Kami memilih untuk makan makanan bergoreng kerana hampir kesemua lauk-pauk untuk nasi campur di kedai makan yang terletak hampir lima kilometer dari sekolah tempat aku mengajar ini sudah habis. Sengaja aku memilih gerai ini memandangkan jaraknya yang tidak jauh dari kawasan rumah sewaku di Kampung Jijan dan ianya memudahkan aku untuk terus memandu pulang. Lagipun belum ada satupun barang yang sempat aku kemas memandangkan aku bercadang untuk pulang ke Taiping malam nanti.
"So Ilham, straight to the point ok. Saya tak rasa awak cari saya semata-mata nak ajak saya makan kan?"malas berteka-teki akan tujuan lelaki ini, aku terus bertanya akan niat dia menjejak aku kembali.
"Sebenarnya....saya...."dia meletakkan sudu dan garpu ke atas pinggan lalu pinggan berisi nasi goreng cendawan yang masih penuh itu ditolak ke tepi.
"Saya nak minta tolong dengan Lia"Ilham menyambung ayatnya yang tergantung.
"Tolong? Tolong apa?"aku ikut sama menolak pinggan berisi nasi goreng kampung aku ke tepi.
"Eer...tolong saya pikat Fisha"sedikit perlahan suara Ilham saat ini.
"Apa?"aku tidak pasti kalau kata-kataku agak kuat tetapi aku dapat melihat kalau beberapa orang yang berada di sekeliling meja tempat kami berada ikut sama memandang ke arahku beberapa ketika sebelum mereka melarikan pandangan mata semula.
"What? Awak sukakan Fisha? Kenapa saya tak pernah tau?"ingin ketawa pula aku rasakan melihat lelaki di hadapanku menundukkan wajahnya.
Sungguh aku tidak menyangka kalau Ilham sebenarnya sudah menaruh hati kepada teman baikku itu, pastinya semenjak kami berada di Langkawi lagi. Tiba-tiba aku teringat akan layanan dingin Fisha kepada lelaki ini dahulu, mungkin kerana itu juga Ilham mencari aku semata-mata untuk meminta bantuan aku menjadi orang tengah buat mereka.
"Hmm...so nak saya jadi Mak Telangkai lah ni ye"sengaja aku ingin mengusik lelaki ini. Entah kenapa ada perasaan lega setelah aku mengetahui akan tujuannya mencari aku sehingga ke sini.
"Selain dari tujuan saya, saya pun boleh jadi Pak Telangkai untuk Lia jugak"laju pula Ilham mengusikku kembali namun usikannya itu sudah mengocak hati wanitaku. Sememangnya ingin sahaja mulutku bertanya mengenai Shahril tetapi entah kenapa tidak terluah langsung kata-kata itu ketika ini.
"Hilmi dengan Nurin sihat?"dan itu pula pertanyaan yang terpacul dari bibirku saat ini.
"Alhamdulillah, masih dalam mood honeymoon lagi"Ilham sudah kembali menyuap nasi goreng cendawan yang tergendala sebentar tadi.
Aku cuma tersenyum sambil ikut sama menyuap nasi di pinggan. Setelah pulang dari Langkawi, hubungan aku dan Hilmi terputus terus. Tiada lagi panggilan telefon atau mesej bertanya khabar atas nama sahabat seperti dahulu. Dan aku juga sudah lama tidak memikirkan akan lelaki itu, kerana jauh di sudut hati, ada satu nama lain yang sering aku ingati.
Ilham menemankan aku sehingga aku masuk ke dalam kereta. Saat enjin dihidupkan, dia mengetuk cermin kereta lalu aku turunkan sedikit cermin memandangkan dia seperti ingin berkata sesuatu kepada aku.
"Saya harap awak boleh tolong saya pikat Fisha semula. Saya cintakan dia, Lia. Masih cintakan dia macam 5 tahun lepas"
Aku sedikit tersentak mendengar ucapan sayu Ilham. Semula? Masih? Lima tahun lepas? Nah, bagaimana aku tidak pernah tahu kalau Fisha dan Ilham pernah punya sejarah silam bersama. Aku cuma mengangguk tanpa bertanya lanjut. Pada Ilham aku titipkan janji kalau aku akan menghubunginya semula sekembalinya aku dari kampung nanti.
Kepalaku terasa sedikit berdenyut. Terkejut barangkali dengan perkara yang baru aku ketahui. Bunyi mesej masuk kedengaran lalu aku menarik telefon bimbit dari dalam beg tangan di tempat duduk sebelah. Meski sedang memandu, aku tetap membaca mesej yang dikirim dan perbuatan ini pastinya menjadikan aku tergolong dalam kategori pemandu yang degil dalam kelompok pemandu-pemandu di Malaysia.
Raphael mengirimkan aku gambar sebentuk cincin emas berbatu berlian dengan mesej 'hope you like it' beserta icon senyum.
Dan kali ini, kepalaku benar-benar berdenyut laju. Dalam hati aku merungut, kenapalah aku harus mengenal lelaki seperti Raphael!
No comments:
Post a Comment