Monday, 1 September 2014

Seseorang seperti dia 55

   Aku membuka mata perlahan-lahan dan rupa-rupanya aku sudah terbaring di atas katil hospital. Saat itu aku melihat emak sedang berada di sisi aku dan wajah tua itu kelihatan tersengguk-sengguk barangkali cuba menahan rasa kantuk.

   "Mak..."aku memanggil emak dan emak berpaling ke arahku.

   "Dah bangun Along....buat orang risau jelah kamu ni Along....mujur tak ada apa-apa...dah tahu diri tu sakit, kenapa tak jaga makan betul-betul"dan aku disambut dengan bebelan emak yang panjang.

   Ya, emak tetap emak. Punya keupayaan untuk bercakap tanpa henti tidak kira dalam apa jua situasi sekalipun. Dan bebelan emak itu pastinya kerana dia terlalu risau.

   "Along...nak air"aku meminta air dan aku cuba bangun perlahan-lahan.

   Di pergelangan tangan kanan aku tercucuk satu jarum kecil yang bersambung dengan satu wayar kecil. Entah berapa botol air yang dimasukkan ke dalam tubuhku, aku juga tidak pasti.

   "Mak datang dengan siapa?"

   "Ayah kamu lah Along oii...malam semalam Shahril telefon kami, cakap kamu pengsan dan doktor tahan kamu dekat wad...lepas Isyak terus kami bertolak datang.

  "Ayah mana?"aku bertanya apabika kelibat ayah tidak kelihatan.

  "Ke surau...dengan Shahril"

   Emak membalas sambil menghulurkan padaku semangkuk bubur. Aku yang agak lapar terus menyuap bubur itu perlahan-lahan.

   Ya, baru teringat kalau semalam Shahril yang datang menjemputku untuk dibawa ke hospital, bukannya Ilham. Dan aku seakan terlupa apa yang berlaku seterusnya saat aku sudah masuk ke dalam perut kereta, barangkali aku sudah pengsan ataupun tertidur mati sehingga ke pagi ini.

   Tidak lama kemudian, aku melihat pintu terkuak dan muncul wajah ayah di situ lalu pintu ditutup ayah. Dalam hati aku menunggu kelibat Shahril masuk namun hampa kerana tubuh lelaki itu langsung tidak kelihatan.

   "Macam mana Along, dah rasa sihat?"ayah duduk di atas kerusi bersebelahan katil dan segulung akhbar di tangan diletakkan ke tepi.

  "Alhamdulillah ayah...dah rasa ok sikit"

  "Kamu ni Along....nasib baik la Shahril ada...Kalau tak kamu sorang-sorang dalam rumah tu, apa nak jadi?"

  Aku cuma tunduk menghabiskan bubur nasi di dalam mangkuk. Dalam hati aku punya keinginan untuk bertanya tentang Shahril kepada ayah, namun rasa malu yang menebal menghalang aku dari berbuat begitu.

  "Budak Shahril tu mana?"bagaikan mampu membaca fikiranku sahaja, emak bertanya kepada ayah.

  "Dah balik...kena pergi kerja katanya"

  "Hai hari Sabtu pun kerja...kerja apalah yang dibuatnya tu"sinis suara emak seolah memberi petunjuk kalau hati tua itu masih terkilan kerana aku memilih Shahril, bukannya Raphael.

   "Aah la maknya, saya pun belum tau bakal menantu saya tu kerja apa"aku ikut bersetuju dengan pertanyaan ayah kerana aku juga tidak mengetahui akan pekerjaan lelaki itu.

   "Along, Shahril tu kerja apa?"pertanyaan ayah mengundang rasa debar.

   Mana mungkin kujawab kalau aku sendiri tidak tahu. Saat ini aku merasa kalau ayah dan emak sedang memandang aku penuh minat, barabgkali sedang bersedia untuk mengetahui jawaban yang bakal kuberikan.

   "Err..."sudah, apa yang harus kulakukan saat ini.

   Wajah emak dan ayah masih pegun memerhatikan wajah aku yang kukira sudah berkerut seribu sebelum....

   "Aduh..  kepala Along sakit emak"tipu, tiada rasa sakit yang menyerang, kalau adapun cuma akalku sahaja yang cuba untuk mengelak dari menjawab pertanyaan mereka.

   Terkocoh-kocoh emak dan ayah menekan punat putih di hujung katil aku untuk memanggil doktor dan tidak lama kemudian masuk seorang doktor Singh dengan seorang jururawat untuk memeriksa aku.
 
   Dan entah bagaimana, di antara doktor Singh dengan tanda nama Hardeep dan jururawat comel itu terselit wajah Hilmj. Ya, Hilmi ikut ada di situ dan antara kami ikut terkaku kerana rasa terkejut yang teramat sangat.
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment