Aku berjalan menyusuri laluan pejalan kaki yang agak terang dengan suluhan tanglung-tanglung bulat berwarna cerah. Suasana malam hari ini agak riuh apatahlagi tatkala aku melalui kawasan pantai tempat khemah-khemah dipasang.
Aku lihat beberapa orang lelaki dan wanita masih sibuk menghias khemah dan ada di antara mereka sedang duduk di bawah khemas sambil memasang tanglung-tanglung kecil. Di bawah khemah utama, aku melihat beberapa orang anak muda sedang duduk santai sambil seorang dari mereka memetik gitar di tangan dengan lagu-lagu bernada romantik.
"Baru balik ke kak?"seorang lelaki yang kebetulan lalu di sebelahku menegur ramah.
"Aah..baru balik Sim, keluar kejap tadi"aku membalas pertanyaannya setelah wajahnya jelas kelihatan. Rupa-rupanya lelaki yang menegurku tadi ialah Kassim, si "pengantin" semasa raptai pagi tadi.
Aku meneruskan perjalanan dan kali ini aku melalui kafe yang sememangnya menjadi laluan wajib sebelum dapat sampai ke bilik aku yang terletak di kawasan hujung sebelah timur Chalet Perangin. Suasana kafe saat ini agak sunyi dan sedikit gelap memandangkan kafe yang sudah ingin ditutup. Kebiasaannya kafe ini cuma sesak antara pukul 7 sehingga 8.30 malam sahaja.
Angin pantai yang bertiup nyaman menjadikan bulu romaku sedikit naik. Sejuk. Jam di tangan aku kerling dan aku baru tersedar kalau waktu sudah menginjak ke pukul 8.43 malam. Patutlah perutku sudah mulai menjerit lapar, rupa-rupanya sedari petang tadi, aku belum menjamah apa-apa selain daripada secawan air teh.
"Kriukkk"tiba-tiba perutku berbunyi laju.
Aku terus memegang perut dan mujur sahaja tidak ada sesiapa yang mendengar nyanyian perutku memandangkan laluan yang agak sunyi dan gelap.
"Kriukkkkkkkkk"sekali lagi aku memegang perut yang berkeroncong agak panjang berbanding tadi.
"Hiii hiii hiikkkk"suara seorang wanita ketawa tiba-tiba kedengaran menyentuh gegendang telinga aku.
Bulu romaku kembali meremang dan aku sudah bersedia untuk lari. Aku melangkah perlahan ke hadapan sambil plastik di tangan aku dakap ke dada.
"Hai....nak pergi mana tu....hi hii hikkkkk"suara itu kedengaran lagi membuatkan jantungku seakan berhenti berdegup.
Aku memnadang sekeliling dan sememangnya tiada siapapun yang berada di sini, kalau adapun cumalah suluhan lampu suram tanglung yang tergantung di hadapan kafe yang sudah sunyi-sepi tanpa kelibat manusia.
Bismillah....aku mengatur langkah perlahan-lahan sambil mulutku terkumat-kamit membaca apa sahaja ayat suci Al-Quaran yang terlintas di minda saat ini.
"Baca apa tu....ingat aku tak tau.....hii hii hikkk"sungguh saat suara itu menegur lagi sebelum ketawa kuat aku bagaikan pegun tidak dapat bergerak, terasa lemah longlai seluruh tubuh.
Tetapi hatiku tiba-tiba terdetik sesuatu yang aneh. Jika diamati, suara itu kedengaran persis suara...
"Hikk...hiikk...fikir apa lagi....hiikk hikkkk"suara itu berbunyi lagi dan kali ini diikuti dengan satu bau busuk yang seakan mendekati aku.
Bau busuk seperti sampah dan agak hanyir itu seakan semakin kuat dan mendekat di rongga hidungku. Ya Allah, bala apa pula yang ingin Kau temukakan padaku saat ini.
"Lia"satu suara garau menegurku dari arah belakang dan saat itu kurasakan seperti bau hanyir dan busuk itu begitu jelas dan ianya datang dari arah belakangku.
Aku memalingkan wajahku perlahan-lahan ke arah belakang dan jeritan kuat terbit dari kerongkongku saat melihat makhluk besar putih yang berbau busuk yang berada dekat di belakang tubuhku.
No comments:
Post a Comment