorang laki menegurku tetapi aku masih memejamkan mata meskipun aku sudah berhenti menjerit.

     Mulutku kembali terkumat-kamit membaca ayat Kursi meski aku rasakan kalau bacakan itu sudah lari dari hukum dan makhraj yang sepatutnya.

   "Ya Allah Lia....awak dah kenapa, ni saya"suara itu kedengaran lagi.

   "Saya ni, Amran"aku membuka mata perlahan-lahan saat dia memperkenalkan dirinya.

   Wajah bulat Amran kelihatan tersenyum kepada aku dalam gelap malam. Mujurlah suluhan cahaya samar dari tanglung di hadapan kafe menjadikan wajahnya kelihatan jelas waktu ini.

    "Saya...saya ingat awak hantu"aku yang masih terkejut sedikit terketar-ketar.

   "Maaf kalau saya buat Lia terkejut"ada riak bersalah pada wajahnya ketika ini.

   "Saya baru kunci kafe ikut pintu belakang tadi, itu yang saya datang dari arah sana, kebetulan tengok Lia tengah berdiri kat sini, saya tegurlah"dia cuma menerangkan satu-persatu kepada aku yang masih cuba untuk bertenang.

   "It's ok...saya yang salah faham. Saya ingat saya nampak hantu be....."aku terhenti dari menyebut perkataan besar kerana bimbang lelaki gempal ini akan berkecil hati.

   "Ingat tengok hantu gemuk ye tadi"dia tersenyum sambil membetulkan tuala putih yang dililit di atas kepala dengan tangan kanannya.

   Aku memandang satu plastik hitam besar yang berada dalam genggaman tangan kiri Amran. Hidungku kembang-kempis menahan bau busuk yang menerobos masuk tatkala angin bertiup.

   "Er....saya nak kena buang sampah ni dulu. Memang hanyir sikit sebab ni perut ikan yang kami siang dari pagi tadi"plastik besar itu diangkat sedikit.

   Aku cuma mengangguk sambil mengurut dada. Ceh, punyalah penakut kau Lia, Amran yang gemuk pakai baju chef ni kau ingat hantu.

    Waktu ini juga aku lihat Fisha terkocoh-kocoh lari mendapatkan aku.

   "Kau ke yang jerit tadi Lia...Kau dah kenapa. Ok tak?"Fisha sudah menarik tanganku.

   "Aku oklah...terkejut kena tegur dengan Amran tadi"aku menenangkan Fisha yang seakan sudah mahu membuat drama.

   "Kau ni...kacau aku baca buku jelah. Masa aku dengar orang jerit terus aku lari pergi arah belakang kafe, tengok takde orang, tu yang aku lari sini pulak, nasib engkau. Buatnya hantu yang menjerit tadi....Eee...seram aku"Fisha sudah membuat gaya orang cemas.

   "Kau baca buku? Kau baca kat mana tadi?"aku bertanya temanku yang sudah lengkap berpijama merah jambu.

   Mimpi apa agaknya perempuan ini membaca buku malam-malam di tempat sunyi, apatahlagi dengan pakaian yang hanya akan dipakai Fisha di dalam bilik dan bukannya untuk dibawa keluar apalagi bersantai.

    "Sana"tangan Fisha menunjuk ke arah hadapan kafe yang samar-samar disuluh cahaya tanglung.

   Aku mengerutkan dahi, kalau sedari tadi Fisha berada di situ, bererti dia juga berada berdekatan aku dan pastinya dia ikut mendengar suara ketawa tadi.

   "Err...Sha...masa kau kat sana kau tak dengar apa-apa ka?"

   "Apa-apa tu apa?"Fisha sudah membuat muka tanda tidak faham.

   "Tadi aku dengar bunyi perempuan ketawa"aku bersuara perlahan. Amran dan Fisha sudah terdiam.

    "Kau biar betul. Aku lepak sana takda bunyi pun"Fisha mendekatkan tubuhnya kepada aku.

   "Betul, mula-mula dia ketawa"dan tubuh Fisha semakin dekat padaku.

   "Lepas tu....bila aku nak gerak dia tanya nak pergi mana tu....."dan tubuh Fisha semakin dekat.

   "Masa aku start baca ayat Kursi, dia tegur aku....baca apa tu..."dan tubuh Fisha terus mendekat sebelum dia ketawa kuat.

   "Dia ketawa sama macam kau Sha"aku menyambung lagi.

    "Hoi Lia...tu aku tengah baca cerita nilah...bila masanya aku tegur kau. Aku ingat takda orang, aku bacalah dialog tu kuat-kuat"Fisha masih terus-terusan ketawa dan Amran yang sedikit bingung cuma diam sambil tangannya masih setia menggenggam plastik sampah besar itu.

    Geram melihat ketawa Fisha yang seakan tidak mahu reda, aku menarik buku di tangannya lalu tajuk buku itu aku perhatikan.

    Komik Dik Cerdas Edisi Lima. Mahu sahaja aku luku kepala sahabat baikku ini sekarang juga. Dek kerana keseronokan dia membaca komik Shin Chan ini dan ketawa seperti hantu, nyaris-nyaris aku kehilangan nyawa tadi. Mujur sahaja aku tidak pengsan.

   "Sebenarnya, saya memang tengah tunggu Lia. Sebab lama sangat cari tak jumpa, itu yang saya cari Fisha tu"Amran mencelah dan bersuara.

   "Aah la Lia...kau ke mana. Aku call tak angkat. Amran ada benda nak bagi tau"Fisha yang entah sejak bila bersahabat baik dengan Amran melemparkan soalan padaku.

   "Tapi elok kalau saya buang sampah dan basuh tangan dulu kot"plastik sampah itu diangkat tinggi separas wajah aku dan Fisha.

   Fisha menjerit kuat sambil menjerit busuk menyebabkan terkocoh-kocoh Amran berlari ke arah tong sampah besar di bahagian belakang kafe bersebelahan pintu masuk kecil yang sememangnya menjadi laluan para pekerja Chalet untuk ke kawasan parkir staff.

   Usai sahaja dia membasuh tangan, tubuhnya hilang di balik belakang kafe sebelum dia muncul semula bersama satu beg sandang gelap. Sehelai t-shirt kelabu dan jeans lusuh yang sudah berlipat elok dihulurkan kepada aku.

   "Apa ni?"aku bertanya sambil tanganku menyambut huluran pakaian itu.

   "Itu baju Shahril semalam. Mak saya dah basuhkan"

  "Oh, ini ke barang yang Amran cakapkan siang tadi. Saya ingat apalah tadi"aku bersuara lega.

   Entah kenapa hatiku senang apabila mengenangkan kalau aku punya satu alasan untuk bertemu Shahril sekali lagi.

   "Tapi, barang yang mungkin buat awak sedih yang ni"Amran menghulurkan sekeping kertas berlipat kepada aku.
 
    Aku menyambut kertas yang rupa-rupanya sekeping gambar yang sudah dilipat dua. Fisha yang ingin tahu ikut sama memandang lipatan gambar tersebut.

    "Saya tak tau hubungan awak berdua tapi saya dapat agak awak dengan Shahril macam ada apa-apa. Sebab tu saya nak passkan ni kat awak"ada nada sedih saat Amran bersuara.

   Aku membuka gambar yang agak lusuh itu dan dalam samar cahaya, aku dapat lihat wajah Shahril dalam uniform putih sedang tersenyum sambil memeluk seorang wanita. Shahril kelihatan muda remaja dan wajahnya juga tidak terlalu lebat berjambang, namun masih juga dapat aku camkan dia di dalam gambar itu. Dadaku berdebar saat melihat pada wajah wanita dalam pelukannya.

    Aku membelek gambar tersebut dan di belakang gambar tersebut tercatit tulisan kecil.

 'Shahril sayang Aina banyak-banyak' diikuti dengan tanda senyum di pengakhiran ayat.

    "Aina...Nurin Aina....."terpacul sebaris nama itu dari bibirku. Wajah Nurin tersenyum manis di samping Hilmi dan wajah Nurin di dalam pelukan Shahril datang silih berganti.

   Aku kelu. Entah kenapa, aku merasakan seperti hatiku jatuh dan pecah berderai saat ini. Dan ianya berlaku untuk sekali lagi, dan kali ini penyebabnya bukan lagi Hilmi!

 
 

 
 

Seseorang seperti dia 30

   Aku berjalan menyusuri laluan pejalan kaki yang agak terang dengan suluhan tanglung-tanglung bulat berwarna cerah. Suasana malam hari ini agak riuh apatahlagi tatkala aku melalui kawasan pantai tempat khemah-khemah dipasang.

   Aku lihat beberapa orang lelaki dan wanita masih sibuk menghias khemah dan ada di antara mereka sedang duduk di bawah khemas sambil memasang tanglung-tanglung kecil. Di bawah khemah utama, aku melihat beberapa orang anak muda sedang duduk santai sambil seorang dari mereka memetik gitar di tangan dengan lagu-lagu bernada romantik.

   "Baru balik ke kak?"seorang lelaki yang kebetulan lalu di sebelahku menegur ramah.

   "Aah..baru balik Sim, keluar kejap tadi"aku membalas pertanyaannya setelah wajahnya jelas kelihatan. Rupa-rupanya lelaki yang menegurku tadi ialah Kassim, si "pengantin" semasa raptai pagi tadi.

   Aku meneruskan perjalanan dan kali ini aku melalui kafe yang sememangnya menjadi laluan wajib sebelum dapat sampai ke bilik aku yang terletak di kawasan hujung sebelah timur Chalet Perangin. Suasana kafe saat ini agak sunyi dan sedikit gelap memandangkan kafe yang sudah ingin ditutup. Kebiasaannya kafe ini cuma sesak antara pukul 7 sehingga 8.30 malam sahaja.

   Angin pantai yang bertiup nyaman menjadikan bulu romaku sedikit naik. Sejuk. Jam di tangan aku kerling dan aku baru tersedar kalau waktu sudah menginjak ke pukul 8.43 malam. Patutlah perutku sudah mulai menjerit lapar, rupa-rupanya sedari petang tadi, aku belum menjamah apa-apa selain daripada secawan air teh.

   "Kriukkk"tiba-tiba perutku berbunyi laju.

    Aku terus memegang perut dan mujur sahaja tidak ada sesiapa yang mendengar nyanyian perutku memandangkan laluan yang agak sunyi dan gelap.

   "Kriukkkkkkkkk"sekali lagi aku memegang perut yang berkeroncong agak panjang berbanding tadi.

  "Hiii hiii hiikkkk"suara seorang wanita ketawa tiba-tiba kedengaran menyentuh gegendang telinga aku.

   Bulu romaku kembali meremang dan aku sudah bersedia untuk lari. Aku melangkah perlahan ke hadapan sambil plastik di tangan aku dakap ke dada.

   "Hai....nak pergi mana tu....hi hii hikkkkk"suara itu kedengaran lagi membuatkan jantungku seakan berhenti berdegup.

   Aku memnadang sekeliling dan sememangnya tiada siapapun yang berada di sini, kalau adapun cumalah suluhan lampu suram tanglung yang tergantung di hadapan kafe yang sudah sunyi-sepi tanpa kelibat manusia.

  Bismillah....aku mengatur langkah perlahan-lahan sambil mulutku terkumat-kamit membaca apa sahaja ayat suci Al-Quaran yang terlintas di minda saat ini.

  "Baca apa tu....ingat aku tak tau.....hii hii hikkk"sungguh saat suara itu menegur lagi sebelum ketawa kuat aku bagaikan pegun tidak dapat bergerak, terasa lemah longlai seluruh tubuh.

   Tetapi hatiku tiba-tiba terdetik sesuatu yang aneh. Jika diamati, suara itu kedengaran persis suara...

   "Hikk...hiikk...fikir apa lagi....hiikk hikkkk"suara itu berbunyi lagi dan kali ini diikuti dengan satu bau busuk yang seakan mendekati aku.

   Bau busuk seperti sampah dan agak hanyir itu seakan semakin kuat dan mendekat di rongga hidungku. Ya Allah, bala apa pula yang ingin Kau temukakan padaku saat ini.

   "Lia"satu suara garau menegurku dari arah belakang dan saat itu kurasakan seperti bau hanyir dan busuk itu begitu jelas dan ianya datang dari arah belakangku.

   Aku memalingkan wajahku perlahan-lahan ke arah belakang dan jeritan kuat terbit dari kerongkongku saat melihat makhluk besar putih yang berbau busuk yang berada dekat di belakang tubuhku.

 

 

Sunday, 20 July 2014

Seseorang seperti dia 29

    Kami bertolak balik usai Shahril bersolat maghrib bersama keluarga Abang Din. Meskipun Kak Laila dan Abang Din beria-ria mengajak kami makan malam terlebih dahulu di rumah mereka sebelum pulang, Shahril menolak lembut ajakan tersebut. Akur dengan tolakan tersebut, Kak Laila akhirnya membungkuskan lauk-pauk kepada aku dan Shahril.

    Perjalanan pulang agak sunyi tanpa bicara dan aku pula teruja memandang keluar tingkap menikmati suasana malam di Pulau Lagenda Langkawi. Tempat yang paling cantik pastinya saat kami melewati kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, apatahlagi saat aku melihat sebuah kapal terbang yang baru sahaja terbang naik dan melewati kami berdua.

   Shahril kemudiannya memasang radio di pertengahan perjalanan. Tingkap kereta yang sedikit terbuka menjadikan perjalanan kali ini terasa santai, apatahlagi dengan alunan lagu-lagu yang diputarkan di saluran radio Lite.fm.

   Shahril menguatkan suara radio saat lagu Total Eclipse of the Heart nyanyian Bonnie Tyler diputarkan. Aku mendengar dia menyanyi perlahan mengikut lirik lagu tersebut. Daripada cara dia menyanyikan lagu itu, aku dapat rasakan kalau dia sememangnya sudah menghafal lagu nyanyian wanita berasal dari United Kingdom tersebut.

    Radio dimatikan saat lagu tersebut tamat dan digantikan pula dengan suara riuh seorang dj wanita. Suasana kembali sunyi di antara kami berdua dan aku masih lagi melemparkan pandangan ke luar tingkap.

   "Turn around, every now and then I get a little bit lonely and you're never coming round
Turn around, every now and then I get a little bit tired of listening to the sound of my tears
Turn around, every now and then I get a little bit nervous
That the best of all the years have gone by
Turn around, every now and then I get a little bit terrified
And then I see the look in your eyes
Turn around bright eyes, every now and then I fall apart
Turn around bright eyes, every now and then I fall apart"

    Aku mendengar suara Shahril terus-terusan menyanyikan lagu wanita yang yang pernah popular sekitar tahun 70-an itu meskipun dia sudah mematikan radio sejak tadi.

 "Once upon a time I was falling in love
But now I'm only falling apart
Nothing I can do
A total eclipse of the heart
Once upon a time there was light in my life
But now there's only love in the dark
Nothing I can say
A total eclipse of the heart"

    Entah kenapa nyanyian lelaki itu sedikit terkesan di hati aku, bukan kerana nyanyiannya yang sumbang dengan nada yang boleh dikategorikan sebagai "ke laut" bak kata Ramli MS, tetapi aku terkesan dengan bait-bait lirik yang didendangkan saat itu.

    Dan perjalanan kami malam ini terus sunyi sehinggalah kami tiba di kawasan parkir Chalet Perangin. Shahril mengarahkan aku untuk turun dan pulang ke bilik sendirian memandangkan kawasan parkir yang sudah penuh dan kemungkinan dia terpaksa meletakkan keretanya sedikit jauh dari kawasan Chalet. Aku yang agak penat cuma mengangguk tanpa banyak bicara.

   "Tik...kejap"Shahril memanggil aku saat kakiku sudah ingin melangkah keluar dari kereta.

   "Apa?"

   "Kau tertinggal lauk yang Kak Laila kirim"Shahril menarik sebungkus nasi beserta lauk-pauk yang sudah diletakkan di bahagian tempat duduk belakang.

  "Ya Allah, saya lupa"aku menepuk dahiku lalu bungkusan plastik hitam itu aku sambut berhati-hati dan bersedia untuk melangkah keluar.

   "Tik...kejap"Shahril bersuara sekali lagi menyebabkan aku tidak jadi melangkah keluar lalu wajahnya aku pandang semula.

   "Ada yang tertinggal lagi ke"aku bertanya. Aku menjenguk ke tempat duduk belakang dan aku melihat cuma ada sebungkus lagi lauk yang sememangnya diperuntukkan untuk Shahril oleh Kak Laila.

   "Masa Aina nak kahwin, aku curi baju pengantin dia dengan harapan Aina tak jadi kahwin. Tapi lepas tu aku sedar, dia kahwin bukan sebab baju, tapi sebab dia memang nak kahwin dengan lelaki yang dia sayang, lelaki yang ditakdirkan sebagai jodoh dia....dan aku harap kau takkan ulang kesilapan bodoh macam aku penah buat ya Tik"Shahril bersuara ikhlas dan saat itu aku merasa sebak.

    "Thanks...InsyaAllah, saya percaya pada Qada dan Qadar Allah"aku senyum lalu melangkah keluar dari kereta kancil merah Shahril. Aku melihat dia berlalu pergi saat aku sudah melangkah ke arah kawasan masuk Chalet Perangin. Dan air mata yang cuba kutahan menitik perlahan. 
    

Thursday, 17 July 2014

Seseorang seperti dia 28

    Aku membantu Kak Laila memasukkan kuih-muih yang dibeli Shahril ke dalam pinggan sementara wanita itu pula membancuh air untuk minum petang.

   "Anak-anak ni memang suka minum air teh...Kalau Kak bancuh milo, bukan depa nak minum pun"Kak Laila ramah bersuara sambil tangannya masih mengacau air di dalam satu teko putih bercorak bunga-bunga.

    "Ramai anak akak ya"aku cuba beramah mesra. Meskipun aku biasanya agak kekok dengan orang asing, tetapi ternyata wanita seramah Kak Laila mampu membuatkan aku merasa selesa.

    "Alhamdulillah....dulu bila doktor sahkan Kak tak boleh beranak, Allah ja tau perasaan ni Lia...tapi Alhamdulillah, kami dapat juga merasa jadi ibu bapa dengan anak-anak ni"dia meletakkan teko ke atas dulang dan mengangkatnya untuk dibawa keluar.

    Aku terkedu. Tidak tahu bagaimana harus kubalas kata-kata wanita ini, bimbang pula kalau aku tersalah cakap dan menyebabkan Kak Laila berkecil hati. Akhirnya aku cuma mengangguk kecil lalu pinggan berisi kuih aku capai.

    "Lia...Ril tu baik budaknya... kerja pun elok...tapi dia jadi macam sekarang sebab Aina....jadi Kak harap Lia takkan buat apa yang Aina buat kat dia ya dik...."Kak Laila bersuara perlahan padaku sebelum kami melangkah keluar.

    "InsyaAllah Kak"cuma itu ucapan yang termampu aku berikan. Ingin sahaja aku betulkan salah faham kerana antara aku dan Shahril tidak ada apa-apa, tetapi rasa ingin tahuku semakin melonjak-lonjak saat ini. Terasa ingin sekali aku kenali gadis bernama Aina itu, apa yang sudah dia lakukan sehingga Shahril jadi begini. Dan bagaimana pula Shahril yang dahulu?

    Aku dan Kak Laila meletakkan juadah minum petang di atas sebuah meja kayu bulat di tengah halaman rumah. Meja yang terlindung dek redup pohon rambutan itu menjadikan suasana agak teduh dan selesa.

    Aku lihat Abang Din membaca doa dan diaminkan oleh kanak-kanak tadi yang sudah duduk di atas bangku-bangku di sekeliling meja.

    "Lama hang tak mai sini.... Kerja macam mana?"Abang Din menegur ramah sambil tangannya mencapai kuih seri muka di dalam pinggan.

    "Sibuk bang"Shahril cuma tersengih, aku lihat dia cuma menghirup air teh tanpa menjamah kuih-muih di dalam pinggan. Berbeza dengan karakternya yang pantang melihat makanan seperti selalu.

    "Bila abang dengan kak hang nak makan nasi minyak. Calon da ada dah ni"Kak Laila menepuk bahuku perlahan menyebabkan aku yang meneguk air sedikit terbatuk.

    Shahril cuma tersengih sambil menggaru kepalanya saat mendengar serkap jarang Kak Laila.

    "Kak, Bang, saya nak bawak Lia tengok laut kejap ya"Shahril bangun sambil memberi arahan kepadaku supaya mengikutnya.

    Aku melihat Kak Laila dan Abang Din cuma tersenyum-senyum ke arahku. Meski sedikit tidak selesa, aku cuma bergerak bangun sambil mengikut Shahril.

    "Dah tak lama lah ni nak makan nasi minyak ya"aku mendengar suara Abang Din menjerit laju saat kami bergerak dari situ.

                        ******

     Aku mengikut Shahril berjalan menyusur pantai bersih yang tidak berpenghuni itu. Tidak jauh dari tempat kami, anak-anak Abang Din sedang bermain bola sepak pantai. Riuh suara mereka menerjah gegendang telingaku dan mereka melambai ke arah aku dan Shahril sekali-sekala.

   "Masa sekolah dulu, hari-hari aku lepak sini"Shahril memulakan bicara sambil membiarkan kakinya disentuh ombak pantai yang menghempas perlahan.

   "Awak asal sini?"

    "Tak...aku pindah sini masa Form 3. Lepas abah aku meninggal"

    "Oh...."aku menjawab sepatah sambil kami terus melangkah ke hadapan menyusuri pantai putih.

    "Err...awak kerja apa?"terluah juga pertanyaan yang bermain di mindaku sedari tadi.

   "Aku tak kerja...keturunan aku tak boleh kerja.....sebab....."Shahril menggeleng kepalanya dan raut wajahnya kelihatan sedih.

   "Kalau kau nak tahu, abah aku dulu sepatutnya naik takhta sebab dia kerabat diraja...tapi sebab dia kahwin dengan mak aku, dia kena buang negeri, hidup macam rakyat biasa...dan aku pulak tengah tunggu waktu yang sesuai je nak rampas balik takhta yang sepatutnya jadi milik aku tu"

   Sepantas kilat aku memandang Shahril. Memandangkan prestasinya yang selalu mengenakan aku, aku tidak mudah percaya lalu wajahnya aku tenung lama.

   Dengan imej yang agak selekeh, t-shirt lusuh hitam, jeans lusuh yang sudah koyak beserta selipar jepun kuningnya, pasti siapapun tidak akan percaya akan cerita yang dijajanya tadi.

    "Aku dah agak dah kau takkan percaya...Aku tak pernah cerita kat sapa-sapa pasal ni Lia. Kau orang asing pertama yang tau... sebab aku ingat kau lain....tapi...kau sama macam orang lain rupanya...."ada nada sedih dalam bicaranya dan aku lihat matanya agak bercahaya saat kata-kata itu diluah.

    Mendengar bicara itu, aku menjadi serba-salah. Siapa tahu kalau lelaki ini sedang jujur saat ini dan dia sebenarnya seorang waris keturunan raja terbuang dan teraniaya.

   "Eh...mana ada...saya percaya...."aku bersuara laju, cuba untuk tidak mengecilkan hati Shahril.

   "Dahla Lia...kalau kau nak aku boleh buktikan"laju sahaja dia menyelak jeans lusuhnya lalu satu tanda hitam akibat lebam atau tanda lahir terserlah di belakang lutut kanannya.

   "Sungguh...saya tak tipu...saya percayakan awak"

   "Betul kau percayakan aku?"ada nada teruja pada suaranya.

   "Ya, betul. Saya percayakan awak"aku mengangguk laju.

   "Betul?"dia bertanya lagi dan matanya kelihatan semakin bercahaya.

   "Ya Allah, betullah"

   "Kalau betul kau sungguh-sungguh kau percayakan aku, aku nak gelak sebab kau dah kena tipu"dia ketawa besar sambil mengatur langkah untuk berlari menjauhi aku.

   Cis, kurang asam punya mangkuk. Aku yang geram sudah menyumpah di dalam hati. Seketul batu di atas pasir aku kutip lalu sepantas kilat aku balingkan ke arah dia namun pantas pula lelaki itu mengelak.

    "Tik...Tik...kau ni memang senang kena tipulah...."dia yang sudah duduk di atas pasir terus ketawa sambil memegang perut.

    "Hidup tu jangan nak main-main sangat boleh tak"aku ikut duduk tidak jauh dari Shahril sambil mengerutkan wajah. Geram dan marah bersilih-ganti.

   "Itu mak aku pukullah"

   "Hah?"aku memandang wajah Shahril.

    "Tanda belakang lutut yang aku tunjuk tadi......mak aku pukul sebab aku pernah tal puasa dulu...."dia memandang ke laut lepas yang terbentang luas.

   "Dulu abah aku askar, kami pindah randah sampai la masa aku Form 3..... arwah abah meninggal dan aku pindah sini. Lepas abah takda, kami hidup susah. Macam-macam mak aku buat untuk sara kami....sampailah last mak aku kerja orang gaji dekat rumah Tuan Awang, ayah Abang Din tu.....mak kerja situ, sampailah ke akhir hayat dia......"

    Aku memandang ke wajah Shahril dan wajah berjambang itu masih terpaku ke arah laut.
 
  "Sejak bila kau suka Hilmi?"aku menundukkan wajah dan tanganku menguis pasir pantai saat Shahril mengajukan soalan itu secara tiba-tiba.

   "Dari sekolah menengah"aku mencapai serpihan kulit kerang dan aku mulai melakar nama aku di atas pasir. Wajahku masih tunduk, berharap agar Shahril akan mengalihkan tajuk perbualan kami.

   "Sama macam aku dengan Aina...."suasana antara kami menjadi sepi tiba-tiba.

    Aku lihat Shahril turut mengambil serpihan kulit kerang lalu dia leka melakar sesuatu di atas pasir. Kedudukan yang sedikit terlindung menyebabkan aku tidak dapat melihat apa yang dilakar oleh lelaki itu.

    Kami dikejutkan oleh laungan Aidil, salah seorang anak Abang Din yang memanggil kami pulang memandangkan matahari sudah mulai jatuh dan senja akan menjelma sedikit masa lagi.
 
    Saat Shahril melangkah ke arah Aidil, sengaja aku berlengah untuk bangun dan mataku menjeling ke arah lakarannya di atas pasir.

   Hatiku geram saat melihat tulisan "Lia Katik" dengan gambar seorang orang lidi dengan kaki yang pendek di sebelah tulisan itu. Bagaikan tindakan refleks, kulit kerang yang masih berada di genggaman aku lemparkan ke arah Shahril lalu tepat mengenai lengan kirinya. Hatiku puas mendengar dia menjerit akibat terkejut.
 

Tuesday, 15 July 2014

Seseorang seperti dia 27

   Aku menyeluk beg sandangku saat suara Bruno Mars menjerit nyaring. Skrin telefon kupandang sekilas untuk melihat nama pemanggil dan nama Fisha terpampang di situ.

   "Helo Sha..."tanpa sempat aku meneruskan kata-kata suara Fisha sudah memebebel di sebelah sana.

   Rupanya Fisha cemas setelah mencari aku di keliling Chalet sebaik sahaja dia bangun. Setelah berbasa-basi dan meyakinkan Fisha kalau semuanya ok, talian telefon aku matikan.

   "Ok, dah sampai"Shahril bersuara sambil menarik brek tangan kereta kancilnya.

    Bagaikan baru tersedar, aku memerhati keadaan sekeliling dan kami rupanya sudah berada di halaman sebuah banglo putih dengan halaman yang luas dan bersih. Beberapa orang kanak-kanak lelaki yang sedang bermain badminton bergerak mendekati kereta yang sudah diparkir di halaman rumah.

    "Kat mana ni?"aku bertanya kebingungan.

    "Rileks...jadi diri sendiri dan enjoy masa kita kat sini ok"Shahril tersenyum kepada aku sambil tangannya mencapai plastik-plastik makanan di bahagian tempat duduk belakang kereta.

    Aku ikut melangkah keluar dan senyuman aku lemparkan kepada kanak-kanak tersebut. Aku melihat mereka mendekati Shahril dan tangan lelaki itu dicium kanak-kanak yang aku kira berusia antara tujuh hingga 12 tahun. Dalam pada itu, hatiku sempat mengira dan ada 11 orang semuanya.

    "Salam kakak sekali"Shahril memberi arahan dan setiap dari mereka mendekati aku dan menyalami tanganku penuh hormat.

    Mereka kemudiannya mengambil plastik makanan dari dalam genggaman Shahril dan bergerak masuk ke dalam rumah.

   "Siapa tu?"aku terus bertanya saat kami ditinggalkan berdua.

   "Itulah anak-anak syurga"Shahril menjawab dengan seyuman sambil mengajak aku masuk ke dalam rumah.

    Sebaik sahaja kami melangkah masuk ke dalam rumah banglo yang dibina dengan ciri-ciri kolonial itu, seorang lelaki berjanggut dan seorang wanita berjubah biru dengan tudung labuh menegur kami berdua.

    Melihat Shahril mendekati lelaki tersebut, aku terus bergerak dan menyalam tangan wanita yang raut wajahnnya penuh keibuan itu.

    "Lama hang tak mai sini Ril"lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Abang Din itu menepuk-nepuk bahu Shahril.

   "Yang Ril bawak ni, Aina yang baru ke?"wanita itu bertanya kepada Shahril saat tangannya masih menggenggam tanganku.

   Sekali lagi nama Aina muncul dan kali ini dadaku sedikit berdebar dan rasa ingin tahuku semakin kuat.

   

Seseorang seperti dia 26

    Aku bertanya beberapa kali kepada Shahril akan tempat yang akan kami tuju tetapi dia cuma tersengih sambil menjawab.

    "Adalah....kau ikut je...."

    Malas mahu bertanya lebih lanjut, aku cuma mendiamkan diri sambil mengalihkan pandang ke luar tingkap. Suasana di luar agak panas meski waktu sudah menginjak ke pukul 5 petang.

   Kami melalui jalan raya dan meyusuri laluan kampung, sawah padi dan pantai sebelum tiba di satu penghujung jalan mati. Shahril memberhentikan kereta kancilnya di perdu sepohon pokok sena dan aku lihat banyak kereta diparkir sepanjang jalan di situ.

   "Dah sampai Tik...."Shahril ceria sambil mengeluarkan dompetnya.

     Beberapa keping not lima puluh ringgit dikeluarkan dan kepingan wang itu digoyangkan ke arah wajahku.

    "Duit apa ni?"aku bertanya kehairanan melihat kepada keterujaan pada wajahnya.

    "Ini duit upah kita semalam. Tadi mamat drama tu kasi. Dia suruh aku share dengan kau"

    "Tapi saya tak minta duit pun untuk tolong dia. Awak minta ke?"Sungguh aku ikhlas menolong Fardel Akashah dan tidak terlintas di mindaku untuk meminta apa-apa sebagai balasan apalagi wang ringgit.

   "Hisy....kau ni..mana ada aku mintak. Dia yang hulur semalam lepas kau lari balik bilik. Errr....dia cakap dia mintak maaf pasal semalam"

    "Oh...."malas meneruskan bicara, pintu kereta aku buka.

    "Jom kita beli makanan dekat pasar malam sana dulu, lepas tu aku bawak kau tengok laut"ceria sahaja Shahril besuara sambil tangannya ditunjuk ke arah kawasan pasar malam yang agak terlindung.

    Patutlah aku lihat ramai orang yang bergerak ke arah sana, rupa-rupanya di penghujung jalan mati ini terdapat satu tapak pasar malam yang agak besar.

    Aku yang tidak mempunyai apa-apa keinginan untuk makan cuma mengikut langkah Shahril. Matanya kelihatan ceria saat kami melewati gerai-gerai makanan dan bagaikan pemandu pelancong tidak berbayar, dia ramah bercerita itu dan ini kepadaku setiap kali aku membuat wajah pelik melihat kuih-muih yang jarang dijumpai di Kuala Lumpur.

   "Kuih yang tu orang sini panggil coq meneram"dia menunjuk ke arah kuih bulat berwarna coklat kehitaman yang sedang digoreng oleh seorang gadis remaja bertudung hijau.

    Aku cuma tersenyum mendengar kepada kata-katanya yang lucu apabila dia bercakap dalam loghat Kedah.

    "Maksud awak kuih telinga keling ni ke?"

    "Hoi....racistnya kau....kalau aku report polis, kau dah kena tangkap sebab kesalahan perkauman ni....."dia memandang aku sambil berpura-pura marah dan aku lihat gadis bertudung hijau tadi cuma tersenyum melihat perbuatan Shahril menyakat aku.

    "Bagi kuih ni dua ringgit ya dik"jari telunjuk aku halakan ke arah kuih tersebut dan gadis itu cuma mengangguk sambil tangannya laju mencapai plastik.

    "Abaikan dia ya dik"aku menyambung saat aku lihat gadis itu masih tersenyum-senyum kepada Shahril.

    "Tengok, kau je yang tak nak layan aku. Budak tadi, tak berkelip mata tengok aku"Shahril masih melalut dan aku cuma bergerak ke hadapan, malas melayan perangai perasan tak sudah lelaki itu.

   "Kita nak beli apa lagi ni, nak roboh dah tangan awak saya tengok"
 
    Mataku nemandang plastik-plastik makanan yang bergantungan di dalam genggaman Shahril. Sesiapapun yang memandangnya saat ini pasti akan menganggap yang lelaki ini sedang membeli juadah untuk jamuan kenduri.

    "Jomlah Tik...dah cukup ni"aku menjeling dia yang bersusah-payah mengangkat plastik-palstik tersebut namun pantas sahaja dia menolak saat aku menghulurkan bantuan.

    Saat kami bergerak ke arah kereta, seorang wanita cantik menegur Shahril ramah.

    "Hey Ril...you buat apa kat sini"wanita bert-shirt sendat dengan jeans biru gelap itu menegur ramah sambil mencuit lengan Shahril.

   "Oh...Idah..lama tak nampak kau"aku lihat ada nada kekok pada bicara Shahril tetapi aku cuma diam dan melemparkan senyuman kepada wanita cantik yang bermekap tipis itu.

   "Biasalah...I dah tukar keje...dah tak macam dulu....."

   "Oh....you sihat ke?"

    "Macam ni lah..."

    Malas menjadi orang ketiga yang menjadi penyibuk di antara kedua sahabat itu bersembang, aku meminta izin untuk bergerak terlebih dahulu ke arah kereta.

    "Err...ini girlfriend you ke Shahril?"wanita bernama Idah itu menarik tanganku dari berlalu pergi sambil menghamburkan soalan yang membuatkan aku kelu.

    Bukan. Saya bukan girlfriend dia. Jawapan itu wujud di dalam hati tetapi entah kenapa ucapan itu tidak terluah dengan kata-kata.

    "Bukanlah....dia geng aku lah...Kami kawan ja"Shahril menjawab laju dan ianya dibalas oleh anggukan Idah.

    "Oh...jangan bagitau aku yang kau masih belum lupakan Aina"Idah sedikit berkerut dan suaranya kedengaran serius.

    Aku lihat wajah Shahril sedikit berubah saat sebaris nama itu disebut. Aina, barangkali itulah wanita yang gaun pengantinnya dicuri dek Shahril sehari sebelum perkahwinannya. Aku menebak sendirian di dalam hati.

    Shahril meminta diri saat itu dengan alasan bahawa kami sudah lewat untuk menghadiri kenduri temannya. Meski aku tahu kalau Shahril cuma mencari alasan dan menipu, aku cuma tersenyum balas seolah-olah mengiyakan penipuannya.

    "Ril...as a friend, aku doakan kau move on ya"Idah bersuara perlahan sebelum melangkah pergi dan aku dapat mengesan nada keikhlasan dalam suara wanita itu.

    Suasana di antara kami menjadi sunyi di dalam kereta. Shahril di sisi cuma memandu tenang tanpa suara.

   "Err...boleh saya tau...."aku cuba untuk bertanya....

   "Kalau kau nak tanya pasal Aina, aku tak ready nak share lagi...."Shahril bersuara tegas seolah-olah dapat membaca fikiranku.

   Dan suasana di antara kami terus bisu saat Kancil merah Shahril meluncur laju menuju ke destinasi yang tidak aku ketahui.....

 
 

Saturday, 12 July 2014

Seseorang seperti dia 25

     "Aku pun penah ada kat tempat kau la Katik"Shahril bersuara malas sambil meletakkan pinggan putih yang sudah kosong ke tepi.

    "Tempat saya?"apa pula yang cuba disampaikan oleh lelaki ini.

    "Yup...aku penah tengok perempuan yang aku sayang kahwin"

    "Oh..."aku kehilangan kata-kata. Tidak sangka pula lelaki selamba yang kadang-kadang kulihat seperti tidak sensitif kepada perasaan orang lain juga pernah kecewa.

    "Bila ingat balik macam bodoh ja..Masa perempuan tu nak kahwin, macam-macam aku buat supaya dia tak jadi kahwin.....sampai sehari sebelum dia kahwin, aku sengaja cari jalan sampai curi baju pengantin perempuan tu dengan bakal laki dia...."aku lihat Shahril tersengih saat dia bercerita.

    Aku sudah sedikit ternganga sambil memandang wajahnya. Rambutnya yang sedikit panjang menutup sebahagian daripada dahinya. Tiba-tiba aku perasan kalau ada tahi lalat kecil di pipi kanannya.

    "Kau tengah fikir apa? Nak tiru aku jugak ke jadi jahat macam tu?"aku mengalihkan wajah saat dia memandang kepadaku, malu kerana tertangkap sedang membelek wajahnya saat itu.

   "Mana ada....saya bukan sejahat tu"aku membetulkan duduk dan bersedia untuk bangun.

    "Eloklah kalau macam tu... Sebab perempuan katik ni selalunya tak jahat, tapi baik hati"dia tersenyum manis kepada aku yang sudah berdiri.

    Malas melayan Shahril yang sudah mulai melalut, aku menyusun langkah untuk pergi dari sini.

    "Eh...tunggu Lia...aku tak habis cakap lagi...Sebenarnya aku nak ajak kau ikut aku"

    Langkah aku terhenti lalu aku berpaling ke arahnya yang juga sudah ikut berdiri.

   "Pergi mana?"

   Dia sudah tersenyum kepada aku sambil mengangkat kedua belah keningnya.

Seseorang seperti dia 24

     Aku dan Fisha cuma membuntuti Fardel Akashah ke tepi pantai untuk mengikuti raptai terakhir bagi upacara bersanding esoknya. Mengikut kepada aturcara majlis, Nurin dan Hilmi akan menikah usai solat Asar dan majlis keraian bertema beach wedding pula akan mengambil tempat pada sebelah malam usai solat Maghrib.

   "Ustazah, esok you akan iringi Nurin dari bilik dia sampailah ke gazebo putih tempat Cik Abang dia tunggu"Fardel Akashah laju sahaja memberi arahan sambil mengepit ipadnya di celah ketiak kiri.

   Sesekali kukihat dia membetulkan serban yang dililit di leher sambil tangannya laju menunjuk itu dan ini kepada beberapa orang lelaki yang sedang memasang beberapa buah gazebo dan menyusun kerusi serta meja.

    Tidak ramai wajah yang kukenal kerana rata-rata mereka adalah pekerja lelaki yang kukira sedang bertungkus-lumus menyiapkan persiapan akhir.

    Daripada celoteh Fardel Akashah, aku diberitahu kalau kami sedang menunggu kehadiran Hilmi untuk memulakan raptai. Nurin pula tidak akan turut serta kerana dia perlu ke spa saat ini.

    "Lagipun, orang tua-tua kata tak elok bakal pengantin ni jumpa sebelum majlis...Ala-ala darah manis gitu..."dia ketawa seperti mengilai saat bicara itu terluah.

    Aku cuma tersenyum acuh tak acuh dan Fisha pula sudah mempamerkan wajah pelik saat ini. Sedar akan kami yang agak tidak berminat dengan lawaknya, Fardel Akashah kembali serius mengarahkan itu dan ini kepada kru-kru lelaki yang sedang memasang tanglung berbentuk bulat di sepanjang laluan menuju ke gazebo.

  "Maaf lama tunggu... Shall we?"Hilmi muncul lalu menyapa kami bertiga yang sedang duduk di atas bangku bersebelahan gazebo.

   Dia tersenyum manis dan kelihatan santai mengenakan kemeja kotak-kotak biru putih berlengan pendek dipadankan dengan seluar pendek warna putih.

    Ilham yang muncul tidak lama kemudian ikut menyapa kami. Aku lihat dia selamba saja mengenyitkan matanya kepada aku dan Fisha.

    "Ok, gigirls and my precious boys, nanti pengantin lelaki dengan pengapit lelaki akan tunggu kat gazebo sana"jari telunjuknya diarahkan kepada gazebo putih besar di antara gazebo-gazebo lain.

    "Pengantin perempuan dengan pengapit pula akan berjalan masuk, audience akan berdiri sepanjang laluan dengan parent pengantin yang tunggu dekat pintu gerbang"sambil memberi arahan, jemarinya gigih menaip sesuatu pada ipad.

    "And music piano akan main start dari pengantin perempuan masuk"dia menepuk tangan sambil mengarahkan semua orang mengambil tempat masing-masing.

    "Hah...kawan ustazah, kau tolong jadi pengantin perempuan kejap boleh tak"Fardel Akashah memberi arahan kepada Fisha dengan selamba.

   "Kenapa saya pula?"Fisha sudah bersuara tidak puas hati.

    "Habis...takkan aku nak suruh si Kassim ni kot"jemarinya menunjuk ke arah seorang lelaki kurus berambut punk yang sedang meemikul beberapa batang besi melewati tempat kami berdiri.

    "Sori....saya tak nak. Saya cuma datang temankan Lia aje"Fisha tiba-tiba buat perangai sambil berpeluk tubuh. Dia sudah duduk semula di atas bangku sambil khusyuk membelek telefon di tangan.

    Aku lihat wajah Fardel Akashah sudah merah padam.

    "Takpelah...kita boleh je suruh orang lain. Lagipun cuma rehearsal, pengantin betul-betul tetap Nurin kan"aku cuba untuk menberi cadangan. Malas mahu memanjangkan cerita dan memberi ruang kepada mereka berdua untuk bertelagah.

    Termakan dengan pujukan aku, Fardel Akashah memanggil si Kassim yang sekali lagi berjalan melewati kami. Kali ini tangannya sudah kosong tanpa sebarang batang besi.

    "Ada apa bang?"Kassim bersuara sopan, tidak padan pula bicara dan namanya dengan imej punk serta t-shirt sendat hitam dengan skinny jeans juga berwarna hitam.

   Fardel Akashah memberi arahan kepada Kassim dan lelaki itu cuma mengangguk tanpa banyak bicara. Kami bertiga kemudiannya bergerak ke arah pintu gerbang yang sudah siap dibina.

    "Kita mula kat sini ya...kau jalan dari sini, cecah pintu gerbang, music on dan kau orang akan jalan slow-slow sampai gazebo sana ya. Faham?"bicara Fardel Akashah itu disambut dengan anggukan oleh aku dan Kassim.

    Aku dan Kassim bergerak perlahan sehingga tiba ke pintu gerbang lalu kami melangkah perlahan ke hadapan. Aku cuba menahan tawa melihat lelaki berimej punk seperti Kassim memegang jambangan bunga berwarna merah dengan sehelai selendang putih terlilit di kepala yang konon-kononnya akan dipakai oleh pengantin perempuan esok.

    "Chop chop...chop...mana music aku ni hah?"Fardel Akashah menggawangkan tangan kepada kami supaya berhenti.

    "Hoi...apasal kau tak main piano tu. Berapa kali aku nak kena pesan?"Fardel Akashah melaung kuat ke arah beberapa orang lelaki yang berada di bawah gazebo bersebelahan sebuah pokok rhu. Aku baru tersedar kalau ada sebuah piano hitam di situ. Seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya mengangkat kedua belah tangannya sambil membuat gaya ok.

   Aku dan Kassim kembali semula ke tempat asal kami sambil menunggu arahan seterusnya. Aku lihat Kassim terpaksa membetulkan selendang di atas kepala akibat daripada tamparan angin pantai yang kuat. Terbit rasa kasihan terhadap "pengantin" di sebelahku saat ini.

    Petikan piano lagu "Marry Me" dari Train kedengaran dimainkan saat kami bergerak melewati pintu gerbang. Sebaik tiba ke gazebo tempat pengantin lelaki, Fardel Akashah mengarahkan supaya Kassim duduk di samping Hilmi dan majlis akan diteruskan dengan bacaan doa oleh ayah pengantin perempuan.

    Aku lihat Hilmi memandang aku sambil mulutnya cuba bercakap dengan aku, tetapi aku cuba mengelak tanpa dikesan oleh orang lain. Aku berpura-pura bertanya itu dan ini kepada Fardel Akashah sepanjang raptai berlangsung.

    Sebaik sahaja semuanya selesai, aku cuba mencari kelibat Fisha tetapi seorang lelaki datang menyampaikan pesanan daripada Fisha kalau temanku itu sudah pulang ke bilik untuk tidur. Hampeh punya kawan!

     Aku mengatur langkah laju untuk bergerak dari sini. Tidak ingin rasanya untuk aku berlama-lama, bimbang kalau-kalau Hilmi tiba-tiba mencari aku untuk meminta yang bukan-bukan.

    "Lia...wait...."dan kebimbanganku menjadi nyata saat aku terasa lenganku ditarik dari belakang.

   "Sorry..."Hilmi cepat-cepat meminta maaf saat aku menarik tanganku dari terus berada di genggamanya. Mujurlah kami sudah jauh dari tempat tadi dan tiada mata yang memerhati.

    "Awak nak apa lagi... Awak tau tak, awak buat saya tak selesa. Awak buat saya serba-salah, buat saya rasa macam saya jahat"sungguh, aku benar-benar maksudkan kata-kataku saat ini.

   "Lia....if you say yes to me....saya akan cancel semuanya...perkahwinan ni, Nurin....I will cancel everything"semudah itu sahaja dia memujukku.

   "Tolong jangan nak babitkan saya dalam rancangan bodoh awak. Dan tolong hormatkan saya sebagai seorang perempuan"aku sudah mulai bengang.

    "Look...Lia...saya terlalu lama jaga hati orang...sampai saya lupa yang saya juga ada perasaan, dan antara saya dan Nurin....kami tak pernah bercinta....dan Nurin pun tahu kalau saya dah lama sukakan Lia"

   Kepalaku sudah pening, kata-kata Hilmi sudah tidak dapat kuhadam lagi lalu aku terus berlalu pergi, bimbang untuk mendengar bicaranya jika aku terus tunggu di sini.

   Aku berlari ke arah belakang kafe memandangkan kawasan itu sedikit tersorok. Tiba-tiba hatiku merasa sakit dan air mataku mengalir perlahan. Aku sakit hati, marah, kecewa dan bersalah. Aku benci keadaan ini, keadaan yang dicipta oleh Hilmi kepada aku.

   "Kalau kau terus menangis dekat belakang dapur kafe ni, nanti orang akan ingat ada hantu pontianak pulak yang tengah mengilai petang rembang macam ni"

    Shahril yang tiba-tiba muncul duduk bersebelahan aku. Di tangannya ada sepinggan sosej dan aku lihat dia laju sahaja mengunyah sosej itu satu-persatu. Dalam hati aku berdoa dia tidak akan terlekat sosej untuk kali kedua.

    "Tengok kau menangis macam mati laki sorang-sorang kat sini, jangan bagitau aku yang kau tak rasa macam nak suruh dia jangan kahwin"

    "Siapa?"

    "Hilmilah...aku tau kau suka dia jugak..."Shahril bersuara perlahan.

   "Sama macam dia suka kau"dia menyambung lagi menjadikan dadaku berdegup kencang.

    Aku memandang ke arahnya dan dia menghulurkan sosej yang sudah tinggal dua ketul di dalam pinggan kepadaku.

   "Awak tau?"aku bertanya perlahan.

   "Yup"

   "Sejak bila?"

   "Sejak aku tertengok kau meraung macam mati laki masa kat Hospital Sungai Buluh dulu"dia kembali mengunyah sosej yang masih berbaki di dalam pinggan.

    Mulutku sedikit ternganga. Kami pernah bertemu dua tahun lepas? Tiba-tiba timbul bermacam jenis persoalan dalam mindaku.

   "Ikut aku Lia..."

   "Pergi mana?"

   "Balik ke masa silam aku..."dan saat ini aku benar-benar keliru.
 

Seseorang seperti dia 23

     Aku dan Fisha sampai di hadapan bilik pengantin agak lewat dari waktu yang dijanjikan, semuanya gara-gara drama Shahril tersangkut sosej tadi.

    Bilik pengantin agak sesak dengan beberapa orang wanita yang rata-ratanya adalah saudara mara Nurin. Aku cuma tersenyum kepada Datin Noraini yang menyapa aku dan Fisha. Wanita ramah itu meminta aku duduk sebentar dan kelibat Nurin tidak pula kelihatan saat ini.

    Kami duduk di atas lantai bersebelahan katil pengantin. Barang-barang hantaran yang sudah siap digubah cantik dengan reben berwarna putih dan emas tersusun rapi di sudut hujung bilik berdekatan balkoni.

    Beberapa orang wanita muda duduk mengelilingi tiga bakul bunga ros plastik dan beberapa kotak kecil lalu aku lihat mereka memotong tangkai bunga lalu disematkan ke atas kotak di antara reben. Sambil tangan berjalan, terdengar usikan nakal terhadap Datin Noraini. Masakan tidak, daripada perbualan mereka, aku dapat tahu kalau inilah kali pertama Datin Noraini ingin mendapat menantu dan betapa beruntungnya Nurin kerana bakal bersuamikan lelaki sesempurna Hilmi.

    Fardel Akashah yang entah bila muncul di sini memanggil namaku perlahan dan aku lihat dia melambai-lambai ke arahku saat mataku memandang ke arahnya. Barangkali dia sudah berada di sudut hujung berhadapan bilik air sedari tadi dan aku sahaja yang tidak perasan akan kehadirannya.

    "Ustazah.....terima kasih.....Nurin suka baju pengantin tu"dia tersenyum lebar ke arahku sambil berbisik perlahan. Cukup untuk didengari oleh aku sahaja.

    Tidak lama kemudian tubuh langsing Nurin melangkah keluar dari bilik air dan semua mata di dalam bilik tertumpu kepada sesusuk tubuhnya yang tersarung gaun pengantin yang cantik.

    Mataku terpaku ke arah Nurin yang sedang tersenyum manis. Tiada apa yang layak aku ucapkan saat inj melainkan perkataan cantik dan sempurna.

    Baju yang semalamnya kosong kini kelihatan mewah dengan taburan manik swaroski di bahagian atas baju membentuk corak-corak seperti kelopak mawar yang dilekatkan dengan pola menegak. Gaun putih itu kelihatan memeluk erat figura langsing Nurin dengan sempurna dan menjadikan dia kelihatan seperti model-model di dalam majalah pengantin.

    Entah kenapa hatiku merasa sesuatu, sesuatu yang tidak aku ketahui apa perkataan yang patut aku gelarkan untuk rasa ini. Rasa cemburu barangkali!

    "Thanks Kak Del....this is my dream dress"Nurin tersenyum sambil tangannya memegang erat kedua belah tangan Fardel Akashah dan aku lihat lelaki itu ikut terkedu tanpa kata-kata.

    Dalam hati, aku merasa lega kerana gaun pengantinnya tidak rosak atau terkesan dengan sebarang cela dek kerana perbuatanku semalam.

    "Lia..."Nurin memegang tanganku lalu dia tersenyum. Aku lihat wajah itu kelihatan sedikit pucat dan bawah matanya sedikit sembab, sedikit berbeza dengan wajah berserinya yang kulihat semalam. Letih barangkali, aku meneka sendiri.

   "Thanks for being there....for Hilmi in the past....dan masa depan dia dengan saya... Kalau kami tak jadi kahwin, saya mati Lia.....and I mean it.....ada air mata bergenang di matanya saat dia mendekatkan tubuhnya lalu berbisik ke telingaku.

    Sudah! Dadaku berdegup kencang tiba-tiba. Apa yang sedang terjadi antara Nurin dan Hilmi saat ini.
   

   
 

 

Wednesday, 9 July 2014

Seseorang seperti dia 22

     Shahril sudah rebah terduduk sambil terbatuk-batuk. Entah makanan apa yang tersangkut di kerongkong lelaki ini juga aku tidak pasti. Ilham di sisi cuba menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu untuk membantu tetapi sia-sia. Aku lihat wajah Shahril sudah berona merah, terseksa barangkali.

    "Tepi....ke tepi"suara seorang lelaki melaung kuat di sebalik orang ramai yang sudah berkumpul mengelilingi Shahril.

    Dari balik wajah asing, muncul seorang lelaki gempal memakai uniform putih chef dengan topi tinggi terkocoh-kocoh datang ke arah Shahril.

   Dengan sekali tunduk sahaja, dia mencapai tubuh kurus Shahril lalu tubuh itu diangkat dan dipeluk dari arah belakang. Jemari gempalnya memeluk erat Shahril lalu tubuh itu diangkat sedikit beberapa kali dan dengan sekali tepuk sahaja, Shahril terbatuk kuat sehingga seketul sosej sebesar satu inchi meloncat keluar dari mulutnya lalu mengenai tepat ke dahi Fisha yang sedang berdiri betul-betul berhadapan Shahril.

    Fisha yang terkejut terjerit kecil sebelum aku mendengar temanku itu mengomel sendirian tanpa aku jelas butir bicaranya.

    Kasihan melihat Shahril yang terduduk sambil tercungap-cungap, aku mencapai satu gelas berisi air kosong yang belum disentuh. Air itu aku hulurkan kepadanya perlahan-lahan.

    Dia mengangkat wajahnya lalu memandang ke arahku dengan matanya yang sedikit berair, barangkali akibat dari kesan tersedak tadi.

    "Air oren ada?"dia bertanya saat gelas kudekatkan kepadanya.

    Amboi...dalam pada hampir putus nyawa, sempat lagi dia memilih itu dan ini.

    "Telan sosej besaq ketoi batu.patutlah..dah, jom-jom pi sambung makan.."seorang lelaki tua berkopiah yang berdiri di belakangku bersuara kuat sambil tangannya menarik seorang wanita di sisinya supaya berlalu pergi.

    "Tengok tu Mat..kalau hang dok main telan ja takdak kunyah, jadi lagu tu la. Pak selalu pesan kan"panjang pula bebelan lelaki tadi kepada seorang kanak-kanak berusia lebih kurang 10 ke 12 tahun yang pastinya bernama Mat itu.

   Fisha yang sudah monyok menarik tangan aku untuk berlalu pergi.

   "Jomlah..."tangannya masih menggosok-gosok sehelai tisu di dahi yang menjadi persinggahan sosej beracun Shahril.

   Aku meletakkan gelas berisi air kosong yang tidak disambut oleh Shahril itu ke atas meja semula, lalu aku membuntuti langkah Fisha ke arah pintu keluar kafe.

   Sebelum melangkah keluar dari pintu, lelaki gempal beruniform chef yang telah menjadi penyelamat Shahril itu tersenyum ke arahku sambil badannya menyandar di dinding kafe. Aku dan Fisha terhenti dan tidak dapat keluar, manakan tidak, tubuhnya sahaja sudah memenuhi dua pertiga dari pintu keluar itu.

    "Hi Lia"dia menegurku ramah. Fisha di sisi sudah buat muka pelik.

     "Lia...mak saya kirim salam"lelaki itu mencuba lagi setelah sapaannya tidak diendahkan.

    Ya Allah, baru perasan kalau lelaki gempal ini bukanlah orang asing tetapi Amran, anak lelaki Tok Pa dan Tok Wan yang aku temui semalam.

    "Ya Allah...saya tak perasan awak tadi Amran"aku tersenyum sambil menggosok dahi.

   Amran cuma tersenyum sambil kami bersembang serba sedikit. Sempat juga aku bertanya khabar ibu dan ayahnya, padahal baru semalam sahaja aku bertemu mereka.

    "Err...saya ada barang nak pas tapi nanti lepas kerja saya cari Lia"

    "Kalau nak menyembang pun, awat yang pi dok kot tengah pintu ni. Kalau badan tu kecik takpalah jugak"lelaki berkupiah tadi yang tiba-tiba berada di situ mengomel kuat.

    Barangkali marah kerana jalannya disekat oleh tubuh Amran. Aku menandang wajah bulat Amran dan lelaki itu bergerak ke tepi sambil mulutnya laju mengucap maaf. Mujurlah Amran tidak berkecil hati.

    "Dan barang yang saya nak bagi tu mungkin buat awak sedih Lia...."

    Belum sempat aku bertanya lanjut, Fisha yang sudah malas berlama-lama menarik tanganku agar bergerak pergi.

    "Saya cari Lia lepas habis syif...."dia melaung kuat ke arahku saat tubuhku sudah menjauh. Aku cuma mengangguk dari kejauhan.
   
     Tanda tanya berlegar di mindaku saat ini. Barang apa pula yang dimaksudkan oleh Amran itu? Barang apa yang akan membuat aku sedih?