Sunday, 6 July 2014

Seseorang seperti dia 19

     "Lia...are you ok?"Fisha mengusap rambutku lembut.

     Fisha yang baru selesai mandi kelihatan bingung melihat aku menangis tersesak-esak. Dia memandang aku dari atas ke bawah dengan pandangan kehairanan.

    Barangkali air mata yang berjurai ditambah pula dengan pakaian yang tersarung di tubuh di tubuh betul-betul menimbulkan tanda tanya di minda temanku yang masih menyarung tuala merah jambu dengan rambut yang masih basah.

     "Sha....aku....aku...."tersekat-sekat suaraku ketika itu saat aku cuba meluahkan segalanya kepada Fisha.

     "Ya Allah....kenapa Lia...tell me...why? Why?"Fisha sudah menggoncang bahuku laju.

    "Sha...aku...aku...."

    "Kau kene...rogol ke?"Fisha sudah serkap jarang.

    "Choi mulut kau Sha"tindakan refleksku terus memukul dahi Fisha sehingga temanku itu mengaduh kesakitan.

     Perlahan-lahan aku menceritakan setiap apa berlaku dari pagi tadi kepada Fisha satu-persatu.

     "Sabarlah Lia...aku tahu kau kuat"Fisha memelukku erat dan air mataku kembali tumpah di dalam pelukan sahabat baikku ini.

                               *****

     Dan dek kerana sesi menangis beramai-ramai petang tadi, mataku dan Fisha kelihatan sembab dan sedikit bengkak. Aku menyarung sehelai baju kurung kain kapas berbunga biru kecil dipadankan dengan tudung biru polos manakala Fisha pula menyarung kebaya pendek warna hijau pucuk pisang beserta kain batik jawa.

    Kami bergerak agak lewat menuju ke kafe untuk makan malam dan mujurlah suasana di kafe sudah lengang saat aku tiba.

    Makan malam kami agak sunyi dengan masing-masing cuma diam melayan perasaan. Usai makan kami bergerak ke kawasan kolam untuk menghadiri upacara mandi air bunga dan malam berinai untuk pasangan pengantin.

    Jika diikutkan kepada rasa hati, mahu sahaja aku berkurung di dalam bilik tetapi apa pula kata Hilmi dan Nurin nanti. Setibanya kami di kawasan kolam, aku lihat sudah ada satu pelantar kecil daripada kayu yang dilapisi dengan kain batik. Pelantar itu kelihatan seperti teman bersiram puteri raja dengan kelambu putih kecil di sekeliling tiang pelantar.

    Di sebelahnya pula ada dua buah tempayan besar yang sudah diletakkan dengan pelbagai jenis bunga-bungaan untuk upacara mandi bunga sebentar lagi.

   Kebanyakan wajah-wajah yang semuanya wanita adalah wajah yang aku kira asing di mata aku dan Fisha.

    "Lia...da setel ke urusan?"Nurin yang datang tiba-tiba menyapaku ramah.

    "Urusan apa?"sungguh aku tidak dapat menangkap butir bicara Nurin saat ini. Urusan apakah yang dimaksudkan.

    "Er...tadi Kak Del cakap Lia kena uruskan hal sepupu kat Pekan Kuah, tu yang Lia hilang tu, so In harap semua ok-ok aje"

    "Oh...arr...ya...yang tu...dah...dah setel tadi...."aku menjawab tergagap-gagap. Kata Fisha aku adalah makhluk yang paling tidak reti untuk menipu dengan yakin dan saat itu aku cuma berdoa agar penipuanku ini tidak dapat dikesan.

    Aku lihat Nurin cuma tersenyum balas. Dia kelihatan jelita dalam sepersalinan baju kurung Riau putih. Gincu warna merah cili yang teroles di bibir menyerikan lagi wajah putih gebunya ditambah dengan rambut yang disanggul lintang.

   Nurin kemudiannya menarik tanganku dan Fisha dan kami diperkenalkan dengan setiap ahli keluarga wanita Nurin.

    Datin Noraini, wanita yang berusia tetapi masih jelas sisa kecantikan di wajahnya ialah ibu Nurin, Mellina, adik Nurin, dan beberapa orang lagi saudara-mara terdekat, sepupu dan juga beberapa orang teman Nurin.

    Tidak lama selepas itu Datin Noraini menarik tangan anak gadisnya lalu mereka terus ke upacara mandi bunga. Aku lihat suasana riuh dengan jeritan sanak-saudara serta usikan teman-teman Nurin.

     Suasana agak kecoh juga apabila Datin Noraini menyimbah baki air ke arah teman-teman dan saudara Nurin. Dalam pada aku mengelak, lengan baju kananku turut basah terkena tempias air yang disimbah.

    Aku lihat setiap wajah-wajah yang hadir kelihatan ceria dan mereka beralih pula ke arah bangku kecil di dalam taman sebelah kolam. Nurin yang sudah basah kuyup hilang sebentar dan dia kembali duduk di atas bangku sebaik sahaja selesai menyalin pakaian ke persalinan baru yang kering.

    Sebaik duduk setiap dari saudara dan temannya akan mengambil giliran untuk meletakkan inai ke jari-jemari Nurin. Datin Noraini ikut bercerita kalau dia bersusah-payah meminta ibu saudaranya agar mencari inai dari pohon dan menumbuknya sendiri buat anak gadis kesayangannya. Wanita cantik berkebarung biru gelap itu mahu Nurin merasai sendiri pengalaman orang-orang dahulu dalam adat perkahwinan dan bukannya cuma mengupah orang untuk melukis inai di jari seperti yang dilakukan oleh rata-rata masyarakat sekarang.
 
     Sepanjang upacara itu, aku melihat Nurin tersenyum manis. Seri seorang pengantin jelas terpancar di wajahnya. Dan meski suasana saat itu begitu riuh, entah kenapa hatiku merasa amat sunyi. Cemburukah aku? Aku beristighfar panjang, cuba membuang perasaan jahat yang baru ingin singgah di dalam hati.

    Tiba-tiba Fisha meminta diri untuk pulang. Kulihat temanku itu sudah memicit-micit dahinya.

    "Ala...Lia tunggu la sampai habis ya. Temankan In. Lagipun Lia tak pakaikan lagi inai kat jari In ni"Nurin merengek manja.

    Wajah Fisha aku pandang dengan rasa bersalah bersilih ganti dengan wajah Nurin yang memandangku penuh mengharap.

    "It's ok. Kau staylah jap. Aku balik dulu"Fisha terus tersenyum, barangkali malas mahu berlama-lama dan membuatku merasa bersalah.

    Usai sahaja majlis berinai, aku meminta diri untuk pulang. Aku melangkah santai melalui laluan pejalan kaki yang agak cerah dek suluhan lampu-lampu tanglong berwarna putih bulat. Sesekali angin pantai menyapa kulit membuatkan aku sedikit menggigil kesejukan.

    Setibanya di hadapan bilikku, aku lihat Hilmi sedang membongkokkan tubuhnya seolah-olah cuba mengutip sesuatu di atas pasir.

    "Awak buat apa?"aku menegur dia. Agak teragak-agak juga saat aku melihat dia sendirian di sini. Sudahlah suasana sunyi tanpa kelibat manusia, dia yang memakai baju melayu putih di tengah-tengah malam begini sedikit sebanyak menggerunkan aku.

    Mujurlah aku lihat kakinya menjejak ke tanah, kalau tidak....

    "Phone saya terjatuh, boleh Lia tolong kutipkan"dia menjuihkan bibirnya ke atas pasir dan aku lihat telefon bimbitnya memang sudah kotor dek pasir pantai. Barangkali cubaannya mengutip telefon itu sedari tadi sedikit sebanyak menjadikan telefon itu semakin bersalut pasir.

    Serentak itu juga dia mengangkat kedua telapak tangannya ke atas. Ketiga-ketiga jemarinya di kedua belah tangan masih bersalut inai yang lembab. Barangkali dia ikut sama berinai sebentar tadi dengan para tetamu lelaki.

    Telefon bimbitnya kucapai lalu kuhulur ke arah Hilmi.

    "Tolong masuk poket"dia mendekatkan tubuhnya ke arahku dan ada debar di dalam hatiku saat aku memasukkan telefon bimbitnya ke dalam poket baju melayunya.

    "So...jangan cakap yang awak datang semata-mata nak cari telefon awak yang hilang je"aku berdehem lalu bersuara.

    Aku lihat Hilmi yang berwajah tenang cuma tersenyum manis. Tubuhnya santai lalu dia duduk di atas bangku. Aku lihat dia menepuk-nepuk bangku kosong di sebelahnya seolah-olah memberi arahan tanpa suara agar aku ikut sama duduk.

    Meski aku sedikit teragak-agak, aku mengikut sahaja arahannya. Dalam hati sempat juga aku berdoa agar tiada manusia yang akan salah faham seandainya mereka melihat kami berdua di sini.

    "The phone is just an excuse...sebenarnya, saya cari awak Lia"

    Aku tersenyum kelat.

    "Saya ada kat majlis Nurin tadi.."

    "I know"Hilmi memintas kata-kata aku saat itu sebelum dia menyambung...

    "Orang tua-tua cakap, kita tak elok pakai ayat kalau...kalaulah itu...kalaulah ini.... Awak nak tau Lia...masa saya jumpa awak balik dua tahun lepas, saya baru jumpa Nurin dua bulan sebelum tu...dan hari-hari saya asyik terfikir.... kalaulah....kalaulah saya jumpa awak lebih awal...atau....kalaulah saya jumpa Nurin lebih lambat.... mesti sekarang jari awak yang bersalut inai, bukan Nurin.... kalaulah......"ada nada sayu dalam nada percakapan Hilmi saat itu.

    Aku bungkam. Dadaku berdegup kencang dan telapak tangan kanan sengaja kutahan di dada, berharap agar degupan jantungku tidak didengar oleh Hilmi saat itu.

   Apapun yang cuba disampaikan, apapun maksud kata-katanya, aku tidak peduli dan tidak mahu peduli.

    "Awak cakap...a..apa ni"aku bertanya balas, pura-pura tidak faham.

    "Stop pretending Lia...at least once in you life, stop doing what you are doing.. Stop pretending...."

    Jika tadi debaran jantungku menjadi laju, saat ini kurasakan jantungku akan meloncat keluar dari dadaku pada bila-bila masa sahaja.

    "Awak....tahu?"aku bersuara perlahan. Wajah sengaja kutundukkan ke lantai, tidak tega rasanya untuk aku memandang wajah Hilmi saat ini.

    Telefon bimbit yang kugenggam erat di tangan kanan menjerit tiba-tiba. Hampir terloncat aku saat itu akibat terkejut dek kerana bunyi suara Bruno Mars yang tiba-tiba menyanyi lagu "Lock out in heaven" dengan agak kuat.

    Telefon bimbit kuangkat lalu skrin yang terpapar nama pemanggil kutatap dengan debaran.

   Debaran hatiku tiba-tiba menjadi kencang dan kali ini untuk sebab yang lain pula. Perlahan-lahan aku memusingkan wajah ke arah Hilmi. Aku lihat telefon bimbitnya masih elok tersimpan di dalam poket baju dan dia sudah tersengih di sebelahku.

    Tanganku menggigil saat melihat paparan nama di skrin telefon.

    "Hilmi Calling"

     Kalau Hilmi sedang menghubungiku, siapa pula Hilmi yang sedang tersengih di sebelahku saat ini? Dan jalan terbaik yang aku lakukan waktu ini adalah dengan pengsan!
   
   

 

No comments:

Post a Comment