Kak Zi bergerak ke arah mesin jahitnya lalu dia menundukkan badan untuk mencapai telefon bimbit di dalam beg tangan merah yang terletak di atas lantai bersebelahan mesin tersebut.
Hatiku sedikit bimbang melihat pergerakan Kak Zi kerana dari gaya pergerakan dan saiz perutnya, ternyata dia sudah sarat benar. Barangkali, dia sedang menghitung hari sahaja untuk melahirkan.
Mia mendekati aku sambil tersenyum manis lalu kakiku dipeluk erat. Aku yang agak terkejut dengan perlakuannya cuma tersenyum balas.
"Tik...a..tikk....tikkkk..."si kecil itu bersuara ceria sambil tubuhnya masih melekap erat kepadaku.
"Dia kata kamu cantik la tu"Kak Zi melaung ke arahku saat itu. Aku lihat dia kemudiannya kembali berbual dengan pemanggil di hujung sana.
Terbit rasa malu saat ini meskipun si pemuji cumalah sekadar anak kecil berusia lima tahun.
"Perasan la tu...Cantik ke...katik"aku mendengar suara Shahril dengan jelas meski ucapan itu diluah dengan nada perlahan.
Malas ingin melayan Shahril, aku biarkan sahaja kata-katanya itu tanpa balasan sambil tanganku menggosok kepala anak kecil yang masih memelukku erat. Manja!
Aku lihat Shahril sudah duduk di atas kerusi pelamin berdekatan dengan tempatku berdiri. Sesekali aku mencuri pandang ke arahnya dan aku lihat dia laju sahaja mengunyah sepinggan cucur di atas sebuah meja kopi bersebelahan kerusi pelamin. Oh, tak malunya, entah-entah tu makanan Kak Zi dengan Mia tak....
"Aduh....aduh...Lia...."suara Kak Zi yang mengaduh kesakitan menngejutkan kami.
Aku dan Mia terkocoh-kocoh bergerak mendekati Kak Zi yang sudah terduduk di atas lantai. Tangan kanannya memegang perut dan kulihat dahinya sedikit berkerut ibarat menahan kesakitan.
"Akak..kenapa kak?"aku bertanya ibarat orang bodoh meskipun aku yakin yang Kak Zi sedang sakit untuk bersalin.
"Kita kena bawak Kak Zi pergi hospital"aku bersuara cemas kepada Shahril sebaik sahaja dia mendekati aku dan Kak Zi. Mia kulihat cuma duduk sambil menggosok wajah ibunya yang sudah berpeluh. Sesekali anak kecil itu memanggil ibunya.
Shahril memandang aku dan Kak Zi silih berganti sambil tangannya masih memegang sepinggan cucur yang sudah tinggal separuh. Barangkali cemas mendengar suaraku yang seakan menjerit, dia menghuluran pinggan tersebut kepada Kak Zi.
"Aku nak beranak la..bukan nak makan"sempat lagi Kak Zi menjerit ke arahnya.
"Heh...awak ni kenapa...."aku menjerit ke arah Shahril apabila dia menghulurkan pinggan itu ke arahku pula.
Aku lihat dia menggaru-garu kepalanya.
"Panggil ambulans."aku memberi arahan kepada Shahril.
"Tak boleh dik...Susah ambulans nak masuk...Pasar malam sini sesak"Kak Zi bersuara.
Aku memandang Shahril pantas lalu lelaki itu terkebil-kebil kebingungan.
"Apa?"dia bersuara sambil tangannya masih memegang pinggan tadi.
*****
Segalanya berlaku dengan pantas. Tubuh kurus Shahril mencempung Kak Zi lalu aku mencapai beg tangan wanita itu dan tangan kecil Mia kupimpin keluar. Ibarat polis trafik aku melaung kuat supaya orang ramai memberi laluan kepada kami supaya Kak Zi cepat sampai ke kereta.
Mujur ada beberapa orang yang baik hati membantu apa yang patut. Bagaikan pelesit, kereta kancil itu dipandu laju dan aku kira sudah pasti lelaki di sebelahku ini akan garu kepala saat dia melihat jumlah saman yang kukira sempat dikumpulnya sepanjang jalan tadi.
Dalam tempoh lebih kurang dua puluh minit kami sudah tiba di hadapan bahagian kecemasan Hospital Langkawi. Sebelum masuk ke dewan bedah, sempat juga Kak Zi memnghulurkan telefon bimbitnya dan meminta aku menghubungi suami dan ibunya.
Usai menghubungi suami dan keluarga Kak Zi, aku terduduk di atas kerusi di hadapan dewan bedah. Shahril dan Mia ikut sama menunggu di situ.
Setelah keadaan kembali tenang, aku memandang keadaan sekelilig dan aku perasan kalau setiap kali ada orang yang lalu lalang, mereka akan memerhatikan aku dari atas ke bawah sambil tersenyum-senyum. Baik orang biasa, doktor, jururawat sehinggalah kepada kakak yang kerjanya menyapu sampah di koridor wad.
Seorang lelaki keluar dari bilik bedah dan aku yakin benar dia merupakan doktor yang merawat Kak Zi memandangkan kepada uniform yang disarung ke tubuh.
"Boleh saya tahu hubungan Cik dengan pesakit"
"Kami saudara dia. Suami dia dalam perjalanan"Shahril bersuara laju menjawab pertanyaan doktor bernama Khalil berdasarkan kepada tanda nama yang tersemat pada uniformnya.
"Oh. Macam tu. Puan Aziah selamat lahirkan baby boy. Tapi apa-apapun saya perlu jumpa suaminya untuk maklumat lanjut"
"Ermm...apapun tahniah untuk Cik juga...tak pasal-pasal tergendala majlis kahwin Cik"doktor yang kukira sudah separuh abad itu menambah sambil tersenyum simpul.
"Ok lah...saya minta diri dulu. Cik boleh melawat Puan Aziah dengan baby sekejap lagi lepas kami pindahkan dia dalam wad biasa"dia menyambung sopan sebelum meminta diri.
Terkebil-kebil juga saat mendengar ucapan doktor yang sesuka-hati mengucapkan tahniah kepaku namun aku menepuk dahi tiba-tiba. Patutlah sedari tadi aku menjadi perhatian setiap mata yang memerhati, rupa-rupanya tubuhku masih tersarung gaun pengantin Nurin.
Ya Allah. Bagaikan baru tersedar, laju sahaja aku membelek gaun yang masih tersarung di tubuh, aku menarik nafas lega apabila sedar yang gaun ini masih berada dalam keadaan elok.
"Kau tunggu...Aku pergi cari baju untuk kau tukar"Shahril bersuara laju seolah-olah dia dapat membaca apa yang terlintas di fikiranku.
Aku cuma mengangguk saat melihat tubuh kurus tinggi itu hilang di balik tangga. Aku kembali duduk sambil menggosok kepala Mia yang sudah tertidur di atas kerusi.
"Adik ke yang call tadi. Isteri abang macam mana?"suara garau seorang lelaki menegurku yang masih menunduk memandang wajah Mia.
Aku terkejut saat wajahku angkat dan lelaki di hadapanku juga pastinya ikut sama terkejut sehingga bakul buah di tangannya terlepas ke lantai. Habis tergolek buah-buah epal dan limau di dalam bakul tersebut.
"Awak!"seakan serentak kami bersuara. Kalau dulu aku tidak percaya pada ungkapan dunia ini kecil, tetapi kali ini aku terpaksa bersetuju saat memandang lelaki gempal di hadapanku. Lelaki yang menjadi punca aku dicakar dek Rohani kesayangannya tadi rupa-rupanya suami Kak Zi!
"Jangan bagitau bini abang pasal Rosnah ye dik"laju sahaja lelaki berbaju belang itu merayu kepadaku. Dia sudah melutut mendekati tubuhku yang masih terduduk di atas kerusi.
"Boleh. Dengan satu syarat"laju sahaja aku mengucapkan kata-kata tersebut. Ternyata lelaki ini perlu diajar.
No comments:
Post a Comment