Saturday, 5 July 2014

Seseorang seperti dia 18

     Sampai di bilik, aku terus menyembamkan wajah ke bantal. Tubuh Fisha tidak kelihatan dan pastinya sahabatku itu sedang mandi memandangkan kepada bunyi pancuran air dari dalam bilik air.

    Air mataku mengalir laju. Sedih, sakit hati, benci, marah dan kecewa datang silih berganti saat ini. Sengaja aku menangis di balik bantal kerana cara ini lebih mudah. Menangis sendirian dan meyakinkan orang sekeliling kalau semuanya ok dan tiada apa-apa yang tidak kena  dalam hidupku adalah penipuan yang terbesarku saat ini. Dan Adelia Hahsim semestinya makhluk yang paling pandai menyembunyikan rasa hatinya.

    Aku benci akan perbuatan Shahril tatkala dia mempertahankan aku sebentar tadi. Benci, sangat benci kerana perbuatan itu mengingatkan aku pada masa silam.

    "Saya kecewa dengan awak Lia. Awak seorang pengawas tapi...."masih terngiang jelas suara kuat Cikgu Hamid kepadaku.

    Meski bilik Pengetua itu terpasang penghawa dingin namun bahang panas seakan membara di situ.

     "Maafkan saya Tuan Haji, saya dah banyak kali dapat laporan....tapi tak sangka betul"Cikgu Hamid memandang wajah Pengetua yang cuma tunduk memandang meja. Tidak sekalipun lelaki berkupiah putih itu memandang wajahku.

    "Tapi...Cikgu....saya tak buat...ini bukan barang saya"aku cuba mempertahankan diriku.

    Meskipun kata-kata aku itu diibaratkan seperti cuba menegakkan benang yang basah, tetapi aku tetap mencuba. Demi Allah, aku tidak tahu siapa yang busuk hati sehingga sanggup memasukkan sekotak rokok, pemetik api dan beberapa majalah lucah di dalam beg sekolahku.

     "Awak tahu tak yang awak mungkin dihukum gantung sekolah sebab kesalahan ni?"Pengetua yang sedari tadi diam bersuara. Aku lihat lelaki itu masih cuba mengelak dari memandang wajahku.

    "Tak ayah...Lia tak tau...bukan barang Lia"

    "I'm not your father at school. Remember that. I'm your teacher"tegas sahaja suara ayah saat itu. Meski ayah adalah Pengetua di sekolah, namun aku dan adik-adik sedia maklum kalau hubungan kami di sekolah cumalah sebagai anak murid dan guru. Namun entah kenapa kata-kata itu begitu menusuk hatiku.

     Ketukan di pintu mengejutkan kami semua dan tejengul wajah bersih Hilmi di saat pintu bilik dibuka.

    "Itu semua barang saya Cikgu, Lia tak salah"tegas sahaja suara Hilmi.

    Cepat, segalanya berlaku dengan cepat saat itu. Cikgu Hamid mengarahkan aku keluar dan tempatku digantikan pula dengan Hilmi.

    Aku duduk berteleku di hadapan bilik Pengetua dengan debaran yang kuat di hati. Mengenali Hilmi selama ini dan menjadi sahabatnya selama dua tahun, aku yakin kalau barang tersebut bukan miliknya.

    Mana mungkin lelaki sebaik dia akan melakukan hal sedemikian. Sepanjang aku mengenalinya, tidak ada seorang makhlukpun di Sekolah Menengah Raja Hussin ini yang tidak menyenangi sifat Hilmi.

    Setelah hampir setengah jam, aku lihat pintu terkuak dan Hilmi keluar sambil melemparkan senyuman kepadaku.

    "Hilmi...saya...."aku mendekatinya tapi sungguh kata-kataku mati. Tidak pasti apa yang sepatutnya aku tanyakan saat itu.

     "Rileksla Lia...saya dapat cuti dua minggu"dia tersenyum sambil menggoyangkan sehelai surat yang dipegang di tangan kiri.

    Air mata aku menitis perlahan. Perasaan bersalah dan sedih menyerbu hati. Bukannya aku tidak tahu yang 'cuti' itu adalah surat penggantungan sekolah.

