Aku membantu Kak Laila memasukkan kuih-muih yang dibeli Shahril ke dalam pinggan sementara wanita itu pula membancuh air untuk minum petang.
"Anak-anak ni memang suka minum air teh...Kalau Kak bancuh milo, bukan depa nak minum pun"Kak Laila ramah bersuara sambil tangannya masih mengacau air di dalam satu teko putih bercorak bunga-bunga.
"Ramai anak akak ya"aku cuba beramah mesra. Meskipun aku biasanya agak kekok dengan orang asing, tetapi ternyata wanita seramah Kak Laila mampu membuatkan aku merasa selesa.
"Alhamdulillah....dulu bila doktor sahkan Kak tak boleh beranak, Allah ja tau perasaan ni Lia...tapi Alhamdulillah, kami dapat juga merasa jadi ibu bapa dengan anak-anak ni"dia meletakkan teko ke atas dulang dan mengangkatnya untuk dibawa keluar.
Aku terkedu. Tidak tahu bagaimana harus kubalas kata-kata wanita ini, bimbang pula kalau aku tersalah cakap dan menyebabkan Kak Laila berkecil hati. Akhirnya aku cuma mengangguk kecil lalu pinggan berisi kuih aku capai.
"Lia...Ril tu baik budaknya... kerja pun elok...tapi dia jadi macam sekarang sebab Aina....jadi Kak harap Lia takkan buat apa yang Aina buat kat dia ya dik...."Kak Laila bersuara perlahan padaku sebelum kami melangkah keluar.
"InsyaAllah Kak"cuma itu ucapan yang termampu aku berikan. Ingin sahaja aku betulkan salah faham kerana antara aku dan Shahril tidak ada apa-apa, tetapi rasa ingin tahuku semakin melonjak-lonjak saat ini. Terasa ingin sekali aku kenali gadis bernama Aina itu, apa yang sudah dia lakukan sehingga Shahril jadi begini. Dan bagaimana pula Shahril yang dahulu?
Aku dan Kak Laila meletakkan juadah minum petang di atas sebuah meja kayu bulat di tengah halaman rumah. Meja yang terlindung dek redup pohon rambutan itu menjadikan suasana agak teduh dan selesa.
Aku lihat Abang Din membaca doa dan diaminkan oleh kanak-kanak tadi yang sudah duduk di atas bangku-bangku di sekeliling meja.
"Lama hang tak mai sini.... Kerja macam mana?"Abang Din menegur ramah sambil tangannya mencapai kuih seri muka di dalam pinggan.
"Sibuk bang"Shahril cuma tersengih, aku lihat dia cuma menghirup air teh tanpa menjamah kuih-muih di dalam pinggan. Berbeza dengan karakternya yang pantang melihat makanan seperti selalu.
"Bila abang dengan kak hang nak makan nasi minyak. Calon da ada dah ni"Kak Laila menepuk bahuku perlahan menyebabkan aku yang meneguk air sedikit terbatuk.
Shahril cuma tersengih sambil menggaru kepalanya saat mendengar serkap jarang Kak Laila.
"Kak, Bang, saya nak bawak Lia tengok laut kejap ya"Shahril bangun sambil memberi arahan kepadaku supaya mengikutnya.
Aku melihat Kak Laila dan Abang Din cuma tersenyum-senyum ke arahku. Meski sedikit tidak selesa, aku cuma bergerak bangun sambil mengikut Shahril.
"Dah tak lama lah ni nak makan nasi minyak ya"aku mendengar suara Abang Din menjerit laju saat kami bergerak dari situ.
******
Aku mengikut Shahril berjalan menyusur pantai bersih yang tidak berpenghuni itu. Tidak jauh dari tempat kami, anak-anak Abang Din sedang bermain bola sepak pantai. Riuh suara mereka menerjah gegendang telingaku dan mereka melambai ke arah aku dan Shahril sekali-sekala.
"Masa sekolah dulu, hari-hari aku lepak sini"Shahril memulakan bicara sambil membiarkan kakinya disentuh ombak pantai yang menghempas perlahan.
"Awak asal sini?"
"Tak...aku pindah sini masa Form 3. Lepas abah aku meninggal"
"Oh...."aku menjawab sepatah sambil kami terus melangkah ke hadapan menyusuri pantai putih.
"Err...awak kerja apa?"terluah juga pertanyaan yang bermain di mindaku sedari tadi.
"Aku tak kerja...keturunan aku tak boleh kerja.....sebab....."Shahril menggeleng kepalanya dan raut wajahnya kelihatan sedih.
"Kalau kau nak tahu, abah aku dulu sepatutnya naik takhta sebab dia kerabat diraja...tapi sebab dia kahwin dengan mak aku, dia kena buang negeri, hidup macam rakyat biasa...dan aku pulak tengah tunggu waktu yang sesuai je nak rampas balik takhta yang sepatutnya jadi milik aku tu"
Sepantas kilat aku memandang Shahril. Memandangkan prestasinya yang selalu mengenakan aku, aku tidak mudah percaya lalu wajahnya aku tenung lama.
Dengan imej yang agak selekeh, t-shirt lusuh hitam, jeans lusuh yang sudah koyak beserta selipar jepun kuningnya, pasti siapapun tidak akan percaya akan cerita yang dijajanya tadi.
"Aku dah agak dah kau takkan percaya...Aku tak pernah cerita kat sapa-sapa pasal ni Lia. Kau orang asing pertama yang tau... sebab aku ingat kau lain....tapi...kau sama macam orang lain rupanya...."ada nada sedih dalam bicaranya dan aku lihat matanya agak bercahaya saat kata-kata itu diluah.
Mendengar bicara itu, aku menjadi serba-salah. Siapa tahu kalau lelaki ini sedang jujur saat ini dan dia sebenarnya seorang waris keturunan raja terbuang dan teraniaya.
"Eh...mana ada...saya percaya...."aku bersuara laju, cuba untuk tidak mengecilkan hati Shahril.
"Dahla Lia...kalau kau nak aku boleh buktikan"laju sahaja dia menyelak jeans lusuhnya lalu satu tanda hitam akibat lebam atau tanda lahir terserlah di belakang lutut kanannya.
"Sungguh...saya tak tipu...saya percayakan awak"
"Betul kau percayakan aku?"ada nada teruja pada suaranya.
"Ya, betul. Saya percayakan awak"aku mengangguk laju.
"Betul?"dia bertanya lagi dan matanya kelihatan semakin bercahaya.
"Ya Allah, betullah"
"Kalau betul kau sungguh-sungguh kau percayakan aku, aku nak gelak sebab kau dah kena tipu"dia ketawa besar sambil mengatur langkah untuk berlari menjauhi aku.
Cis, kurang asam punya mangkuk. Aku yang geram sudah menyumpah di dalam hati. Seketul batu di atas pasir aku kutip lalu sepantas kilat aku balingkan ke arah dia namun pantas pula lelaki itu mengelak.
"Tik...Tik...kau ni memang senang kena tipulah...."dia yang sudah duduk di atas pasir terus ketawa sambil memegang perut.
"Hidup tu jangan nak main-main sangat boleh tak"aku ikut duduk tidak jauh dari Shahril sambil mengerutkan wajah. Geram dan marah bersilih-ganti.
"Itu mak aku pukullah"
"Hah?"aku memandang wajah Shahril.
"Tanda belakang lutut yang aku tunjuk tadi......mak aku pukul sebab aku pernah tal puasa dulu...."dia memandang ke laut lepas yang terbentang luas.
"Dulu abah aku askar, kami pindah randah sampai la masa aku Form 3..... arwah abah meninggal dan aku pindah sini. Lepas abah takda, kami hidup susah. Macam-macam mak aku buat untuk sara kami....sampailah last mak aku kerja orang gaji dekat rumah Tuan Awang, ayah Abang Din tu.....mak kerja situ, sampailah ke akhir hayat dia......"
Aku memandang ke wajah Shahril dan wajah berjambang itu masih terpaku ke arah laut.
"Sejak bila kau suka Hilmi?"aku menundukkan wajah dan tanganku menguis pasir pantai saat Shahril mengajukan soalan itu secara tiba-tiba.
"Dari sekolah menengah"aku mencapai serpihan kulit kerang dan aku mulai melakar nama aku di atas pasir. Wajahku masih tunduk, berharap agar Shahril akan mengalihkan tajuk perbualan kami.
"Sama macam aku dengan Aina...."suasana antara kami menjadi sepi tiba-tiba.
Aku lihat Shahril turut mengambil serpihan kulit kerang lalu dia leka melakar sesuatu di atas pasir. Kedudukan yang sedikit terlindung menyebabkan aku tidak dapat melihat apa yang dilakar oleh lelaki itu.
Kami dikejutkan oleh laungan Aidil, salah seorang anak Abang Din yang memanggil kami pulang memandangkan matahari sudah mulai jatuh dan senja akan menjelma sedikit masa lagi.
Saat Shahril melangkah ke arah Aidil, sengaja aku berlengah untuk bangun dan mataku menjeling ke arah lakarannya di atas pasir.
Hatiku geram saat melihat tulisan "Lia Katik" dengan gambar seorang orang lidi dengan kaki yang pendek di sebelah tulisan itu. Bagaikan tindakan refleks, kulit kerang yang masih berada di genggaman aku lemparkan ke arah Shahril lalu tepat mengenai lengan kirinya. Hatiku puas mendengar dia menjerit akibat terkejut.
No comments:
Post a Comment