Sunday, 27 July 2014

Seseorang seperti dia 37

   Hilmi mengetuk pintu bilik Nurin sementara aku dan Fisha cuma diam menanti di belakang. Sememangnya aku juga kurang pasti akan tindakan seterusnya yang bakal diambil oleh Hilmi.

   Hilmi memandang ke arahku setelah ketukan bertalu-talu itu tidak dibalas.

  "Awak yakin ke Lia?"Hilmi cuba mencari kepastian dan aku serta Fisha cuma mengangguk laju. Tidak berani bersuara melihat kepada riak wajah Hilmi yang begitu serius.

   Pintu terkuak perlahan dan muncul wajah kusut Shahril di balik pintu. Ada riak wajah terkejut saat dia melihat kelibat Hilmi, aku dan Fisha ketika ini. Entah kenapa aku sedaya upaya cuba untuk melarikan pandangan mataku dari dia saat mata kami bertemu.

   "Apa kau buat dalam bilik tunang aku?"Hilmi sudah menggenggam kolar t-shirt hitam Shahril lalu satu tumbukan padu hinggap di pipi cengkung itu.

   Aku dan Fisha yang agak terkejut dengan serangan tiba-tiba Hilmi menjerit serentak. Tubuh kurus Shahril terdorong ke tepi lalu dia jatuh tersandar pada dinding.

   "Sabar dulu bro"Shahril mengangkat tangan kanan seolah-olah meminta Hilmi untuk berhenti manakala tangan kirinya pula mengusap darah yang mengalir di bibir. Sesekali dahinya berkerut, barangkali menahan bisa tumbukan yang dihadiahkan sebentar tadi.

   Hilmi yang masih berang terus menarik tubuh Shahril untuk bangun.

   "Apa yang kau dah buat dekat tunang aku?"Hilmi sudah menggila dan hentaman demi hentaman dilepaskan pada tubuh kurus Shahril dan Shahril pula aku lihat cuma mengelak tanpa membalas. Terbit rasa kasihan di hatiku saat melihat dia dibelasah tanpa henti oleh Hilmi.

   Saat itu muncul Ilham dari dalam bilik Nurin lalu Ilham laju sahaja menarik tubuh Hilmi agar berhenti.

   "Stop...stop....kau dah gila ka Hilmi?"jerkahan Ilham menyebabkan Hilmi berhenti. Laju sahaja aku melihat Hilmi meloloskan badannya dari dalam pegangan Ilham.

   "Aku kena ajar dia ni"Hilmi mengendurkan suaranya.

   "Pagi-pagi macam ni, tak pasal-pasal kau pergi pukul kawan aku sampai senak anak orang tu kenapa?"Ilham masih meninggikan suaranya.

   Shahril yang masih terduduk terus mengelap darah yang mengalir di bibir.

   "Dia dah buat benda tak elok pada tunang aku"

   "Apa benda tak elok yang dia dah buat?"Ilham terus menyoal Hilmi lalu Hilmi mengalihkan pandangan kepada aku dan Fisha.

   "Kalau kau nak tau, dia datang pagi tadi, masuk bilik adik aku sebab aku yang suruh. Kalau tak percaya, jom masuk tengok sendiri apa jadi kat tunang kau"Ilham menarik tubuh Hilmi kasar.

   Aku dan Fisha ikut sama melangkah masuk dan tubuh Shahril aku biarkan sendirian. Saat kami masuk ke bilik, aku lihat tubuh kurus Nurin sedang terbaring di atas katil dan wajah itu kelihatan pucat. Di sisi Nurin aku lihat Mellina, adiknya setia memegang tangan Nurin yang sudah kaku.

    Hilmi meluru laju ke arah tubuh Nurin lalu tangannya memegang pergelangan tangan Nurin sambil matanya melirik ke arah jam tangan.

   "In skip ambil ubat ke Mel?"wajah Mellina ditenung sambil dibalas dengan gelengan lemah oleh gadis berambut perang itu.

   "Bagitahu aku apa yang dah jadi Ilham"Hilmi masih memegang tangan Nurin sambil sebelah tangannya mengusap rambut Nurin.