    "Ada dramalah weh"suara Awi Macho menyapa kami tiba-tiba. Aku lihat lelaki gempal itu sedang tersengih-tersengih di samping dua orang rakannya.

    "Mat...barang yang aku suruh letak tu kau letak elok-elok kan"Awi bersuara ke arah kawannya yang kurus tinggi bernama Mat.

    "Dah bos, masa rehat tadi aku letak.. Baik punya...."suara Mat itu disambut dengan gelak tawa temannya yang lain.

    Aku mengetap bibir tanda geram, rupa-rupanya semua ini adalah perbuatan mereka bertiga. Siapa sangka kalau dendam mereka terhadap aku kerana melaporkan kejadian mereka merokok di belakang sekolah beberapa bulan lepas tidak pernah padam.

    Dan hari ini, dek kerana dendam tersebut, Hilmi yang menjadi galang gantinya.

    "Kurang ajar kau"tanpa kusangka, Hilmi sudah mencengkam kolar baju Awi.

    Dan lelaki akan tetap menjadi lelaki. Aku terkejut melihat mereka sudah saling bertumbuk. Aku menjerit kuat supaya mereka berhenti namun jeritanku cuma sia-sia. Mujurlah ayah dan Cikgu Hamid terdengar bunyi riuh-rendah lalu keluar meleraikan pergaduhan mereka.

    Akibat daripada pergaduhan itu, Hilmi menerima nasib yang lebih malang. Dia dibuang sekolah. Berhari-hari juga aku mogok tidak makan dan tidak sepatahpun kata-kata ayah aku balas. Aku marah dan sedih.

    Apalah dosa anak remaja itu sehingga dia dibuang sekolah sedangkan peperiksaan SPMnya cuma berbaki dua bulan sahaja lagi.

    Dan semenjak dari hari itu aku tidak pernah melihat Hilmi lagi di dalam hidupku. Dia pergi meninggalkan aku dan rumahnya juga sudah tidak berpenghuni. Aku risaukan masa depannya sebagai seorang sahabat.

    Terlalu banyak ujian yang dilalui Hilmi. Menjadi anak yatim di usia kanak-kanak dan satu-satunya keluarga yang dia ada cumalah neneknya dan beberapa bulan lepas sahaja neneknya meninggal akibat sakit tua. Dan saat ini, satu-satunya keluarga yang tinggal cumanya dirinya sendiri dan dialah yang menjaga dirinya sendiri.

    Semenjak dari hati itu tidak sekalipun aku melalui hari-hariku tanpa memikirkan dia. Dia mana dia, sihatkah dia, apa yang dilakukannya, ingatkah dia kepada aku. Setiap kali aku berjalan, mataku pasti akan meliar memandang wajah-wajah asing yang berselisih denganku, dan jauh di sudut hati aku berharap kalau takdir akan menemukan kami kembali kerana sekurang-kurangnya pertemuan itu akan mengurangkan rasa bersalah yang kuusung sekian lama selama bertahun-tahun.

    Dan doaku seakan terjawab saat aku melihat susuk Hilmi dalam kot putih dengan stetoskop tergantung di lehernya dua tahun lepas di Hospital Sungai Buluh.

    Dia masih kelihatan sama, cermin mata yang sama, senyuman yang sama dan memanggil namaku dengan cara yang sama.

     "Awak...doktor?"aku bertanya bagaikan orang bodoh. Dan kata-katanya selepas itu tidak aku ingati lagi.

    Aku terus terduduk di atas lantai sambil menangis. Aku mengesak kuat dan tanganku memegang dada seolah-olah cuba menahan jantungku daripada meloncat keluar.

    Sungguh aku lega, lega melihat lelaki ini meneruskan hidupnya dengan baik.

    "Along, toksahlah nangis kuat. Orang baru suspek denggi je...bukan suspek HIV pun"terdengar suara adikku Shasha saat itu.

    Saat itu kurasa ingin berterima kasih kepada nyamuk-nyamuk yang menggigit Shasha sehingga dia disyaki menghidap demam denggi kerana ianya membawa kepada pertemuan aku dan Hilmi semula.

    Dan aku berjanji di dalam hati kalau aku tidak akan membiarkan Hilmi hilang dari hidupku lagi. Tidak sekali-kali.
   

   
   

No comments:

Post a Comment