Shahril sudah rebah terduduk sambil terbatuk-batuk. Entah makanan apa yang tersangkut di kerongkong lelaki ini juga aku tidak pasti. Ilham di sisi cuba menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu untuk membantu tetapi sia-sia. Aku lihat wajah Shahril sudah berona merah, terseksa barangkali.
"Tepi....ke tepi"suara seorang lelaki melaung kuat di sebalik orang ramai yang sudah berkumpul mengelilingi Shahril.
Dari balik wajah asing, muncul seorang lelaki gempal memakai uniform putih chef dengan topi tinggi terkocoh-kocoh datang ke arah Shahril.
Dengan sekali tunduk sahaja, dia mencapai tubuh kurus Shahril lalu tubuh itu diangkat dan dipeluk dari arah belakang. Jemari gempalnya memeluk erat Shahril lalu tubuh itu diangkat sedikit beberapa kali dan dengan sekali tepuk sahaja, Shahril terbatuk kuat sehingga seketul sosej sebesar satu inchi meloncat keluar dari mulutnya lalu mengenai tepat ke dahi Fisha yang sedang berdiri betul-betul berhadapan Shahril.
Fisha yang terkejut terjerit kecil sebelum aku mendengar temanku itu mengomel sendirian tanpa aku jelas butir bicaranya.
Kasihan melihat Shahril yang terduduk sambil tercungap-cungap, aku mencapai satu gelas berisi air kosong yang belum disentuh. Air itu aku hulurkan kepadanya perlahan-lahan.
Dia mengangkat wajahnya lalu memandang ke arahku dengan matanya yang sedikit berair, barangkali akibat dari kesan tersedak tadi.
"Air oren ada?"dia bertanya saat gelas kudekatkan kepadanya.
Amboi...dalam pada hampir putus nyawa, sempat lagi dia memilih itu dan ini.
"Telan sosej besaq ketoi batu.patutlah..dah, jom-jom pi sambung makan.."seorang lelaki tua berkopiah yang berdiri di belakangku bersuara kuat sambil tangannya menarik seorang wanita di sisinya supaya berlalu pergi.
"Tengok tu Mat..kalau hang dok main telan ja takdak kunyah, jadi lagu tu la. Pak selalu pesan kan"panjang pula bebelan lelaki tadi kepada seorang kanak-kanak berusia lebih kurang 10 ke 12 tahun yang pastinya bernama Mat itu.
Fisha yang sudah monyok menarik tangan aku untuk berlalu pergi.
"Jomlah..."tangannya masih menggosok-gosok sehelai tisu di dahi yang menjadi persinggahan sosej beracun Shahril.
Aku meletakkan gelas berisi air kosong yang tidak disambut oleh Shahril itu ke atas meja semula, lalu aku membuntuti langkah Fisha ke arah pintu keluar kafe.
Sebelum melangkah keluar dari pintu, lelaki gempal beruniform chef yang telah menjadi penyelamat Shahril itu tersenyum ke arahku sambil badannya menyandar di dinding kafe. Aku dan Fisha terhenti dan tidak dapat keluar, manakan tidak, tubuhnya sahaja sudah memenuhi dua pertiga dari pintu keluar itu.
"Hi Lia"dia menegurku ramah. Fisha di sisi sudah buat muka pelik.
"Lia...mak saya kirim salam"lelaki itu mencuba lagi setelah sapaannya tidak diendahkan.
Ya Allah, baru perasan kalau lelaki gempal ini bukanlah orang asing tetapi Amran, anak lelaki Tok Pa dan Tok Wan yang aku temui semalam.
"Ya Allah...saya tak perasan awak tadi Amran"aku tersenyum sambil menggosok dahi.
Amran cuma tersenyum sambil kami bersembang serba sedikit. Sempat juga aku bertanya khabar ibu dan ayahnya, padahal baru semalam sahaja aku bertemu mereka.
"Err...saya ada barang nak pas tapi nanti lepas kerja saya cari Lia"
"Kalau nak menyembang pun, awat yang pi dok kot tengah pintu ni. Kalau badan tu kecik takpalah jugak"lelaki berkupiah tadi yang tiba-tiba berada di situ mengomel kuat.
Barangkali marah kerana jalannya disekat oleh tubuh Amran. Aku menandang wajah bulat Amran dan lelaki itu bergerak ke tepi sambil mulutnya laju mengucap maaf. Mujurlah Amran tidak berkecil hati.
"Dan barang yang saya nak bagi tu mungkin buat awak sedih Lia...."
Belum sempat aku bertanya lanjut, Fisha yang sudah malas berlama-lama menarik tanganku agar bergerak pergi.
"Saya cari Lia lepas habis syif...."dia melaung kuat ke arahku saat tubuhku sudah menjauh. Aku cuma mengangguk dari kejauhan.
Tanda tanya berlegar di mindaku saat ini. Barang apa pula yang dimaksudkan oleh Amran itu? Barang apa yang akan membuat aku sedih?
No comments:
Post a Comment