   Aku dan Fisha cuma diam di penjuru bilik. Ilham mengeluh kasar lalu segalanya diceritakan satu persatu. Saat itu aku terasa seperti mahu pitam, lari ataupun memutarkan kembali masa.

   Buat pertama kalinya aku tidak teragak-agak dan menyangkakan kalau aku melakukan hal yang betul tetapi...Salah-faham, semuanya cuma salah faham dan tidak semena-mena Shahril pula yang menjadi mangsa. Rasa bersalah menyerang aku sekali lagi,pastinya lelaki itu sedang patah hati untuk kali kedua, dan kerana aku, dia menjadi mangsa amarah Hilmi.

   "So, Nurin tak mengandunglah?"terketar-ketar suara Hilmi saat itu dan sebaik sahaja Mellina dan Ilham mengangguk, Hilmi tunduk mengucup tangan Nurin.

   "I'm sorry In...my bad...I'm so sorry..."ayat itu diucap perlahan tapi cukup jelas menampan telinga aku. Aku sebak. Terasa seperti aku adalah watak jahat dalam percintaan Hilmi dan Nurin.

   "Aunty tau pasal Aina?"Hilmi mengangkat wajah lalu pertanyaan itu dibalas dengan gelengan laju Ilham.

   "Kami adik beradik nak rahsiakan dari mama. Kalau Nurin pun dah boleh pengsan macam ni, aku takut mama kena serangan jantung pula kalau dapat tau pasal Aina. Selama ni mama ingat Fatin Aina dah meninggal"suara Ilham makin mengendur.

   Fahamlah aku kini kalau Aina yang dimaksudkan ialah Fatin Aina, kembar seiras kepada Nurin Aina. Dan ternyata Shahril bukanlah sejahat yang aku sangka.

   Fisha di sebelah aku pandang sekilas dan tanpa suara aku melihat mulut Fisha membuat ucapan seperti "Oops...". Kami saling mengangkat kening antara satu sama lain namun tidak seorangpun dari kami yang bersuara.

   "Lia, Fisha, saya harap apa yang awak nampak dan dengar, habis dekat dalam bilik ni saja ya"kedengaran tegas suara Ilham dibalas dengan anggukan laju kami berdua.

  Aku dan Fisha cuma mengangguk sambil mata masing-masing terus melekat pada lantai bilik, tidak berani rasanya mahu mengangkat wajah dan berdepan dengan mereka di dalam bilik ini. Dalam hati aku berdoa agar aku dan Fisha punya kebolehan untuk menjadi halimunan saat ini. Harapan yang agak bodoh!

   Jeritan Bruno Mars yang menyanyi tiba-tiba seolah menjadi penyelamat kepada aku. Telefon bimbit di tangan aku angkat sedikit sebagai tanda aku harus menjawab panggilan lalu aku bergerak keluar dari bilik sambil mataku memandang sekilas pada skrin yang terpapar "Private Number".

   "Hello Assalamualaikum"sengaja aku menunggu suara si pemanggil di hujung sana sebelum memulakan bicara lanjut.

   "Waalaikumussalam, Along, ni Shasha... along kena balik sekarang, mak accident dengan Mak Usu kat PJ. Mak ada kat PPUM sekarang. Along balik cepat tau"sekali lagi dadaku dihentam dengan berita mengejut.

   Dalam jurai air mata aku berlari ke dalam dan mendapatkan Fisha serta Ilham. Ilham cuma mengangguk sambil mengarahkan aku dan Fisha pulang ke bilik untuk berkemas. Saat aku ingin melangkah keluar, aku melihat Hilmi cuma bungkam di sisi Nurin dengan tangannya masih menggenggam jemari kaku tersebut.

   "Jom Lia"Fisha menarik tangan aku keluar.

   "Nanti saya datang. Bagi saya 15 minit"suara Ilham kedengaran dan aku mengangguk tanpa sedetikpun aku berhenti memandang tubuh Hilmi yang masih membelakangi aku. Dan dia masih begitu sahingga kakiku melangkah keluar dan pintu tertutup rapat. Tidak sekalipun dia menoleh ke arahku. Marahkah Hilmi pada aku?

 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment