Tuesday, 8 July 2014

Seseorang seoerti dia 21

     Kalau sudah namanya Fisha, mana mungkin dapat kusimpan sebarang rahsia dari jatuh ke tangannya. Sepanjang malam dia memujuk aku itu dan ini sehingga akhirnya aku akur lalu kejadian tadi aku ceritakan satu persatu. Rasanya temanku itu lebih layak menjadi perisik FBI daripada seorang guru.

    "Dah tu...kau macam mana?"Fisha bertanya setelah puas membebel lama.

    "Macam mana apa?"aku membalas acuh tidak acuh.

    Bukan aku tidak faham akan butir pertanyaan temanku itu, namun aku rasakan tubuh dan mindaku terlalu penat saat ini. Terlalu banyak yang aku lalui hari ini dan satu-satunya hal yang aku inginkan saat ini adalah tidur yang nyenyak.

    Dan apa sahaja bebelan Fisha selepas itu tidak aku ingati lagi. Perkara terakhir yang aku ingati cumalah sesusuk tubuh Fardel Akashah yang mengejarku sambil tangannya memegang sehelai gaun pengantin yang sudah koyak-rabak. Mujurlah aku dikejutkan  dengan bunyi telefon bimbit yang sudah disetkan sebagai penggera Subuh.

     Wajah yang sedikit berpeluh aku raup dengan kedua belah telapak tangan. Mimpi rupanya aku. Hatiku lega.

                                 ******
     Aku dan Fisha bergerak santai ke arah kafe untuk bersarapan. Aku lihat Fisha juga ikut diam tanpa banyak bicara, barangkali sudah malas mahu mengambil tahu akan hal aku dan Hilmi.

    Suasana agak sesak di kafe memandangkan waktu sekarang yang kukira adalah waktu puncak untuk tetamu bersarapan. Dalam ramai-ramai manusia yang memenuhi ruang buffet dan meja makan, aku melemparkan senyum pada beberapa wajah asing yang aku temui semalam di majlis berinai Nurin.

    "Kau cop meja dululah.Aku ambilkan makan. Kau nak apa Lia?"Fisha terlebih dahulu memberi arahan. Mataku memandang sekilas pada ruang kafe dan ternyata semua meja sudah berpenghuni. Nasib kami agak baik saat aku melihat sebuah meja dengan empat kerusi yang masih kosong di sudut hujung kafe berdekatan sebuah pasu bunga besar.

    "Kau ambillah apa-apapun. Tapi jangan banyak sangat tau"aku menyambut huluran telefon bimbit dan dompet dari Fisha. Aku kemudiannya melangkah laju ke arah meja kosong itu, bimbang juga kalau-kalau ada orang lain yang terlebih duduk di situ.

    Saat aku menarik kerusi untuk duduk aku lihat ada satu tangan sasa ikut sama menarik kerusi yang sama. Wajah Ilham yang tersenyum manis dengan tangannya memegang sepinggan spageti muncul di hadapanku.

    "Oops"dia meletakkan pinggan tadi ke atas meja sambil menjungkitkan bahu.

     "Boleh kita share?"Ilham yang kelihatan santai memakai seluar paras lutut coklat dengan t-shirt "I Love Langkawi" kelihatan kacak dengan sepasang cermin mata hitam diselitkan ke atas kepalanya.

    "Oh...duduklah. Saya dengan Fisha berdua ja"aku tersenyum balas. Biarlah kami berkongsi meja memandangkan tiada meja yang kosong saat ini.

    "Ok...tolong jagakan, saya nak ambil roti dengan air kejap....err...Lia nak apa-apa?"Ilham berlalu pergi ke meja buffet semula sebaik sahaja aku menggelengkan kepala.

    Aku duduk sambil wajahku berpaling menghadap balkoni luar yang dipisahkan oleh satu cermin besar. Di sebalik cermin tersebut, jelas terbentang pantai yang terletak tidak jauh dari lokasi pantai. Sedang leka memerhatikan sepasang anak kecil yang sedang berlari di lantai, aku berpaling saat mendengar namaku disebut perlahan.

    Dadaku berdegup kencang saat mataku menyapa pandangan mata Hilmi yang sedang berdiri sambil memegang sepinggan roti dengan segelas jus berwarna kuning.

    Meski aku cuba menafikan rasa hatiku, mana mungkin aku menipu diri sendiri. Debaran yang kurasa rupanya masih sama dengan debaran yang kualami sejak bertahun dahulu. Debaran yang kurasai hanya saat tubuhku berada dekat dengannya.

    "Can I sit here?"dia tersenyum padaku.

    "Erm...sorry...dah ada orang..."

    "Siapa?"dia bertanya balas seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan yang telah kuberi.

   "Fisha...Ilham...dengan....."mataku meliar ke sekeliling kafe, cuba mencari alasan atau memetik nama siapa-siapa sahaja yang kurasakan mampu menghalau Hilmi dari terus berada di sini.

    Bagaikan orang mengantuk diberikan bantal, aku tersenyum saat mataku menyapa sesusuk tubuh kurus yang sedang bergerak ke arahku. Aku lihat dia agak berhati-hati berjalan dengan tangannya yang memegang sebiji pinggan yang membukit dengan pelbagai makanan.

    Aku melambai ke arah Shahril sambil tersenyum. Dia yang perasan akan lambaiku terhenti seketika sambil memandang ke belakang, barangkali cuba memastikan kalau aku tidak memanggil orang lain.

    Setelah yakin lambaian iu ditujukan padanya, aku lihat dia tersengih sambil melemparkan "flying kiss" sebelum melangkah laju ke arahku.

    Kalau tidak kerana Hilmi di sini, rasanya sudah lama aku membalas perbuatan Shahril itu dengan "flying kick".

    "Yes, darling"Shahril menyapa aku ceria.

    "Dah lama saya jaga tempat. Duduklah sini"aku pura-pura senyum sambil beramah mesra dengan Shahril yang kulihat sudah tersengih.

    "Excuse me, may I"Shahril bersuara tegas lalu dia terus duduk saat Hilmi memberi laluan untuk dia duduk. Aku lihat timbunan makanan di dalam pinggannya sedikit runtuh dan terkocoh-kocoh dia menahan makanan tersebut dengan sudu di atas meja.

    "I see...takpelah Lia...saya cari tempat lain. See u later"Hilmi mengalah lalu berlalu pergi.

    Aku perasan kalau Hilmi memandang Shahril dengan pandangan yang agak pelik sebelum berlalu. Pandangan yang pernah aku lihat suatu ketika dulu....pandangan yang sama saat dia memandang Awi Macho dan konco-konconya suatu masa dulu. Pandangan penuh kemarahan, sesuatu yang jarang sekali aku lihat dari seseorang seperti Hilmi.

    "Nasib baik kau ajak aku duduk sini Tik... Aku ingat dah nak duduk dekat dengan lubang tepi pasu tu je tadi sebab takda tempat kosong"dia menjuihkan bibir ke arah satu sudut yang kelihatan seperti lubang bersebelahan satu pasu bunga besar. Malas melayan Shahril, aku cuma terdiam. Bukan aku tidak tahu kalau panggilan 'Tik' kepadaku itu merujuk kepada Katik.

    Ilham dan Fisha kembali ke meja hampir serentak lalu kami berempat mulai makan tanpa banyak bicara.

    Dalam kami leka menjamah makanan di pinggan, cuma kedengaran suara Ilham bercerita. Daripada dia, barulah aku tahu kalau dia dan Shahril adalah sahabat baik sedari kecil dan mereka juga adalah rakan sebilik di Chalet Perangin ini.

    Dalam kami bercakap, terkeluar pula cerita mengenai perjalanan aku dan Shahril semalam.

    "So, Lia dah kenal Shahril la?"suaranya kelihatan teruja tiba-tiba.

   Aku cuma menagangguk sambil tanganku leka menyuap spageti goreng sardin di dalam pinggan yang sudah tinggal separuh.

    "Wow, bro....si cantik yang kau cerita tu yang kat depan matalah ni"Ilham makin teruja sambil tangan kanannya menepuk baju Shahril lembut.

    Aku tersedak kecil dan saat itu Shahril juga sudah terbatuk-batuk sehingga wajahnya berubah merah. Suasana menjadi cemas saat batuknya tidak reda sehingga dia rebah ke lantai.
   
   
   

   

No comments:

Post a Comment